Perangai Kebanyakan Pembaca Novel Malaysia

Pernah korang terfikir tak kenapa banyak rumah penerbitan tempatan gulung tikar, tapi masa pesta buku berbondong-bondong orang beli buku?

Tak logik kenapa orang cari buku tapi masih ada yang terpaksa tutup kedai.

Aku Adam, dilahirkan oleh seorang ibu yang hobinya ketika remaja menulis di ruang loteng rumah. Dan aku sebagai anaknya diberikan ‘cek kosong’ apabila membeli buku.

Natijahnya, aku menjadi pembaca universal. Tak kisahlah karya novel tempatan mahupun tesis dari luar negara semua aku mampu baca dan hadam.

‘Cek kosong’ ibu berikan sehingga aku dapat gaji sendiri. Walau pun sedemikian, aku tetap memilih jenis buku yang aku beli.

Aku pilih buku ilmiah berbanding novel.

Sebab (sebagai pelajar universiti ketika itu) aku lihat novel-novel tempatan di pasaran sebagai ‘sampah’. Ceritanya lebih kurang sama. Intipatinya sudah pasti fantasi cinta.

Dan aku (yang acah tak lut cinta ketika itu) hanya tutup sebelah mata bila nampak novel tempatan. Pandang pun tak ingin.

Bila dah meningkat tua, sebagai seorang pembaca yang matang, aku tak boleh salahkan tajuk novel yang laku keras.

Walau tak la bagus mana, tapi orang tetap cari. Macam Boba Tea. Dah tahu manis potong kaki, orang masih lagi beli dan minum kan?

Dalam lambakan novel-novel tersebut, ada juga yang ada ‘inti’. Sebagai contoh penulis Tuan RAM.

Novel pertama beliau yang aku baca adalah ADAM. Aku tak kenal tulisan beliau ketika itu dan aku beli semata-mata tajuk novel itu sebab ia sama dengan nama aku.

Aku mendapat momen eureka apabila selesai membaca. Inilah jenis penulisan novel yang aku cari!

Ada inti.

Ada cerita.

Ada plot twist.

Ada gaya.

Malam tu juga aku kembali ke MPH cari buku beliau yang lain.

Namun, panas tak sampai ke petang. Setelah sekian lama, aku perasan yang beliau ‘over-milked’ sebuah watak rekaannya sehingga wujud beberapa tajuk novel yang lain, semata-mata berkisarkan watak berkenaan.

Aku tahu kenapa beliau terpaksa berbuat demikian. Walau hilang seorang peminat, masih ada lagi peminat beliau yang lain yang suka beliau buat macam tu.

Because the market dictates.

Nah, ini satu realiti semua rumah penerbitan faham. Mengapa perlu ambil risiko jual buku tak laku sedangkan ada novel yang laku?

Mengapa jual naskhah yang full mind-blown, plot twist berpintal 360 sedangkan novel fantasi cinta drama antara 2 watak lelaki dan 2 watak perempuan lebih membawa pulangan?

Bahkan ada tokoh besar penerbitan memberikan tips agar menulis genre yang evergreen (kisah cinta misalnya) untuk menjadi penulis yang popular.

Mengapa saya sebagai seorang pembaca tahu mengenai tips ini? Kerana saya beranikan diri untuk terjun dalam bidang penulisan. Dan apa yang beliau katakan itu benar.

Bila saya sendiri berada di dalam industri, baru saya faham yang, apa yang disusun di depan pintu kedai buku, itulah yang melambangkan kehendak majoriti pembaca di luar sana.

Nak yang jenis lain? Boleh masuk ke dalam dan pergi ke rak ‘Fiksyen’. Sudah tiada lagi tema cinta, tapi tema hantu, seram pula yang ada… Ini juga genre evergreen…

Novel remajanya pasal roh tak tenang di tandas asrama. Novel dewasa pula berkisar hantu, jin, bunian sehinggakan malaikat yang tergolong dalam kategori makhluk halus gugur dalam senarai.

Rakan-rakan penulis yang lain sudah dalam dilema. Nak reka karya paling agung mengikut acuan mereka sendiri atau tulis novel yang membolehkan rumah penerbitan mampu membayar royalti?

Nak terbit sendiri? Tiada masalah. Tapi follower di Wattpad kebanyakannya lebih gemar karya-karya cintan berwatakkan lelaki EXO bercinta dengan gadis kampung berbaju kurung kain kapas.

Penulis karya lain mempunyai jumlah pengikut yang boleh dibilang dengan jari. Nak print sendiri, 1000 buah baru berbaloi.

Kadang-kala aku geram dengan pembaca tempatan.

Mereka kata mereka pembaca tapi bila hendak explore karya baru, hanya tertumpu pada ‘best seller’ , high rating di Goodreads dan yang paling teruk – Eh tak kenal la penulis / rumah penerbitan ni, kalau cerita tak best buat rugi duit aku beli.

Nah, siapa yang salah jika mereka merungut tak jumpa permata sedangkan tangan mereka segan-silu menyauk lumpur?

Tahukah korang, di luar sana ada karya novel yang menyentuh perihal kejamnya dunia terhadap mangsa rogol?

Atau, novel melankolik berkisarkan seorang pelajar yang ingin tahu mengapa sahabatnya bunuh diri dengan menaiki bas kegemarannya?

Atau, novel epik sejarah nusantara berkisarkan kewujudan kitab rahsia dan seorang tokoh yang namanya dipadam dalam semua rekod tulisan Kesultanan Melayu Melaka?

Atau, novel masyakarat yang berkisarkan seorang akauntan ala-ala Jho Low yang menggubal wang haram, walau ingin pulang ke pangkal jalan tapi tuannya lebih berkuasa?

Di manakah karya mereka?

Memang la tak jumpa sebab majoriti pembaca novel Malaysia perangainya hanya mencari novel cinta…

Ada je kat kedai buku, tinggal cari tak nak cari. Nak beli online terus pun boleh. Kemudahan dah ada, tinggal pembaca untuk jadi berani saja.

Tak jumpa, jangan salahkan marketing ye?

Jika ianya tidak keluar di Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya, itu tandanya algorithm anda menunjukkan memang anda kemungkinan besar tak minat nak baca novel-novel tersebut.

Jadi anda pembaca yang mana?

– Adam (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *