Assalamualaikum. Terima kasih admin siarkan kisah aku. Aku tak tahu nak adukan masalah aku ni pada siapa. Aku disuruh sabar, berdoa, solat hajat. Semua aku dah lakukan tapi aku tetap tak tenang.
Aku berumur 20an. Sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Suami aku bekerja dgn gaji 1.4k diawal perkahwinan kami. Dengan duit itu lah suami menyara aku, membayar duit kereta ibubapanya yang bernilai rm400.
Dengan duit itu juga, ibu mertua supaya kami membayar duit astro di rumah mereka. Kira lah kalian, berapa sahaja yang tinggal untuk kami menjalani kehidupan. Tapi Allah ArRazzak, AlKafi. Alhamdulillah, semua cukup walau tak mewah. Paling tidak, kami tak pernah makan pasir berulam batu dan kayu.
Aku berkahwin dengan seorang lelaki kiriman Allah buat aku. Demi Allah, suami aku baik. Alhamdulillah. Selepas melalui beberapa fasa yang agak mencabar, Allah tetap pilih dia untuk aku. Aku bersyukur.
Cuma yang menjadi ketakutan, kekusutan dan keserabutan aku bila kena mengadap ibu mertua aku. Aku selalu tanya orang perihal kewarasan dan kewajaran sikap ibu mertua aku supaya aku dapat muhasabah diri, adakah semua yang berlaku ini salah aku sendiri. Aku penat. Penat sangat.
Antara kisah yang boleh aku catatkan,
1. Dari awal perkahwinan, ibu mertua sering mengadu kepada suami aku kononnya aku tak sukakan dia. Katanya, tingkahlaku aku umpama tak sukakan dia. Sedangkan saat kami berjumpa tu, aku dalam keadaan sakit. Tak mampu bangun, hanya terbaring. Untuk membuat memasak pun aku tak mampu.
Saat aku diuji sakit itu juga, berulang ke klinik 2 3 kali untuk mendapatkan rawatan, ibu mertua aku boleh “beri nasihat” supaya aku tak kelihatan pucat lesu dihadapan suami kerana kata beliau “Ramai lagi perempuan yang cantik2 diluar sana, bila2 masa sahaja A (suami) boleh mencari pengganti.” Dan ucapan ini dilafazkan dihadapan aku saat aku masih sakit selepas 3bulan bernikah.
2. Pernah keluarga aku diuji dengan hal peribadi yang bakal mengaibkan jika aku menjaja cerita kepada sesiapa pun. Pada suatu hari, kami berjanji untuk pulang ke rumah mertua untuk membantu keluarga mertua mengemas rumah bersama (sebagai aktiviti mengeratkan hubungan) tapi takdir Allah, keluarga aku diuji. Aku minta suami untuk balik ke rumah mertua sendirian, tapi kata suami, beliau tidak akan pernah tinggalkan aku dan keluarga dalam keadaan genting sebegitu. Suami pun dengan penuh hormat meminta maaf atas kesulitan dari pihak kami.
Hasilnya, ibu mertua aku marah. Katanya, dia menyesal mengahwinkan suami dengan aku. Menyesal kerana tidak menyelidik latar belakang keluarga aku hingga perlu berahsi dengan beliau (untuk makluman, ibu dan ayah aku adalah ustaz dan ustazah manakala dari keluarga suami ada beberapa tokoh yang disegani). Menyesal juga kerana terburu-buru mengahwinkan kami. Katanya lagi, kami mengasingkan mereka. Mereka umpama bukan keluarga bagi kami. Allah. Remuknya hati. Sukarkan menerima privasi kami?
3. Ibu mertua diserang satu penyakit dgn tiba-tiba, atas sebab itu aku dituduh punca kepada penyakitnya itu. Katanya, asbab terlalu memikirkan kami, dia diserang penyakit dan puncanya adalah aku.
4. Aku pernah mengalami keguguran. Puncanya, berjalan jauh. Kisahnya, keluarga suami akan berpindah dari selatan ke ibu kota kerana kerja. Kami yang tinggal di ibu kota disuruh pulang ke selatan untuk membantu mereka mengemas barang. Tidak menjadi masalah pun pada kami. Cuma, saat kami mahu pulang membantu, aku disahkan mengandung.
Berkebetulan saat itu menghampiri perayaan,jadi perjalanan menjadi semakin rancak dan jauh. Suatu hari memandangkan aku tak berehat langsung dari saat diberitakan tentang kehamilan, badan aku terasa amat penat dan tak selesa. Aku minta izin suami untuk tangguhkan sehari dua sebelum kami memulakn semua permusafiran kami demi membantu keluarga suami, namun kami hampa.
Jawapan ibu mertua, “Balik, nanti rehat je dekat sini dgn mak. Mak pun tak sihat.” (Untuk makluman, saat ini ibu mertua masih sihat, dan umur beliau masih dlm lingkuan 40an). Kami akur. Sesampai kami dirumah keluarga suami, aku start bleeding. Itu pun pada awalnya, ibu mertua menegah aku ke hospital. Katanya nanti Doktor berikan ubat yang sama. Ibu mertua suruh kami ke homeopathy.
Aku kira, ibu yang ingin sponsor duit ubat ratusan ringgit itu rupanya tidak memandangkan dia yang beriya mengajak kami ke sana. Sedang aku tahu kemampuan kewangan suami aku. Kami kehabisan duit, dan duit ubat itu lah duit tambang kami untuk pulang ke ibu kota. saat itu yang penting adalah scan baby. Hati aku ada berbisik sesuatu tapi aku pendam.
Dipendekkan cerita, ptg itu aku paksa suami untuk bawa aku ke hospital dengan alasan kami keluar ke bandar bimbang ibu mertua berkecil hati. Sesampai dihospital, Dr mengesahkan aku bleeding. Dr minta bertahan untuk tgk baby dpt survive mahupun tidak. 2minggu bleeding, aku keguguran. Hari keguguran, sepatutnya suami balik kerumah mertua untuk membantu saki baki barang yang hendak dipindahkan tapi suami aku bertegas untuk tidak pulang kerana bimbangkan keadaan aku yang masih tak stabil.
Bila suami maklumkan tentang keguguran itu dan memohon maaf, ibu mertua marah. Katanya, dia sangat perlukan suami untuk bantu mereka pindah rumah. Jadi, kami perlu berikan masa keesokkan harinya untuk suami bersama mereka membantu mengemas apa yang perlu. Dan aku, seperti biasa, akur. Menangis membaca “ucapan takziah” itu sesudah tersedar dari ubat bius yang diberikan.
5. Aku pernah dikatakan isteri yang jahat dan perampas kasih seorang anak terhadap ibunya. Aku pernah disuruh dan diarah untuk membuat kerja2 rumah bagaikan orang gaji. Aku pernah dituduh punca keluarga mereka tidak bahagia lagi. Aku pernah dicaci, dihina tapi semua itu berlaku bukan dihadapan suami. Pelbagai tohmahan lagi yang pernah aku terima.
Apa yang aku lakukan? Aku hanya berdiam. Berdiam untuk elak dosa. Bimbang aku yang bukan malaikat ini menghambur kata-kata bagai tiada iman lagi yang tersisa.
Untuk menceritakan satu persatu, terlalu banyak. Ahh, bukan niat aku untuk membuka aib. Hanya memberi gambaran sedikit sebanyak tentang dilema kehidupan aku.
Aku pernah cuba memaafkan mereka, dengan seikhlas hati. Bertahun aku berendam airmata, menguatkan hati. Mencari solusi. Akhirnya hanya dengan nasihat dari ibuku, “Pergi balik rumah mertua. Minta maaf walaupun kita tak salah. Biarlah dia buat apapun, tutup mata. Ingat buat demi suami. Ikhlas kerana Allah.” Kata2 dari ibuku inilah jadi kekuatan aku untuk balik jumpa mereka.
Dan aku kira, kami sama2 belajar dari kesilapan masing2 ternyata, selepas itu masih berlaku kejadian yang merobek jiwa aku. Allahu akbar. Sungguh. Aku kalah. Hingga saat ini, aku masih bermain dengan emosi. Hingga saat ini aku masih tak mampu membuatkan diri ikhlas menerima mereka menjadi sebahagian dari kisah hidup aku.
Berdosakah aku ?
Aku tahu, diluar sana masih ramai yang menanggung beban yang lebih besar dari apa yang aku rasa ini. Syabas buat kalian. Dan bantulah aku supaya kuat dan tabah seperti kalian. Ajarkan aku tentang redha, sabar dab tawakkal. Ajarkan! Ajarkan!
Tolong aku sahabat. Tolong aku untuk aku berubah jadi yang terbaik. Aku penat terlalu penat bermain dengan emosi dan sakit yang menyentap hati. Jiwa aku kacau bila teringat setiap apa yang mereka lakukan.
Mungkin, hanya selepas kematian aku, baru mereka bergembira?
Apa yang aku mahu, tenang saat diduga, berlapang dada saat dikata, tersenyum saat dipandang hina.
Allah. Allah. Allah.
Hasbunallah wani3mal wakeel.
Aku hanya perlukan nasihat, teman. Tenangkan hati yang kian bernanah.
– Tila (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit