Rupanya Saya Belum Kuat

Assalamualaikum semua. Terima kasih admin sekiranya tulisan saya ini disiarkan. Saya She berumur awal 30 an. Sudah berkahwin hampir 6 tahun. Masih belum dikurniakan rezeki anak.

Sekarang saya sedang mengandung kali ketiga. Ya, dua kali saya keguguran; kedua-duanya keguguran ketika masih di peringkat awal kehamilan. Alhamdulillah dapat merasai nikmat mengandung walaupun hanya dua bulan.

Tahun pertama hingga ketiga perkahwinan, saya tak pernah mengandung. Tahun pertama saya PJJ (Perkahwinan Jarak Jauh) dengan suami, seorang di Utara, seorang lagi di Selatan. Tahun kedua, Alhamdulillah dapat pindah dekat dengan suami. Kami tinggal dengan mertua sehingga tahun keempat. Bermula tahun ketiga perkahwinan, baru saya dan suami mula usaha jumpa doktor untuk rawatan kesuburan. Alhamdulillah, kami berdua tak ada masalah.

Namun, selepas setahun setengah rawatan, dan selepas tiga kali IUI, kami masih belum dikurniakan rezeki anak. Saya dan suami buat keputusan untuk stop rawatan sekejap memandangkan kekangan kewangan untuk teruskan dengan kaedah IVF.

Hujung tahun keempat, kami berpindah ke rumah sewa dan masya Allah, bulan pertama tinggal sendiri, saya mengandung. Tak dapat saya nak gambarkan perasaan saat tu; saya sujud syukur, saya menangis sungguh-sungguh lepas solat Subuh pagi tu. Namun rezeki kami setakat dua bulan sahaja dan saya keguguran.

Tujuh bulan selepas tu, saya mengandung lagi tapi masih belum rezeki kami, saya keguguran lagi saat kandungan baru mencecah 7 minggu. Saya redha. Doktor kata, keguguran janin semasa trimester pertama adalah normal, janin tak terbentuk dengan elok jadi janin akan gugur.

Sedih memang sedih. Tapi saya kuatkan semangat. Saya fikir saya kuat, saya rasa saya okey. Namun setiap kali rakan bercakap pasal mengandung, hati saya rasa terguris. Bila pandang kawan dan sepupu-sepupu yang sama-sama tahu mengandung semasa kali pertama saya mengandung dulu, sekarang mereka dah tunjuk gambar anak di FB; saya rasa sedih.

Saat bila terserempak sepupu dan kawan sekerja yang sama-sama mengandung semasa kehamilan kedua saya, sudah semakin comel dengan perut yang semakin memboyot; saya jadi cemburu. Belum lagi termasuk dengan kata-kata yang menusuk hati dari saudara dan rakan; sama ada dengan niat atau tak; saya jadi marah. Saya jadi lebih sensitif.

Saya rasa memberontak dalam hati yang saya juga inginkan zuriat, saya mempersoalkan kenapa saya susah nak mengandung. Allah, jahatnya saya rasa saat fikir begitu. Rupanya saya masih belum kuat, saya belum okey. Saya sebenarnya baru buat ujian UPT tiga hari lepas. Saya gembira saya mengandung lagi, tapi dalam masa yang sama saya takut. Saya tak boleh nak lari dari terfikir tentang dua kali keguguran yang lalu.

Saya rasa kadang-kadang saya tak boleh nak fikir positif; saya memang bed rest saja bila di rumah sejak dapat tahu mengandung (minggu depan mula kerja, tak dapat bed rest lagi). Nak duduk di sofa pun tak berani lama-lama. Berjalan pun slow-slow, kadang-kadang terpegang perut sendiri sampaikan suami tegur jangan macam tu, saya nampak macam orang sakit katanya. Nak sampaikan berita gembira kali ni pun saya tak rasa excited. Saya rasa saya paranoid, saya sungguh-sungguh risau dan takut dengan pengalaman lalu.

Saya dah cakap dengan suami, saya rasa takut, tapi setakat tu saja. Tak terluah perasaan saya yang sebenarnya. Saya tak tahu macam mana nak luahkan. Saya pun tak tahu apa sebenarnya yang saya rasa. Menaip ni pun tangan saya terketar-ketar dan saya menangis. Rasa lega dapat diluahkan begini.

Saya tahu rezeki anak adalah hak Allah. Saya tahu saya perlu terima segala ujian yang Allah bagi. Saya cuma manusia biasa, yang ada rasa kecewa dan cemburu. Saya dah cuba sehabis daya untuk tidak mempersoalkan ujian Allah, dan saya akan terus cuba. Insya Allah.

Doakan ada rezeki zuriat untuk saya dan suami kali ini. Doakan kehamilan saya kali ini berjaya dan dipermudahkan. Doakan saya terus positif. Saya perlu doa kalian. Kerana mungkin ada antara kalian yang Allah angkat terus doanya.

Saya juga doakan untuk mereka-mereka yang senasib dengan saya, semoga kita sama-sama dikurniakan rezeki zuriat di tahun 2019 ini. Amin… Sekian sahaja dari saya, terima kasih kerana luangkan masa dan doa.

– She

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *