Pesanan Buat Anak Lelaki

Assalamualaikum kepada pembaca IIUM Confession.. Aku ingin menitipkan “pesanan teragung” kepada anak lelaki berdasarkan apa yang aku lalui dan berdasarkan apa yang aku lihat daripada seorang lelaki.

Pertama sekali, apabila kau menjadi suami, janganlah kau sesekali tolong isteri di rumah.

Yang kau perlu lakukan, setiap kali kau tiba dari rumah kau perlu masuk rumah dengan muka yang masam dan terus hamburkan kemarahan terhadap isteri dan anak-anak. Mereka pasti bahagia.

Selepas itu, sekiranya kau mengizinkan isteri kau bekerja, kau perlu serahkah semua tanggungjawab kau kepada isteri sebagai nilai ganti atas keizinan kau.

Kau katakan kepada isteri, aku tidak perlu membeli keperluan rumah ini sebab aku sudah mengizinkan kau bekerja. Kau yang perlu bayar segalanya.

Begitu juga dengan tempat tinggal. Kau tidak perlu menyediakan tempat tinggal. Yang kau perlu lakukan, biarkan isteri kau berurusan sendiri untuk beli tanah, dan kemudiannya membina rumah dengan hasil gajinya.

Manakala kau hanya berbelanja terhadap sesuatu yang kau anggap besar dan terus menyatakan akulah yang membina rumah ini.

Apabila isteri kau hamil, tidak perlu kau hantarkan ke klinik kesihatan untuk rawatan bulanan. Cukuplah sekadar kau suruh isteri kau pergi sendiri dengan menaiki motosikal. Betapa baiknya kau terhadap isteri.

Selepas kau punya anak, kau biarkan anak kau begitu saja apabila kau marah akan sesuatu. Biarkan semuanya isteri kau yang lakukan. Tak perlu hulurkan bantuan.

Yelah, kau dah penat bekerja. Isteri kau bekerja tetapi langsung tidak penat mengambil dan menghantar anak ke pengasuh.

Bila anak kau membesar, kau perlu tuduh mereka menghilangkan barangan kau. Dan kemudian kau perlu pukul mereka dengan botol air.

Bila anak kau yang berusia 12 tahun tidak tahu menyisir rambut adiknya, kau panggil dia dengan panggilan “Lembu”. Mesti anak kau gembira dan terus mendapat kebahagiaan.

Dan bila anak kau hanya berselipar ke majlis di tempat kerja kau, kau perlu melepaskan angin kau dengan membawa kereta selaju mungkin sehingga hampir melanggar orang lain.

Kalau anak kau terpatahkan arial TV, kau bantai dia guna arial TV. Senangkan ingin menjadi seorang yang dihorm4ti.

Selain itu, kereta pun gunakan hak milik isteri kau. Minyak pun suruh dia yang isi. Kau hanya perlu menabung duit kau untuk waktu tua. Manakala yang memenuhi keperluan anak-anak adalah isteri kau.

Kau katakan, aku tidak perlu beri nafkah sebab aku dah beli barang dapur. Kemudian semua barangan di rumah kau suruh isteri kau beli.

Peti sejuk, dapur gas, gas, kabinet dapur, katil, kerusi meja, almari, apa sahaja yang dalam rumah milik isteri kau. Hanya beberapa barang milik kau.

Kemudian, bila sesuatu barangan dalam rumah rosak, kau katakan kepada isteri kau, aku kalau guna barang boleh tahan berpuluh tahun. Kalau korang guna cepat je lingkup. Lepastu suruh isteri kau beli baru guna duit isteri kau.

Setelah itu, bila dengan isteri dan anak-anak kau tengking dan jerit di depan saudara mara. Mereka takkan malu. Jangan risau. Mereka akan sangat gembira.

Setelah itu, sekiranya kau acah-acah ingin membantu, kau panggil semua peralatan datang kepada kau. Suruh isteri dan anak-anak ulang alik menghantar barang kepada kau.

Sekiranya ada sesuatu mesin rosak. Kau hanya perlu perlu jerit “Woi”. Bila anak kau buat tak tahu sebab malas layan kau yang banyak songeh, kau kata je, korang ni tak reti nak tolong-tolong. Buat rumah ni macam rumah orang lain.

Kau juga perlu menyuruh isteri kau menyediakan sarapan pagi seawal jam 6 pagi sekali gus masak untuk tengah hari sebab isteri kau bekerja.

Sewaktu isteri kau masak, yang kau perlu lakukan mengomel dan membebel kenapa begitu, kenapa begini. Kalau waktu makan, kau order sahaja apa yang kau mahu makan. Kau hanya perlu beli bahan utama, bahan-bahan lain suruh isteri kau beli sendiri di kedai.

Bila isteri kau tak sempat masak, kau tarik muka dan tak perlu cakap dengan isteri kau selama beberapa minggu.

Bila bini kau terlupa siang ikan yang kau mancing berkilo-kilo setiap hari sebab penat balik kerja, kau katakan kepada anakkau, ikutlah perangai mak kau ni. Kau katakan isteri kau pemalas. Besarkan lupa. Tulah senang sangat dapat barang dengan duit kata kau.

Setelah, apa yang isteri kau lakukan, jangan sekali pun kau berlembut kata dengannya. Seharusnya kau tengking dan tuduh dia sekiranya berlaku sesuatu.

Contohnya, kalau isteri kau tak perasan baju melayu untuk sembahyang raya tiada, balik masjid kau tak perlu bersalam dengan dia. Kalau berus dalam bilik air hilang, kau tengking dia. Senang sahaja tugas kau dalam memimpin keluarga. Mudah.

Dan satu lagi yang terakhir, kau amalkanlah segala “pesanan teragung” ini sehingga waktu senja kau. Memang anak isteri akan selalu mendoakan kau, sayangkan kau. Anak kau takkan doakan kau supaya pergi m4ti daripada terus berbuat baik kepada ibu mereka.

Inilah contoh dan tauladan yang aku dapat daripada seorang lelaki. Memang setiap hari kami bahagia. Hati kami berbunga-bunga bila di rumah. Setiap hari hanya senyuman tawa.

Tapi kau jangan lupa… Ada yang Di-Atas melihat. Jangan kau lupa doa orang dizalimi itu tajam.

– ANONYMOUS (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *