Orang Masjid

Hai, aku kenalkan diri aku sebagai Fizz, perempuan bujang. Lately confession pasal jodoh tengah hangat. Aku nak berkongsi cerita aku, mana tahu ada yang boleh ambil manfaat dari perkongsian ini.

Lepas aku habis belajar, aku mula bekerja di ibu kota. Jauh dari keluarga dan tak ada siapa yang aku kenal. Aku menyewa bilik, maknanya rumah aku sewa itu ada penyewa lain yang aku tak kenal.

Aku baik dengan kawan-kawan serumah, keluar makan dan beraktiviti bersama, tapi jarang-jarang sebab masing-masing ada komitmen sendiri. Ada yang keluar pagi pulang lewat malam, ada yang kerja shif, walaupun duduk serumah tapi jarang berjumpa.

Aku jalani kehidupan macam biasa. Siang bekerja, malam aku pergi kelas pengajian. Jika tak ada kelas aku pulang ke rumah sewa. Biasanya dalam sebulan ada 5-6 kali kelas malam, jadi baki 24 hari lagi aku habiskan malam aku di rumah.

Oh ya, aku bukan sambung belajar, ini kelas pengajian terbuka yang banyak diadakan di kawasan Lembah Klang.

Di tempat kerja, so far so good. Ada hari-hari yang ceria, ada hari-hari yang stress sebab lambakan kerja. Biasanya bila dah stress, aku suka bawa diri. Habis kerja aku pergi rehat di taman rekreasi berhampiran, tak pun aku masuk pasaraya untuk cuci mata.

Tapi itulah, habis kerja pun dah lewat, bila aku menyinggah ke dua tempat ini pun waktu sudah hampir maghrib. Aku memang tak selesa keluar berjalan waktu begitu.

Kalau aku terus balik ke rumah, sama macam aku bawa balik beban kerja untuk aku peram dan bawa semula ke tempat kerja esok harinya.

Sampailah satu waktu itu, aku rasa stress dan jiwa aku kosong sangat. Kelas pengajian pun tak ada waktu itu. Aku memang gelisah dan terdetik dalam hati nak ke masjid.

Aku memang rasa ada sesuatu yang kuat memanggil-manggil aku untuk ke masjid. Tapi aku berbelah bagi sebab aku perempuan, segan nak ke masjid sendiri, dan tentu akan bertembung dengan jemaah lelaki.

Aku pergi juga ke masjid. Lepas habis kerja aku terus ke sana dan mungkin sebab masih awal jadi tak ramai lagi jemaah. Mudah untuk aku parkir motor dan terus masuk ke masjid.

Beberapa hari aku ke masjid selepas waktu kerja, ada seorang pakcik suruh aku parkir di dalam kawasan yang agak tertutup, katanya elak motor kena hujan. Aku turutkan.

Dan Alhamdulillah, aku bersyukur sangat-sangat, rupanya Tuhan nak permudahkan urusan aku. Tempat parkir itu agak terlindung dari mata orang, ada beberapa motor sahaja yang parkir di situ.

Jadi bila-bila masa aku ke masjid walaupun aku tiba agak lambat ketika jemaah sudah ramai, tak perlulah aku berhimpit-himpit mencari parkir dengan jemaah lelaki. Aku rasa lebih selamat dan selesa.

Sejak hari itu alhamdulillah aku jadi jemaah tetap di masjid itu, kecuali jika ada kelas pengajian aku solat di masjid lain. Masjid tak pernah tutup, sentiasa terbuka untuk kita. Tak ada lagi taman rekreasi, tak ada lagi pasaraya pada waktu hampir senja. Tak perlu juga bawa pulang beban di tempat kerja.

Sebenarnya bila solat jemaah dekat masjid ini, rasa beza dengan solat di rumah, ada vibe dia.

Aku perasan bila aku solat di rumah, aku nak cepat-cepat selesai sebab badan dan otak penat. Lepas solat nak baring, rehat. Tapi bila di masjid, bila bahu rapat ke bahu, Allahu Tuan Imam, panjangkanlah lagi baca surah itu, tak puas rasanya.

Pernah sekali itu, aku balik kerja dan rasa penat yang teramat. Badan aku memang ada masa tak larat dia sampai berjalan pun tak kuat.

Masa aku tengah berkira-kira nak terus balik atau singgah ke masjid, motor aku terus saja pusing masuk simpang masjid. Mungkin dah rutin waktu begitu ke tempat itu. Jadi aku gagahkan juga.

Aku tak sempat solat berjemaah maghrib sebab ambil masa untuk tunggu badan aku ok sikit. Aku solat sorang-sorang dan lepas salam terus aku baring. Doa pun sambil baring.

Bila isyak aku bangun untuk jemaah, lepas saja solat aku rasa segar bugar. Mungkin dapat solat, bersentuh salam dengan jemaah lain dalam vibe yang positif begitu, Alhamdulillah.

Aku rasa masjid dekat bandar-bandar besar ini semua aktif. Setiap malam akan ada kuliah maghrib. Masjid yang aku pergi ini macam itulah. Yang aku bersyukur sangat itu, kadang jiwa aku tengah barai, tiba-tiba topik kuliah masa itu kena sangat dengan keadaan aku.

Orang kata, nak cari penawar itu kena cari di tempat yang betul. Jadi terubatlah sedikit sebanyak jiwa yang tengah koyak. Tapi ada saja topik kuliah yang tak menarik perhatian aku, aku buatlah kerja lain.

Oh, bila di masjid juga, ada peluang untuk solat jenazah. Sampai saja di masjid tengok ada van jenazah depan pintu masjid, tahulah aku pasti malam itu kami akan solatkan jenazah.

Rasa insaf, doa mohon keampunan tak putus untuk si jenazah dan diri sendiri bila lihat jenazah dibawa masuk ke ruang solat. Bukankah kematian adalah sebaik-baik peringatan.

Walaupun aku tak tahu pun itu jenazah siapa, tapi waktu-waktu begitu selalu buat aku memikirkan waktu aku juga akan tiba. Entah bila, entah bagaimana. Ramai ke orang yang akan solatkan jenazah aku, doakan aku.

Aku harap bila aku meninggal, kenal-lah jemaah masjid itu akan aku dan sudilah solatkan aku nanti.

Selalu juga selepas solat isyak, imam akan umumkan ada permintaan tahlil atau solat hajat. Aku pilih untuk duduk bersama dalam majlis tersebut.

Bagi aku, ke atas diriku untuk sempurnakan hajat (permintaan) dari orang yang berhajat dariku selagi aku mampu. Lepas ini, mungkin aku pula yang berhajat dari mereka.

Perempuan, untuk hari yang tidak boleh solat aku masih ke sana, duduk di sudut yang disediakan. Hanya untuk dengar bacaan solat dan terkadang ambil manfaat dari kuliah maghrib.

Aku introvert, kurang suka bergaul, tapi aku tak gemar juga berada dalam keadaan sepi tanpa manusia. Masjid tempat terbaik untuk aku. Tak perlu memenatkan diri bertegur sapa dengan manusia, cukup senyuman dan salam tanda aku hormat pada mereka.

Ini sedikit sebanyak perkongsian aku jika boleh diambil manfaat. Carilah masjid, cubalah dekat dengannya.

Mungkin kita tidaklah terlalu rajin untuk solat sunat dan membaca al-Quran, dapat niat iktikaf pun sudah memadai. Dan yang lebih penting solat pun tidak ke laut kerana layankan tubuh yang penat bekerja.

– Fizz (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *