Melayu dan Anak Ramai

Melayu dan Anak Ramai

Assalamualaikum semua pembaca setia IIUM Confession. Ini kali pertama aku menitipkan penulisan di sini. Namaku Mamat. Berusia pertengahan 20-an dan berasal dari selatan tanah air. Aku telah pun tamat pengajian di salah sebuah ipta dan kini hampir 2 tahun aku bekerja di ibunegara. Segala syukur aku panjatkan kepada yang Maha Esa atas segala nikmat yang telah diberikan kepada aku.

Berbalik kepada tajuk asal, biarlah aku bercerita latar belakang keluarga aku. Aku merupakan anak sulung lelaki daripada 6 orang adik beradik (dahulu). Ayahku sudahpun berumur 50-an dan ibuku pula berumur lingkungan 40-an. Sememangnya aku berasal dari keluarga yang besar. Ayah dan ibuku masing-masing mempunyai 7 orang adik beradik. Nampak normal bukan? Kata orang tua-tua, the more the merrier. Aku dibesarkan dalam keluarga yang kurang didikan agama. Aku belajar mengaji dan solat hanya melalui ibuku dan ustaz di sekolah. Ayahku? Tikar sejadah jarang-jarang sekali disentuhnya.

Ayahku hanya bekerja di kampung dan ibuku pula surirumah sepenuh masa. Dari kecil kami dibesarkan tidak terlalu mewah dan tidak terlalu miskin. Cukup apa adanya. Baru 2 bulan yang lalu aku menerima berita dari adikku bahawa ibuku sedang mengandungkan adik bongsu aku. Kini aku bakal mempunyai 6 orang adik. Jujur aku terkejut. Faktor kerja menyebabkan aku jarang dapat balik namun aku sentiasa berhubung dengan keluarga aku di kampung. Dan baru beberapa hari yang lalu ibuku telah selamat melahirkan adikku yang bongsu. Perasaan aku? Sukar untuk aku gambarkan. When you’re in the middle of 20 and become a brother again, for the sixth time? Ya aku gembira tetapi perasaan yang bercampur baur. Cuba bayangkan berada di tempat aku.

Demi Allah aku sayangkan adik-adik aku. Tak pernah aku beza-bezakan mereka. By the way, 3 orang adikku masih lagi bersekolah dan seorang lagi sedang menunggu keputusan upu. Alhamdulillah, kesemua adik-adik aku boleh dikatakan cemerlang dalam pelajaran walaupun orang tua kami tidak mampu menghabiskan persekolahan. Sepanjang aku melanjutkan pelajaran, jarang-jarang sekali aku meminta duit belanja dari ibu bapaku. Hanya pada hujung semester sahaja. Aku bergantung sepenuhnya pada pinjaman pelajaran. Adik-adikku pula bergantung pada aku. Bila mereka perlukan duit lebih, akulah banknya. Tak pernah aku berkira walaupun gaji aku hanya sekadar cukup untuk hidup di disini. Wang ringgit tak bernilai apa-apa berbanding adik-adik aku.

Emak aku pernah berkata yang adik bongsu aku (adik ke-5) adalah adik aku yang bongsu sekali. Cukuplah 6 orang kerana dah tak mampu lagi (dari segi kewangan). Perancangan Allah itu sebaliknya. Daripada 6 kini anak-anak ibu aku menjadi 7 orang. Dengan keadaan ekonomi sekarang bayangkan bagaimana mahu membesarkan anak seramai itu. Aku kasihankan ibu dan ayah aku.

Ayah aku pula semakin berumur. Di saat usia emas semakin mendekat masih lagi terpaksa berhempas pulas melakukan kerja berat bagi menyara keluarga. Tambahan lagi mempunyai anak kecil. Beza adik bongsu dan adik kelima aku hanyalah 3 tahun. Yang aku khuatirkan sekarang ialah kesihatan ayah aku. Kadang-kadang sakitnya bertambah teruk sehingga terpaksa dibawa ke hospital. Pernah terlintas di benak aku bahawa ayah aku hanya tahu menambah anak sahaja tanpa memikirkan keadaan keluarga dan masa depan. Salahkah aku kerana berfikir begitu?

Aku? Masih bertatih belajar untuk memulakan hidup. Masaku di universiti dahulu hanya dihabiskan untuk belajar. Tak pernah aku sempat untuk mengenal erti percintaan. Alhamdulillah aku berjaya tamat pengajian walaupun dengan keputusan yang tidak seberapa. Kini setelah bekerja, wang gaji aku dihabiskan untuk keperluan diri dan keluarga. Bukanlah aku ingin meminta simpati atau membangga diri tapi itulah hakikatnya. Aku takut akan hari mendatang jikalau terjadi apa-apa kepada ayahku. Jika Allah ingin menjemputnya lebih awal adakah sempat aku membimbing ayah aku untuk bertaubat? Dan jika ayah aku pergi terlebih dahulu mampukah aku untuk menjadi ketua keluarga?

Dalam islam diajar bahawa anak itu pembawa rezeki. Namun dalam keadaan aku sekarang ini mampukah aku untuk menyara keluarga aku selepas ini. Kepada Allah aku berharap agar dipermudahkan urusan aku sekeluarga. Tiada seorang pun rakan sekerja atau serumah aku yang tahu bahawa aku baru saja mendapat adik baru. Aku sebenarnya segan untuk memberitahu mereka. Dalam adik beradik ayah aku, ada yang sudah mempunyai cucu sedangkan ayah aku masih lagi mempunyai anak yang masih bayi.

Ada ibu dan bapa saudara sering bertanya bila aku mahu berumah tangga. Anak-anak mereka ramai yang sudah beranak pinak. Malahan opah aku sendiri berkata kepada adik aku yang orang lain semua sudah menimang cucu tetapi ayah aku masih lagi menimang anak sendiri. Ya aku juga punya kemahuan. Mahu mempunyai keluarga sendiri. Tapi adakah bakal isteri aku nanti boleh menerima aku dan memahami situasi aku. Sungguh aku takut.

Dalam fikiran aku sekarang, jodoh bukanlah lagi perkara utama. Biarlah aku membahagiakan ibu bapa dan adik-adikku dahulu. Aku pernah terbaca bahawa anak yang ramai dalam sesebuah keluarga ibarat pepohon yang ditanam dan akan dapat dituai hasilnya kelak oleh ibu bapa. Soalnya, berjayakah aku? Dengan keadaan aku yang masih belum punyai kerjaya yang stabil ini, adakah aku dikira berjaya? Dan pertanyaan aku untuk semua pembaca, wajarkah lagi dalam zaman ini untuk mempunyai anak-anak yang ramai. Bukanlah niat aku untuk menyalahkan takdir, hanyalah sekadar untuk meluahkan rasa yang terbuku dalam hati.

Tinta terakhir ini, aku mohon semua pembaca doakan aku agar dapat merubah nasib keluarga. Insya Allah mungkin ada antara kalian yang doanya sangat dekat dengan Allah. Doakan aku kuat untuk menempuh segala dugaan yang mendatang. Semoga kita semua sentiasa dalam limpah rahmatNya. Amin.

– Mamat

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit