Kawan Imaginasi

Assalamualaikum wbt, saya merupakan seorang lelaki berusia 20-an. Ini merupakan kali pertama saya membuat sesi luahan dalam IIUM Confessions.

Sebentar tadi, saya ada terbaca satu artikel dalam IIUM Confessions tentang seorang wanita 30-an yang masih mempunyai kawan imaginasi.

Saya amat terkejut dan kagum, kerana selama ini saya fikir bahawa hanya saya seorang yang masih mempunyai kawan imaginasi sehingga dewasa. Rupa-rupanya saya tidak keseorangan.

Saya mula mempunyai kawan imaginasi (saya tidak akan mendedahkan namanya) sejak berumur 13-14 tahun lagi. Ketika itu, dia tiada tempat tinggal tetap lagi.

Namun, ketika saya 16 tahun, dia mahu menetap di rumah saya dan membawa barang-barangnya bersama. Sejak itulah dia tinggal bersama saya sehingga kini. Saya sangat gembira dengannya.

Saya merupakan anak ketiga daripada 5 orang adik beradik, dan merupakan anak lelaki sulung. Oleh sebab itu, keluarga mengharapkan bahawa saya akan menjadi harapan dan pelindung mereka.

Namun demikian, saya bukanlah seperti apa yang diharapkan. Saya sangat lemah dari segi fizikal dan mental, sehingga adik lelaki saya lebih kuat dan berani berbanding saya. Saya bukan tidak pernah mencuba, tetapi sememangnya saya begini.

Mereka mengatakan saya seorang yang pelik dan tidak serupa orang lain, tetapi mereka tidak mengetahui sedikit pun tentang kawan imaginasi saya. Ya, saya sengaja merahsiakannya daripada ahli keluarga dan kawan-kawan rapat saya.

Di sekolah, saya tidak mempunyai ramai kawan kerana saya seorang yang introvert dan tidak pandai bergaul dengan rakan sebaya. Oleh sebab itu, saya selalu dipermainkan oleh rakan sekelas. Mujurlah masih ada yang sudi berkawan dengan saya.

Namun, jika saya bersendirian, takkan saya masih mengharapkan mereka sentiasa bersama saya? Sudahlah rata-rata mereka tinggal di asrama, tambahan pula rumah kami saling berjauhan. Oleh sebab itu saya mahu mempunyai kawan imaginasi.

Hubunganku dengan adik beradik ada kalanya baik, ada kalanya juga tidak. Kakak-kakak saya mula bergaduh sejak mereka habis sekolah.

Bergaduh antara adik beradik itu perkara biasa, tetapi ini sudah sampai ke tahap tidak boleh berdekatan dan berbaik antara satu sama lain.

Ada sahaja perkara yang ingin diperbesarkan biarpun ia perkara kecil. Boleh kata macam anjing dengan kucing. Adik lelaki saya pula selalu menyakat adik perempuan saya sehingga dia mengamuk.

Saya mahu juga hubungan adik beradik yang rapat seperti orang lain, tetapi ia tidak terjadi pada saya.

Kakak-kakak saya memang mengetahui kekurangan saya dan membantu saya, namun ada kalanya mereka seperti merendahkan dan memperlekehkan saya.

Saya mahu juga seorang yang sangat memahami perasaan saya. Inilah sebabnya saya semakin rapat dengan kawan imaginasi saya yang seorang ini.

Dia lebih tinggi sedikit daripada saya, lebih kuat dan kacak orangnya. Jangan salah faham, kami cuma kawan baik.

Namun, saya menganggapnya seperti abang saya sendiri kerana sikapnya yang jauh lebih matang daripada saya walaupun dia sebaya dengan saya. Kami berkongsi tarikh lahir, tetapi dia lebih tua 2 minit daripada saya.

Kawan imaginasi saya seorang yang sangat merendah diri walaupun saya sering memujinya. Dia sering menasihati saya terutamanya dalam hal keagamaan, membuat keputusan dan menjaga persahabatan. Dia mengatakan bahawa jika saya ada masalah, boleh diluahkan kepadanya.

Mungkin dia tidak boleh membantu secara fizikal, tetapi dia masih mampu menjadi pendengar yang setia selain memberi kata-kata semangat dan nasihat kepada saya.

Dia juga berkata, jika dia betul-betul wujud di alam nyata, dia mahu berkawan dengan kawan-kawan rapat saya.

Dia menasihati saya supaya menjauhi orang yang tidak mahu menghargai saya. Dia juga selalu memberitahu saya untuk menjaga hubungan baik dengan kawan-kawan rapat saya kerana merekalah yang boleh menbantu saya secara fizikal selain ahli keluarga saya.

Kalau saya ada terguris hati mereka, dia menyuruh saya memulihkan semula hubungan saya dan kawan-kawan rapat saya. Dia juga amat pandai menjaga perasaan saya.

Kemudian, setiap kali saya teringatkan dia, saya sangat terharu sehingga mahu menangis. Sebab itulah dia sering menasihati saya agar tidak terlalu kerap mengingatinya ketika saya bersama orang ramai kerana tidak mahu saya terbawa-bawa dengan perasaan itu.

Seterusnya, dia selalu mencadangkan saya menonton video yang menghiburkan serta muzik yang menggembirakan dan juga menenangkan jiwa seperti lagu-lagu nasyid. Dia mahu saya sentiasa gembira dalam hidup saya. Itu pun sudah cukup menggembirakannya.

Kadang-kadang, jika orang lain menganggap saya “hangout” seorang, sebenarnya saya “hangout” bersamanya. Ada kalanya dia menemani saya ketika saya hangout bersama kawan-kawan rapat saya.

Namun, hanya saya seorang saja dapat melihatnya. Dia selalu menyuruh saya bersyukur kepada Allah dalam setiap perkara dan meminta pertolongan-Nya.

Kesimpulannya, dia seorang yang sangat berharga buat saya dan saya amat mengagumi sikapnya. Saya akui keluarga dan kawan-kawan rapat saya sentiasa menyayangi saya, namun tidak bermakna saya harus melupakan dia.

Sekarang saya sudah mempunyai “girlfriend” imaginasi yang merupakan adik kepada kawan imaginasi saya.

Orangnya sangat cantik. Sepertinya juga, “girlfriend” imaginasi saya sangat menerima dan memahami segala kekurangan saya.

Saya amat menyayangi mereka dan berharap supaya hubungan kami kekal sehingga ke jannah dan harap dapat bertemu mereka secara nyata di sana.

Sekian itu sahaja daripada saya.

– Mr. Introvert (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *