Perkongsian Untuk Mereka Yang Pernah Berzina

Untuk mereka yang pernah berzina atau pernah melakukan hal-hal yang dilarang Allah. Aku ingin memberikan sedikit tips untuk memulakan kehidupan yang baru dan menjadi yang terbaik di sisi Allah. inshaa Allah.

1. Ingatlah setiap kesalahan yang kau pernah buat, sentiasa ada peluang baru untuk kau berubah. Allah sentiasa menyediakan peluang untuk dapat kehidupan yang baik, selama mana kau nak kembali pada Dia.

2. Jangan cerita pada sesiapa tentang aib kau. Ingatlah seburuk mana pun masa silam kau, jangan kau sesekali cerita. Apa kebaikan yang kau akan dapat kalau kau cerita?Mungkin itu akan merosakkan perhubungan yang sedia ada. Cukuplah hanya kau dan Allah saja yang tahu. Biarlah aib dan dosa ini tersimpan sebaiknya disisiNya di dunia mahupun di akhirat. Kalau Allah sudah simpan sebaiknya, buat apa lagi dicerita. Tapi kalau kau tak tahan tanggung sendiri, terpulang. Mungkin ada manusia yang sudi membantu memperbaiki diri kau. Andai ada orang yang tahu perbuatan zina kau dan memburuk-burukkan kau. Abaikan saja,usah pedulikan kata-kata mereka. Ya ! memang kau pernah berzina. Jadi apa masalahnya? Bukan mereka yang menentukan kau masuk syurga atau neraka. Allah menerima seburuk apa pun kita. Percayalah dan yakinlah dengan Allah.

3. Fikir positif. Zina ini salah satu dosa yang besar, tapi ini mungkin salah satu langkah untuk menjadi yang terbaik disisi Allah. Siapa tahukan? Allah uji sebab Allah sayang. Ini salah satu cara untuk kau dekat dan mencintai Allah sebaiknya.

4. Sentiasalah memohon taubat. Moga Allah akan ampunkan segala dosa-dosa kita. Menangislah dengan penuh penyesalan ,moga-moga tangisan itu dapat memadamkan api neraka. Sesungguhnya Allah Maha Menerima Taubat. Dan buatlah apa-apa kebaikan yang akan menghapuskan dosa-dosa kita.Mungkin dengan satu kebaikan yang berterusan itulah yang akan membuatkan kita ke Syurga. Sesungguhnya kebaikan itu akan menghapuskan segala perbuatan jahat.

5. Jangan putus asa. Ini yang paling penting sekali. Kau mesti takut nak mulakan kehidupan kau. Siapa yang nak terima orang yang pernah berzinakan? Lagi sakit kalau orang yang berjanji nak bertanggungjawab pergi meninggalkan kita. Siapa nak kahwin dengan orang seperti ini? Percayalah Allah akan hadirkan seseorang yang sanggup menerima kita apa adanya. Kalau dah memang jodoh,mesti ada yang sanggup terima. Buat masa sekarang, jangan fikir siapa yang akan terima kau kelak. Fokus perbaiki diri dan belajarlah mencintai Allah. Berdoalah Allah akan memberikan kehidupan yang lebih baik. Kalau tiada siapa dibumi mahu menerima kau, ingatlah Allah sentiasa menerima kau.Hidup ini hanya sementara saja, apa yang kekal hanyalah disana. Mungkin kehidupan yang baik untuk kau,hanya ada di syurga.Itukan lebih kekal dan lebih bahagia.

Aku tahu bukan senang nak berubah. Bukan senang nak melupakan masa silam yang penuh dosa. Kadang rasa takut nak teruskan kehidupan. Takut dengan masa depan bila kita akan bernikah kelak. Sesusah mana waktu yang kau lalui, seperit mana untuk kau lupakan orang yang tak bertanggungjawab itu. Kau perlu tahu kau boleh dapat kehidupan yang lebih baik selagi mana kau nak kembali pada Allah. Sabar, sabar dan terus sabar. Kau akan temuinya kebahagiaan bila kau bersama Tuhan. Percayalah. Allah sentiasa ada dan rahmatnya sentiasa luas untuk orang-orang yang melakukan dosa.

p/s: ini hanyalah pendapat sendiri untuk orang yang memerlukan. sama ada nak terima atau tak itu terpulang. maafkanlah masa silam dan mulakanlah hidup baru.

– -hurrul ain

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit