Memerlukan Pertolongan

Memerlukan Pertolongan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saya mempunyai seorang rakan yang sedang mengalami masalah. Saya tak tahu sudah berapa kali beliau berniat ingin membunuh diri, yang saya tahu beliau sudah mencederakan diri sendiri sekurang-kurangnya dua kali dengan menoreh lengannya menggunakan pisau.

Selepas kejadian pertama, saya berjaya mengambil dan menyimpan pisau yang dia gunakan untuk tujuan tersebut untuk beberapa lama. Malangnya disebabkan cuti semester menghampiri, dia memintanya semula dan saya menyangka dia sudah sedar akan kesilapannya lalu memberikannya semula.

Pada masa ini, ibu beliau dimasukkan ke hospital akibat masalah kesihatan dan selaku anak sulung , beliau yang menguruskan rumah dan menjaga ibunya. Saya tidak begitu rapat dengan beliau kerana beliau seolah-olah menjauhi saya setiap kali saya cuba dekati (mungkin beliau tidak selesa dengan saya) . Saya mengetahui perkembangan (masalah) beliau semakin kronik melalui status-status WhatsApp yang sentiasa beliau kemaskini. Beliau juga tidak membalas pertanyaan dan sapaan saya di WhatsApp.

Saya dan rakan-rakan yang lain buntu cara untuk membantunya. Segala nasihat yang dirasakan sesuai sudah kami berikan. Kami sanggup mendengar masalah beliau, tetapi pada kebanyakan masa beliau tidak mahu bercerita. Kami inginkan beliau mendapatkan khidmat psikiatri tetapi kami tidak tahu apakah prosedur yang perlu kami lakukan.

Diminta sesiapa yang mempunyai cara untuk membantu beliau, nyatakan cadangan anda di ruang komen. Kerjasama dan perhatian dari anda amat kami hargai. Sekian, terima kasih.

– N

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit