Penderita Vaginismus

Penderita Vaginismus

Assalamualaikum, terima kasih sekiranya confession ini disiarkan.

Maaf sekiranya ada yang rasa confession ini patut ‘censored’ atau patut masuk KRT. Saya buka cerita ini kerana tiada niat lain, sekadar membuka mata masyarakat bahawa ‘penyakit’ nan satu ini memang wujud. Dan saya pilih ruangan ini sebab saya percaya pembaca lebih bijak menilai.

Saya bekas penghidap ‘penyakit’ tersebut, vaginismus. 1 masalah yang jarang disebut malah diketahui umum. Para doctor mungkin sedia maklum. Secara umum, ‘penyakit’ ini merupakan satu masalah yang turut dikenali sebagai ‘mati putik’ di kalangan wanita. Saya mengalami masalah tersebut selama 4 tahun. Ya, 4 tahun.

Awal perkahwinan saya juga adalah di era internet belum menyeluruh. Fb twitter segala bagai pun belum sampai ke Malaysia. Media cetak juga tak banyak pendedahan. Saya dan suami pula tinggal di luar bandar. Kalau boleh menggoogle hanya curi-curi waktu kerja itupun tak sempat mana, dengan talian internet yang tak berapa nak laju. Saya usahakan untuk cari dan kumpul info. Ada sedikit web yang menerangkan masalah tersebut, itu pun kebanyakannya dari barat. Saya cuba cari info dari skop tempatan, ada juga sedikit di ruangan forum dan soal jawab bersama doctor.

Ternyata benar, saya mengalami masalah itu! Saya tidak keseorangan, ada di luar sana senasib saya namun tidak ramai. mungkin juga malu untuk bersuara. Malah seorang doktor pakar mengesahkan seorang pesakitnya menderita masalah tersebut selama 9 tahun! Ada yang berpunca daripada trauma (pernah dirogol dan sebagainya) atau hadir sendiri tanpa dapat dikawal. Ada yang sembuh sendiri, ada yang perlu rawatan dan terapi. Ada juga berkait dengan psikologi, perasaan seriau luar kawal dan sebagainya, tapi mengatasinya sendirian tanpa rawatan atau terapi tidak semudah yang disangka. Saya sendiri tidak pasti prosedur rawatan yang sebenar, tapi daripada pembacaan saya bagi kes yang kritikal ada doctor akan menyarankan prosedur pembedahan.

Apabila menjengah ruangan forum di internet, membaca luahan penderita senasib saya, saya tersentap melihat respon daripada pembaca lain. Ramai yang tidak percaya! Ramai mengecam. Ramai yang kata kami mengada2kan cerita. Kalau forum sesama wanita, nasihat yang diberi lebih kepada meminta penderita rileks dan bertenang saja tapi dalam maksud seperti ‘merepek, tak kan itu pun kau tak boleh buat?!’.

Forum sesama lelaki pula lebih memedihkan.
‘kau paksa je bini kau tu! Bini apa tak mau tunaikan tanggujawab!’
‘kau kawin lain je lah!’
‘apa yang susah sangatnya?mengadalah bini kau tu!’
‘dasar isteri derhaka!’

Benarlah, hanya yang mengalami mampu memahami.

Penerimaan2 sebegini menjadikan saya semakin rendah diri. Maka rahsia tersebut terus dibiar tertutup bersama suami. Saya tak mampu meluah, saya sangat malu, saya bimbang ditertawakan, saya bimbang tiada yang percaya. Hanya suami yang memujuk untuk terus bersabar dan mencuba. Jangan ditanya mana datang sabar suami, saya tiada jawapan. Yang saya tahu, Allah sedang uji saya, dan Allah juga sedang mengurnia saya seorang peneman hidup terbaik. Keluarga, rakan saudara mara pula tak henti bertanyakan tentang anak. Saya jawab saja belum rezeki. Namun Allah saja tahu terhirisnya saya, jangan katakan anak, kalaulah mereka tahu bahawa menunaikan tanggungjawab sepenuhnya terhadap suami pun saya tidak mampu!

Tak terungkap bagaimana rasa rendah diri itu menghantui fikiran. Saya seolah2 bukan wanita sebenar, rasa kekurangan dan aib yang tidak tahu mahu diceritakakan bagaimana!

Ada masa terlintas dalam hati, saya disihirkah? Sihir pemisah memang wujud. Tapi kalau ya, angkara siapa?setahu diri kami tiada musuh. Kami usahakan berubat alternatif. Cari pusat perubatan Islam. Allahu, ditentukan ustaz tersebut menjadi saksi pertama rahsia rumahtangga kami. Melalui sedikit rawatan, kami dikatakan tiada tanda disihir. Mungkin masalah biologi atau psikologi dan kami diminta untuk tingkatkan usaha.

Ya saya gandakan usaha, solat hajat, doa tak putus. Cuba bertenang, buang rasa takut, semualah saya buat. Namun masih tidak berjaya. Saya buntu, benar2 buntu.

Berubat moden? Ya, saya cuba usaha. Awal2nya saya keliru, siapa patut saya jumpa?  Bolehkan dengan doctor biasa atau perlu ke pakar? Pakar sakit puan atau psikatri? Rujukan di internet waktu itu tak banyak menyarankan langkah yang paling tepat, lagi2 di Malaysia sendiri. Kalau di luar negara banyak jugalah maklumat. Kalau nak jumpa doctor pakar kerajaan, hanya di hospital besar. Prosedur nya pula perlu surat rujukan daripada doctor biasa. Aduh, hanya yang mengalami boleh faham betapa beratnya untuk menyampaikan masalah itu mengikut saluran pelbagai peringkat. Doctor biasa-petugas hospital-jururawat -doc pakar bla3..sebolehnya saya mahu elakkan. Bagaimana pula kalau di hospital swasta? Prosedurnya pula?Bagaimana kos konsultasi dan rawatan, mampukah kami? Saya tidak ada idea. Hendak pergi kepada pakar yang terkenal di media, nun jauh di ibu kota. Jangan kata ibu kota, bandar utama dan ibu negeri sendiri pun agak jauh dari tempat tinggal kami. Komitmen kerja,masa, jarak, kos, prosedur dan sebagainya menjadikan usaha bertangguh dan terbantut. Dan sungguh, masa itu saya langsung tidak tahu wujudnya doctor pakar di klinik persendirian dengan prosedur konsultasi jauh lebih mudah. Saya sangka hanya di hospital. Tolong jangan pertikai, saya dah kata zaman itu informasi tidak semua dihujung jari. Bukan macam sekarang, nak goreng telur pun boleh tengok youtube.

Oh ya, maklumat tambahan. Penderita vaginismus sebenarnya masih mampu hamil. Mustahil? Tiada yang mustahil atas izin Allah. Melalui rujukan saya memang ada membaca ulasan doctor dan pengalaman penderita mengenai kebarangkalian tersebut. Namun untuk menjadikan berjaya tidaklah mudah. Nasib. Saya pernah terbaca artikel di internet, walaupun berjaya hamil dan melahirkan, namun penyakit tidak semestinya sembuh.

Lalu kami terus melalui fasa ‘honeymoon’ cara tersendiri, dengan kekurangan maklumat sedar tak sedar masa pantas berlalu. selepas beberapa tahun, kami sepakat membeli rumah pertama. Alhamdulillah, rumah semi-d dengan harga mampu milik yang masih dalam pembinaan berjaya kami miliki, dengan proses pembelian berjalan cukup lancar dan mudah. Saya anggap itu kurnia Allah di sebalik ujian Nya. Suami pula anggap rumah itu ‘baby’ kami. Ya, kami memang berhabis untuk ‘baby’ tersebut. Wang, masa, tenaga. Kami mahu kediaman kami selesa. Kami cukup teruja merancang dekorasi dan pengubahsuaian. Topik rumah saja yang menjadi bualan harian. Dalam pada itu saya berniat, selesai urusan rumah kelak, saya mahu mula focus untuk dapatkan rawatan. Saya bercadang untuk berjumpa gynea dan saya juga sudah kenalpasti klinik pakar tersebut, tunggu masa sesuai sahaja. Suami setuju.

Tibalah waktu berpindah. ‘Baby’ dah siap, yeay!! Bahagianya hati macam dapat anak sulung hehe.. Ok mungkin saya sekadar memujuk diri. Tiba2 saya rasa ada yang tidak kena. Tersedar haid sudah lewat begitu lama, kerap berasa pening dan mual sehingga saya berangan, hamil kot aku ni? Tapi rasa mustahil pula, sebenarnya takut untuk berharap. Sedangkan masalah itu belum berakhir, mungkinkah Allah pilih saya untuk diberi ‘keajaiban’ itu? Berdebar saya melakukan ujian UPT. Positif! Suami pula takut untuk percaya, takut harapan palsu. Maka tanpa berlengah kami ke klinik, ujian UPT lagi sekali termasuk scan, doctor mengesahkan saya memang hamil 10 minggu!

Nikmat Tuhan mana yang kamu dustakan?

Tak terucap rasa syukur. Bagai tidak percaya Allah izinkan keajaiban ini ke atas kami. Dalam pada itu saya sedikit gentar. Saya ada terbaca pengalaman seorang wanita barat di internet. Barat yang lumrah dengan budaya seks sebelum nikah, namun ‘confessor’ tersebut mengakui mahu mempertahankan kesuciannya hanya pada suami. Dan sama sekali dia tidak menyangka akan berdepan masalah itu. Mungkin disebabkan budaya sana yang lebih terbuka, beliau tidak lewat mendapatkan rawatan. Sessi terapi dan sebagainya akhirnya beliau sembuh dan hamil. Namun apabila beliau memaklumkan keadaan asalnya pada gynea, pengalaman lamanya itu tidak diberatkan oleh pakar malah dikatakan beliau tidak akan menghadapi masalah sewaktu melahirkan. Tetapi sebaliknya terjadi. Beliau menghadapi trauma bersalin disebabkan birth canal yang sempit.

Bagaimana pula nasib saya? Adakah saya akan menempuh pengalaman yang sama? Maka saya dan suami bersetuju untuk mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu, iaitu gynea yang saya maksudkan tadi. Klinik nya jauh juga di pusat bandar tapi itu sudah cukup baik daripada saya perlu travel ke ibu kota. Saya juga sudah terfikir, andai tiba waktunya dan saya bersalin di hospital kerajaan, bagaimana untuk saya beritahu pada doktor keadaan sebenar saya?hospital kerajaan tak boleh pilih2 doktor. Bagaimana cara terbaik untuk saya maklumkan kepada petugas kesihatan yang bakal mengendalikan kelahiran saya kelak? Adakah rahsia saya bakal jadi kontroversi? Saya sedia maklum proses yang bakal ditempuhi oleh wanita yang mahu melahirkan, bagaimana saya mahu menjalani semua itu? hospital swasta pula hanya di pusat bandar, jauh dari tempat saya, tapi nampaknya itu pilihan terbaik yang saya ada. Gynea yang saya pilih diharap memahami masalah saya. Maka berusalah kami mengumpul wang semula yang sudah banyak habis untuk rumah baru dahulu. Setiap masa saya berdoa agar tidak berlaku kecemasan sehingga tiba waktu saya melahirkan memandangkan jarak agak jauh yang perlu saya lalui untuk ke hospital.

Saya masih ingat peristiwa konsultasi pertama saya dengan gynea tersebut. Bergenang air mata saya mengadu masalah yang dihadapi. Perasaan malu saya buang ketepi, bimbang juga ditempelak kerana lewat mendapatkan rawatan. Nyata saya tidak salah pilih, tenang pakar tersebut memahami dan mengiakan kes saya. Malah bukan pertama kali dia berdepan dengan kes seperti ini. Pemeriksaan fizikal (VE) dibuat, Allahu sakitnya tak terucap! Namun beliau berpendapat saya kemungkinan tidak terlalu sukar untuk melalui proses kelahiran yang normal. Tapi disebabkan saya hamil, prosedur rawatan tidak sesuai dilakukan. Beliau sekadar memberi tips untuk lebih rileks dan sebagainya dan tunggu sehingga saya bersalin. Sekiranya selepas pantang masalah masih berulang, saya diminta datang semula untuk memulakan rawatan.

Dan Alhamdulillah, saya akhirnya menghadapi proses kelahiran bayi sulung tanpa sebarang komplikasi. Syukur Ya Allah..!

Selesai pantang, saya berdebar2, masih adakah masalah itu? Saya benar2 berharap ia sudah berakhir. Namun ia tidak, perubaan demi percubaan masih gagal! Kecewanya saya! Sakit bersalin pun saya dah mampu tempuh, mengapa saya masih gagal untuk melakukan itu??! suami seperti biasa, masih bersabar, sudah terbiasa barangkali. Mahu berjumpa doktor untuk mulakan rawatan, namun suami menasihatkan untuk cuba dahulu secara semulajadi, untuk beberapa bulan.

Usaha dan terus usaha, akhirnya saya dapati masalah itu hilang sendirinya sepenuhnya selepas 5 bulan melahirkan anak. Terima kasih ya Allah!!

Kini saya melalui kehidupan suami isteri yang normal. Saat confession ini ditulis, saya sedang sarat menantikan kelahiran cahaya mata ke4. :)

Saya tidak tahu apa yang anda fikir sekiranya confession ini dibaca. Andaikata ada ‘pembawangan’ seperti di forum satu masa dahulu, saya tidak kisah pun. Saya ucapkan terima kasih in advance atas pahala yang ditransfer. Hehehe.

Dalam pada ramai yang masih tidak percaya, ketahuilah bahawa masalah ini sememangnya boleh terjadi kepada sesiapa pun, boleh jadi sahabat terdekat atau ahli keluarga anda sendiri. Cuma si penderita kebanyakan memilih untuk berahsia atas faktor aib yang tak sanggup dikongsi. Jangan mudah menghukum sekiranya tidak pernah mengalami. Sekiranya ada penderita lain di luar sana sedang melalui pengalaman ini, nasihat saya berjumpalah pakar dengan segera. Rujukan & perkongsian pengalaman melalui melalui media juga rasanya sudah semakin mudah didapati sekarang, berbanding zaman saya dulu.

Terima kasih atas kesudian membaca.

– Puan N

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Share via
Copy link
Powered by Social Snap