Kemegahan Tahfiz

Terkini, negara dikejutkan dengan isu ganas berkenaan para pelajar Tahfiz Ittifaqiyah yang dibakar hidup-hidup oleh remaja di kawasan yang sama. Ramai yang menyalahkan institusi tahfiz pada awalnya, kini terkesima apabila motif dan suspek sebenar didedahkan. Pembongkaran suspek dan motif membuka ruang perbincangan yang luas berkenaan masalah remaja dan kepincangan masyarakat. Tidak dapat dielakkan, institusi tahfiz terperangkap dalam kemelut perdebatan sebab dan musabab.

Saya merupakan ibu kepada 2 pelajar tahfiz di bandar yang berbeza. Seorang anak, X sudah tamat 30 juzuk selepas menuntut selama 3 tahun setengah di tahfiz mulai usia 13 tahun. Seorang anak lagi, Y, sudah menghafaz 11 juzuk setelah menuntut selama hampir 2 tahun. Apa yang akan saya dedahkan dan bincangkan seterusnya adalah dari pengalaman jerih perih saya menyokong perjalanan anak-anak saya menjadi hafiz. Perjalanan itu penuh ranjau dan banyak air mata tumpah untuk memenuhi matlamat anak saya. Dari situ perspektif saya mengenai institusi tahfiz bertukar 360 darjah. Saya mula memahami jiwa pelajar tahfiz dan kedudukan maahad dan madrasah yang ada. Bukanlah saya ingin membuka pekung institusi-institusi agama di negara kita tetapi sekadar berkongsi perspektif untuk membuka mata dan mengubah minda masyarakat agar institusi ini mendapat penambahbaikan yang sempurna.

Anak saya, X, mula menyertai tahfiz selepas UPSR. Walaupun keputusan agak baik dengan mendapat 4A X memohon melanjutkan pelajaran di tahfiz kerana terpengaruh rakan yang juga menyambung di tahfiz. Tahun pertama tidak menimbulkan masalah. Selepas setahun, X minta pindah tahfiz dengan alasan tidak mahu menjadi ketua dorm dalam usia muda – 13 tahun. Saya ikutkan permintaannya tetapi selepas seminggu di tahfiz baru, anak saya lari keluar atas alasan tahfiz kurang kebersihan. Saya masukkan beliau kembali ke tahfiz yang asal. Selang setahun, anak saya dibuang tahfiz kerana terlibat gejala merokok dan buli pelajar berusia 9 tahun. Saya keluarkan anak saya dan daftarkan ke tahfiz yang lain berdekatan rumah kami. Saya lawat dan pantau hampir setiap minggu. Selang beberapa bulan anak saya dipindahkan ke cawangan lain kerana terlibat masalah disiplin – naik ke bumbung dan mungkin mengendap guru perempuan mandi. Dia dihantar ke cawangan tahfiz di bandar lain selama beberapa bulan sehingga cawangan ditutup. Hasil siasatan, beliau bebas dari tuduhan mengendap dan dipindahkan semula ke cawangan asal. Tahun 2017 adalah sejarah hitam dalam keluarga saya, Setelah anak saya menghafaz 25 juzuk, dia ditangkap polis bersama 7-8 pelajar lain kerana memukul/membuli seorang pelajar 14 tahun. Sebab memukul adalah kerana perang mulut dan ejek mengejek oleh mangsa kepada pelajar-pelajar lain. Anak saya dan kawan-kawannya yang merupakan senior sekolah, mengambil keputusan memberi pengajaran kepada mangsa. Mujur tiada kecederaan parah sekadar bengkak belakang dan cedera ringan. Selepas sekitar 3 bulan, aduan dibatalkan dan anak saya menamatkankan hafazan sebanyak 30 juzuk pada bulan Jun 2017 ketika usia 15 tahun 7 bulan dan setelah keluar masuk 3 tahfiz yang berbeza.

Anak saya, Y, alhamdulillah masih bebas dari sebarang masalah disiplin. Walaubagaimanapun Y sering menceritakan masalah disiplin, rokok dan buli/perang mulut di sekolah beliau. Baru-baru ini, lebih dari separuh pelajar di tahfiz tersebut dikehendaki menandatangani akujanji kerana ditangkap kes merokok. Syukur Alhamdulillah, anak saya, Y, tidak terbabit.

Setelah apa yang saya dan anak saya lalui, perspektif bahawa pelajar tahfiz suci bak malaikat adalah tidak tepat. Mereka adalah sama seperti pelajar- pelajar sekolah yang lain. Masalah rokok, buli, ejek-mengejek, mencuri, ponteng, melawan dan sebagainnya sama banyak seperti sekolah-sekolah lain. Walaupun mereka diwajibkan berpakaian putih sepanjang masa, tidak bermaknn rohani mereka menjadi putih sekelip mata. Setelah menyekolahkan 2 anak remaja di tahfiz, kini saya faham bahawa perjalanan tahfiz tidak semudah dan sesuci yang disangka umum. Kesucian luaran mereka banyak mengaburi mata banyak pihak bahawa anak-anak tahfiz mempunyai akhlak dan tahap kesabaran yang tinggi setelah dididik dengan ilmu agama. Walhal sebenarnya, mereka mempunyai tahap kesabaran yang sama rendah seperti anak-anak sekolah lain dan kemungkinan keganasan sama seperti institusi-institusi persekolahan lain.

Saya memahami kini bahawa pelajar tahfiz tidak jauh berbeza dari pelajar sekolah harian. Masalah disiplin dan moral mereka sama. Bezanya di sekolah harian, kita ada “system of control” – ada guru-guru terlatih, ada “standard operating procedure” (SOP) untuk masalah pelajar dan masalah disiplin. Ada para pengawas yang dilantik sebagai mata-mata guru. Ada kaunselor sepenuh masa untuk menangani dan menganalisa serta menasihat salahlaku pelajar. Ini semua tiada di tahfiz walaupun pelajar-pelajarnya adalah kanak-kanak yang seawal usia 7 tahun. Mereka diletakkan di bawah pengawasan ustaz-ustaz yang tiada latihan bidang pendidikan, tiada sistem SOP untuk masalah disiplin melainkan gerak hati. Tiada kaunseling dan analisa masalah batin dan rohani kanak-kanak melainkan jikalau para ustaz ada pendedahan tasauf.

Apabila terjadi kes di tahfiz, kita justifikasikan ini mungkin kesilapan masyarakat – menggodam anak-anak suci tahfiz, menganiaya anak-anak suci tahfiz, menjatuhkan maruah suci insitusi madrasah dan tahfiz. Hakikatnya, madrasah dan tahfiz adalah sama seperti sekolah biasa tetapi sistem pengawasan dan SOP tidak lengkap dan tidak tersusun seperti sekolah biasa. Apabila terjadi pertembungan dengan masyarakat luar, kita melihat padah yang tragis.

Pintu keselamatan atau pendua hanya satu kepincangan dari pelbagai kepincangan struktur madarasah dan tahfiz. Benar, tahfiz dan sekolah agama diperlukan dan tidak perlu dikurangkan. Kerana seekor nyamuk, usahlah kita membakar atau menutup kesemua tahfiz yang ada. Tetapi tidak bermakna mereka golongan beragama sudah sempurna dari segi sistem pendidikan dan akhlak. Masih banyak yang perlu diperdebatkan dan diperjuangkan.

Golongan tahfiz dan madrasah perlu banyak muhasabah diri dan usah melatah dengan teguran. Walaupun teguran datang dari yang kurang arif tentang institusi tahfiz tetapi mereka mungkin berpengalaman dalam didikan kanak-kanak. Mereka mungkin kurang arif tentang institusi tahfiz tetapi berpengalaman dalam struktur pembinaan sekolah.

Saya ingin menyentuh sedikit tentang pendapat seorang ahli agama mengenai fitnah dunia yang melanda pelajar-pelajar tahfiz masakini. Seperkara yang kurang sihat adalah apabila terlampau banyak orang kenamaan dan korporat yang seolah-olah “mempergunakan” kanak-kanak tahfiz untuk mendoakan kerahmatan bagi pihak mereka. Ini membawa kepada riak dan kemegahan dunia pada usia pelajar masih kecil. Kaedah sebaiknya mempelajari agama adalah jauh dari unsur-unsur kemegahan yang mungkin menyebabkan para pelajar menyimpang dari jalan ikhlas mempelajari ilmu kerana Allah. Apabila ikhlas hilang di hati kita, pasti buruk padahnya.

Wallahu a’lam

– Ibu seorang hafiz

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit