Qairina

Assalammualaikum admin dan para pembaca semua. Terlebih dahulu, aku ucapkan jutaan terima kasih pada admin jika confession aku disiarkan. Maaf jika posting aku panjang dan banyak kesalahan ejaan atau membosankan. Nama aku BOB (seharusnya bukan nama sebenar). Sejujurnya, kisah hidup aku dan isteri aku ni mungkin kisah biasa yang ada kat page alam perkahwinan yang ada kat Malaysia.

Cumanya aku harap luahan aku dapat membuat aku melepaskan kerinduan aku terhadap isteri aku. Benar kata orang bila kita kesedihan idea kita untuk menulis memang akan terus bermain di minda.

Aku kenal dengan Qairina ini dari zaman belajar lagi. Senior dan junior dalam course yang berbeza tapi sering berjumpa dalam segala hal aktiviti U. Qairina bukanlah kategori model tapi manis tu ada dan paling penting sifat ramah dia tu buat ramai orang selesa dengan dia. Qairina ini adalah gadis Iban yang berasal dari satu daerah Sarawak. Berbeza agama dan budaya tidak menghalang aku dan Qairina untuk berkawan.

Aku mula mengenali Qairina sewaktu aku sedang mengikuti satu kem motivasi dan dari situ lah hubungan kami bermula. Di kem motivasi di Lundu Sarawak inilah, yang membawa aku berjumpa dengan bidadari syurga dan ibu kepada anak-anak aku. Peristiwa yang mencipta kenangan kami. Di sini juga aku membuka salam perkenalan yang disambut mesra oleh Qairina walaupun aku dan dia berbeza agama dan budaya tapi tidak menghalang kami untuk berkawan.

Yes, aku tahu Qairina mempunyai teman yang akrab ketika mereka menyertai program gereja. Walaupun mereka selalu keluar bersama, melakukan aktiviti bersama sebelum aku kenal dengan dia. Tapi aku pegang satu perkara doa dan usaha, bukan niat aku nak mencaras tapi untuk sekadar berkawan, salam yang aku hulur di sambut mesra oleh Qairina niat aku nak berkawan lama-lama hati aku terpaut dengan keramahan Qairina. Kelembutan bicara nya membuat aku tersenyum bahagia, tutur kata yang penuh sopan akan terus aku ingat selamanya.

Tarikh 29 Mac 2014, tarikh yang akan aku terus ingat dan tersemat di dalam jiwa aku kerana pada tarikh ini aku menempuh perjalanan balik ke kampung halaman Qairina yang mengambil masa selama 6 jam dari bandaraya Kuching. Dalam perjalanan pulang ke kampung halaman Qairina, fikiran aku terfikir dengan penerimaan keluarga Qairina kerana aku menemani bidadari mereka. Apa-apa boleh berlaku pada waktu itu, tanggungjawab aku dan aku berserah kepada Illahi kerana niat aku hanya satu, menghantar Qairina balik ke kampung halaman dengan selamat.

Oh ya, kami berdua balik ke kampung kerana abang kepada Qairina terlibat dalam kemalangan dan ini pertama kali aku menghadiri upacara pengembumian dari bangsa lain dan agama lain. Disini aku beranggapan yang aku bertuah kerana dapat mempelajari sesuatu yang baru tentang adat istiadat salah satu suku kaum yang terbesar di Sarawak. Kawan aku dari madrasah pun pernah berpesan tidak ada salahnya jika kita pergi melihat adat istiadat sesebuah agama asalkan akidah kita tidak terpesong, selagi kehidupan kita berpaksikan kepada 5 waktu, dan menghindar apa yang di larang, Ins Sha ALLAH semuanya akan seperti biasa.

Penerimaan keluarga Qairina terlalu baik dan sangat hormatkan tetamu sedangkan mereka baru sahaja kehilangan ahli keluarga tersayang. Mereka sekeluarga mempelawa aku masuk ke dalam rumah dan menyuruh aku duduk di sini sehingga majlis pengembumian selesai. Aku menerima dengan hati yang terpaksa, kalau nak balik kena hadap pejalanan jauh lagi, jam dah menunjukkan pukul 10 malam. So malam itu aku tidur buat pertama kali nya di rumah panjang.

Pada malam itu, suasana sedih menyelubungi keluarga Qairina kerana kehilangan ahli keluarga yang dianggap menjadi nadi dalam keluarga mereka. Rancangan hendak tidur awal tidak kesampaian kerana AKIK kepada Qairina bertanya berbagai soalan dan aku tidak menyangka yang adik kepada AKIK Qairina ada juga yang telah memeluk islam. Akik dan Ayah Qairina berterima kasih kerana sanggup membawa Qairina pulang ke rumah untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang abangnya.

Mereka sekeluarga menceritakan kepada aku bagaimana terjadinya tragedi yang meragut nyawa abg nya, aku hanya mendengar dengan penuh simpati. Jika aku berada di tempatnya aku tidak tahu nak berbuat apa apabila kehilangan orang yang tersayang. Tapi aku nampak Qairina sekeluarga tabah dengan dugaan yang mendatang. Kekuatan jiwa Qairina memang tidak dapat aku sangkal, walaupun baru kehilangan abang yang paling rapat dengan nya, aku lihat Qairina memang tabah dengan dugaan yang di hadapinya.

Aku berkampung di daerah Qairina selama 5 hari, di sini aku banyak mempelajari adat dan cara kehidupan mereka seharian. Memang agak janggal jika kita tidak dapat mensesuaikan diri di tempat orang. Penduduk di sini memang ramah dengan tetamu yang mengunjungi Rumah Panjang di sini, aku pun tidak sangka yang aku akan rapat dengan AKIK Qairina sedangkan aku berada di sini belum sampai sehari!!

Keikhlasan dari mereka kita akan nampak jika kita memang berbuat baik dan niat kita ikhlas kepada mereka. “PULAI KE KUCHING NYA BERJIMAT, IBUN IYA ENGGAU MANAH, INGAT KE PESAN AKU, BISI MAYA NEMUAI BARU KITU” Qairina tersenyum sinis apabila AKIK nya menuturkan pesan kepada aku sedangkan aku tidak memahami sepatah kerana loghat nya begitu dalam dan aku kurang memahaminya. Namun aku tersenyum dan menunduk tanda aku paham.

Kata-kata dari orang tua Qairina masih aku pegang sampai sekarang “ENTI NUAN ENGGAI, ANJUNG PULAI ANANG NGEMEDIS KE ATI IYA” (Jika kau tidak dapat menjaga nya lagi, pulangkan lah kepada kami. Jangan kau terus sakiti hatinya) Kata-kata dari ayah Qairina masih aku pegang masih sekarang, sehingga ke hari ini.

Penerimaan keluarga aku di sebaliknya dan memang aku dah jangkakan kerana orang tua aku mempunyai pilihan mereka sendiri untuk aku, pilihan aku ditentang hebat oleh ibu ku. Belum ada lagi keturunan dan susur galur keluarga yang berkahwin dengan bangsa lain. Ibu aku memang mengamuk dengan aku tapi Qairina lebih matang menghadapi situasi ini.

Qairina lebih memahami situasi ibu aku walaupun mengambil masa yang agak lama untuk memikat hati ibu aku. Qairina pernah di herdik, di maki dan di perlakukan seperti orang gaji oleh ibuku. Semua nya di pendam oleh Qairina sendiri. Aku mengetahui semuanya dari saudara aku yang bertandang ke rumah ibu dan ayah aku, saudara aku sendiri melihat betapa cekal nya hati Qairina menghadapi semua dugaan ini dengan sendiri. “Maafkan abg sayang, kerana abang telah melakukan kesilapan kepada sayang.”

Aku cuba membuat keluarga aku faham akan apa yang aku cuba sampaikan namun semua nya sia-sia kerana ibu aku tetap mahu aku putuskan hubungan aku dengan Qairina.

Tapi aku tetap dengan pendirian aku namun pada satu saat ada sesuatu yang merubah hati ibu ketika itu. Keperibadian Qairina memang tidak dapat aku lupakan kerana Qairina mengajar kami sekeluarga arti kehidupan, warna kulit, bangsa mahupun agama tetap mengajar kita berbuat baik dengan orang lain.

Peristiwa yang aku akan ingat sampai bila-bila, ibu aku operation pembuangan ketumbuhan di bahagian kaki. Ibu ku tidak dapat berjalan buat seketika pada waktu itu, Qairina yang menjaga ibuku dari ibuku admit di Borneo sehingga keluar, cuci pakai ibuku di uruskan sendiri oleh Qairina. Ayah aku pula memang tidak begitu sihat, aku sering kali berulang alik di tempat aku mengajar yang jauh dari rumah aku. Aku memang anak tunggal, tiada adik tiada kakak mahupun abang.

Cuci pakai ibu aku semuanya di lakukan sendiri oleh Qairina, biarpun pada mulanya Qairina di herdik dan maki oleh ibuku namun kerana keikhlasan Qairina membuat hati tua ibu ku luntur dan sudi menerima Qairina sebagai menantu. Sepanjang 4 bulan menjaga ibu ku, Qairina memang seorang ciri wanita yang cekal menjaga ibu ku walaupun di herdik dan caci oleh ibu ku namun pengakhirannya ibuku menerimanya nya bukan sekadar menantu tapi sebagai anak! Berulang kali ibuku meminta maaf kepada Qairina dengan kelakuan nya sebelum ini tapi hati insan yang bernama QAIRINA ini memang tidak dapat di sangkal lagi.

23 OGOS 2015

Menerima aku kerana ILLAHI TAALA, bukan kerana aku tapi menerima Islam tanpa prejudis. Aku pernah katakan bahawa jika kita di satukan suatu hari nanti janganlah kau pilih aku tapi pilihlah Islam dahulu kerana aku hanya manusia biasa. Manusia yang mempunyai serba kekurangan tapi Islam tidak, dan aku sering katakan kepadanya satu benda, ISLAM itu Indah, ISLAM itu Mudah, Fahami dan Hayati ISLAM. Dan Alhamdulillah, dengan lafaz dua kalimah syahadah maka Azzalea Qairina Joseph menjadi saudara baru untuk umat islam.

Pernah juga Qairina bertanya kepada aku wajib ke tidak untuk dia menukar nama nya kerana sekarang dia adalah saudara baru. Lantas aku menjawab nama adalah nama, berapa ramai orang yang telah memeluk islam tanpa menukar nama. Kalau nak kekalkan boleh, kalau nak tukar boleh kerana itu tidak menjadi masalah kepada seseorang. Nama ayah pula, jika tidak ditukar tiada apa-apa masalah kerana nama itu memang nama ayah kita sendiri.

Aku pernah berpesan kepada Qairina, walaupun sudah beragama Islam hubungan keluarga jangan sesekali diputuskan kerana agamamu sahaja berubah tapi darah yang mengalir ke dalam tubuh kamu adalah darah daripada orang tuamu. Jangan sesekali membuang keluarga dan sayangi mereka seperti mana mereka menyayangi kamu tanpa tolok tandingnya. Jika balik ke kampung jangan menyusahkan orang tua untuk membeli perkakas baru kerana cukup cuci dengan sabun kerana itu sudah mencukupi.

Alhamdulilah, keluarga Qairina menerima keputusan nya untuk menukar agama. Tiada halangan dan dugaan untuk nya menukar agama cuma ayahnya berpesan agar jika ini pilihan kamu, jangan pernah lupakan keluarga. Jadilah muslimah yang taat dengan perintah Pencipta. Aku yang mendengar sendiri pada saat itu sebak kerana bukan mudah untuk orang tua yang menjaga nya dari sebesar tapak tangan tidak menghalang anak nya untuk memilih agamanya.

“Uncle, saya janji akan jaga Lynn selagi jasad saya bernafas. Dan saya akan berjanji yang saya akan bawa Lynn balik ke kampung waktu Gawai mahupun Krismas,saya janji tidak akan memisahkan pertalian kekeluargaan antara Jess dan yang lain.”

“Ukai uncle, kangau jak aku daddy. Ukai Lynn agik tang Qairina kan?? Anang mayuh ulah auk, ibun ya manah-manah. Nuan dah baka anak ku empu ukai menantu aku”

Aku terus memeluk erat badan daddy yang sudah pun lanjut usia. Terima kasih Ya ALLAH, kau permudahkan perjalanan kami berdua. Aku berdoa agar Engkau memberi hidayah kepadanya agar mereka akan terbuka hati kepada ISLAM. Ibu Qairina berpesan kepada aku, jangan pernah pisahkan Qairina dengan mereka, pulanglah ke rumah mereka jika ada kelapangan nanti.

7 Februari 2016

Setiap kenangan yang terukir ini juga akan terus membuat aku sentiasa mengingatinya. Terima kasih Ya Allah, kerana Engkau telah mempertemukan aku dengan kaum Hawa sesempurna Azzalea Qairina Joseph. Pada tarikh ini kami di satukan setelah pelbagai dugaan yang kami tempuhi, terima kasih kerna semuanya di permudahkan. Aku berjanji akan menjaga dirimu sehingga ke akhir hayat aku, Ins Sha ALLAH.

Segalanya sudah termaktub, segalanya sudah tertulis. Penyatuan antara silaturahim antara keluarga kami melalui perkahwinan aku dan Qairina memang hadiah terbesar dalam kehidupan aku. Terima kasih ALLAH kerana semuanya dengan izin_Mu.

20 September 2018

Tarikh 20 September 2018 adalah tarikh keramat untuk kami berdua kerana lahir nya putera dari rahim wanita yang cekal semangat nya, penyambung kasih aku kepada Qairina. Segalanya dah di aturkan, segalanya sudah ada jalan penceritaan sendiri. Lahirnya putera kami menguatkan lagi ikatan kami berdua namun jodoh dan ajal semuanya ketentuan Illahi, Qairina pergi untuk selamanya meninggalkan aku dan putera kami buat selamanya.

Masa nak bersalin, semua normal aku ada bersama di dalam Labour Room. Lepas bersalin Qairina ok sihat, putera kami sihat. Balik rumah seminggu lepas tu badan Qairina mula lemah dan sesak nafas. Aku bawa Qairina ke hospital dan doktor detect ada jangkitan kuman dalam darah.

Puncanya, masa Qairina bersalin baki darah tidak dibersihkan seeloknya. Umpana masih bersisa darah kat dalam. Allah, berat sungguh dugaan aku, hanya seminggu Qairina dapat bersama putera kami. Putera kami yang masih tak kenal wajah ibunya, yang masih memerlukan susu ibu. Sungguh demi Allah, aku tak kuat dengan semua ini. Mujurlah ada keluarga dan rakan-rakan yang banyak beri semangat kepada aku.

Namun ibuku meraung bila dapat tahu Qairina tidak dapat bertahan lama kerana ibu telah menganggap Qairina seperti anaknya sendiri. 3 minggu Qairina cuba melawan tapi bila sel kulit dah mati, hampir seluruh tubuh Qairina jadi hitam akibat jangkitan kuman. Aku cuba tak menangis masa bersamanya ketika menemaninya di ICU, sebab doktor kata mungkin dia koma tapi dia boleh dengar dan rasa apa yg kita cakap. Tapi aku tak mampu, bila teringat putera kami yang masih kecil, siapa yang nak jaga putera aku nanti kalau isteri aku dah tak ada di sisi?

5 Oktober 2018

Aku sabar dan istiqamah dengan segala ketentuan dari ALLAH kerna tiada satu pun di dunia milik kita, semua milik Allah. Tapi aku bersyukur sebab aku sempat temankan Qairina masa dia nak melahirkan. Cinta dan sayang aku kepada Qairina akan ku bawa hingga ke akhir hayat aku dan akan ku simpan segala memori aku dan Qairina sehingga jasad aku terbaring di tanah.

Subuh di pagi jumaat, Qairina pergi buat selamanya dan aku tetap bersama dengan nya hingga akhir hayat nya. Ibuku paling terkesan dengan pemergian Qairina, malah ibu Qairina cuba menenangkan ibuku pada tika itu. Hingga saat ini aku tidak dapat pulang ke rumah kami kerana terlalu banyak kenangan aku dan Qairina walaupun kehadirannya hanyalah sekejap tapi cukup bermakna bagi aku.

“AKIK, aku dah ngamat ke janji enggau nuan mega sama apai seduai indai yang aku akan ngibun Qairina sampai lesi. Ilak enti baby besai ilak aku maik ya bertemu ngau kitak sebilik.”

“Mak, relakan pemergian Qairina biar Qairina tenang di sana jangan terus di ratapi pemergiannya. Relakan lah mak.”

Sayang, abang rindukan awak, sesungguhnya abang terlalu rindukan awak, tunggu abang dan anak kita di sana nanti……..

– BOB

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *