Redha dan Bersabarlah

Assalamualaikum semua.. Ini adalah pertama kali saya menulis luahan di sini. Saya terpanggil untuk menulis setelah membaca confession ‘Pengajaran Untuk Semua’ (https://iiumc.com/pengajaran-untuk-semua/), dari sis Anne.

Jujur saya katakan, hanya Allah yang tahu perasaan saya bila saya membaca confession awak Anne. Saya juga telah menjadi mangsa lelaki yang sama perilakunya. Jalan cerita kita pun hampir sama sampai saya berfikir, adakah kita mangsa orang yang sama? Wallahualam.

Ya, apa yang berlaku kepada saya seakan sama dengan apa yang sis Anne lalui. Saya mengenali ‘M’ ketika itu dia meminta pertolongan saya di sebuah stesen mengatakan telah disamun dan memerlukan sedikit duit untuk pulang ke kampung. Selepas saya soal dia serba sedikit barulah saya bersetuju memberikan sedikit duit atas dasar ihsan.

Kesilapan saya pada waktu ini adalah mempercayai ceritanya dan bersetuju memberikan nombor telefon kerana dia berkeras mahu membayar kembali. Dari situlah bermula perkenalan kami. Sejak itu hampir setiap hari dia akan cuba mengajak saya berjumpa dan akhirnya dia berjaya meyakinkan saya untuk menjadi teman wanitanya.

Dalam perhubungan yang cuma beberapa bulan sahaja inilah, dia meminta duit saya dengan pelbagai alasan. Walaupun kadangkala saya rasa alasan yang diberi tidak munasabah, tapi entah kenapa saya memberi dan terus memberi. Tentang check in hotel sebagainya, maaf terlalu perit untuk saya ceritakan kerana saya sedar saya yang tidak pandai menjaga diri. Ini adalah kepahitan yang terpaksa saya telan selamanya.

Berbalik kepada cerita saya, ‘M’ telah mengawal hidup saya dengan terlalu keterlaluan. Saya juga dihantar pergi kerja dan balik, kereta saya dia pegang, saya tidak boleh ada duit, soroklah macam mana pun dia akan pastikan duit saya dapat ke tangannya dengan cara mengugut dan memaksa saya. Dia tidak ada tempat tinggal jadi dia sentiasa tinggal di hotel di mana kadang2 dia memaksa saya untuk membayarnya.

Tidak lama selepas saya berkawan dengannya, saya mula rungsing. Saya sering mempersoalkan kenapa dia tidak ada duit sedangkan dia bekerja ketika itu. Macam2 alasan diberi sehinggalah saya dapat tahu dia ambil ‘ais’ dan juga bermain judi online. Makin lama berkawan banyaklah rahsia terbongkar. Benda jahat apa yang dia tak pernah lakukan.

Cakap saja, judi, dadah, main perempuan, menyamun, merompak semua dia pernah buat. Saya pernah cuba melarikan diri seketika tapi dia berjaya menemukan saya di mana kesannya saya dipukul. Ditampar dan ditumbuk. Sejak itu, saya seperti seorang tawanan. Dia mengawal saya sepenuhnya dan saya tidak tahu ke mana nak lari. Dia tahu di mana rumah dan office saya.

Silap saya sekali lagi, saya mengharapkan dia berubah dan bertanggungjawab atas semua perbuatannya. Dia berjanji mahu berubah. Namun semuanya hanya sementara sahaja. Ketagihnya dia pada judi telah menyebabkan duit saya habis sekelip mata sampai terpaksa meminjam.

Bukan itu sahaja dia juga turut merampas telefon saya dan menghantar DM dan whatsapp kepada kawan2 saya untuk meminjam duit. Perbuatan dia adalah sangat teruk dan kejam kerana dia berlakon sebagai saya dan meminjam duit di sana sini. Dia hanya memulangkan telefon saya kembali setelah dia memadam semua DM tersebut.

Saya bukanlah jenis orang yang suka meminjam jadi situasi ini memberikan tekanan yang sangat teruk kepada saya. Ada kalanya saya terima DM dari rakan meminta supaya duit mereka dibayar walhal saya tidak tahu menahu langsung. Bila saya marah ‘M’, saya dimaki dan dicarut. Dipukul pun ada.

Seperti yang sis Anne lalui, apa yang telah terjadi menyebabkan saya juga turut berubah sikap sehingga orang di sekeliling semua perasan akan perubahan saya. Prestasi kerja saya terganggu. Jujur saya katakan, saya pernah terfikir untuk membunuh ‘M’ kerana sudah tidak tahan. Tapi saya masih waras. Apalah yang saya dapat pun kalau saya bunuh dia?

Alhamdulillah saya masih ada rakan yang saya percayai untuk meluahkan mengenai perkara ini. Walaupun saya tidak menceritakan sepenuhnya, atas nasihat merekalah saya dapat kekuatan untuk melarikan diri sekali lagi. Tetapi kali ini, saya berdepan cabaran baru untuk bercerita kepada keluarga. Ya, sudah tentulah ibubapa saya kecewa dan saya dimarahi.

Namun, saya bersyukur mereka tetap support saya dan mengambil tindakan untuk melindungi saya. Atas nasihat keluarga, saya berhenti kerja dan balik ke kampung. Saya juga mengalami situasi sama seperti Anne di mana saya diperlekehkan oleh polis yang mengambil repot saya.

Selepas beberapa insiden diperlekehkan ini, saya membuat keputusan untuk tidak meneruskan untuk mendakwa ‘M’ kerana tekanan yang saya alami dan juga kerana saya tidak mahu dikaitkan dengannya lagi.

Sejak peristiwa ini, saya trauma. Setiap malam saya susah nak tidur dan sering bermimpi buruk. Selepas saya meninggalkan dia, saya diugut bermacam2. Ugut bunuh saya dan family, ugut untuk sebarkan fitnah mengenai saya di media sosial dan kepada semua orang yang mengenali saya.

Disebabkan dia, saya menanggung hutang yang banyak sehingga sekarang. Saya tertekan dan takut nak berdepan orang. Sekarang saya sudah bekerja di tempat baru tetapi saya masih berasa takut2. Saya membayangkan dia mengekori dan akan menyerang saya pada bila2 masa.

Sekarang saya kehilangan diri saya sendiri. Saya rindukan diri saya yang dulu, tiada masalah, gaji cukup, tak perlu berhutang dengan orang, pekerjaan yang seronok dan sentiasa gembira. Buat sis Anne, banyakkan bersabar dan redha dengan ujian ini. Hargailah apa yang kita ada sekarang walaupun cuma perkara2 kecil.

Tentang jodoh, mungkin Allah ada aturan yang lebih baik buat kita. Buat masa ini, baikilah diri kita dahulu. Mungkin semua ini terjadi kerana salah kita sendiri, dan Allah menguji kita untuk menyedarkan kita kembali. Bersyukurlah Allah telah menarik kita jauh dari lelaki durjana tersebut.

Buat pembaca2 confession ini, saya hargai sekiranya anda janganlah judge kami itu dan ini. Kami tak minta untuk menjadi mangsa. Saya mendapati bahawa ‘M’ adalah seorang narcissist. Sebagai ‘narcissistic abuse survivor’ saya sangat memerlukan kata2 positif dari anda untuk meneruskan hidup.

Untuk sis Anne, boleh cari maklumat berkenaan dengan narcissistic abuse. Saya banyak membaca mengenai pengalaman ‘narcissistic abuse survivor’ ini dan ia sangat membantu saya dalam memahami perkara yang telah berlaku.

Akhir sekali dari saya, nasihat saya kepada wanita di luar sana. Jaga diri baik2 ya, jangan mudah percaya kepada orang asing. Awal perkenalan memanglah yang baik2 saja ditunjukkan jadi kita orang perempuan mudah keliru. Mudah jatuh hati. Sayangi diri kita dahulu.

Jika dah nampak ada yang tidak kena, segeralah berundur dari hubungan tersebut. Janganlah bersangka baik bukan pada tempatnya. Kerana itulah silap saya, bersangka baik sedangkan saya cuma dipergunakan dari awal.

Sis Anne, alangkah baiknya sekiranya saya dapat mengenali anda. Dapat berkongsi perasaan untuk mengubati tekanan.

Maaf sekiranya luahan saya agak kurang jelas kerana saya tidak sanggup untuk bercerita dengan lebih detail. Terima kasih kerana sudi membaca.

– Dina (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *