Rezeki Itu Pasti Sampai

Rezeki Itu Pasti Sampai

Assalammualaikum semua. Aku harap korang mampu baca sampai habis kisah aku ni. Mungkin kisah ni boleh jadi panduan buat korang yang tengah rasa putus asa nak cari kerja, bosan dengan hidup dan segala macam benda. Waktu aku terbuka hati nak taip confession ni pun baru pukul 4:30 pagi dah tak boleh tidur macam macam aku bayangkan dan aku baru lepas mesej ayah aku ucap terima kasih. Nanti aku cerita kenapa.

Aku, sejak aku sekolah aku bukan lah pelajar yang cemerlang. Aku tak pandai macam kawan kawan yang lain dan aku bukan dalam kategori yang terbaik. Takde siapa pun nak rapat atau dekat dengan aku sebab takde apa yang ada dekat aku yang boleh dibanggakan. Sejak kecik memang aku akan sentiasa dibandingkan dengan adik beradik lain dan anak anak saudara yang dah berjaya. (Rasa sebak dan hampir menitis air mata bila ingat kembali). Aku dapat keputusan UPSR cuma 1A. PMR tak seberapa dengan 2A dan SPM cuma 2 atau 3A tak silap aku. Ya, memang hancur lebur nak jadi cikgu, peguam, doktor (ni 3 jenis cita-cita waktu cikgu sekolah rendah suruh tulis dulu)

Lepas SPM aku kerja tadika, kedai surat khabar, macam macam tempat aku kerja. Kawan kawan lain semua dah ikut haluan sendiri ada masuk universiti dan kerja. Aku? Walau selepas setahun aku masih tak jumpa diri aku dan apa aku nak dalam hidup. Satu hari Allah temukan aku dengan seseorang yang kerja di bahagian MARA. Arwah aunty tu yang beritahu aku tentang satu kolej yang tak ramai anak muda tahu dan beri banyak kelebihan, Kolej Professional Mara. (Sahabat semua tolong sedekahkan Al Fatihah buat aunty tersebut. Aku doakan moga diberikan syurga buatnya. Aamiin)

Alhamdulillah aku diterima masuk dan proses pendaftaran bermula. Aku tak sungguh-sungguh pun nak belajar tapi ada satu perkara yang meniup semangat dan buat aku nekad untuk belajar sungguh-sungguh. Ye, ayah aku. Aku tengok muka mak aku dan aku tengok ayah aku. Aku tengok macam mana payah dan susah ayah aku tolong aku angkat bag dan galas jinjing sampai tingkat 4. Waktu tu aku nekad, ya Allah.. permudahkanlah urusan aku disini. Aku nak balas jasa mak ayah aku.

Setiap semester pointer aku 3.30 ke atas, semester 4 aku dapat 3.57 dan semester 6 aku berjaya dapat 3.87 dan akhir semester aku dapat 4.00 flat. Ya Allah.. Allah tak pernah tidur, Allah dengar setiap doa aku. Waktu konvokesyen aku nampak mak aku menangis dan ayah aku kesat mata tapi menoleh. Aku tahu, mereka bangga. (Aku menangis waktu taip ni.. aku cuba gagah nak menulis lg ya..hmm aku sambung)

Aku belum puas. Aku cuba apply UPU.. aku tak meletakkan harapan tinggi sebab aku tahu bukan senang nak masuk IPTA. Satu hari, aku semak keputusan dan aku diterima masuk ke Universiti Putra Malaysia (UPM). Syukur Alhamdulillah… eh, aku lupa bagitau korang aku sangat benci bahasa inggeris dan aku langsung tak tahu bahasa inggeris, suka ponteng waktu kelas bahasa inggeris masa sekolah rendah menengah dulu. Tapi, diploma aku dulu English Communication dan waktu degree, aku ambil English Linguistics. (Terima kasih aunty aku yang bawak aku duduk dengan dia selama 3 bulan lepas tengok betapa teruk report card aku waktu form 2 dulu dan berjaya mendisiplinkan aku)

3 tahun setengah berlalu. Konvokesyen aku.. tapi waktu ni aku sebak sikit dan sedih sebab mak ayah aku dah bercerai. Tapi mak ayah aku tetap datang cuma bezanya mereka tak lagi datang bersama. (Punca cerai, cukup lah kalian tahu… sudah setakat itu jodoh yang Allah beri)
Hmm.. struggle nya aku waktu degree ni Allah saja yang tahu tapi aku berjaya juga dapatkan dekan demi mak dan ayah.

Selepas aku habis belajar, macam-macam aku buat. Jual perfume, jadi dropship produk, jual barang itu ini. Satu hari, aku dapat kerja dengan satu training company dan dia hantar aku ke Penang. Selepas 3 bulan aku dihantar ke Philippines. (Aku ni dari dulu berdoa nak sangat keje oversea.. haa dah kerja baru tahu rindu teruk kat Malaysia)

Setahun berlalu, aku balik Malaysia dan aku dapat offer dari production house. Setahun lebih, aku jumpa jodoh aku dekat Klia. (Panjang ceritanya, waktu ni tersilap tempat ambil bag dan mamat ni agak poyo tapi aku berjaya dapat no dia sebab aku nak hire untuk wedding aku nanti amik gambar. Acah-acah last last aku kawin dengan dia hahaha lol. Malas citer part ni hahaha)

Okay sambung… lepas kahwin aku dapat offer kerja dengan satu company ni dengan offer yang lebih lumayan. Alhamdulillah.. dan selepas dua tahun, aku dapat better offer. Kerja yang lebih besar, tanggungjawab lebih besar dengan lebih 200 pekerja dibawah. Alhamdulillah..

Aku percaya rezeki yang datang ni bukan dari usaha aku sahaja tapi sebab berkat doa mak ayah aku. Setiap kali aku nak minta kerja, aku dapat interview, aku akan bagitau mak ayah aku untuk doakan aku supaya mudah aku lalui interview dan moga aku dapat kerja tu. Setiap kali tu lah mak akan mendoakan aku, ayah akan buat solat hajat untuk aku dan setiap kali tu lah setiap offer dan interview yang aku dapat, semuanya lepas dan aku dapat kesemua tawaran. Ya Allah… haramkanlah kedua ibu bapaku dari api nerakaMu ya Allah…

Hari ni, aku rasa lengkap. Makan pakaiku cukup, kehidupan agak selesa. Paling penting aku ada mak ayah yang selalu mendoakan aku, aku ada suami yang terbaik yang selalu bersama aku susah senang dan sangat memuliakan kedua orang tuanya dan orang tua ku. Aku percaya ini adalah kerana doa kedua ibu bapa.

Buat kalian yang rasa putus asa dan sedih dengan kehidupan, pandang ibu ayah minta mereka doakan kejayaan kita dunia akhirat dan buat mereka yang telah pergi, sama sama sedekahkan Al-Fatihah dan doakan mereka selalu. Percayalah, dalam ketika mendoakan mereka, Allah titipkan ketenangan dan permudahkan segala urusan kita. In shaa Allah…

TAMAT…

– Myecalla

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit