Rumahtangga dan Perubahan

Rumahtangga dan Perubahan

Terima kasih admin kerana menyiarkan confession saya. Sebelum ni saya ada hantar confession atau sharing tapi lebih kepada peringatan dan nasihat untuk diri sendiri dan semua. Ini juga confession sekadar sharing sebagai peringatan kita bersama juga.

Saya seorang isteri yang sudah berkahwin selama lebih dari belasan tahun. Alhamdulillah. Saya mengenali suami saya dari seorang sepupu di kampung. Tak sampai beberapa tahun perkenalan, kami berkahwin. Tapi sebelum berkahwin dengan suami saya sekarang, saya ada kenal dan berkawan dengan beberapa orang lelaki. Saya juga pernah couple dengan salah seorang dari mereka. Tapi walaupun masa tu dah ada pakwe, tapi setiap kali lepas solat pasti saya akan berdoa …

“Ya Allah, berikanlah aku jodoh yang terbaik dan lelaki soleh yang dapat membimbing aku dunia dan akhirat”

Saya pun tak yakin jodoh dengan pakwe tu sebenarnya sebab sebelum ni dia pernah minta putus gara-gara ada perempuan lain. Tapi saya yang bodoh waktu tu tak nak mengalah dan nak dia jugak. Saya menang. Tapi walaupun dah berbaik saya berdendam dan berjanji akan buat dia macam dia buat kat saya. Mana tak berdendam… tu first time saya couple dan serius dengan lelaki tapi sayangnya dengan orang yang salah.

Kalau ada jodoh dan memang dia lelaki yang terbaik untuk saya, kahwin lah kami… kalau tak, saya minta juga pada Allah supaya dijauhkan dari dia. Selepas 4 tahun couple ternyatalah dia bukan jodoh saya. Saya minta putus. Waktu tu dia bekerja kat negeri lain dan saya pula berkenalan dengan suami saya sekarang.

Kalau ditanya pasal couple-couple ni sebenarnya saya menyesal yang amat sangat bercouple. Serius cakap couple atau bercinta ni sebenarnya mendekatkan diri kita kepada zina. Zina mata, zina hati, zina macam-macam lagi…sedangkan Allah melarang kita dalam Al Quran supaya menjauhi zina. Bagi anda yang sedang bercouple … cepat-cepatlah akhiri hubungan dengan ikatan perkahwinan yang sah. Kita nak ikut Al Quran ke nak ikut kata nafsu dalam hati sekarang ni?

Timbang-timbangkanlah… nasihat ni ikhlas sebab saya sudah melaluinya dan saya jadi benci serta menyesal teramat sangat bila mengingatkannya. Jangan jadi macam saya. Dan katakan plot twist orang pertama yang saya dok couple tu adalah suami saya sekarang, saya tetap menyesal … kerana bercinta atau bercouple adalah satu perkara yang dilarang.

Berbalik pada kisah saya, Suami saya tahu semua kisah cinta-cintun saya dan dia terima saya seadanya. Saya rasa sangat bersyukur dan bertuah kerana suami melamar saya. Sebelum kahwin, Saya solat istikharah dan begitu juga dia. Jawapan untuk istikharah kami adalah kami memang ditakdirkan hidup bersama sebagai pasangan suami isteri.

Untuk sharing bersama, sebelum berkahwin atau hari akad nikah eloklah kita solat taubat atas segala dosa zina mata, zina hati dan semua dosa yang kita tak sedar selama sebelum ni sebab asyik bercouple dan sebagainya. Tapi walau macamana pun bukanlah bererti sebelum nak kahwin saja… sekarangpun boleh bertaubat. Solat taubat bila-bila masa saja boleh dilakukan.

Alhamdulillah tahun 2006, kami selamat diijabkabul … mula-mula kahwin tu rasa macam tak percaya … eh aku dah jadi isteri orang. Lelaki kat sebelah aku ni suami aku rupanya. Selama ni semuanya seorang sekarang berdua. (Alah korang pun masa mula-mula kahwin mesti ada terdetik dalam hati macam tu jugakkan. Hehe.)

Saya ni sebenarnya dari dulu sampailah mula-mula kahwin perangai mudah nak sentap dan panas baran. Tapi suami saya perangai dia sebaliknya. Bila saya jadi api, dia jadi airnya. Dia banyak ubah saya jadi seorang yang kurang pemarah dan mudah bertolak ansur. Sekarang ni saya pun dah tak ingat bila kali terakhir saya merajuk dan sentap dengan dia. Haha. Serius. Lagi pula Kami pun dah lama tak bergaduh atau perang besar sekarang ni. Alhamdulillah.

Pada awal perkahwinan, kerap bergaduh walaupun benda yang remeh temeh bukanlah satu perkara yang aneh. Orang kata awal perkahwinan dalam 5 tahun pertama tu adalah masa untuk kita menyesuaikan diri. Yelah, selama ni hidup sorang tiba-tiba nak kongsi semuanya berdua pastilah ada saja konflik. Tapi kalau boleh janganlah dua-dua panas. Salah sorang kena mengalah. Turunkan ego.

Kenangkan semua perkara-perkara manis yang pasangan lakukan atau korbankan untuk kita selama ni. Bagi kes saya, suami lah yang banyak mengalah. Banyak benda dia buat untuk saya. Sampailah saat ni saya sedar, kalau nak bandingkan atau nak buat ukuran rasa cinta dan sayang antara kami berdua, saya boleh katakan dan akui yang dia lebih cinta dan sayangkan saya. Oh ini bukan drama TV pukul 7 petang ya. Ini betul-betul bukan cobaan (Sebenarnya tengah sebak ni)

Cakap pasal benda lain pulak tak mau sebak-sebak… awal-awal dulu jugak… kami bukannya jenis yang titikberatkan sangat pasal hal agama tapi bukanlah bermakna kami tak solat atau tak puasa. Kami solat, puasa dan buat segala suruhan Allah cuma rasanya macam tak lengkap. contohnya macam dari segi berpakaian. Macam saya … Waktu tu tak fikir pun pasal pkaian tutup aurat ni. Pakaian saya masa tu saya fikir macam dah tutup aurat walaupun bukan … hehe.. taklah pakai tudung labuh tutup dada dan baju labuh tutup bahagian pinggul. Biasa-biasa saja.

Hinggalah beberapa tahun tu… ada satu peristiwa ni berlaku atau mungkin boleh dikatakan “hidayah” dari Allah… saya terus tukar cara berpakaian saya tutup aurat yang dimahukan syarak… tudung ttup dada, pakai stokin kaki dan sarung lengan, seluar dah jarang sangat pakai kalau pakai pun yang longgar, baju-baju semua dah tak ada lagi yang singkat atau ketat mengikut badan … semuanya bertukar kepada jubah, baju kurung atau blouse labuh.

Semua family dan orang terdekat macam terkejut tengok perubahan luaran saya. Saya tekadkan hati untuk berubah sungguh-sungguh. Tapi korang kalau berubah atau berhijrah tu pakaian lama-lama jangan buang. Bazir nanti. Pakai saja depan suami atau dalam bilik tidur dan jangan pakai luar rumah. Kalau taknak, sedekah kat orang lain saja tapi pesanlah sikit dengan hikmah jangan pakai depan yang bukan mahram pula. Hehe.

Suami saya juga sama-sama berubah. kami banyak dekatkan diri dengan Allah dengan pergi ceramah-ceramah agama sama-sama, belajar Al Quran, kadang-kadang bangun solat tahajjud sama-sama. Suami juga sekarang ni dah selalu ke masjid solat berjemaah dan dengar kuliah. Sekarang saya tertanya-tertanya adakah doa saya sebelum berkahwin dulu sudah dimakbulkan Allah. Allahu. Allah Maha mendengar.

Ada masanya saya rasa macam tak layak nak terima semua yang saya dapat sekarang sebab saya sedar banyaknya dosa saya selama ni. Saya dapat suami yang bertanggungjawab, rajin, good-looking, penyayang, selalu mengalah, sentiasa terbuka dalam menerima teguran, kami ada kenderaan dan rumah sendiri, boleh bercuti sana sini dan banyak lagi walaupun kekurangannya satu sahaja iaitu kami masih belum dikurniakan zuriat.

Orang cakap better counting your bless rather than meratapi benda yang kita tak ada. Nanti takut-takut kita akan jadi orang yang tak bersyukur disebabkan kekurangan satu perkara yang kita nak tapi tak dapat tu. Oh ya, bercakap pasal zuriat ni awal-awal kahwin toksah katalah memang sentap kalau ada yang dok tanya-tanya bila nak ada anak. Tapikan sekarang ni saya perasan sangat bila orang dok tanya soalan-soalan yang sama macam tu dah tak ada lagi rasa sentap atau sebagainya. Saya analisis lagi dalam hati saya… tak ada.

Yang saya rasa cuma ketenangan. Jawab elok-elok. Mungkin bila kita dah sedar “tujuan hidup” kita nak ke mana… semua tu tak ada nilainya lagi… maksud saya bandingkan hidup di dunia yang sementara ini dengan hidup selepas mati nanti… mana yang lebih lama? Mana yang lebih worth untuk ditangisi?

Jadi bagi pasangan yang masih belum dikurniakan zuriat ni janganlah rasa rendah diri atau tertekan, dekatkan diri dengan Allah. Bukan saja yang tak ada zuriat tapi kepada pembaca yang sedang alami apa-apa masalah sekarang ni … Sentiasa bersangka baik dengan semua Orang apatah lagi dengan Allah… sangka baik dengan Allah. Kenalpasti “tujuan hidup” kita nak ke mana …inshaallah akan tenang hati dan tak terkesan pun dengan kata-kata manusia sekeliling. Setiap orang ada ujian dan diberikan nikmat yang berbeza-beza. Tapi akhirnya… hakikat sebenar… kita semua adalah hamba. Kata-kata ni bukanlah dalam sangat pun untuk difahami. Hehe.

Saya doakan semoga yang masih belum berumahtangga akan diberikan jodoh yang terbaik, yang belum ada zuriat akan diberikan zuriat yang comel, soleh dan solehah, yang sudah punya zuriat semoga sentiasa sabar dan berjaya mendidik anak-anak ke arah jalan yang Allah redha dan kepada semua yang membaca supaya menjadi hamba Allah yang selalu dalam rahmat dan diredhaiNya. Mudah-mudahan. Ameen.

Jangan lupa doakan saya juga semoga selalu diberkati dengan rumahtangga yang sakinah, mawaddah warahmah serta dikurniakan zuriat-zuriat keturunan yang soleh, solehah berguna kepada agama dan semua. Ameen.

– Hamba Allah

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit