Mereka Hidup Atas Kesusahan Orang Lain

Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua pembaca. Mungkin confession ni lebih kepada luahan. Dalam masa yang sama aku minta juga nasihat dan kata kata semangat dari semua.

Aku dah berkahwin 3 tahun lebih. Kami masih menjalani kehidupan berdua dan akan bertiga tak lama lagi. Sepanjang kahwin tipu laa tak ada onak duri yang melanda dalam rumahtangga. Setiap pasangan pasti merasainya.

Mungkin pada orang lain masalah kewangan tu biasa. Dan ya, aku set minda 5 tahun pertama memang akan ada masalah kewangan melainkan kau kahwin dengan orang kaya.

Sebelum ni kami suami isteri bekerja sebagai penjawat awam. Lesen mudah untuk penjawat awam adalah mudah untuk membuat pinjaman bank. Belum setahun suami aku bekerja, suami aku ada buat pinjaman peribadi.

Pinjaman tu atas sebab ayahnya nak beli kereta. Ayahnya beli kereta terpakai secara tunai. Segala urusan mereka ni sebelum aku kenal suami aku. Kami kenal pon disebabkan satu tempat kerja. Aku cuma tahu hal ni sebelum kahwin. Dan aku pikir mungkin tak ada masalah di kemudian hari.

Tahun pertama kahwin aku dah mula rasa sesak. Mana taknya, setiap kali gaji hampir separuh gaji suami kena bayar pinjaman dia untuk kereta ayahnya. Belum lagi masuk rumah, makan dan lain lain.

Faham laa duduk di bandar macam mana Masa ni gaji kami tak ada laa banyak sebab sama sama baru bekerja. Dan mungkin kesilapan kami kahwin awal. Ikutkan aku tak ada niat untuk kahwin awal. Mungkin dah sampai seru dan takdir buat kami.

Semasa aku bekerja, aku ada juga buat part-time bisnes online untuk cari duit tepi. Sebab aku sendiri kena bayar duit kereta dan komitmen aku yang lain. Aku beli kereta sebelum kenal suami aku lagi. Hasil duit berniaga ni laa kalau suami aku tak cukup duit aku hulur duit ni.

Dia nak balik kampung dia, dengan duit ni laa aku guna. Nak balik kampung aku tak banyak modal nak keluar. Cuma duit minyak je. Kalau nak balik rumah mak ayah aku tak jumpa tol.

Tahun kedua berkahwin, aku dah rasa nak ‘meletup’ sebab suami masih kena bayar duit kereta ayahnya. Tanpa ayahnya hulur duit untuk bayar duit kereta. Sedangkan kereta tu suami tak guna langsung. Orang lain yang syok pakai. Akak dan makciknya. Family suami aku duduk dengan neneknya.

Jadi, mereka dalam keluarga yang besar. Faham jela kalau kampung kiri kanan semua family mereka juga. Lagi rasa bengang, bila aku balik sana akaknya mengendeng nak pakai kereta aku. Keluar malam buta nak melepak dengan budak budak laki.

Kalau sebelum ni aku rasa boleh pertimbangkan lagi sebab ayahnya bayarkan duit motor suami. Tapi cuma RM150 sebulan berbanding RM600 lebih suami kena bayar untuk duit kereta. Sedangkan kami sendiri suami isteri makan kena catu. Orang orang kat sana makan sedap sedap. Ikan besar besar. Tapi sekarang, duit motor pon dah habis bayar.

Untuk pengetahuan, sekarang aku dah tak bekerja. Puncanya aku terasa hati dengan suami sebab selama ni dia rasa aku hadap fon memanjang. Sedangkan aku cari duit untuk kami. Tambah lagi dengan masalah kewangan dia. Aku nekad berhenti kerja. Aku sengaja nak tengok dia boleh tanggung tak semuanya.

Ternyata, memang dia tak tertanggung. Nak bayar rumah, bayar kereta ayahnya, kereta aku (yang dibawak ulang alik balik kampung dia). Belum bab makan lagi. Sepanjang aku tak bekerja, tak ada laa aku bersenang lenang. Aku tetap cari rezeki lain dengan berniaga makanan. Alhamdulillah, Allah dah kata rezeki tu ada je kat mana mana. Cuma nak kena berusaha.

Akhir tahun lepas, suami aku mula rasa tertekan. Dia jadi down. Tak semangat nak kerja. Yela, kerja untuk bayar hutang. Family dia tak support pon untuk ringankan dia untuk bayar duit kereta tu. Aku suruh suami bincang dengan ayahnya. Sekali cakap adalah juga ayahnya masukkan duit. Dalam RM100, RM200. Lepas tu tak ada. Kena mintak lagi, baru bagi. Ayah dan mak mertua aku muda. Dan ayah masih bekerja.

Pernah ada masa kami suami isteri ada RM20 je dalam tangan. Bila tengok status whatsapp akak ipar dan ibu mertua makan sedap sedap mengalir airmata aku. Terdetik dalam hati ‘aku kat sini makan nasi lauk telur goreng, telur dadar, tapi Dorang makan sedap sedap’. Kadang dorang keluar pergi Secret recipe, Marrybrown, MCD, KFC.

Tapi bila aku laki bini balik tak ada pulak bawak jalan makan sedap sedap gitu. Kadang aku saje balas status tu, sedapnya bu. Ibunya balas ‘ala, layankan tekak adik’. Suami aku ada adik angkat. Ibu ayah ambil dia sejak baby lagi. Jarak suami aku dengan adik dia 21 tahun.

Kita kalau tak ada yang mengganggu fikiran kita, tak mungkin kita nak meletup kan? Dengan aku tengah mengandung setelah 3 tahun menanti. Dalam kepala ni pikir duit untuk anak.

Berapa hari lepas, aku ada up status yang aku private untuk suami dan ibu mertua. Status tu menunjukkan aku tak tahan nak hadap masalah suami. Tapi aku tak tau cerita apa yang dah disampaikan akak ipar dan ibu mertua aku, habis makcik makcik suami aku hentam aku. Masing masing up status tujukan dekat aku. Kata aku biadap, acah acah suci.

Allah. Ikutkan aku nak je balas ‘jangan lebih lebih, kalau tahu hal sebenar takut malu sendiri’. Tapi aku biarkan je. Aku diamkan. Makin aku diam lagi syok Dorang mengata aku. Sampaikan Dorang ingat dengan bayarkan duit kereta tu cara untuk berbakti kat ibu ayah.

Selama ni aku tak merasa duit nafkah dan aku tak mintak sebab aku faham keadaan suami aku. Tapi macam melebih pulak Dorang ni. Nak ke aku cakap baju raya ibu ayah tu aku yang beli, duit nak balik ke sana tu duit aku. Dan sampai ke Harini aku masih sabar. Aku bukan nak mengungkit tapi Dorang mencabar kesabaran aku selama ni.

Sepanjang berkahwin, dah beribu aku pinjam duit mak aku. Aku terpaksa. Sebab aku kesian dengan suami. Kadang mak aku tanya ‘dik, ada duit tak?’ kadang sengaja aku tipu. Aku cakap ada. Tapi sebenarnya kat tangan ada RM10 je.

Aku taknak cakap sebab aku taknak susahkan mak aku. Mak aku dah banyak tolong. Mak aku jugak yang selalu bawak kan makanan kalau aku balik sana. Aku tau mak aku pun ada masalah dia. Takkan aku nak bebankan dia. Bila kenangkan balik kata kata akak ipar dan makcik makcik suami, aku rasa taknak balik sana. Aku tak sangka salah sorang yang kerja sebagai cikgu boleh berfikiran macam tu.

Aku pernah terlampau pikir, perut aku mengeras sakit sangat. Baby tak gerak. Allah. Mungkin ujian untuk kita sayang. Aku nak semua doakan kandungan aku selamat, sihat, sempurna. Aku belajar untuk redha sepanjang berkahwin ni. Tapi ada masa kita tak kuat kan.

Salah ke kalau aku minta hak aku sebagai seorang isteri? Salah ke suami aku minta ayahnya bayar duit kereta? Tak kira laa kongsi bayar dengan akaknya dan makciknya ke. Suami pon kena fikir nak bagi aku makan. Aku tak nak Dorang berdosa sebabkan Dorang hidup senang atas penderitaan kami kat sini. Maaf aku kata begitu.

Tolong bagi semangat kat aku. Terima kasih semua.

– Sya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *