Rasuk

TING!!!

NOMBOR DUA PULUH ENAM.

Hari ini aku membantu di Klinik Psikiatri.

Psikiatri ini adalah salah satu subjek yang kuminati di universiti dulu.

Banyak kes-kes yang menarik dan jarang yang kita dengar.

“Cik Nur Salina ye. Assalamualaikum.”, sapaku saat pintu daun dikuak masuk.

Masuk seorang wanita muda, berpakaian baju kurung moden; kemas.

Berumur dalam 20-an, ditemani ibunya, puan Katijah yang tersenyum berwajah ramah.

Namun, salam diucap tidak berbalas. Dia hanya menjeling ke arah, kak Ma, pembantu perawatan kesihatan yang berdiri di sebelah mejaku.

Tanpa dipelawa, Salina lantas duduk di kerusi berhadapan denganku.

Masih tidak bersuara, namun matanya mencerlung tajam ke arah wajahku.

“Apa khabar hari ini cik Salina?”, tanyaku lembut.

Masih membisu, tidak bersuara.

“Kakak, jawab doktor tanya tu.”, balas ibunya, memecah keheningan bilik itu.

“Grrrrr!!!!”, Salina menderam.

Matanya masih melekat diwajahku.

“Kami datang ni doktor, nak minta surat.”, sambung ibunya.

“Anak saya ni dia selalu sakit, jadi bila sakit, tak dapat masuk kerja.”

“Jadi MC dia sudah sampai hadnya.”

Kubelek fail temujanji dihadapanku. Masih baru.

Ini temujanji yang pertama, kes dirujuk oleh kawanku dari Klinik.

“Begini puan. Kita belum boleh keluarkan sebarang surat memandangkan ini adalah kali pertama temujanji dengan kita. Bagi kita mengeluarkan laporan perubatan, memerlukan…”

“Argghhhhh!!!!!” jerit Salina sambil bingkas bangun dari kerusi dan berdiri di tepi sinki.

Matanya masih tajam merenungku.

Tergamam bila kata-kataku dipotong secara tiba-tiba.

“Grrr….”, sambil menderam, Salina meluru ke arah tong sampah kuning, tong sisa klinikal dibongkar.

Bongkar-bangkir segala isi perut tong kuning. ‘Gauze’ yang telah dipakai merata-rata.

“Doktor, tolong saya!!”, jerit kak Ma sambil cuba memegang sebelah tangan Salina.

Bingkas aku bangun dan bantu memegang tangan kanan Salina, manakala kak Ma pula di sebelah kiri.

“Argghhhhh….arghhhhh!!!”, jerit Salina tanpa sebarang kata yang boleh difahami.

Matanya dijegilkan, badan meronta-ronta.

Kudratnya macam lelaki.

Berhempas pulas kami cuba memegangnya.

Tiba-tiba kurasakan tangan kananku sakit. Rupa-rupanya lenganku telah di’baham’ oleh Salina.

“Doktor, doktor!!!”

“Tangan doktor kena gigit!!!” jerit kak Ma.

Aku hanya mampu mengangguk sambil menyeringai kesakitan.

“Ye kak, saya tahu tangan saya kena gigit.” jerit hatiku.

Ibu Salina pula terkumat-kamit di depan anak.

“Takpe doktor, saya tahu apa nak buat!”, jerit ibunya cemas.

“Ustaz ada ajar macam mana nak buat kalau dia kena rasuk!””

Pakkkkkk!!!

Dihentaknya dahi Salina dengan telapak tangan kanannya.

Terus, terkumat-kamit lagi mulutnya membaca.

Pakkkkkkk!!!

Aku kini berubah kedudukan dari sisi Salina, kebelakang mengunci kedua lengannya.

Serik selepas digigit, luka sedikit lengan kananku.

Salina berhenti meronta, dari menjerit-jerit, dia kini mengongoi seakan-akan menangis.

“Takpe doktor, saya telefon abah dia sekejap.”

“Nak maklumkan pada ustaz yang dia kerasukan lagi.”, ujar puan Katijah sambil membuat panggilan.

Suasana masih cemas, sisa klinikal bertaburan di lantai.

Namun, tiada siapa yang bersuara.

Perlahan-lahan kulepaskan lengan Salina.

“Puan, kami fikir Salina perlu dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan lebih lanjut, dan untuk rawatan yang sepatutnya.”, ujarku.

“Haaa? Masuk wad? Tak mau, tak mau.”, balas puan Katijah.

“Saya bawa dia datang untuk dapatkan surat sahaja, bukan untuk masuk wad.” tambah ibunya lagi.

Aku dan kak Ma terdiam, sambil memandang satu sama lain.

“Kalau macam tu, puan kena tandatangan surat tanggungan atas risiko sendiri.”, pintaku.

“Boleh. Doktor bagi sahaja suratnya. Lagipun petang nanti saya bawa Salina lagi untuk berubat.”, tambah puan Katijah tanpa rasa bersalah.

Dokumen ditandatangan, dan mereka pun berlalu pulang.

Seminggu selepas itu, kami dapat berita dari jiran yang tinggal berhampiran dengan rumah Salina tentang keadaannya.

Rupa-rupanya dia akan berkelakuan yang sama hingga 3 kali dalam masa sehari. Habis lantai dan dinding dijilatnya.

Dan dia sudah mengalami simptom tersebut sejak dari menuntut pengajian di universiti lagi, namun tidak pernah mendapatkan rawatan. Sudah tiga kali bertukar tempat kerja, dan kebiasaannya tidak tahan lama.

Luka ditanganku beransur sembuh, namun luka dihati tiada siapa yang tahu.

– Dr. Kuloh

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *