Salam sejahtera kepada semua pembaca IIUM Confession.
Saya terdetik untuk menceritakan kisah keluarga saya setelah membaca posting “Saya Sayang Emak” baru-baru ini. Banyak pengajaran hidup yang boleh saya pelajari menerusi pengkongsian cerita di sini.
Sebelum itu, nama saya Alisa (bukan nama sebenar) berumur 30-an. Saya ingin bertanya tentang pandangan daripada para pembaca IIUM Confession.
Begini ceritanya. Saya mempunyai seorang kakak sulung yang juga berumur pertengahan 30-an yang menetap di rumah yang sama bersama ibu, ayah, abang dan kakak ipar saya.
Masalah saya sekarang, saya tidak tahan dengan sikap kakak saya. Kenapa?
1. Kakak saya pernah bekerja di kota raya sebelum dia mengambil keputusan untuk berpindah ke Kota Kinabalu, Sabah dan tinggal bersama kami sekeluarga.
Tetapi setelah dia kembali ke Sabah, dia masih menganggur.
Seringkali ibu, ayah dan adik beradik yang lain termasuk saya menasihati dia untuk mencari pekerjaan walaupun bukan kerja di pejabat.
Contohnya, bekerja sebagai juruwang di pasaraya. Banyak kekosongan di pasaraya sekarang ini namun tidak pasti kenapa dia pergi ke walk-in interview.
2. Sepanjang kakak sulung tinggal bersama kami, ibu seringkali mengeluh tentang sikap dia yang tidak pernah membantu membuat kerja-kerja di rumah secara sukarela sepanjang musim dia menganggur,
Contohnya, menanak nasi dan membantu memasak di dapur.
Dia hanya akan buat bila disuruh sahaja. Selalunya kalau disuruh pun, dia membuat muka masam. Tambahan pula, bilik dia berhadapan dengan ruang makan.
Sebelum ini, pandai pula dia menasihati saya untuk membantu ibu membuat kerja-kerja di rumah semasa saya masih menuntut di universiti di Johor,
Walaupun saya sebenarnya tahu, dia tidak pernah membantu ibu semasa dia pulang ke Sabah.
3. Sebelum dia pulang ke Sabah, bilik tidur yang kini dia jadikan bilik tidur ialah bilik tidur ibu saya. Ibu saya tidak gemar untuk tidur di tingkat atas sebab dia ada masalah tulang kaki dan lelah.
Kini, ibu saya terpaksa tidur di ruang tamu. Sebelum ini, dia tidak pernah mengajak ibu untuk tinggal bersama.
Ibu juga terpaksa batalkan hasrat kerana keadaan bilik itu bersepah kata ibu. Adakalanya, adik saya melawat kami dan dia juga terpaksa tidur di ruang tamu.
Selalunya, kalau adik saya datang melawat kami, dia akan tidur di bilik ibu saya sebelum kakak saya pulang ke Sabah dan ibu saya akan tidur di bilik saya di tingkat atas.
Adakalanya juga ibu saya tidak boleh naik tangga, ibu saya terpaksa tidur di ruang makan sekarang sebab keadaan yang saya ceritakan sebentar tadi.
4. Tidak pernah menghulur duit untuk membeli lauk-pauk atau barang makanan kering. Kalau dia ada membeli, dia akan simpan dalam bilik.
Jadi, saya ingin memohon pandangan daripada pembaca sekalian tentang apa yang perlu saya lakukan. Bila terbaca post “Saya Sayang Emak”, dalam hati saya, nasib baik ibu saya seorang yang prihatin.
Kalau dia ditakdirkan hidup dengan keluarga lain, entah-entah kena halau. Kadang terdetik, dia ada masalah apa ya? Mohon nasihat dan pandangan daripada para pembaca sekalian.
Salam.
– Alisa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit