Kisah Dan Impian Hidupku

Assalamualaikum dan salam sejahtera para pembaca. Aku harap kalian sudi membaca kisah dan impian hidupku kerana aku percaya ada diantara kalian mempunyai kisah dan impian sepertiku… Semoga kita mampu menjadikan impian kita satu kenyataan.

Dahulu..

Aku hanya PUTERI kecil ayah dan ibu. Hanya tahu ketawa dan menangis. Mampu menggapai awan dan memetik bintang hanya dengan berfantasi. Suci bersih ibarat selembar kain yang putih. Dewasanya aku dalam kasih sayang, tanpa batasan.

Satu hari.

Aku dijadikan PERMAISURI hidup menghiasi sebuah bahtera perkahwinan. Kian sedar, bukan mudah untuk menggapai awan apatah lagi memetik bintang. Semakin bijak mengawal ketawa dan tangisan demi melakar ‘pelangi’ kehidupan.

Kemudian.

Aku diangkat menjadi RATU kepada amanah Tuhan keatasku. Aku sedar. Mewarnai selembar kain yang putih bukanlah pekara yang mudah. Harus tenang dan sabar, agar ianya cantik. Perlu lembut dan halus, agar ianya tidak rabak.

Aku belajar mengorak senyum dan mencipta ketawa agar kelihatan aku hebat di mata si kecil, walaupun aku sedang luluh. Aku juga belajar menyapu air mata si kecil agar dia tahu akulah orangnya yang sentiasa akan ada dalam waktu suka dan dukanya.

Tiba-tiba.

Ada kedutan di dahiku. Ibu berkata.

“Jangan takut, itu cantik. Tandanya kamu telah lalui pelbagai pengalaman hidup untuk menjadi matang.”

Kelihatan juga parut disana sini. Suami juga berkata.

“Jangan bimbang, itu menawan. Setiap parut ada kisahnya. Suka dan duka sebagai kenangan.”

Aku sakit. Tidak bermaya. Ayah pula berkata.

“Jangan kuwatir. Sakit itu penghapus dosa. Menguji sejauhmana kasihnya anak keatas ibu dan setianya suami kepada isteri. Senyum lah. Bersyukur lah.”

Aku lega kerana disisi, ada suami yang setia memberi kata semangat, ada ayah dan ibu yang selalu mendoakan dan ada permata hati yang diamanahkan untuk mendoakan aku ‘disana’ nanti.

Aku tetap PUTERI ayah dan ibu, aku tetap PERMAISURI dihati suami dan aku tetap menjadi RATU hati si kupu-kupu syurga.

Semoga kelak. Aku terpilih menjadi BIDADARI syurga buat insan-insan yang aku sayang. Setiap keringatku dibalas dengan kasih dan sayang. Hari-hari yang aku lalui penuh dengan bunga-bunga cinta.

Begitu juga doaku buat para pembaca. Semoga kalian diberkati dan dilindungi maha pencipta.

– Perempuan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *