Minta Hati Yang Baru

Minta hati yang baru

Assalamualaikum dan selamat berpuasa kepada semua pembaca IIUMC yg beragama Islam dan selamat sejahtera kepada pembaca yang lainnya. Perkenalkan saya Q, berusia lewat 20-an. Disini saya ingin berkongsi luahan hati yang lebih tertumpu kepada diri saya sendiri.
Saya pernah terbaca kata-kata, bersangka baiklah kepada sesiapa pun. Walaupun pada kita seseorang tu xternampak sedikit pun kebaikan, bersangka baiklah. Jika tetap tidak boleh bersangka baik, maka menangislah kerana kita tak mampu untuk bersangka baik kepada mereka. Betul, dalam agama islam, kita dididik untuk sentiasa bersangka baik. Percayalah, dengan bersangka baik itu , hati dan perasaan kita akan menjadi lebih tenang.

Sebagai contoh, jika ternampak kawan kita berdiam diri, tak berborak-borak seperti kebiasaan, cuba kita bersangka baik mungkin dia sedang memikirkan masalah yang dihadapi atau mungkin juga dia tak ada mood nak berborak. Cuba latih diri kita untuk sentiasa mencari andaian yg baik- baik sahaja terhadap orang lain. Tetapi, bagi saya, tidak semudah itu untuk saya melatih hati ini menjadi sebaik itu. Allahu, jujur saya katakan, sudah lama saya berperang dengan diri sendiri tentang penyakit hati ini. Ya, penyakit hati itu salah satu daripada sifat-sifat mazmumah.
Kadang-kadang saya mampu untuk bersangka baik dengan orang lain, tetapi ada kalanya saya kalah. Saya sedih dengan diri saya sendiri kerana selalu tidak dapat bersangka baik. Bukan mahu membuka pekung didada, hanya sekadar meminta pandangan daripada anda semua tentang masalah ini. Saya cuba untuk membersihkan hati dengan beristighfar, tapi mungkin itu masih belum mencukupi untuk saya merawat penyakit hati ini. Sedar atau tidak, kita lebih banyak diuji dengan diri sendiri berbanding diuji dengan persekitaran luar. Sombong, menunjuk-nunjuk, berprasangka buruk, terlalu mengikut hawa nafsu dan lain-lain merupakan contoh-contoh ujian yang berkaitan dengan diri sendiri.
saya berharap semoga ujian hati ini menjadi jihad saya untuk berperang dengan hawa nafsu. Saya selalu berdoa andai hati ini tak lagi mampu membawa saya kearah keredhaan Allah, semoga Dia akan menggantikan dengan hati yang baru, hati yang bersih daripada penyakit hati. Sebelum saya mengakhir confession saya ini, Saya berharap jika ada dalam kalangan pembaca yang sudi berkongsi amalan-amalan yang boleh saya praktikkan untuk saya untuk istiqamah dalam mendidik hati. Sekian, terima kasih.

– Q

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit