Keluarga kandung vs keluarga angkat

Assalam wbt dan salam sejahtera semua.

Saya sendiri masih ragu-ragu dengan apa yang saya ingin sampaikan. Pada awalnya saya rasa terkesan dengan posting sebelum ini ‘sayang atau benci’. Tak layak rasanya untuk saya meletakkan posting saya sebagai reply kepada posting tersebut, kerana situasi kami tidak sama. Saya tidak dapat menilai kehidupan beliau berdasarkan posting yang mungkin sekitar 2000 patah perkataan maksimum.

Walaubagaimanapun, saya ingin berkongsi dari perspektif saya dengan semua khususnya adik (sesuai rasanya saya bahasakan dirinya adik iaitu tuan punya posting ‘sayang atau benci’ saya sudah berada di hujung 20an tahun ini) dan panggillah saja saya Mariam; kerana saya amat suka dengan nama itu dan ia hanyalah nama samaran.

Sepertimana adik, saya juga dibesarkan oleh keluarga angkat sejak saya lahir. Cuma bezanya, bukan rezeki saya untuk mengenali siapakah keluarga kandung saya. Saya merupakan yang paling bongsu dalam keluarga kami; dan kami adalah keluarga biasa. Taraf ekonomi sederhana. Alhamdulillah, walaupun bukanlah orang berada tapi ibu dan ayah dapat memberikan pendidikan sehingga ke peringkat degree kepada saya.

Saya tidak pernah mengetahui status saya sebagai anak angkat, sehingga usia saya 14 tahun. Itupun bukan melalui ayah, ibu, abang & kakak. Semuanya diketahui sendiri; saudara berbual dan mentioned saya anak angkat, percubaan berkali2 saya memegang ayah semasa ayah dalam wudu’ dan setiap kali itu wudu’ ayah terbatal. Banyak yang saya ketahui sendiri, namun saya tidak sampai hati nak bertanya pada ibu dan ayah, adakah saya anak angkat kepada mereka. Akhirnya pada usia saya 22 tahun, saya mendapat kepastian yang jelas akan status saya selepas akhirnya saya berhadapan dengan keluarga; bahawa saya okey sekiranya saya anak angkat, bahawa saya tetap sayang mereka walaupun saya bukan dilahirkan oleh ibu dan dari benih ayah, dan menyakinkan mereka bahawa saya tidak berdendam dengan keluarga kandung saya atas perkara yang terjadi kerana pasti mereka ada alasan tersendiri.

Saya rasa bersyukur atas nikmat kasih sayang, asuhan dan pendidikan dari keluarga ini, biarpun pada mula-mula menerima saya dalam keluarga, ayah sekadar bekerja mencari ikan di sungai dan ibu hanyalah suri rumah.

Percayalah, tiada keluarga yang sempurna. Tidak kira keluarga kandung atau keluarga angkat, pasti akan ada ujiannya. Saya lebih nakal dari kakak. Dari kecik saya akan dirotan sekiranya saya membuat kesalahan, itu normal. Mendidik anak-anak di zaman kami, rotan adalah biasa. Biarpun kakak saya tidak pernah dicubit, bukan maksud kita dianaktirikan, bukan maksud kita dipungut atau sebagainya, tapi itu adalah cara didikan ketika itu. Didikan ibu bapa kepada anak. Saya juga perlu mengemas rumah, memasak dan sebagainya. Saya juga akan dimarahi sekiranya tidur sepanjang hari dan tak menolong di dapur, saya dimarahi atas gred yang menurun, saya dimarahi sekiranya tidak menjawab ibu ayah dengan hormat walaupun mungkin ketika itu saya tidak dengar atau kurang alert, pada saya itu adat dalam kehidupan bekeluarga. Tidak wajar kiranya saya menceritakan dengan lebih terperinci apa yang berlaku dalam keluarga saya; tapi yang jelas, saya faham situasi adik ‘sayang atau benci’…

Cuma nasihat saya; berdoalah agar adik diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi ujian. Berusahalah untuk menjadi anak yang terbaik buat mereka; ibu kandung, ibu dan ayah angkat. Pengorbanan melahirkan pengorbanan yang amat besar, begitu juga pengorbanan membesarkan seorang anak; walaupun anak itu bukan dilahirkan dari rahimnya sendiri. Percayalah, dalam setiap doa ibu & ayah angkat adik dari kecil sehingga sekarang mereka sentiasa mendoakan yang terbaik buat diri adik. Sekiranya keluarga tidak makan adik masak, maka belajarlah cara ibu angkat adik masak. Ambillah hati ibu dan ayah, percayalah, Allah akan menilai usaha adik sebagai jihad menjadi anak yang solehah. Peliharalah hatimu dari kata-kata jahat dari syaitan yang sentiasa berusaha memecahbelahkan kita. Kita akan terdetik, ‘marah aku sebab aku anak pungut la ni’, buanglah kata-kata negatif tersebut dari benak fikiran. Rugi. Bersangkabaiklah pada mereka, kerana seperti law of attraction; kehidupan adalah berdasarkan sangkaan kita. Janganlah dihadkan kerja rumah kepada ‘baju itu bukan saya punya’ dsbgnya, masa kecil mereka tukar lampin kita. Masa kecil mereka basuh muntah kita tanpa mengira siapa kita, ikhlaskanlah hati. Ikhlaskanlah hati menerima hakikat bahawa kita adalah anak mereka.

Maafkan saya sekiranya tersalah kata dan bahasa, tujuan saya bukanlah untuk mengajar atau berniat buruk, sekadar berkongsi perspektif saya dalam kehidupan sbagai anak angkat.

– Mariam (bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit