PAP Dari Neraka

PAP Dari Neraka

Cerita ini berlaku di sebuah hospital yang terletak di selatan tanah air. Sewaktu itu, aku berkhidmat di jabatan orthopaedic sebagai seorang jururawat. Orthopaedic merupakan jabatan yang menguruskan sakit-sakit berkaitan dengan tulang dan bahagian anggota tangan dan kaki, tak kira jangkitan kuman mahupun ketumbuhan.

Kisah ini bermula apabila Auntie Lim, seorang perempuan berbangsa Cina yang berusia 65 tahun dimasukkan ke wad atas sebab jangkitan kuman di kakinya. Mengikut kepada fail pesakit, pesakit ini mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi, serta kedua-dua matanya hampir buta akibat penyakit katarak.

Aku mengambil alih syif yang di pass kepada aku saat rakanku yang bekerja syif pagi pulang jam 2 petang. Memang syif aku bermula jam 2 petang seihingga 9 malam. Taktala aku melihat nama pesakit ni, terus aku bertanya rakan aku, seorang jururawat senior di wad tersebut.

:Eh, Auntie Lim ni bukan baru discharge ke 3 hari lepas?, tanyaku apabila nama yang aku lihat amat familiar, ibarat deja vu.

“Yalah, biasalah dia ni, dah banyak kali keluar masuk hospital, sebab sakit yang hampir sama”, katanya

“Hmm, ni mesti tak compliance kat ubat ni, antibiotik mesti tak makan sampai habis”, aku mula menuduh, namun tuduhan aku cepat dipotong oleh seniorku itu

“Tak baiklah cakap macam tu, jangan assume yang bukan-bukan lah, karang tak pasal-pasal dapat dosa kering”, katanya sambil mengangkat begnya, bersedia untuk pulang.

Aku mengangguk sahaja. Setelah aku melaksanakan pelan rawatan doktor, iaitu memberi antibiotik kepada Auntie Lim, aku melabuhkan punggung di kerusi di kaunter jururawat, bersedia menulis laporan.

Helaian demi helaian aku selak, membaca satu per satu tulisan doktor yang ibarat cacing kerawit itu. Aku pelik apabila terbaca informasi di bawah social history pesakit itu, yang menyatakan bahawa pesakit duduk di rumah jagaan orang-orang tua, tidak jauh daripada hospital.

Aku pelik kerana saat aku menggantung ubat-ubatan Auntie Lim tadi, aku lihat waris, atau selalu kita panggil PAP (People Accompanying Patient) ada di sebelahnya. Budak perempuan itu berumur dalam lingkungan 17 tahun, dan dalam hatiku, mengapa dia tidak duduk di rumah menjaga Auntie Lim sahaja, mengapa perlu dihantarnya orang tua itu ke rumah jagaan?

Beberapa hari selepas itu, aku mula dapat membaca, apakah sebenarnya yang berlaku di dalam keluarga ini. Auntie Lim sudahlah tak fasih berbahasa Melayu, dan perangai anaknya, Sheryl agak menyakitkan hati aku juga.

Masakan tidak, duduknya dia di situ hanyalah untuk duduk. Matanya terpaku di skrin telefon, dan setiap kali aku menghampir Auntie Lim baik untuk menyuapkan makanan, menukar lampin mahupun memandikannya, dia langsung tidak peduli. Sampaikan perlu disuruh ketepi pula bila kami nak buat kerja, kerana ketaksubannya dengan telefon yang dipegangnya itu, sampai tak perasan orang lain nak buat kerja.

Aku suruh berkali-kali untuk membuat tugasan itu, maklumlah, menukar lampin, menyuapkan makanan itu kerja PAP pesakit, bukan kerja seorang jururawat. Bukan aku nak berkira, tetapi itulah sebabnya mengapa hospital membenarkan seorang waris untuk menjaga pesakit. Bukannya berfungsi untuk duduk diam, main telefon dan hanya memenuhkan ruang di wad sahaja tanpa fungsi.

“Saya tak tau”,

Perempuan berumur 17 tahun itu, berambut karat, bermekap tebal dan pakaian yang amat menjengkelkan mata akan memberikan respons setiap kali aku menyuruh atau meminta bantuannya. Ada sekali, aku abaikan sahaja pesakit, lantaklah nak jadi apa, nanti-nanti, pasti anaknya buat juga.

Jangkaan aku jauh meleset. Dia langsung tak pedulikan ibunya. Ibunya berkali-kali minta air, minta makanan, dia buat bodoh sahaja. Pandang ke tempat lain, kemudian beralih keluar daripada wad. Daripada pagi sampai ke malam, begitulah keadaan ibunya, yang tak mandi, tak makan, lampin tak ditukar, sehingga akhirnya kami, jururawat yang menjaganya terpaksa mengalah.

Ada satu hari itu, tiba-tiba Sheryl ini datang wad bersama seorang lelaki. Aku kira, itu teman lelakinya. Melihatkan betapa gediknya cara dia bercakap dengan lelaki tersebut, dan gayanya yang menggoda membuatkan siapa-siapa yang ternampak termuntah hijau, memang ternyata jangkaan aku benar.

Namun, 2 PAP di dalam wad juga tiada fungsi, tiada guna. Sama sahaja, dan semakin bising pula sampaikan makcik di katil sebelahnya mengadu kepada aku. Anak Auntie Lim terlalu bising bersembang dengan lelaki tersebut, sehinggakan makcik tu tak boleh tidur. Akhirnya, aku meminta bantuan pegawai keselamatan di wad untuk meminta lelaki tersebut meninggalkan wad, menggunakan alasan hanya satu PAP sahaja dibenarkan untuk menjaga pesakit.

Memang aku sakit hati sampaikan aku rasa semacam tak ikhlas nak menjaga Auntie Lim. Namun, aku kuatkan semangat, dan imbas kembali niat mengapa aku menjadi seorang jururawat. Untuk menjalankan tugas bagi membolehkan pesakit sembuh dan sihat daripada penyakit dan menambah baik kualiti hidup mereka. Berbuih mulut aku nasihat, membebel, menyuruh dan memarahi anaknya, respons yang sama sahaja membuatkan aku makin sakit hati.

Petang itu, aku lihat Sheryl bersama teman lelakinya sedang bising-bising, bercakap dalam bahasa cina dengan kuat. Tiba-tiba sahaja senyap. Apabila aku menjenguk ke katil Auntie Lim, kedua-duanya tiada di situ. Aku tak peduli pun, ada atau tidak, bukan ada perbezaan pun pada pesakit.

Aku membuat laporan jururawat dengan tekun sehinggalah ada pesakit menghampiri aku, makcik yang duduk di sebelah katil Auntie Lim.

“Misi, jamban tu kunci ke? Daripada petang tadi, dah 2 jam lebih dah, makcik nak guna, tapi berkunci pula” katanya.

Aku pelik, aku fikir, mungkin ada pesakit menggunakannya, tetapi di kubikel tersebut cuma ada 2 pesakit, Auntie Lim dan dia. Aku terus bangkit, berjalan ke arah tandas tersebut, yang sememangnya berkunci. Aku ketuk berkali-kali, tiada jawapan.

Saat aku nak berteriak, menjerit bertanya siapa ada di dalam, terus aku dengar suara Sheryl

“Saya, saya ada dalam, sekejap yaa”, katanya

“Buat apa lama-lama dalam tandas ni, keluar! Ada pesakit nak guna ni”, aku menjerit.

Apabila pintu terbuka, terpacul Sheryl dan teman lelakinya daripada tandas tersebut. Mereka tersengih-sengih antara satu sama lain. Saat itu aku betul-betul menyirap. Darah membuak-buak terus aku tanya

“Kamu berdua buat apa dalam tandas ni?!”, tanyaku

Mereka mendiamkan diri sahaja, sambil berjalan melewati aku dan terus keluar daripada wad. Riak muka mereka langsung tidak menunjukkan tanda-tanda bersalah atau apa-apa. Kedua-duanya tersengih sahaja macam kerang busuk.

Saat aku melangkah masuk di dalam tandas, terpandang satu plastik kondom yang telak koyak di atas lantai.

“Argh, cilaka punya perangai, berani pula buat perkara ini dalam tandas hospital sampai menyusahkan orang lain”, aku menyumpah-nyumpah dalam hati.

“Alah, ni bukan kali pertama depa buat lagu tu”, kata Kak Ngah, salah seorang jururawat senior di wad tersebut kepadaku, saat aku menceritakan kepadanya semasa pass over report.

“Dah kalau macam tu, apa kita boleh buat?”, aku bertanya.

“Entahlah, mungkin boleh beritahu anaknya yang lain, tapi yalah, bukan depa nak layan pun apa yang kita cakap ni nanti”, kata Kak Ngah, yang kemudiannya menyambung

“Tengok, petang ni pun patient dah boleh balik, biar sahajalah”.

Aku tak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Aku menunggu sahaja abang atau kakak Sheryl sekiranya mereka datang untuk menjemput Auntie Lim pulang ke rumah.

“Hey, you tau tak you punya adik bikin seks dalam tandas sini”. kataku kepada kakanya, Sharon.

Aku bercakap dengan nada perlahan, atas menghormati pesakit lain dan menjaga maruah Sheryl. Tujuan aku satu, untuk memberitahu bahawa perkara yang bukan-bukan dilakukan oleh adiknya itu perlu dihentikan. Jangkaan aku meleset, Sharon menjawab

“So, what? You nak kami buat apa kat adik kami?”

“At least nasihat lah dia, you tahu ini hospital kan? Mana boleh buat macam tu”, jawabku.

“Ala, you mind your own business la, buat apa sibuk-sibuk. Ni, tepi sikit, saya mahu hantar mak balik cepat”, jawabnya

Aku betul-betul terdiam apabila dia menjawab sedemikian rupa. Terus sahaja diangkatnya Auntie Lim, diletakkan di atas kerusi roda dan disorong keluar. Terima kasih pun tidak.

Bengang sungguh aku dengan perangai keluarga ini. Benarlah kata salah seorang seniorku, kadangkala PAP ni amat lebih-lebih dan bersikap kurang ajar dengan kami mengalahkan pesakit.

Terasa bahawa segala pelan rawatan yang dibuat oleh doktor tidak akan dapat dilaksanakan, kalau beginilah mereka melayan ibu mereka. Aku agak pasti, sehari dua nanti, pasti pesakit ini dimasukkan semula ke wad, dan kitaran ini akan berulang-ulang sehinggalah pesakit mati.

Jauh di sudut hati, aku mengenangkan ibuku yang semakin tua, dan aku tinggal berjauhan dengannya. Aku cuma boleh berdoa, dan berharap, andai kata ibu atau ayahku sakit dan dimasukkan ke hospital, aku tidak akan menjadi PAP sedemikian, iaitu PAP dari neraka.

TAMAT…

Kisah benar yang berlaku di sebuah hospital yang terletak di utara tanah air. Kisah ini diceritakan oleh salah seorang jururawat daripada wad otopedik yang menceritakan tentang kelakuan tak senonoh waris pesakit (PAP) yang sanggup melakukan perkara yang tak dapat difikirkan saat ibu mereka terlantar di wad.

– Ilzanno Sharky

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit