Pengakuan Seorang Yang Panas Baran

Assalamualaikum pembaca sekalian. Pertama sekali, andai tulisan ini dapat disiarkan, berjuta terima kasih saya ucapkan. Moga ianya dapat memberi manfaat dan kekuatan kepada sesiapa yang membaca. Maaf andai coretan ini mengambil masa yang lama untuk dibaca tetapi saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman saya sebagai seorang yang panas baran dan cepat marah.

Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter telah mengutarakan pendapat tentang penentuan karier anak-anak oleh ibu bapa. Saya sangat terkesan dengan twitter tersebut sebab saya merupakan salah seorang yang mengalaminya.

Buat mereka yang tidak tahu, ibu bapa saya berasal dari keluarga miskin, seperti kebanyakan ibu bapa yang dibesarkan pada tahun 60-an hingga 80-an. Pada zaman 80-an hingga 90-an, Perdana Menteri kita yang sekarang telah menaikkan kepentingan berkenaan sains dan matematik, betapa pentingnya ilmu berasaskan STEM (science, technology, engineering and mathematics). Ditanamkannya ke dalam minda ibu bapa kita bahawa untuk maju ke hadapan, untuk berjaya, untuk senang di hari tua, anak-anak mesti arif dalam cabang ilmu sains dan matematik ini.

Jadi, apabila ibu bapa yang rata-rata tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke menara gading ini diberitahu begini dan mereka pula terpaksa melupakan cita-cita mereka semata-mata untuk menyara keluarga, apabila mereka menggunakan apa sahaja kelulusan yang mereka ada untuk mencari kerja, baik sebagai guru, kerani, askar, pegawai polis, dan sebagainya, tidak mustahil tersemat di dada mereka agar anak mereka tidak akan hidup seperti mereka. Di sinilah bermulanya perlumbaan untuk memastikan anak-anak tidak tercicir.

Saya merupakan pelajar cemerlang sewaktu di sekolah. Saya tidak mempunyai cita-cita yang nyata. Apabila ditanya tentang cita-cita dan impian, seperti kebanyakan rakan sebaya, saya menulis doktor, jurutera, arkitek. Tapi yang sebenarnya saya tidak pernah tahu apa yang saya mahu dalam hidup. Saya hanya hidup mengikut telunjuk. Gol saya setiap tahun hanyalah untuk mendapatkan keputusan yang baik agar mak ayah saya rasa bangga dengan saya.

Apa kaitannya dengan rasa baran dan cepat marah? Baiklah, mari saya ceritakan apa kesannya membesar seperti ini, kesan terhadap mental dan emosi saya.

Keputusan SPM saya boleh dikatakan cemerlang. Tidak la terlalu cemerlang sampai layak ditaja ke luar negara, tetapi cemerlang hingga boleh memohon kos profesional. Masa itu, jiwa saya memberontak, saya rasa tak sedap hati. Saya tahu bukan ini yang saya mahukan, tetapi saya tidak tahu apa sebenarnya yang saya inginkan. Apabila saya meminta pandangan ibu bapa saya, mereka masih lagi dibayangi kata-kata Perdana Menteri ke-4 kita, padahal ketika itu, kita sudah berada di era Dato’ Seri Najib Razak. Mereka mencadangkan saya untuk mengambil kos profesional tersebut.

Anda semua tahukan, perasaan tidak sedap hati, perasaan seperti keputusan ini salah. Tapi apakan daya, seumur hidup saya mengikut telunjuk ibu bapa saya. Dan saya menerima akibatnya atas keputusan bodoh saya sendiri.

2010 – Kos itu ternyata sukar buat saya. Dari tahun pertama lagi saya sudah memberontak, emosi saya terganggu, saya rasa saya tidak mampu. Saya jadi pemarah, saya marah dengan diri saya, mengapa tidak berani mempertahankan diri sendiri, mengapa saya pengecut dan penakut! Saya marah dengan ibu bapa saya, walaupun saya telefon dan merayu-rayu untuk tukar kos, mengapa mereka tidak benarkan dan sewenang-wenangnya menyuruh saya meneruskan pengajian dalam bidang itu. Saya marah dengan semua orang. Dan yang paling saya kesalkan, saya marah dengan Allah, kenapa Dia letak saya di situ. Kenapa Dia biarkan saya macam tu sedangkan Dia tahu saya tersiksa.

Saya jadi pemarah. Jika sesuatu perkara itu tidak mengikut apa yang saya inginkan, saya akan marah, saya akan mogok. Saya menyusahkan rakan sepengajian saya. Saya tak peduli. Bagi saya ketika itu “ah peduli apa…kau orang tak faham apa yang aku rasa. Kau orang di sini sebab kau rela, aku di sini kerana aku terpaksa!”. Saya jadi masam, saya jadi malas. Jika dulu di sekolah, sekurang-kurangnya saya ada gol untuk mendapat nombor satu dalam kelas tapi waktu di universiti, saya tak peduli. Jika mahasiswa lain giat aktif menyertai bermacam-macam persatuan, saya masih dengan marah saya, masih dengan pemberontakan saya.

Beberapa kali saya gagal, tapi dengan kuasa Allah, saya berjaya menamatkan pengajian, hanya cukup-cukup makan. Saya tidak tahu tahap keikhlasan saya dalam menuntut ilmu. Bertahun-tahun saya pujuk diri saya, takpe, habiskan belajar. Lepas tu kau cari kerja lain. Tapi, siapa la saya hamba yang hina, yang tidak reti bersyukur, yang tidak tahu redha. Saya ditakdirkan bekerja dalam bidang yang sama.

Sebelum memulakan kerja, hati saya semakin sakit. Saya mempersoalkan Allah, “Ya Tuhan, apa ini? Tak cukup Kau uji aku bertahun-tahun itu, kenapa Kau panjangkan lagi ujian ini?”. Sampaikan saya berdoa agar saya kemalangan, agar saya boleh bebaskan diri dari situasi saya. Saya menangis berkali-kali setiap hari. Saya bingung. Lepas saya marahkan Tuhan, saya beralih meminta pertolongan Dia pula. “Ya Allah, Kau keluarkan aku dari kemelut ini. Selamatkan aku dari situasi ini”. Jelas perangai seperti hamba yang tidak tahu bersyukur.

Saya memulakan kerja dengan perasaan tidak puas hati. Tambahan pula, suasana kerja bidang ini yang toksik kerana tidak membenarkan kesalahan walau satu titik pun, membuat saya semakin tertekan. Cuti jarang-jarang dapat. Menangis jangan cerita, jika dikumpul air mata, boleh membanjiri padang pasir. Sakit kepala datang tidak henti-henti. Saya masih lagi menyalahkan orang lain. Saya menyalahkan mak ayah saya kerana bagi saya mereka yang menyebabkan saya tersiksa bertahun-tahun begini. Saya menyalahkan Tuhan, kerana bagi saya, Dia yang Maha Mendengar tidak langsung mendengar rintihan saya sebaliknya saya terus dihenyak bertubi-tubi.

Benar, ujian saya tidak sebesar ujian orang lain. Apalah sangat masalah saya ini jika mahu dibandingkan dengan orang lain. Tapi, untuk berperang dengan perasaan, untuk berperang dengan diri sendiri sambil menyalahkan semua orang, saya sangat penat. Berkali-kali sahabat saya pesan agar saya redha tetapi saya degil. Bagaimana mahu redha jika memang itu sesuatu yang saya taknak sejak bertahun lamanya?

2018 – Sikap marah saya semakin menjadi-jadi. Saya sudah berani menggunakan perkataan kesat, perkataan yang jika di dengar oleh mak ayah saya akan mengakibatkan saya dirotan. Setiap kali marah saya datang, setiap kali saya tidak puas hati, saya akan lepaskan. Tidak kira itu adalah rakan sekerja, klien, atau sahabat saya sendiri. Saya akan menghempas-hempas barang di atas meja, sengaja berbuat begitu agar orang tahu saya sedang marah. Tapi apabila saya balik rumah, perasaan bersalah menyelubungi diri saya. Dan saya akan menangis di atas sejadah, bertanya kepada Tuhan, kenapa aku jadi macam ni.

Saya cuba ubah diri saya. Saya baca al-Quran setiap hari, saya solat sunat. Tapi aneh, panas baran saya tidak hilang. Bukan sedikit orang yang menitiskan air mata kerana berkecil hati dengan perangai saya. Saya rasa bersalah, tapi selepas itu saya akan marah semula. Banyak kali saya bertanya mengapa Allah tidak bantu saya. Bukankah saya ini hambaNya juga?

2019 – Saya hilang arah. Hidup saya pergi dan balik kerja. Saya solat tapi ala kadar. Apa guna saya berdoa jika akhirnya tiada hasil. Marah saya semakin menjadi-jadi. Saya semakin tidak peduli. Bagi saya, saya ini mangsa keadaan! Tidak kira apa yang saya buat, tiada hasilnya. Saya berdoa, tiada hasil. Saya mengaji, sama sahaja. Saya solat berpuluh rakaat, keadaannya begitu jua. Bukannya saya tidak berusaha, bukannya saya tidak cuba, tapi marah dan panas baran ini rupanya sudah sebati sejak zaman universiti lagi. Sesekali saya membuka video ceramah di Youtube, mendengar nasihat alim ulama’. Terkesan, ya. Tetapi ianya setakat di situ, masih tidak mampu mengubah emosi saya.

Penghujung 2019 – Saya telah membuat kesalahan besar. Saya marah seseorang itu sehingga dia menitiskan air mata. Saya tak tahu mengapa tapi ia cukup terkesan pada saya. Saya balik kerja dan menangis. Esoknya saya menangis lagi. Lusanya saya menangis lagi. Setiap kali solat saya menangis. Saya bertanya lagi pada Tuhan, “Ya Allah, apa sudah jadi pada aku? Mengapa aku begini?”. Saya muhasabah diri.

Selama ini saya hanya tahu menyalahkan orang. Sepatutnya saya menerima Qada’ dan Qadar Allah. Jika Dia letakkan saya di sini, sepatutnya saya berusaha sebaik mungkin. Sepatutnya saya sedar hakikat ini sejak 2010 lagi, tapi sebab keegoan saya, saya menyalahkan segalanya termasuk Allah yang Maha Esa. Berbakul-bakul nasihat yang saya terima dari mak ayah dan sahabat, tak pernah sekalipun saya mengambil nasihat itu dengan hati terbuka. Fikiran saya hanyalah “nasihat orang memang senang, aku yang menghadapinya ni yang tersiksa”.

Tanpa saya sedar, Allah sebenarnya sentiasa melindungi saya. Walau marah macam mana pun saya, tidak pernah terdetik untuk menaikkan suara pada mak ayah. Baran macam mana pun, tidak pernah saya menampar memukul atau mencederakan tubuh insan lain. Mengamuk dan meghempas barang, tidak ada yang menyebarkan perangai buruk saya ini di media sosial. Sahabat saya yang sentiasa mendengar dan memberi nasihat, tidak pernah sekalipun dia meninggalkan saya. Sahabat dari zaman sekolah, setia dengan saya walaupun hidup saya terumbang-ambing bertahun-tahun. Rahmat Allah pada saya sangat banyak tetapi saya tidak pernah ambil peduli.

Saya membuat keputusan untuk berubah. Saya sedar bahawa semua ini terjadi sebab silap saya sendiri. Lalu saya mencari doa mengelak marah. Allahummaghfirli dzanbi, wa adzhib ghaiza qalbi, wa ajirni minasyaitonirrajim. Ya Allah ampunkanlah dosaku, keluarkan rasa marah dari hatiku, lindungi aku dari syaitan yang direjam. Saya membaca doa ini berkali-kali, sambil menangis, sambil bermuhasabah.

2020 – Setiap kali hendak keluar rumah, saya baca doa ini. Apabila saya teringat, saya lafazkan doa ini. Apabila saya hendak marah, cepat-cepat saya berdoa dengan doa ini. Alhamdulillah, setiap kali saya berdoa, marah saya akan hilang. Alhamdulillah wasyukurillah.

Betapa banyak amal yang saya buat sebelum ini untuk meredakan kemarahan, semua tidak berhasil tetapi dengan tiga baris doa ini, ianya mampu menenangkan saya. Bukan kerana doa ini mujarab, tetapi lebih kepada keikhlasan saya dalam berdoa. Apa guna solat sunat dan mengaji jika hati tidak ikhlas, jika niat hanya mahu Allah tunaikan permintaan kita, kalau hendak dibandingkan dengan beribadat kerana mengharapkan redha Allah. Saya lambat matang, kebanyakan sahabat saya faham konsep redha dan tawakkal sejak sekian lama tetapi saya mengambil masa lebih sedekad untuk benar-benar memahami dan menghayatinya. Semua sudah berlaku, masa tak boleh diundur, saya harus teruskan hidup ini dengan azam baru.

Sekarang ini, saya semakin tenang. Bukan bermaksud saya berjaya membebaskan diri dari sifat marah seratus peratus, tetapi saya semakin bijak dalam mengawal kemarahan. Apabila saya hampir tergelincir landasan, cepat-cepat saya berdoa untuk hilangkan marah dan bersabar sebaik mungkin. Tidak mudah untuk saya melatih diri dari seorang pemarah menjadi seorang penyabar, tapi saya sedar itu yang saya perlu lakukan untuk mengejar redha Allah. Saya masih lagi bertatih dan Alhamdulillah Allah mudahkan. Sesungguhnya memang Dia Maha Mendengar, Maha Penyayang.

Jadi nasihat saya kepada kita semua termasuk diri saya sendiri, yang pertama, bimbinglah anak-anak ke bidang yang sesuai dan yang mereka minati. Jangan paksa mereka untuk hidup dalam dunia kita sebaliknya bimbing mereka untuk berdikari dalam dunia mereka sendiri. Jika kita paksa mereka hidup dalam dunia kita, mereka akan dihenyak bertubi-tubi sehingga mereka boleh patah semangat.

Yang kedua, jika kita diletakkan di sesuatu tempat atau situasi, yakinlah bahawa itu atas kehendak Allah. Buatlah yang terbaik, dapatkan keredhaanNya. Sesungguhnya di sebalik setiap ujian dan kesusahan yang diturunkan, ada rahmat tersembunyi. Redha itu, senang untuk disebut, payah untuk dilaksana. Jatuh macam mana pun kita, sesat macam mana pun, sentiasa cari Allah semula. Sentiasa yakin Allah dengan kita.

Yang ketiga, jika ada dalam kalangan sahabat-sahabat anda yang panas baran, teruskan menasihati mereka, teruskan berdoa buat mereka. Sebenarnya mereka tertekan, mereka geram dengan dunia dan mereka tidak tahu macam mana nak menghadapinya. Jangan tinggalkan mereka, sebaliknya bimbing mereka, sepertimana yang sahabat-sahabat saya buat untuk 10 tahun ini.

Dan yang terakhir, jangan salahkan sesiapa. Fikir baik-baik sebelum mula menuding jari kepada orang lain ataupun diri sendiri. Pesanan paling utama saya adalah, jangan putus asa dengan Allah, jangan putus asa mencariNya. Dia sentiasa ada dan mendengar, jika kita betul-betul menghayati sepenuh hati.

Kepada mak ayah dan sahabat sekalian, terima kasih kerana tidak berputus asa dengan saya. Kepada mereka yang pernah saya sakiti, saya minta maaf dengan sepenuh hati. Jika ditakdirkan saya berjumpa lagi dengan kalian, akan saya mohon kemaafan atas kesilapan saya. Maafkan saya.

Harap confession ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat dan kekuatan kepada yang senasib dan sekapal dengan saya. Ketahuilah, kita tak pernah keseorangan.

– Ex-Temperor (bukan nama sebenar) (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *