Mama Abah Sweet II

Untuk part I, (https://iiumc.com/mama-abah-sweet/).

Assalamualaikum. Ha ah. Aku kembali lagi bagi menjawab beberapa persoalan. Aku tak nak la orang salah faham dengan parents aku.

Pertama sekali, terima kasih buat semua pambaca terutama yang mendoakan mama abah. Doa yang sama juga buat ibubapa kalian. Tidak lupa Al-fatihah dari aku kepada ibubapa kalian yang telah kembali. Ramai yang persoalkan berkenaan duit pencen. Serba salah pulak aku nak cerita detail. Mama abah aku dah la ada facebook. Kang kantoi. Huhu.

Baiklah. Memang la ada dapat duit banyak masa pencen hari tu. Tapi mama abah pencen awal. Masa tu umur 52-53tahun. Mereka pencen pun beza beberapa hari sahaja sebab abah cakap kalau pencen kena sama sama. Pencen sorang, sunyilah nanti tak ada kawan. Aku pun tak pasti sangat kenapa mereka pencen awal. Yang aku nampak dengan mata aku, mereka penat dengan sistem sekarang.

Cikgu sekarang tak macam cikgu zaman mereka dulu. Zaman mereka semua manual, tak ada komputer pun. Sekarang kan dah lain. Kesian aku tengok mereka stress dengan kerja. Semua benda kena buat secara online tapi kalau kat luar bandar? Stress mereka sebab line tak ok satu hal, stress mereka nak belajar macam macam benda baru 1 hal jugak. Mereka tanya juga pendapat aku untuk pencen awal. Aku apa lagi, setuju 200% la. Biar lah mereka rehat. Kerja dah dekat 30 tahun.

Lagipun abah tidaklah betul betul sihat. Lagi alasan abah, nak pergi masjid. Masa kerja sibuk. Tak sempat pergi. Sekarang, 5waktu sehari abah ke masjid. Jadi, sebenarnya duit yang mereka dapat tidak sebanyak yang disangka. Persoalannya kemana duit duit tu? Memang plan mereka duit tu untuk pergi umrah jugak. Mereka selalu cakap dah pencen, dapat duit tu dapat la pergi umrah. Tapi masa mereka pencen, banyak lagi hutang tak selesai, hutang kereta, rumah, dan ada la sikit sikit hutang bank.

Bila orang tau kau pencen, ada jugak orang yang tak pernah contact kau selama ni tiba tiba contact nak pinjam duit pun ada. Janji nak bayar, lepas tu hilang. Mereka tak terus pergi masa awal dapat tu sebab terikat dengan adik bongsu yang masih bersekolah. Plan mereka nanti nak bawa adik aku pergi sekali sebab yang lain dah kahwin. Tapi kita hanya merancang. Ada la pulak kecemasan yang memaksa mereka keluarkan duit tu.

Aku ingat lagi wajah kecewa mereka bila terpaksa menggunakan duit tu. Yang untuk shopping dan sebagainya tak banyak pun selepas tolak hutang. Kalau ikutkan, hujung tahun ni lah mereka nak pergi umrah. Memang mereka kecewa sebab tak dapat pergi tapi rezeki belum berpihak pada mereka.

Yang kedua, berkenaan perbelanjaan mereka. Sebenarnya abah dah siap siap bahagikan duit tu kepada beberapa bahagian. Untuk setelkan hutang, untuk shopping, untuk umrah, untuk sedekah dan tak lupa juga mereka kepada anak anak. Untuk setelkan hutang sahaja pun lebih 60% dari duit yang mereka dapat tu. Aku cakap mama beli handbag 2, 3 kali setahun.

Ohya. Maaf aku lupa bagitahu tu tahun pertama pencen. Tahun kedua beli 1 beg je. Memang paling banyak 3 kali la masa tahun pertama tu. Paling banyak ok. Kalau tak sekali je la. Satu handbag RM100-300. Bagi aku tak la mahal untuk mereka reward diri mereka yang dah kerja lebih separuh dari umur mereka. Baju abah, abah selalu beli kain je. Adik aku tukang jahit yang jahitkan. Jadi dapat jimat banyak la kat situ.

Untuk pergi umrah, 2 orang adalah lebih kurang RM12k. Aku tak rasa kalau mereka tak beli semua tu, duit mereka cukup untuk pergi umrah. Aku kira secara kasar la, apa yg mereka shopping “ikut nafsu” selepas pencen 2-3 tahun ni jumlahnya tak sampai RM7k pun. RM5k pun entah sampai ke tak untuk 2 orang. Aku dah tengok macam mana mereka pakai pakaian koyak pergi kerja dulu. Pakaian abah, mama tampalkan. Pakaian mama koyak kat bahagian bawah tudung. Bila pakai tudung tak nampak la. Stokin koyak, tapak kasut pernah sampai berlubang.

Aku ingat lagi abah cakap segan bila nak buka kasut masuk bilik guru sebab lubang tu boleh nampak dari dalam kasut. Dompet abah pun sama. Abah pernah sampai sorok dompet masa nak keluarkan duit sebab dompet abah dah buruk sangat. Tapi pakaian anak anak elok je sempat bertukar setahun sekali. Bagi aku, biarlah mereka nak merasa seronok shopping sekejap sebab mereka tak pernah rasa. Sekarang ni mereka pun tengah kumpul duit juga untuk umrah.

Ok. Dah. Taknak dah yang sedih sedih tu. Ada yang tanya macam mana mereka kenal. Mama abah kawan sekampung sebenarnya. Kenal dari kecil. Mama bukan cinta pertama abah tapi insyaAllah cinta terakhir. Abah pula setahu aku memang cinta pertama dan terakhir mama. Mama tak pernah bercinta selain dengan abah. Cerita mereka masa muda pun best juga.

Arwah nenek pernah cerita dulu masa kat kampung banjir besar, abah naik sampan pergi ambil mama nak bawa ke pusat pemindahan banjir. Aku pun tak pasti bila mereka mula suka sama suka. Tapi abah yang minta dengan arwah nenek (mak abah) yang abah nak kahwin dengan mama. Kalau tak dapat kahwin mama, abah taknak balik rumah (masa tu abah kerja jauh). Yang pasti mereka tak ada keluar berdua, dating sebab mama cakap buat apa nak dating bagai dah kenal dari kecil.

Masa aku sekolah rendah dulu, aku perasan dalam almari mereka ada 2 bungkusan. Aku pernah tanya itu apa. Abah tak kasi buka. Abah cakap satu abah punya, satu mama punya dan nanti mama abah tak ada, anak anak buka la. Bentuk bungkusan tu macam bentuk sampul surat yang banyak tersusun. Entah kenapa hati aku ni kuat mengatakan yang itu koleksi surat cinta mereka dulu dulu. Sampai sekarang masih lagi misteri.

Dulu dulu masa aku kecil, bila keluar, abah selalu jalan depan. Mama belakang dengan anak anak yang sama lambat berjalan. Jangan salah faham. Abah bukan nak tinggal mama tapi abah memang jalan laju. Anak yang kecik abah dukung. Mama jalan dengan anak yang dah besar. Adik beradik aku pula, masa kecil tak ada meragam, nangis nak itu ini. Jadi tak ada isu pun abah tinggal mama kat belakang. Abah seorang yang tak suka buang masa. Mama, biasalah perempuan kan. Banyak menyinggah. Kejap nak tengok tu, tengok ni.

Jadi, mama dari jalan kat sebelah abah, terus tertinggal kat belakang. Tapi abah mesti tunggu. Abah jalan, lepas tu abah akan pandang belakang. Kalau mama tak ada, abah berdiri je situ sampai mama dah dekat baru abah sambung jalan. Tak ada pun abah marah mama lambat ke. Bila dah ada handfon, perkara sama masih jadi. Abah tinggal mama kat belakang sebab mama asyik tengok barang. Bila ada yang mama berkenan, mama call abah suruh abah datang kat kedai tu.

Tapi tu dulu. Zaman muda mereka. Bila aku dah besar, mungkin masa hujung sekolah menengah atau masa zaman universiti, aku yang kena jaga adik kat belakang. Mama abah jalan pimpin tangan kat depan. Tak kisah pun. Aku seronok tengok mereka macam tu.

Sekarang ni hidup mereka tak sibuk dengan anak anak dah. Korang fikir sweet, aku lagi lah tak tahan tengok mereka. Hahaha. Seronok aku dengan jadual hidup mereka sekarang. Pagi, abah yang bangun dulu (dari dulu abah yang kejut mama bangun pagi). Abah siap siap nak pergi masjid, sebelum pergi, abah kejut mama.

Kadang kadang mama ikut sekali pergi. Kalau tak ikut, mama sedia makan pagi. Kalau ikut,mereka beli bungkus jela. Kadang kadang mereka lepak makan pagi sama sama kat kedai. Abah, kalau keluar rumah mesti nak mama ikut walaupun cuma pergi hantar adik sekolah. Kadang kadang aku dengar je mama membebel bila abah ajak ikut.

“Pergi hantar anak 5 minit pun nak kena teman.” Mama merungut. Tapi mama bersiap juga ikut. Kalau mama lambat siap, boleh jadi kes merajuk pulak. Hahhaha. Kadang kadang kalau abah tak ajak, mama pulak yang beria nak ikut. Tak faham aku. Hahahaha.

Kalau mereka keluar berdua, selalu wefie berdua lepas tu hantar dalam group whatsapp kami. Kadang kadang ada jugak nak wefie tapi tertekan record. Penat senyum.

“Dah ambik ke?”

“Dah. Dah.. Eh tertekan rekod… Sekali lagi lah.. ”

“Mama ni….”

Kalau keluar makan, gambar makanan pun mereka ambil kasi kami tengok. Sebab tu aku cakap macam orang muda bercinta.

Cerita macam best je kan tak ada gaduh pun. Adaaa… Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Tapi isu dia memang aku tak boleh terima. Gaduh(baca sebagai merajuk) sebab mama tertidur awal dan abah tak ada kawan nak sembang. Kadang kadang abah tengah sembang, mama tertidur. Kadang kadang sebab abah nak keluar, ajak mama, mama taknak.

Kalau masa kerja dulu, sebab mama pergi kursus pun boleh jadi gaduh. Mama merajuk aku tak tahu sebab mama yang selalu bercerita. Kalau mama cerita, mesti cerita pasal abah merajuk kan. Tak kan nak cerita pasal sendiri merajuk. Hahhaha. Abah nak minum teh, mama buatkan teh untuk abah je tapi mama minum air kosong pun boleh buat gaduh. Gaduh manja je la. Laki aku pun sama.

“Mana aci tak sama. Nak buat, buat dua dua. Kalau tak, tak payah buat.”

Tapi nanti kalau tak buat, merajuk sebab tak buat pula. Selalu kalau dengar cerita mereka gaduh, istighfar je aku. Macam tak ada benda sangat dah nak gaduh. Hahaha.

Masa aku awal awal kerja dulu, aku belikan hadiah kat mama abah. Kire kali pertama beli hadiah yang ok lah. Mama aku cool. Dia relaks je. Abah lah punya happy tambah bangga. Habis dia cerita kat makcik makcik aku belikan dia baju. Bukan mahal pun. Harga bawah 100 je tapi dia punya seronok tu nampak sangat.

Aku rindu bau perfume abah pagi nak pergi kerja dulu. Aku rindu nak tengok mama salam abah siap peluk cium pipi pagi pagi. Aku rindu nak dengar suara mama abah mengaji (bila balik kampung boleh dengar). Aku rindu nak jadi penumpang dalam kereta yang abah drive macam dulu. Aku rindu suasana bising dalam kereta yang penuh dengan adik beradik aku (bila adik beradik aku menyembang, abah diam je. Tapi abah dengar.) Aku rindu abah panggil baby. Hahahaha. Last abah panggil macam tu masa form 5.

Sebenarnya aku rasa abah yang sweet dan abah yang jadikan mama sweet. Aku anak manja abah? Ya. Abah susah sangat nak lepas aku untuk kahwin dulu. Mama cerita, abah tak boleh tidur bila fikir aku nak kahwin. Dulu, masa aku kat universiti, abah terdengar aku cakap nak potong rambut. Abah cakap tak payah la potong, biar jelah panjang. Aku pun ikutkan je. Boleh je sebenarnya aku nak potong. Abah tak marah pun tapi kadang kadang benda simple macam tu buat mereka rasa lebih dihargai.

Alah.. kalau korang kapel, pakwe/makwe korang ikutkan je benda benda remeh korang minta, mesti seronok kan? Macam tulahh…Masa aku sekolah menengah, hormon tak stabil. Biasalah aku ada la jerawat seketul dua. Tabiat aku suka picit jerawat. Mama relek je. Abah yang tegur aku pasal picit jerawat. Marah betul dia tengok muka aku berparut sebab picit jerawat. Hahaha.

Sebab abah hero aku, dari dulu aku nak suami macam abah. Aku dapat weh! Hahahha. Tak ada la betul betul sama. Tapi banyak sangat sama. Cara pembawakan diri, cara pergaulan dengan orang, cara berpakaian sama. Kadang karang cara mereka berfikir pun sama. Kalau masa kami keluar, ada kebetulan abah dengan suami sebelah menyebelah, aku dengan mama suka sangat curi ambil gambar sebab cara mereka berpakaian sama. Cermin mata sama juga. Hahahha.

Ada yang mention tentang panggilan baby tu. Tak ada pun lah kawan kawan panggil aku baby. Hahaha. Diorang pun geli nak panggil aku macam tu. Aku pun geli kalau member panggil aku macam tu. Hahaha. Cuma masa tu, bila abah tanya member aku,

“Mana baby saya?”

Kawan aku jerit je la panggil aku,

“Along! Cikgu A cari baby dia.”

Masa 1st time macam tu aku blur blur jugak. Baby abah panggil aku? Alahh.. aku tak rasa comel pun panggilan tu. Aku rasa abah yang comel sebab panggil aku macam tu.

Bila tengok abah mama boleh terima segala kekurangan masing masing, aku harap begitu juga aku dan suami. Aku juga harap mereka bersama sampai hujung usia mereka.

Dah panjang cerita aku. Terleka pulak menaip. Terubat rindu bila bercerita. Terima kasih semua. Terima kasih kepada yang mendoakan. Doa yang terbaik juga buat kalian.

– Along (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *