Lupa

Sebelum anda semua memulakan pembacaan, saya ingin pesan bahawa kisah ini mempunyai 3500 perkataan dan bakal mengambil masa lebih kurang 13-14 minit untuk anda baca. Kisah ini tidak sesuai untuk dibaca oleh kaki TL:DR, Terima kasih.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan beberapa bulan yang lepas, aku terlibat dalam satu badan untuk menjalankan pendermaan daripada segi makanan dan barangan harian, khusus untuk mereka yang memerlukan.

Memang tak dinafikan agak sukar untuk mengetahui lokasi mana-mana keluarga miskin dan yang berada dalam keadaan sentiasa memerlukan.

Bantuan yang aku berikan lebih kepada dalam bentuk makanan dan perubatan. Jika ada hari-hari yang agak sukar untuk ke rumah golongan ini, aku menumpukan kepada frontliners yang berada di beberapa sekatan jalan raya yang mana, checkpoint yang paling biasa aku berikan adalah yang berdekatan dengan Kesang.

Melihatkan mereka yang bertungkus-lumus untuk bekerja serta golongan yang memerlukan ini senyum dan terpancar sedikit rasa kelegaan apabila kadangkala mereka amat risau untuk mendapatkan makanan untuk hari-hari yang seterusnya sudah cukup bagus untuk aku teruskan sahaja program sebegini.

Namun, ada satu kisah yang aku amat sukar untuk lupakan apabila aku pergi ke sebuah rumah yang terletak di Bakri, Muar.

Rumah yang aku lawati ini lebih kepada bersifat tradisional. Terdapat 3 buah rumah dalam satu kompaun, yang mana rumah yang paling hadapan sekali merupakan rumah seorang makcik yang dikatakan tinggal bersama anak lelakinya.

Di belakang rumah tersebut adalah rumah anak-anaknya, dan semasa PKP dilaksanakan, mereka semua berada di Kuala Lumpur kecuali makcik ini dan seorang anak lelakinya.

Aku pergi ke rumah tersebut bersama-sama dengan rakan aku yang bernama Izzat (bukan nama sebenar). Dia yang bekerja sebagai seorang Medical Assistant (MA) seringkali menemani aku untuk menjalankan projek ini selepas habis syif pekerjaannya.

Bukan apa, kadangkala walaupun niat kita baik, aku masih lagi takut apabila jika perbuatan aku ini kadangkala dibalas dengan fitnah. Kehadiran Izzat sebagai saksi memudahkan lagi urusan aku andai kata ada manusia berhati busuk ini cuba memanipulasikan perbuatan aku.

Pada hari tersebut, aku bersama dia memandu kereta Perodua Viva pinjam, dan membawa barang-barang makanan untuk ke Bakri. Setelah aku berada di hadapan rumah makcik itu berpandukan kepada Waze, aku memberi salam kepada Makcik Mah (Bukan nama sebenar).

Keadaan rumahnya yang sunyi itu membolehkan Makcik Mah bangkit ke pintu gril yang masih lagi berkunci dan membuka sliding door bercermin gelap itu sedikit.

Dia bertanya kepada aku mengenai tujuan kedatangan aku ke rumahnya. Aku terus memberitahunya bahawa kehadiran aku bersama kawan aku ini adalah untuk memberikannya sedikit buah tangan berbentuk makanan kering, buah-buahan dan juga topeng muka.

Makcik Mah yang melihat Izzat membawa kotak kecil berisi makanan itu tersenyum gembira. Dia membuka pintu gril tersebut dan terus mengajak kami berdua masuk ke dalam rumahnya.

Aku terpaksa menolak sebab ada lagi 3 buah rumah yang aku harus pergi semasa itu. Lagi pun, musim Covid 19 ini pun sedikit sebanyak merisaukan aku kerana aku takut dijangkiti atau menjangkiti orang lain. Namun, Makcik Mah yang asalnya mempelawa, kini menjadi memaksa.

Aku masuk ke dalam rumah tersebut setelah beberapa kali mencuci tangan di paip yang terletak di luar rumah Makcik Mah. Kemudian, aku mencuci semula menggunakan Hand Sanitizer.

Izzat dan makcik Mah juga aku suruh berbuat demikian setelah aku menghulurkan sebotol kecil pencuci tangan itu kepada Makcik Mah. Setelah itu, kami yang masih memakai mask melangkah masuk ke dalam rumahnya.

Makcik Mah terus bangkit dan ke dapur, memasak air menggunakan heater dan kemudiannya membancuh air 3 dalam satu yang kami baru sahaja bawa ke rumahnya. Dalam hati aku, alamak, buruk siku pula aku rasa. Aku bawa kepada dia kopi tersebut, tetapi dia bancuhkan pula kopi itu kepada aku.

Setelah bersembang dengannya, aku perhatikan gaya percakapannya yang berulang-ulang serta bertanyakan kepada aku perkara yang sama membuatkan aku rasa bahawa Makcik Mah ni mungkin mempunyai penyakit nyanyuk (Alzheimer Disease),

Tetapi kepada peringkat awal kerana dia masih lagi boleh berjalan, boleh membancuhkan kopi, boleh mengingati beberapa maklumat penting seperti alamat rumahnya dan 8 angka hadapan nombor kad pengenalannya yang aku perlukan untuk mengesahkan kami tidak menghantar bantuan ke rumah orang yang salah.

Dia mempunyai 4 orang anak. 3 daripadanya berada Setelah itu, aku terus bertanyakan sahaja beberapa soalan pembuka kata kepadanya.

“Makcik duduk seorang sahaja ke di sini? Maafkan saya bertanya, suami makcik dah meninggal dunia berapa lama?”

“Suami Makcik askar. 20 tahun yang lalu dia meninggal sebab kemalangan jalanraya’, katanya.

“Oh, yang duduk dengan makcik ni anak makcik yang nombor berapa?”, aku bertanya lagi kerana kebanyakan masa, kami sudah pun mengetahui perkara-perkara tersebut, namun, untuk bersembang punya pasal.

“Yang anak Makcik ni nama Ibrahim (bukan nama sebenar) ni yang bongsu. Dia tak kerja, tapi dia pemalu orangnya. Dialah yang tinggal bersama makcik”, jawabnya sambil menghirup kopi 434 itu.

“Eh, ya ke. Dia ada kat mana sekarang makcik?”, tanya Izzat pula.

“Tu, kat bilik depan tu”, jawab Makcik Mah sambil menunjukkan sebuah bilik yang berkatup rapat. Di luar bilik tersebut ada macam langsir yang usang.

Aku memerhatikan sekeliling ruang tamu tempat kami duduk dan bersembang. Daripada situ aku nampak dapur rumah tersebut. Memang tak dinafikan bahawa ruang tamunya berselerak teruk. Kabinet TV yang ada pun berhabuk, dan dapurnya macam tongkang pecah.

Aku pun terus bertanya kepadanya,

“Makcik, boleh saya tanya anak makcik tu okay ke tak?”.

Aku kalau boleh, nak juga berjumpa dengan dengan anaknya untuk memberi pesanan supaya dia membantu ibunya untuk mengemas rumah.

Bukan apa, rumah yang tunggang-langgang sebegini, ditambah pula dengan makanan-makanan dalam peket yang berada di ruangan dapur rumah tersebut ada yang koyak rabak, kesan gigitan tikus rasanya. Di mana ada tikus, di situlah ianya akan mengundang masuk pemangsa kepada tikus tersebut, iaitu ular.

“Sekejap ya adik”, kata Makcik Mah yang bangkit dan terus berjalan ke hadapan pintu bilik di mana Ibrahim duduk. Dia mengetuk pintu berkali-kali serta menjerit nama anaknya, tetapi tidak disahut.

Izzat memandang muka aku sambil membuat isyarat mulutnya yang kau faham sangat, iaitu isyarat ‘Jom balik lah, ni ada 3 rumah lagi ni nak kena selesaikan’.

Aku tersenyum sahaja. Makcik Mah yang kelihatan putus asa apabila usahanya untuk memanggil anaknya itu duduk semula di meja makan.

Dia kemudiannya mengeluarkan kad lawatan hospital dan sekeping kertas preskripsi ubat miliknya yang mana tertera tarikh temu janjinya dalam tempoh 2 hari daripada hari tersebut. Izzat mengambil kad tersebut dan berkata,

“Eh, sekarang ni PKP Makcik. Pihak hospital ada telefon ke makcik? Biasanya, tak silap saya, kebanyakan tarikh temu janji ni dia akan postpone, dan boleh datang ambil ubat sahaja”, dia bertanya.

Aku melihat senarai ubat Makcik Mah, dan cuma ada 3 ubat sahaja iaitu Tamoxifen (Nolvadex), Vitamin B Complex dan Tablet Potassium.

“A’ah dik. Makcik ni bekas pesakit kanser payu dara, jadi, itu yang kena makan ubat tu. 2 hari lagi tu untuk ambil ubat je adik”, katanya.

“Jadi, biasanya kan, siapa yang hantar makcik ke hospital?”, aku bertanya.

“Makcik kena telefon Pak Su. Dia yang selalu datang ambil makcik. Dia kerja bawa teksi. Biasa dia minta RM50 untuk pergi, tunggu dan bawa Makcik balik”, katanya.

Masa tu, aku perasan Izzat berkerut dahinya. Aku juga sama. Memang di luar rumah tersebut, aku ada perasan sebuah motosikal lama yang aku rasa, memang tak boleh dihidupkan pun, namun, aku pelik mengapa Ibrahim tak tolong hantar ibunya ke hospital sahaja.

Sudahlah Makcik Mah ni kurang bernasib baik, bekas pesakit pula, kenapa nak perlu membazirkan duit pula. Kalau Ibrahim itu sihat mengikut kata ibunya ini, mengapa dia tidak membantu sahaja?

“Okay lah makcik. Ni saya beri sedekah RM50 untuk bayar teksi tu nanti. Kami kena minta diri dulu, ada beberapa rumah lagi nak kena pergi ni Makcik. Tapi boleh saya tumpang tandas sebentar?”, aku bertanya.

Makcik Mah mengambil duit tersebut dan menciumnya. Dia kemudiannya melipat duit tersebut dan menyimpannya di dalam poket bajunya. Izzat juga berasa lega apabila aku berkata untuk meminta diri. Dia tahu perangai aku ni kadangkala kesian dan simpati tak bertempat.

Nak ambil fungsi jadi anak Makcik Mah lah, nak sibuk tolong masakan dia makanan lah, nak tolong bersihkan rumah dan lain-lain. Memang dia pernah marah pada aku sampai ke tahap tak bertegur sapa seminggu sebab dia tak suka lihat aku mengambil berat tak bertempat. Ramai dan banyak lagi isu yang perlu diselesaikan.

Aku masuk ke satu-satunya tandas rumah tersebut. Masya Allah, tandas tersebut amat kotor. Aku hampir nak termuntah apabila melihatkan gumpalan rambut serta air yang bertakung di dalam sinki tersebut. Bau hancing serta mangkuk tandas yang overflow membuatkan aku tak jadi nak membuang air dan membasuh muka aku di situ.

Aku berasa bengang. Kenapa Ibrahim ni tak tolong ibunya langsung?

Aku keluar daripada tandas, dan terus nak pulang ke rumah. Tetapi, masa itu aku rasa semakin pelik. Makcik Mah sampai mengalirkan air mata apabila kami berdua membuat keputusan untuk meminta diri. Dia ibarat ingin berbual dengan orang lain.

Aku faham perasaan tersebut apabila seseorang itu berada di dalam rumah dan tinggal seorang diri. Aku juga faham perasaan bagaimana rasanya apabila aku baru sahaja bertemu dengan seseorang dan berbual rancak, dan apabila mereka semua pulang ke rumah, aku dilanda kesunyian yang amat.

Wanita berusia 63 tahun itu sampai ke tahap melutut dan menarik-narik baju Izzat untuk tunggu sebentar dan bersembang dengannya.

Memang aku berasa sedih sewaktu itu, Izzat pun tak terkata apa-apa apabila Makcik Mah tiba-tiba berubah sikapnya sedemikian rupa. Aku terus berjalan menuju ke hadapan pintu bilik Ibrahim dan mengetuk dengan kuat.

“Woi Ibrahim! Keluar sekejap ni boleh tak?!. Aku nak cakap sikit ni”, aku menjerit, namun tidak menerima apa-apa respon.

“Aku buka pintu ni ya!”.

Aku memulas tombol pintu tersebut dengan kasar dan apabila aku membuka sahaja pintu tersebut, aku nampak sesuatu yang amat-amat mengejutkan diri aku.

“What the hell is going on here….”, dalam hatiku.

Keadaan bilik tersebut lebih teruk daripada yang aku sangkakan. Terlalu banyak pakaian yang berada di atas lantai dengan bau masam kain basah yang berkempam sekali lagi membuatkan aku nak termuntah.

Terdapat sebuah katil bersaiz queen dan tilam di atasnya. Tilam tersebut mempunyai satu lubang yang amat besar di bahagian tengah, menampakkan spring yang terletak di dalamnya.

Kelibat manusia yang bernama Ibrahim itu langsung tidak kelihatan. Dari belakang, Izzat memegang bahu aku membuatkan aku tersentak kerana otak aku sedang rancak berfikir untuk merungkai apa yang terjadi sebenarnya.

Makcik Mah yang duduk di atas simen masih lagi menangis teresak-esak. Izzat membulatkan matanya tatkala dia melihat keadaan di dalam bilik tersebut.

“There’s… there’s no way ada orang tidur dalam bilik ni. Its impossible”, aku berkata kepada Izzat menggunakan bahasa rojak dengan harapan, percakapan aku itu tidak difahami oleh Makcik Mah.

Aku menoleh kepala bertanyakan kepada Makcik Mah.

“Makcik… Betul ke Ibrahim tidur dalam bilik ni cik?”

“Ya adik. Ala, sekejap lagi dia balik lah tu. Dia bekerja di Maybank kat tengah-tengah bando Muo tu”, jawabnya.

“Tapi tadi makcik kata dia tak kerja?”, aku bertanya lagi.

“Ya, ada masa dia tak kerja, ada masa dia kerja”, Mak Mah mengesat air matanya. Dia terus berjalan masuk ke dalam bilik tersebut.

Di bawah salah satu gumpalan baju dan seluar lama yang disumbatkan di dalam sehelai kain batik, Makcik Mah menarik keluar satu keping frame gambar yang terdapat sekeping gambar di dalamnya.. Dia menunjukkan gambar tersebut kepada aku dan Izzat.

“Ini suami aku, ini aku. Ini Mia, Anis, Ilham dan Ibrahim”, katanya sambil menunjukkan gambar tersebut tanpa disuruh.

Aku nampak betapa Makcik Mah ni cuba untuk mencari topik perbualan kerana dia tak mahu kami minta diri dan pulang terlalu awal. Penerangan itu menyebabkan aku pasti kewujudan manusia bernama Ibrahim, cuma aku tak tahu di manakah dia berada sebenarnya.

Aku berjalan ke ruang tamu, mengeluarkan beberapa dokumen yang tertera dengan sedikit butiran ahli keluarga Makcik Mah yang aku dapat. Aku nampak beberapa nombor telefon, termasuk nombor telefon Ibrahim.

Aku membuat keputusan untuk membuat panggilan kepada anak perempuannya yang bernama Mia, iaitu anak sulungnya. Setelah aku membuat panggilan untuk kali kedua, barulah telefon dijawab.

Aku memperkenalkan diri aku dan memberitahunya bahawa aku sedang berada di rumah ibunya. Tanpa membuang masa, aku terus bertanya soalan yang membuatkan aku hairan sejak aku menjejakkan kaki ke rumah Makcik Mah lagi.

“Mana ada doktor. Adik saya tu dah meninggal. Dia kena stroke masa umur dia 21 tahun lagi, 4 tahun lepas”, jawab Mia yang menyebabkan aku tersentak.

“Memang Aim (Ibrahim) tu anak kesayangan ibu saya. Dah banyak kali sebenarnya dia ingat Aim hidup lagi. Entahlah doktor, kadang-kadang dia jadi macam tu. Kami dah banyak kali nak ajak duduk bersama, tetapi dia tak mahu.

Dia lagi sanggup duduk seorang sebab dia kata dia nak kena siapkan Aim sarapan dan hantar dia ke sekolah. Dia nak kena gosok baju Aim dan ada sahaja alasan yang diberikan.

Kami anak-anak dia semua dah putus asa sebab bila kami paksa, dia jadi agresif dan marah kami ni semua doktor. Habis pinggan, cawan pun dibalingnya sampai kena kepala saya pun ada. Dia macam tak boleh terima kehilangan Aim… kami… kami pun sama”, kedengaran Mia tersenggut-senggut menahan daripada menangis.

“Lepas tu, apa perancangan yang nak dibuat dengan Makcik Mah?” aku bertanya.

“Entahlah doktor. Bukan kami tak cuba. Satu kampung tu pun pandang serong kepada kami. Mereka menuduh kami ni yang jahat. Kami abaikan dia. Anak-anak dia yang lain, yang bekerja, pakai kereta besar, tapi tinggalkan mak berseorangan.

Memang kami ada rumah di sana, tapi, di bandar Muar ni, doktor sendiri pun tahu kan betapa susahnya untuk kami nak dapat peluang pekerjaan. Last-last mesti di Kuala Lumpur. Situ aje yang senang nak cari kerja.

Saya dah sediakan bilik untuk Ibu di sini, andai kata satu hari nanti dia boleh let go dan terima kenyataan bahawa Aim dah pun meninggal dunia. Doktor, saya mohon maaf sebab kena sambung kerja di sini, nanti lepas pukul 5 saya akan call semula”, kata Anis sebelum mematikan panggilan telefon tersebut.

Aku menarik nafas yang panjang dan terus menerangkan kepada Izzat apa yang aku baru dengar dari Mia.

“Kau biar betul bro? Tak kan stroke kot?”, tanya Izzat.

“Aku rasa this must be a case of AVM (Arteriovenous Malformation) ni. Ruptured abnormal blood vessel that can cause hemorrhagic stroke. Whatever it is, he’s gone. He’s gone for 4 years now bro”, aku berkata kepada Izzat. Dia menganggukkan kepala tanda berpuas hati dengan penerangan aku.

<Fakta Perubatan Mula>

Memang benar, AVM, iaitu keabnormalan salur darah yang biasanya sudah pun berada sejak seseorang itu lahir lagi sukar dilihat. AVM di dalam otak ibarat satu jenis bom jangka. Sedikit trauma, atau kadangkala tiada apa-apa penyebab pun akan membuatkan salur darah tersebut pecah.

Juga, AVM boleh berada di mana-mana pun, dan yang paling teruk sudah tentu pada otak. Tidak kira umur berapa tahun pun ‘bom jangka’ tersebut boleh meletup.

Apa yang dialami oleh Ibrahim merupakan komplikasi kepada AVM yang pecah, iaitu hemorrhagic stroke/ Angin Ahmar.

Untuk pengetahuan anda, stroke terbahagi kepada 2 (Atau 3 – iaitu hypoperfusion, namun, saya tak ingin masukkan kategori tersebut) iaitu ischaemic stroke dan hemorrhagic stroke.

Ischaemic Stroke merupakan jenis stroke yang lebih banyak berlaku akibat daripada salur darah ke otak tersumbat.

Rawatannya adalah daripada segi ubat-ubatan pencair darah dan kadar kematiannya rendah berbanding dengan haemorrhagic stroke, iaitu yang berlaku akibat salur darah yang pecah seperti dalam kes tekanan darah yang terlalu tinggi atau AVM.

Pembedahan otak mungkin dibuat untuk mengeluarkan darah beku di samping untuk mengelakkan pembengkakkan otak yang boleh mengakibatkan kematian. Kadar kematiannya jauh lebih tinggi sekiranya rawatan kecemasan lambat diberikan.

<Fakta Perubatan Tamat>

Aku memandang muka Makcik Mah yang masih lagi bersedih sebab kami nak kena minta diri, namun, kali ini, aku dapat rasakan bahawa aku dan Izzat juga mulai bersedih saat perasaan kasihan dan empati memikirkan keadaannya.

Aku bercakap dengan Izzat, yang mana esok sahajalah aku dan dia akan pergi ke rumah lagi 3 orang penerima derma kerana aku nak bantu Makcik Mah dengan memberi pertolongan yang sedikit seperti membasuh jamban dan sekurang-kurangnya membersihkan tempat dia tidur.

Buat kali pertamanya, Izzat bersetuju dengan apa yang ingin aku lakukan. Dia tidak lah mahu membebel akibat sifat ‘savior complex’ yang kadangkala tidak logik baginya. Apa pun, aku rasa perkara pertama yang aku kena lakukan adalah dengan membawa Makcik Mah ke kedai runcit berdekatan.

Aku membelikan dia sabun mandi, juga beberapa peralatan untuk membasuh jamban, termasuk dengan sabun pencuci lantai. Aku dapat lihat riak muka Makcik Mah yang begitu gembira kerana katanya, sudah beberapa minggu dia tidak keluar daripada rumah tersebut.

Melihatkan mood dia yang semakin baik, aku ingin cuba untuk meyakinkan dia bahawa anak bongsunya sudah pun meninggal dunia kerana pada tanggapan aku, kehidupannya akan menjadi lebih sukar sekiranya dia ingin tinggal di rumahnya itu.

Bukan apa, dia tinggal berseorangan, dan aku pasti kudratnya tidak cukup kuat untuk bukan sahaja menguruskan dirinya, bahkan menguruskan rumahnya itu.

“Makcik… pasal anak makcik tu kan…”, aku memulakan percakapan.

Sewaktu itu, Izzat menoleh kepalanya melihat muka aku. Dia menggelengkan kepalanya sebagai tanda untuk tidak membenarkan aku bercakap apa-apa mengenai arwah Ibrahim.

“Aku tahu anak aku tu dah tak ada…”, kata Makcik Mah.

Masa tu, Izzat dan aku terus mendiamkan diri.

“Aku dah janji dengan suami aku, iarlah apa yang terjadi, aku nak mati di rumah tu. Aku tak nak berjauhan dengan arwah suami aku…”, katanya.

Perjalanan selama 5 minit itu kemudiannya menjadi sunyi sepi. Kami mendiamkan diri, Makcik Mah juga begitu.

Namun, setibanya di rumah, Makcik Mah ibarat berubah semula perwatakannya. Dia meluru ke pintu bilik arwah dan mengetuk berulangkali sambil menyuruh ‘Ibrahim’ untuk keluar dan berjumpa dengan kami berdua. Masa tu kami berdua merasakan memang keadaan semakin kompleks.

Semakin dalam kami menggali, semakin banyak benda yang membuatkan kami rasa sedih dan sayu melihatkan nasib yang menimpanya. Sudah tiba masanya untuk kami mencampakkan cangkul, dan tidak lagi mencuba untuk ‘membantunya lebih-lebih’.

Aku terus menawarkan pertolongan untuk menghantar Makcik Mah ke hospital untuk tujuan mengambil bekalan ubat-ubatannya yang dijadualkan dalam masa 2 hari kemudian dengan harapan sekurang-kurangnya, aku boleh mengubah topik dan isu yang lain.

Setelah semuanya selesai, tilam untuk Makcik Mah dibersihkan, tandas dibasuh dan pinggan mangkuk di dapurnya bersih kira-kira 5 jam kemudian, Makcik Mah, walaupun tidak lah seteruk sebelum ini membenarkan kami pulang.

Aku sebenarnya amat sedih melihatkan keadaannya begitu. Memang alasan yang dibuat adalah kerana rumah tersebut yang dibina oleh arwah suaminya untuk dirinya.

Pujukan demi pujukan aku juga untuk dia tinggal bersama anaknya buat beberapa hari tidak diendahkan olehnya. Lagipun, musim Covid yang sedang melanda menyebabkan aku menerima sahaja keputusan Makcik Mah.

Memang betul orang kata bahawa seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak, tetapi 10 orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu.

Namun, ianya tidak semudah dan seringkas yang kita anggap. Banyak faktor lain yang memainkan peranan sebelum kita boleh membuat tuduhan sedemikian rupa kepada mana-mana anak yang dikatakan lupa terhadap ibu bapanya.

Pada keesokan harinya, Mia menghantar kepada aku gambar sijil kematian Ibrahim untuk tujuan pengetahuan aku. Memang aku berasa sedih, tetapi aku berfikir juga, itulah pilihan yang dibuat oleh Makcik Mah.

Walaupun dia memang sudah pun di diagnosis sebenarnya sebagai pesakit Alzheimer peringkat awal, aku perlu menghormati keputusannya untuk ‘mahu mati di dalam rumah yang dibina arwah suaminya kerana itulah perjanjian yang dibuat semasa mereka melangkah masuk ke dalam rumah yang baru siap dibina’.

Satu lagi perkara yang aku ingat adalah perbuatan Makcik Mah yang sorok-sorok meletakkan duit RM50 yang aku beri kepadanya di bawah kerusi pemandu selepas kami menghantarnya ke hospital untuk tujuan mengambil ubat-ubatannya. Daripada situ boleh aku lihat bahawa Makcik Mah ni bukannya bersifat materialistik sangat.

Namun, itulah, kes-kes sebegini rupa, memang agak sukar untuk aku bantu. Memanglah dia boleh dihantar ke rumah anak-anaknya mahupun rumah orang tua untuk mendapatkan jagaan yang lebih baik, namun, apalah gunanya sekiranya dia tidak gembira dan bahagia untuk menghabiskan sisa-sisa kehidupannya.

Melihatkan dia menyimpan foto suaminya yang tersimpan di dalam dompetnya saat dia mengeluarkan kad pengenalannya di hospital sedikit sebanyak memberitahu aku bahawa ini adalah antara contoh cinta yang sejati.

Walaupun dia nyanyuk dan susah, dia masih boleh ingat lagi arwah suaminya. Kata orang, untuk pesakit yang nyanyuk ini, selalunya dia akan boleh ingat perkara yang betul-betul dia hargai dan dia sayangi.

Mungkin untuk Makcik Mah, suami dan anak-anaknya adalah harta yang terpenting baginya, walaupun rupa dan wajah suami dan anak bongsunya itu mulai kabur dan menghilang apabila dia semakin tua dan penyakit nyanyuk mula menjadi teruk.

Apa pun, apa yang boleh kita tolong adalah dengan mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaannya.

================================================

Siri pendek kisah semasa musim PKP ini adalah beberapa penulisan berdasarkan kisah benar yang aku sendiri alami. Disebabkan itu, aku masih ingat fakta-fakta penting secara menyeluruh, walau bagaimanapun, sudah tentu aku harus menukar nama watak yang berada di dalam kisah ini.

Kalau kalian ada apa-apa kisah yang menarik untuk dikongsikan mengenai pengalaman semasa musim PKP, mungkin boleh DM saya untuk saya buatkan penceritaan semula.

Sekian, terima kasih.

– ILZANNO SHARKY

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *