Masuk Darjah 1

Assalamualaikum semua. Aku cuma nak bagi beberapa cadangan untuk kalian. Kalian yang mana ada anak nak masuk Tahun 1 2020 untuk kali pertama. Kalian yang dah pernah ada pengalaman pun boleh baca.

Mana tahu boleh tambah ilmu. Anggap aku ni kawan kalian yang berikan cadangan. Sekiranya ada yang tidak bersetuju dengan cadangan aku, tidak mengapa. Mana yang baik, boleh ambil, mana yang kurang baik, kalian boleh tolak tepi.

1. Kukuhkan asas membaca, menulis dan mengira.

Aku tahu ramai di antara kalian yang ada hantar anak di pelbagai tadika yang yuran bulanannya seperti bayaran bulanan kereta.

Aku juga tahu ada yang hantar tadika tadika mengikut kemampuan kita di peringkat pertengahan. Di mana sahaja kalian hantar anak kalian untuk tadika, paling penting pastikan asas membaca, menulis dan mengira mereka kukuh.

Maksud aku di sini, pastikan anak kalian sudah menguasai huruf dan menulis bentuk huruf tanpa bantuan orang lain, boleh membatangkan suku kata sehingga suku kata yang sukar, boleh menulis perkataan yang mudah hingga sukar.

Pastikan anak kalian boleh menguasai nombor dan bentuk nombor, boleh fahami konsep operasi yang mudah.

Namun, sekiranya anak kalian masih belum boleh menguasai asas membaca, menulis dan mengira, aku harap cuti yang berbaki lagi 2 minggu, kalian boleh drill anak kalian. Buat latih tubi, main dengan huruf dan nombor, main sambil dengar lagu dan macam-macam.

Terapkan suka membaca pada anak kalian. Beli buku yang besar, tulisan yang besar, tulisan dwiwarna dan gambar yang menarik. Drill setiap hari.

2. Alat tulis.

Alat tulis ni penting. Kadang sampai ibu dengan ibu murid bergaduh. Hanya kerana sebatang pensel warna. Manakan tidak, kalau hari-hari hilang sebatang, kalian juga jadi singa.

Alat tulis ni berkali aku perhatikan, sentiasa hilang. Pagi ada, tup tup lepas rehat entah kemana. Bila soal, tak tahu, tak tahu.

Mula-mula, kalian pergi kedai saka RM2.10, Mr. DIY atau Longwan. Pergi bahagian alat tulis tu, cari pensel. Pastikan pensel tu jenis yang hitam dakwatnya. Beli yang dakwatnya nampak ala kadar tu nanti tulis pun tak nampak dah tak faham apa yang dia tulis. Haaaa, janganlah beli sekotak je, kalian kena fikir jauh, belilah banyak terus. Tidaklah kalian jadi singa setiap kali anak kalian minta pensel.

Sama juga seperti pemadam. Pemadam ni, aku galakkan beli pemadam yang lembut tu. Kat kedai aku sebutkan, memang ada. Jangan beli pemadam empat segi buat lawan pemadam tu. Keras. Dapat anak kalian jenis suka memadam je kerjanya, habis rosak buku. Pemadam lembut ya.

Pembaris pun sama. Nak beli yang bercorak ke, ikut watak kartun ke, pembaris kayu ke, boleh. Tapi, aku tak galakkan. Nanti hilang, kan susah. Mula la jadi singa yang entah ke berapa kali kan. Jadi, bagi aku belikan pembaris yang senang untuk dia guna. Alaa yang biasa kita guna. Pembaris besi tak boleh ya. Beli banyak banyak sebagai stok.

Pensel warna ni, kalian tengok dulu, anak kalian ni kategori mana. Boleh jaga barang sendiri atau cuai. Kalau dia boleh jaga barang sendiri, belilah pensel warna yang standard kita guna. Luna ke, Steadler ke, Stabilo ke, Swan ke, Faber Castle ke. Tapi diingatkan lagi, kalau hilang, risiko sendiri. Mungkin akan bertukar jadi singa sekali lagi.

Kalau rasa tak yakin, kat kedai atas tu, ada je jual. Nak beli banyak sekaligus pun boleh. Tapi, belilah yang warnanya bila kita warna tu elok. Kalau ada Longwan kat tempat kalian lagi bagus sebab kat situ, pensel warna berganda murah.

Tapi, tapi, pada aku, bila kau nak beli alat tulis dengan kadar yang banyak, elakkan bawa anak dan simpan di satu tempat yang dia tak tahu.

Secara psikologinya, bila anak kalian tahu alat tulis disediakan ada banyak, dia akan set fikirannya, kalau hilang pun tak mengapa, ada banyak lagi. Hilang, ambil yang baru. Hilang lagi, ambil lagi. Cuba elakkan dan ajar anak kalian untuk jaga dan sayang barang. Didik mereka menjaga barang. Buat sistem ganjaran dan dendaan.

Kemudian, pastikan setiap alat tulis anak kalian, ditulis namanya. Dari sekecil-kecil alat tulis sehingga sebesarnya. Berapa kali aku saksikan kes perebutan alat tulis. Nak elakkan situasi berikut, pastikan tulis nama. Kalau rasa tak rajin, gunakan sticker. Aku tengok pelbagai jenis sticker dah ada sekarang. Kalau kalian ada cara sendiri, lebih bagus.

3. Ajarkan guna gunting dan gam.

Aku sangat tekankan penggunaan gunting dan gam. Aku tahu bahaya, janganlah bagi dia guna gunting sendiri. Pastikan guna gunting ketika bersama kalian dan kemudian letakkan di tempat yang dia tidak tahu.

Penggunaan gunting penting kerana boleh menambahkan skil motor halus anak anda. (Betulkan aku kalau salah ya Cikgu Prasekolah). Ramai yang aku jumpa yang tidak mahir menggunting. Jadi, aku dah cuba aplikasikan dua tahun kebelakang dan ianya berjaya. Maksud aku, berjaya menggunakan gunting dengan betul. Nampak seperti benda remeh kan? Apa pentingnya gunting?

Bila kita menggunting, kita menggunakan koordinasi mata dan tangan. Setiap kali mereka menggunting, aku akan ingatkan untuk gunting mengikut garis. Ya, ada yang tak tahu gunting ikut garisan. Malah ada yang sehingga terkoyak kertas. Bila kita menggunting juga, kita akan lebih fokus. Fokus terhadap kerja yang dilakukan. Gunakan gunting yang tumpul di hadapan dan semasa kalian berada bersama mereka.

Sama seperti gam. Anak kalian ada yang belum mahir gunakan gam. Jadi, aku cadangkan beli gam batang. Lebih mudah untuk dia kawal penggunaan gam dan tangan. Ajarkan cara gam, tak perlu gam satu helai kertas. Memadai atas, bawa, kiri dan kanan. Nampak remeh tapi penting. Ada yang gam tumpah, ada yang gam seolah-olah esok tiada, ada yang gam sampai lunyai dan macam-macam.

4. Bekas air dan makanan.

Anak kalian baru masuk tahun 1. Ada yang sudah pandai menjaga barang tapi masih ada yang belum. Jadi, aku cadangkan kalian belikan bekas air yang berkualiti tapi berpadanan harganya. Aku tak galakkan beli di kedai RM2.10 tapi kalau nak beli, baca label di bawah dan Google. Nombor berapa yang selamat untuk digunakan.

Kalau nak bagi bawa jenama terkenal, pastikan kalian tulis nama. Andai kata hilang dan tidak dijumpai, aku khuatir kalian bakalan menjadi singa lagi sekali.

5. Mesyuarat PIBG.

Bagi aku, kalian patut luangkan sedikit masa untuk hadirkan diri ke mesyuarat ni. Banyak benda yang kalian boleh suarakan semasa mesyuarat ini.

Masa mesyuarat ini juga, sumbangan PIBG akan ditetapkan berapa untuk sekeluarga. Masa ini juga akan diterangkan kegunaan duit PIBG yang kalian bayar. Masa ni juga kalian boleh berbincang dengan guru sekiranya tidak mampu. Walaupun tidak wajib tapi dengan sumbangan PIBGlah pelbagai aktiviti untuk anak kalian diadakan.

6. Group whatsapp.

Aku tahu kalian ada pelbagai rasa bila anak kalian berada di sekolah. Tapi, tidak perlu untuk kalian bertanyakan soalan-soalan yang merapu dan permintaan yang melampau.

Walaupun guru tersebut merupakan guru kelas anak kalian tetapi, guru tersebut bukan sepanjang hari dia berada di dalam kelas anak kalian. Paling lama 1 jam 30 minit sehari. Jadi, tidak wajar sekiranya kalian membuat permintaan yang merapu seperti :

A. Pensel anak saya hilang, tolong cari.

B. Anak saya selesema, tolong jaga anak saya.

C. Anak saya datang, tengok-tengokkan dia.

D. Tadi anak saya makan apa ya.

E. Tolong ingatkan anak saya untuk minum.

Dan sebagainya. Soalan pula janganlah merapu. Sekali dua, boleh faham, tapi kalau berkali tanya soalan yang sama, tidakkah kurang elok. Elakkan tanya :

A. Esok pakai baju apa (rujuk jadual)

B. Esok nak kena bawa buku apa (jadual)

C. Esok nak kena bawa buku ke (jadual)

D. Esok cuti ke (surat makluman)

Dan sebagainya. Selalunya cikgu akan maklumkan pada anak kalian beserta surat. Jadi, aku harap kalian boleh tanyakan pada anak kalian sejurus sahaja dia pulang dari sekolah. Ajarkan anak untuk sampaikan maklumat dengan betul.

Kemudian, kalau kalian ada masalah dan tidak puas hati dengan mana-mana guru subjek atau rakan anak kalian, langkah pertama, message personal pada guru kelas. Tunggu tindak balas guru kelas. Sekiranya kalian masih belum berpuas hati, boleh telefon sekolah atau terus datang ke pejabat sekolah. Pintu pejabat sentiasa terbuka untuk kalian. Terus ke pejabat bukan menyerang.

Tapi, aku ingatkan untuk dengar penjelasan kedua pihak. Elakkan untuk percaya bulat-bulat, petak-petak apa yang disampaikan dari pihak anak kalian. Aku pernah terkena dan sampai bila-bila aku tetap akan ingat. Bila menolong dituduh tidak berbuat tindakan dan aku perlu tulis surat untuk bela diri.

Habis dah cadangan aku, aku berikan implikasi sekiranya anak kalian tidak menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira.

1. Tertinggal jauh.

Sekiranya anak kalian tidak menguasai kemahiran asas membaca dan mengira, aku khuatir anak kalian akan tertinggal jauh. Aku tahu tahap setiap anak tidak sama tapi kita usaha dan drill setiap hari.

Sekiranya kalian tak ada masa nak drill sekarang, aku harap kalian tak hambur amarah pada cikgu-cikgu anak kalian sekiranya anak kalian tertinggal jauh. Jadi, pada hemat aku, molek sekiranya kalian bekerjasama dengan cikgu-cikgu untuk mendidik anak kalian.

Kenapa aku nyatakan aku khuatir anak kalian tertinggal jauh kerana silibus semakin sukar. Beberapa minggu sahaja akan belajar mengenai huruf dan batangkan suku kata.

Selebihnya akan memasuki silibus yang susah seperti kata nama am, kata sendi, kata hubung, imbuhan dan tatabahasa yang lain. Bahkan anak kalian perlu membina ayat sendiri. Sama juga seperti subjek lain. Silibus semakin sukar, itu yang aku mahu kalian jelas.

Cikgu yang mengajar punyai masa yang terhad dengan anak kalian. Satu kelas juga ada yang melebihi 30 orang. Satu hari hanya ada masa 30 – 60 minit sahaja. Apa yang boleh kalian lakukan ialah sambung belajar bersama anak kalian di rumah untuk beberapa puluh minit.

2. Rasa rendah diri dan malu.

Sebagaimana kalian tahu, sekarang ini semua sekolah perlu mencampurkan semua tahap dalam satu kelas. Akademiknya sepandai-pandai dan sebaliknya.

Walau sudah diterapkan pada murid, tidak boleh mengejek dan berkata jahat tapi kadang ada yang terlepas. Ada juga kata-kata yang akan mengguris hati anak-anak yang belum menguasai lagi.

Lama kelamaan, keyakinan anak ini akan merundum. Rasa rendah diri dan malu. Kenapa dia perlu ke kelas pemulihan, kenapa dia tidak pandai membaca, kenapa dan kenapa. Elakkan anak kalian melalui perkara seperti ini.

3. Tidak mahu ke sekolah.

Bila dia tertinggal jauh, dia merasakan tidak perlu dia hadir ke sekolah. Dia datang pun, dia tidak faham. Jadi, lebih baik dia tidak datang ke sekolah.

Konklusinya, kalian dan guru perlu kerjasama. Sentiasa tanya perkembangan anak kalian. Sama ada sudah mahir atau belum.

Sediakan mereka untuk ke sekolah.

– Cikgu Anak Awak (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *