Pemusnah Persahabatan

Terima kasih andainya cerita ku disiarkan. Cerita ku panjang sikit, sebab dah lama ‘struggle’ dengan hal ini. Aku akan mulakan dengan kejadian hari ini…

Hari ni aku dapat terlihat dua orang sahabatku makan bersama. Suhaila dan Farah. Apa masalahnya? Tiada masalah… sepatutnya..

Tapi pada diri ku ada. Aku tak senang hati. Aku tertanya-tanya kenapa? Bagaimana? Kenapa tiba-tiba mereka rapat? Bagaimana tiba-tiba mereka rapat? Aku seakan-seakan ada sikit kemarahan – adakah ini perasaan iri hati? Adakah ini perasaan dengki?

Putar balik masa beberapa tahun lepas. Dulu aku rapat sangat dengan Suhaila. Aku bukan jenis orang yang mudah rapat dengan orang. Aku selesa dengan keluarga sahaja. Tetapi dari dulu aku sentiasa tertanya-tanya, apakah perasaan bersahabat baik? Aku selalu memerhati orang lain, macam seronok sangat ada kawan baik ni, tapi aku tak pernah mengerti. Umur budak kecik, aku tak mengerti dunia, aku tak kisah ada kawan ke tak, aku tetap bahagia. Lambat laun usia meningkat, aku mula memahami konsep rakan sebaya, dan aku mula memahi erti sunyi…

Aku selalu sunyi, setiap hari rasa sunyi. Walaupun aku dikenali dengan senyuman manis, keramahan dan keceriaan, itu semua penipuan. Aku tak tahu cara lain berinteraksi dengan orang, hanya dengan mencerminkan seorang yang peramah dan positif, walaupun isi hati melarat. Aku ramai kenalan, tapi tak ramai kawan…

Kedepankan masa, pendekkan cerita aku bertemu Suhaila. Suhaila jarak umur dengan ku, beberapa tahun lebih tua, tetapi entah kenapa, tak terasa beza. Suhaila cepat ngam dengan aku. Banyak dia berkongsi cerita. Perihal peribadi yang dia kata jangan bagitau sesiapa. Bergurau senda yang hanya kami faham. Aku mengerti, ini lah perasaan bersahabat karib. Ini lah perasaan ada seorang ‘BFF’. Bukan boyfriend forever ye, best friend forever. Dan aku tahu kami akan kekal rapat selamanya, sebab aku sudah menganggapnya sebagai adik beradik sendiri. Once a sister always a sister. Dan dia pun menganggap ku begitu.

Tapi dua tiga tahun yang lalu, terbukti aku salah. Kami gaduh besar. Ni bukan pertama kali bergaduh teruk sampai tak bertegur, tetapi kali ni, Suhaila tak mahu berbaik. Dia tidak marah, tetapi dia mengaku, kemungkinan kita boleh berkawan lagi, tetapi takkan sama seperti dulu.

Dia tidak menipu, setahun dua kami tak bersapa, aku mahu pandang dia pun tak kuasa. Aku terlalu luka, aku rindu my sister yang dahulu house-mate, room-mate, laugh-mate, stress-mate, masak-mate, semua lah. Setahun aku berpindah, belajar di tempat lain, kena naik kapal terbang baru sampai, sebab tak sanggup berdepan dengan dia. Dan berdepan dengan semua orang yang kenal kami BFF sebelum ni. Dan berdepan dengan semua tempat yang kami pernah jalan, makan, lepak bersama. Selepas setahun tu baru aku kembali ke tempat pengajian asal. Aku berharap Suhaila takkan ada lagi disitu, tetapi dia masih ada, nak buat macam mana dia pun perlu habiskan belajar.

Kini aku dan Suhaila berada di bandar yang sama, belajar di tempat yang sama, seperti dulu, tapi tak kawan seperti dulu. Boleh bawa borak, boleh keluar makan bersama, tapi hanya kadang-kadang, jarang-jarang, kalau kami mebuka peluang.

Tahun ni juga aku rapat dengan Farah. Bermula sejak tahun lepas, kami dari kampung yang sama. Tetapi kami rapat beralasan, ambil subjek yang sama, belajar bersama, sebab belajar bersama, dah penat tu, lepak bersama. Kadang-kadang menumpang tido rumah Farah, sebab belajar sampai lewat malam, selepas itu mula lah cerita macam-macam. Berkongsi masalah dan isi hati. Macam aku dan Suhaila dulu. Tetapi aku bukan BFF Farah, tetapi aku tak berapa kisah…

Kini Suhaila dan Farah tiba-tiba rapat. Mungkin aku risau Suhaila akan rapat dengan Farah, sebagaimana dia rapat dengan aku dulu. Sebab dahulu tiada sebab kami rapat, aku dan Suhaila, tak ada kelas bersama, tapi banyak buat benda bersama. Suhaila dan Farah tak ada kelas yang sama, tak ambil course yang sama, fakulti bangunan masing-masing tak sama, jauh, tak ada kelab yang sama…macam aku dan Suhaila dulu.

Adakah aku tak mahu mereka rapat sebab aku tak dapat rapat dengan Suhaila lagi? Atau aku takut selepas ini aku tak akan rapat dengan Farah lagi? Atau sebab aku ‘possesive’ dan aku tidak mahu kelompok-kelompok rakan ku bercampur?

Pergaduhan aku dengan Suhaila yang pertama adalah sebab sikap ku yang ‘possessive’ – aku tak mahu Suhaila berkawan sangat dengan orang lain. Kalau aku tak nampak, aku boleh tahan lagi, mungkin sebab tak terbukti dia rapat dengan orang lain. Tetapi kalau depan mata, aku mula lah buat perangai, bad mood, naik angin, kalau Suhaila tanya kenapa, aku cakap tak ada apa-apa.

Pergaduhan yang menamatkan persahabatan kami, puncanya sama. Sikapku yamg ‘possessive’. Tetapi kali ini kesabaran dan kepercayaan Suhaila ‘patah’. Aku pun terasa begitu…. Dahulu aku tak sedar kesilapan ku, aku tak faham kenapa Suhaila menamatkan persahabatan kami. Dia berkata, kami memang bukan adik beradik, dia berkata aku tak matang, perlu matang lagi. Silaturrahim putus. Aku tak pernah rasa semarah dan sesedih itu dalam hidup ku.

Setelah bersendirian, aku memahami kesilapan ku, dan aku pasrah dengan penamatan persahabatan itu. Tetapi, perasaan masih bermain di hati. Kadang-kadang perasaan ‘possessive’ tu membuak balik. Aku rasa nak bad-mood, nak marah, dengki, nak musnahkan silaturrahim mereka, sebagaimana silaturrahim aku dan Suhaila musnah dahulu…

Tetapi hatiku juga berbisik, kenapa aku tak pandai menumpang gembira untuk orang lain…

Otak ku berfikir, mungkin aku tak perlu musnahkan persahabatan Suhaila dan Farah, mungkin aku boleh menyertai persahabatan mereka… macam-macam alasan aku ada untuk masuk aktiviti mereka, untuk ada sekali ketika mereka bersama. Aku rasa terkilan dan marah kalau tak diajak menyertai aktiviti jika ada mereka berdua…

Tengok tu, fikiran masih ‘possessive’. Masih tak mahu membiarkan mereka berdua bersahabat, macam aku perlu pantau mereka agar tak terlalu rapat.

Apa salahnya kalau mereka berdua rapat? Kalau makan bersama tanpa ku?

Itu lah jalan buntu pada ku…aku tak minta ada perasaan sebegini, aku tak minta menjadi seorang yang berhasad dengki…tapi aku tak tahu cara mengatasi… I don’t know what to do… kekadang aku berfikir, mungkin aku patut kembali seperti dulu… tak pandai berkawan dan tak ada kawan.

– Qaleysha

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *