Jawapan Kepada Student Gay

Assalamualaikum semua. Kalau artikel ni disiarkan, saya harap bermanfaat untuk semua terutamanya untuk yang tengah mengalami kecenderungan nafsu sesama jantina. Saya tak pernah terfikir nak kongsi apa-apa dekat page ni tapi bila banyak sangat confession pasal LGBT disiarkan dan saya nampak ramai rupanya golongan yang macam ni tapi masih ada rasa nk berubah cuma tak tahu macam mana nk buat, saya rasa perlu untuk saya share how I deal with this kind of feeling in a hope that it will benefit others as well. Pada anda yang lain yang mungkin rasa muak dengan isu LGBT ni, mungkin ada boleh beralih ke confession yang lain yang lebih kena dengan cita rasa anda.

Saya mula rasa tertarik dengan sesama jantina ni seawal umur 5 tahun. Awal kan? Mungkin akan ada yang cakap tipulah 5 tahun. Budak 5 tahun mana ada rasa pelik macamni or siapa je yang ingat benda jadi masa umur 5 tahun. Saya tak tahulah orang lain, tapi saya ingat. Mungkin sebab saya rapat dengan adik beradik lelaki saya so saya lebih berperangai macam diorang juga. Abang-abang saya masa tu pulak dah sekolah menengah. Asyik dengar diorang bercerita sesama diorang cintan cintun diorang kat sekolah. Jadi saya rasa seronok dengar dan nk tiru. Nak ada girlfriend jugak macam abang-abang. Cuma saya tak pernah cakap saya nak macamtu dekat sesiapa pun sebab saya takut kena marah. Kenapa takut kena marah? Masa umur 5 tahun tu saya tak tahu kenapa saya takut tapi bila dah makin besar, saya sendiri tahu sebab fitrahnya, saya seorang perempuan dan mana boleh suka perempuan juga. Perasaan suka tu berlanjutan sampai sekolah rendah then naik sekolah menengah.

Sekolah menengah ni la masalah mula datang. Saya sekolah perempuan. Sekolah menengah memang selalu la kita dengar trend berangkat-angkat ni kan. Tapi saya cuba elak dari ada adik or kakak angkat sebab ada yang memang tersasar jauh perginya. Dahlah saya memang dah ada perasaan macamni, kalau saya ikut trend tu juga memang saya tahu saya tak boleh patah balik. Secara luarannya, tak ada orang dapat syak yang saya ada perasaan sesama jenis ni. Dalam tempoh sekolah menengah tu juga saya ada seorang sahabat ni. Memang kira kawan baik la. Saya dan sahabat ni mulanya memang sahabat. Tapi lama-lama jadi makin pelik dan mulalah saya terjebak dengan hubungan sejenis ni. Berlanjutan sampai kami habis sekolah pun.

Saya ada terbaca komen-komen dalam confession pasal LGBT ni ada yang kata tak pernah lagi dengar orang yang buat maksiat ni jenis yang jaga solat 5 waktu. Maaf ye pada yang komen macamtu. Awak tak pernah dengar tak semestinya benda tu tak berlaku. Ya saya bermaksiat dalam tempoh tu. Tapi saya jaga solat saya untuk cukup 5 waktu walaupun banyak cela (solat diakhir waktu, tak khusyuk). Sahabat saya tu pun macamtu juga. Mungkin disebabkan solat tu jugalah, walaupun tak sempurna, tapi Allah masih ikat hati saya supaya tak lama dan tak jauh saya tersasar dariNya. Saya selalu ada rasa bersalah dalam hati setiap kali berhubungan dengan sahabat saya tu. Tapi sebab ikut nafsu, saya banyak kali abaikan perasaan bersalah tu sampai dua tiga tahun lamanya. Walaupun saya kata saya abaikan tapi taklah saya lupakan terus. Masih lagi, dalam tempoh tu dalam setiap doa saya di akhir solat saya untuk Allah temukan cara untuk saya patah balik dan betulkan semua ni.

Mujur Allah masih sayangkan saya, ditakdirkan sahabat saya tu mula tawar hati dengan hubungan songsang ni dan mula berhubungan dengan lelaki. Macam orang lain yang putus cinta, saya pun rasa sakit yang sama. Tapi itulah jawapan Allah untuk saya. Jawapan untuk jalan keluar buat saya. Saya mula hidup sepenuhnya macam perempuan normal yang lain. Tapi, naluri tu bukannya dapat dibuang macamtu je semudah kata. Sampai sekarang saya masih ada naluri tu. Bila di rumah sewa dengan kawan-kawan perempuan yang lain, saya pastikan saya jaga batas saya. Bila diorang tukar baju main buka je baju depan saya, saya larikan pandangan atau keluar bilik. Bila diorang jalan cuba pegang tangan saya atau bila cuba peluk saya (biasalah perempuan kan suka skinship macamni) samaada saya elak, atau kalau saya nak jaga hati diorang, saya biarkan je tapi saya alihkan perhatian saya pada benda lain supaya saya tak anggap gesture diorang tu sebagai gesture yang lebih dari kawan. Senang cerita, saya ingatkan diri jangan syok sendiri sebab diorang orang normal, tak ada perasaan macam saya. Jadi diorang boleh buat semua tu tanpa ada apa-apa perasaan lain. Slowly but surely, I grasp control over my own feelings.

Saya saya anggap naluri ni, perasaan ni, sebagai ujian saya di dunia ni. Semua orang diuji dengan ujian yang berbeza. Allah tetapkan untuk saya diuji dengan nafsu sesama jenis. Ini bahagian saya. Untuk hilangkan naluri ni sepenuhnya bukan dalam kuasa saya. Saya serahkan pada Allah dan hanya mampu usahakan untuk kawal dan kalau Allah izinkan, saya boleh hilangkan, kalau tidak saya hanya mampu usahakan untuk kawal supaya saya tak tersasar lagi.

Sekarang, saya ada seorang kawan lelaki yang serius berkawan untuk berkahwin dengan saya. Dan saya selesa berkawan dengan dia. Mungkin satu hari nanti saya akan berkahwin dengan dia tapi saya tak pasti kalau saya dapat rasa sayang macam mana saya rasa dengan sahabat saya tu dulu. Tapi itu kata saya sekarang. Mana tahu, bila dah kahwin nanti Allah gantikan pula perasaan ni dengan perasaan cinta yang sebenarnya pada suami. Tapi andai kata lepas berkahwin pun saya tak dapat juga perasaan cinta tu, saya redha. Kerana sekurangnya hati saya tenang bila saya berusaha untuk jadi hamba Allah yang mengikut suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.

Kepada adik Hairul yang menulis confession Student Gay, dan semua pembaca yang turut sama ada perasaan macamni, kalau anda betul ingin berubah, dekatkan hati anda pada Allah. Allah Maha Penyayang. SayangNya pada makhluk-mahklukNya melebihi segalanya. Selagi kita ada rasa bersalah, itu tandanya Allah masih sayangkan kita. Kalau kita abaikan rasa bersalah tu dan teruskan kemungkaran, siapa tahu bila Allah akan berpaling dari kita. Siapalah kita ni tanpa kasih sayang Allah? Sedangkan bernafas pun atas ihsan Allah.

Macam yang saya kata tadi, naluri dan perasaan ni adalah ujian yang Allah sediakan untuk kita, bahagian kita di dunia ni. Percayalah, ujian ni sememangya dapat dan mampu untuk kita pikul sesuai dengan janji Allah yang tak akan membebani hambaNya dengan sesuatu yang tak mampu ditanggungnya. Memang berat dan sakit tapi Allah itu adalah Pemilik Hati. Jadi kita mintalah, merayu lah pada Pemilik Hati ni untuk kita sentiasa kuat berjihad melawan nafsu dan sentiasa berada di jalanNya. Ini adalah jihad kita. Umur kita dekat dunia ni pun taklah lama mana. Paling lama pun sampai 80-90 tahun. Tak terbanding dengan kehidupan abadi selepas mati nanti. Jadi bertahanlah. Andainya sampai ke akhir hayat kita pun kita masih berlawan dan berjuang melawan nafsu untuk kekal di jalan Allah, teruskanlah jihad ini kerana insyaAllah syurga tu dah dijanjikan untuk kita yang berjihad. Kalau kita kalah dengan nafsu dan naluri ni untuk kehidupan yang singkat di dunia ni, kita kena bersedia untuk menanggung perit yang lebih pedih dan sakit di akhirat yang abadi nanti.

Akhir kata, selamat berjuang semuanya.

– W

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit