Pupuk Cinta Kepada Nabi

Assalamualaikum readers. Sedikit latar belakang, saya Purple (bukan nama sebenar), berusia 20-an. Sudah bekerja.

Saya seorang pencinta muzik. Saya suka menyanyi walaupun suara saya takde lah sedap mana. Pernah masuk pertandingan nasyid masa sekolah rendah dan menengah. Saya layan lagu 90-an hingga yang terkini, tak kisah la genre apa, asalkan sedap didengar, saya akan layan. Kalau saya dah suka sesuatu lagu tu, saya akan ulaaaannngggggg banyak kali, sampailah saya terhafal lirik tu dengan sendirinya. Yang magiknya, lagu yang saya pernah hafal, saya rasa saya tak pernah lupa sampailah sekarang. Tapi kalau hafal surah atau pelajaran, sekejap je dah boleh lupa. Teruk betul. Huhu.

Tapi tahap saya suka muzik ni takde lah sampai sanggup habis duit pergi konsert ke, beli album ke. Saya rilek-rilek je dengar kat radio, MP3 atau Utube. Saya jugak takde artis yang betul-betul saya minat sampai kena tampal poster kat bilik atau jadikan gambar mereka wallpaper fon dan laptop. Tapi sekarang saya dah ada artis yang betul-betul saya minat.

Saya nak cerita sikit macam mana saya boleh jadi peminat kepada seorang artis ni. Saya namakan dia Im (bukan nama sebenar). Dia seorang lelaki yang muda 4 tahun dari saya. Saya kenal Im sejak dia umur 10 tahun lagi sebab saya ada tengok rancangan realiti TV untuk kanak-kanak dan dia ada masuk. 9 tahun berlalu tanpa apa-apa berita tentang Im sebab saya tak follow pun dia, masa tu tak minat lagi. Kemudian, bila Im dah besar, dia ada lagu sedap yang sangat meletop. Selalu lagu dia keluar di corong-corong radio. Saya layan lagu-lagu dia macam saya layan lagu-lagu sedap yang lain. Ok, masa tu saya tak minat Im lagi.

Sehinggalah pada suatu hari, saya terbaca cerita viral pasal Im yang tak upload gambar dengan perempuan, dan kalau dia upload gambar dengan peminat-peminat yang ternampak aurat mereka, Im akan edit untuk cover aurat mereka. Dia buat macam tu sebab taknak tanggung dosa. I was like wow! Seriously saya tak pernah jumpa mana-mana artis yang macam ni sebelum ni (Please jangan compare dengan penyanyi nasyid k).

Lepas kejadian tu, maka terjadilah peristiwa di mana saya Google tentang Im untuk tahu serba sedikit tentang hidup dia. Saya tahu dia anak keberapa, apa makanan kegemaran dia, sukan kegemaran dia dll. Daripada apa yang saya dapat, Im ni memang budak yang baik. Selain daripada yang saya cerita kat perenggan sebelum ni, Im juga artis yang tak tinggal solat Fardu, sangat baik dengan ibunya, Im akan jadi komposer lagu untuk penyanyi lelaki sahaja, perempuan dalam music videonya semua menutup aurat, dan Im juga ada ingatkan tentang solat dan kewajipan menutup aurat. Banyak la lagi kebaikan dia, tapi malas pulak nak tulis, takut korang menyampah pulak saya dok puji-puji Im kat sini. Huhu.

Lepas dah tahu yang Im ni budak baik, minat kepada dia mula bercambah dan mekar. Saya mula follow dia di media sosial. Saya stalk dia hari-hari tanpa gagal sampai ke hari ni. Bila saya usha peminat-peminat dia, kebanyakannya perempuan dan budak-budak sekolah. Saya rasa saya sangat tak matang bila saya pun minat kat Im jugak macam budak-budak sekolah tu, padahal saya dah 20-an kott.

Saya punya tahap minat kat Im ni takde lah sampai sanggup jalan jauh-jauh semata-mata nak pergi tengok dia secara live. Belum sampai tahap tu lagi. Tapi, tak tak boleh blahnya, nama Im ni saya sempat selitkan dalam doa-doa saya lepas solat! Bayangkan, saya boleh doa supaya dia istiqamah jadi baik, semoga dia jumpa pasangan yang baik yang betul-betul boleh jaga dia dengan baik, yang mampu bahagiakan dia. Masa Im nak masuk satu pertandingan lagu tu, saya sempat buat solat hajat dan bacakan Yaasiin hajat supaya dia menang. Saya nak tunggu persembahan Im malam tu punyalah berdebar macam apa. Lepas tu, saya boleh automatik menangis setiap kali tengok persembahan ulangan kat Utube. Saya rasa macam dah tak betul pun ada. Hahaha.

Saya tak pernah buat benda-benda ni untuk seorang artis. Seriously saya tak percaya saya buat semua ni semata-mata untuk Im. Saya rasa macam tak matang gila dan macam takde kerja je nak minat artis macam tu. Kepada readers yang tak minat artis, mesti rasa cerita saya ni poyo gila kan? Ada ke patut buang masa suka artis. Artis tu pun bukannya kenal kau. Kau dok meroyan suka dia pasai pa? Ya, saya tahu saya layak dikecam. Tapi baik korang simpan kecam tu dalam hati je, sebab saya takut korang pulak akan diuji macam saya suatu hari nanti. Sebabnya, saya rasa saya pun pernah kecam budak-budak yang minat artis ni, last-last saya pulak yang diuji jadi macam diorang.

Cerita saya tak habis lagi. Ingat tak cerita macam mana saya boleh mula minat sangat pada Im? Saya berusaha cari maklumat pasal Im. Lagi banyak saya cari maklumat, lagi banyak saya tahu pasal kebaikan dia, lagi bertambah minat saya pada Im.

Dan satu benda yang saya terfikir. Kalau saya mampu suka dan minat pada seorang artis sebab saya berusaha untuk mengenalinya dengan lebih dekat walaupun saya tak pernah jumpa dia, kenapa saya tak boleh suka dan sayang pada Nabi saya?

Eh, kenapa tiba-tiba cerita pasal Nabi pulak ni? Hmm macam ni. Saya rasalah, kalau saya tanya setiap orang Islam, “Awak sayang Nabi Muhammad SAW?”, mesti jawapannya “Ya, saya sayang Nabi”. Tapi kalau saya tanya lagi, “Apa bukti yang awak sayang Nabi?” Saya yakin ramai yang tidak mampu beri jawapan yang benar-benar solid dan meyakinkan.

Sehari berapa kali awak berselawat? Apa sunnah Nabi yang awak amalkan setiap hari? Boleh awak sebutkan kesemua nama isteri-isteri Nabi? Boleh awak sebutkan nama 10 sahabat Nabi yang dijamin syurga? Nabi berdakwah selama berapa tahun di Makkah dan Madinah?

Awak boleh jawab? Tahniah kalau boleh. Kalau tak boleh jawab macam saya, maka berhuhu lah kita. Sayang ni perlu dibuktikan, bukan hanya dilafazkan di bibir semata-mata.

Saya pernah terfikir sebelum ni, macam mana lah rasanya bila kita cinta Nabi dengan sungguh-sungguh. Mesti bahagia je rasa, kan? Tapi, saya rasa saya tak capai lagi cinta tu. Macam susah je nak capai. Sebab kita tak pernah jumpa Nabi kan, walaupun kita beriman yang Nabi tu memang benar ada. Saya selalu doa agar Allah tambahkan cinta saya kepada Allah dan Nabi.

Orang kata, tak kenal maka tak cinta. Berbalik kepada kisah Im tadi, saya mengaku yang saya mula minat pada dia lepas saya banyak tahu pasal diri dia, walaupun saya tak pernah jumpa dia. Dan saya mula terfikir sebenarnya saya mampu cinta Nabi dengan sungguh-sungguh. Kita mempu sebenarnya. Caranya, dengan mengenali Nabi! Ya, selama ni kita tak betul-betul kenal dengan Nabi kita sendiri. Kita tak banyak baca sirah Nabi, kita tak betul-betul menghayati perjuangan Nabi. Sedar tak, dengan susah payah Nabi lah, Islam sampai pada kita pada hari ni. Kita dapat kenal dan beriman dengan Pencipta kita. Semua itu atas usaha Nabi dengan izin Allah.

Kalau nak diikutkan, Nabi lebih layak disayangi berbanding dengan manusia lain dalam dunia ni. Tapi, kalau kita tak kenal, macam mana nak sayang? Sama lah juga dengan syurga dan neraka. Kita tak betul-betul kenal syurga, sebab tu kita tak sungguh-sungguh pun nak dapatkan syurga. Kita tak betul-betul kenal neraka, sebab tu kita tak sungguh-sungguh pun nak jauhkan diri daripada neraka.

Saya teringin nak ada rasa teruja untuk tahu kisah Nabi setiap hari, saya teringin nak berselawat sambil menangis sebab terlalu rindukan Nabi. Dan langkah pertama yang saya boleh buat adalah cuba kenal Nabi dengan lebih dekat lagi, insyaAllah, moga-moga rasa rindu dan sayang kepada Nabi akan bercambah nanti. Jadi, kalau ada readers yang ada cara untuk pupuk cinta Nabi, boleh la share di ruangan komen. Ataupun boleh suggest buku-buku yang sesuai untuk pupuk cinta kepada Nabi.

Kepada Im (walaupun saya rasa Im takkan baca pun), saya nak ucapkan terima kasih sebab secara tidak langsung, awak dah sedarkan saya bahawa tidak mustahil untuk saya pupuk cinta kepada Nabi. Saya tak pernah menyesal sebab minat kat Im, tapi saya akan cuba untuk move on daripada Im. Semoga kita mampu menjadi manusia yang lebih baik dan berguna kepada orang lain.

p/s: mungkin ramai yang tahu siapakah Im, dan mungkin kawan-kawan saya dapat detect siapa saya. Mohon jangan mention saya kat ruangan komen. Terima kasih.

– Cik Purple

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit