Sayang Ibu Sayang Ayah

Assalamualaikum warga iium confessions semua. Pertama sekali, terima kasih admin sebab sudi siarkan coretan yang tidak seberapa ni. Untuk warga iium confessions sekalian, marilah sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat ibu dah ayah kita sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia. Semoga dengan sedikit amalan kita ni, akan menjadi bekalan buat ibu dan ayah kita di akhirat.

Terlebih dahulu, saya perkenalkan diri saya sebagai Intan, berumur 23 tahun. Sesuai dengan tajuk confession ni iaitu “sayang ibu, sayang ayah”, saya ingin mencoretkan sedikit nasihat kepada insan yang bergelar anak.

Dalam meniti arus kemodenan ni, kita dapat saksikan terpampang di dada akhbar dan media sosial mengenai tingkah laku anak-anak yang semakin hari semakin kurang adabnya dengan ibu bapa. Baru-baru ini, saya ada terbaca mengenai artikel mengenai seorang ibu yang menunggu di luar dewan semasa majlis konvokesyen anaknya bagi memberi laluan kepada teman lelaki dan ayah anaknya masuk ke dalam dewan.

Allah, mengucap panjang saya bila baca. Sampainya hati kamu menidakkan hak ibu kamu dengan memberi laluan kepada teman lelaki kamu. Tahukah kamu betapa seorang ibu yang telah bersusah payah selama ini, mendoakan kejayaan kamu, ingin melihat kamu menerima segulung ijazah dengan matanya sendiri. Walaupun ibu kamu mengatakan “tidak mengapa” tapi tahukah kamu betapa dia menangis di dalam hati. Semoga Allah memberikan kamu hidayah.

Bukan itu sahaja, kita juga dapat lihat adanya anak yang sanggup membunuh ibu dan ayahnya hanya kerana kemahuannya tidak dituruti. Kebiasaanya, ianya adalah kerana pengaruh dadah. Lihatlah bagaimana dadah telah membuatkan kamu menjadi seorang pembunuh. Walaupun tanpa kerelaanmu tapi apakan daya, tanganmu itu yang telah menamatkan riwayat ibu dan ayah kamu.

Oleh itu, anak-anak, janganlah kita mendekati dadah. Kita tak tahu pengaruhnya kepada kita kelak. Daripada beli dadah, lebih baik duit tu dikumpul dan diberikan kepada ibu ayah kita atau niatkan untuk bawa ibu ayah kita pergi ke Mekah. Pasti syurga balasan buat anak yang berniat suci seperti ini.

Di samping itu, kita juga sering kali mendengar pepatah “seorang ibu mampu menjaga 10 orang anak, namun 10 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu”. Intan kongsikan pengalaman Intan sedikit. Begini kisahnya. Intan ada saudara terdekat, Intan namakan sebagai Mak Cik A. Mak Cik A ada 6 orang anak, 3 lelaki, 3 perempuan. Alhamdulillah, semuanya bekerja.

Ditakdirkan Mak Cik A mengalami kemalangan sehingga menyebabkan Mak Cik A tidak dapat berjalan dengan sempurna dan memerlukan tongkat untuk berjalan. Kesemua anak perempuan Mak Cik A tinggal bersama Mak Cik A di kampung. Baru-baru ni, anak-anak Mak Cik A telah membuat keputusan untuk menghantar Mak Cik A ke rumah orang-orang tua. Kesemua anak-anak Mak Cik A bersetuju namun hanya 2 orang anak lelaki sahaja yang membantah. Hal ini telah menimbulkan pertelingkahan antara anak-anak Mak Cik A.

Intan yang mendengar pun rasa hiba. Ibu masih hidup, tapi anak-anak sibuk nak hantar ibu ke rumah orang-orang tua. Intan dapat rasa betapa remuknya hati Mak Cik A. Selama Intan kenal Mak Cik A, beliau amat rajin menjual kuih, menoreh getah dan menjual ikan kering demi menyara anak-anaknya dan menyekolahkan anak-anaknya. Mungkin ini dugaan bagi Mak Cik A.

Nasihat Intan kepada semua, walau sibuk mana pun kita, jagalah hati dan perasaan ibu ayah kita. Tanpa ibu dan ayah, siapalah kita di dunia ini. Walau seteruk manapun ibu dan ayah kita, wajib kita taat dan hormat kepada mereka selagi mereka tidak menyekutukan Allah. Intan tak boleh terima anak-anak yang sanggup tengking, marah, pukul dan sanggup buang ibu dan ayah dari kehidupan mereka. Bagi Intan, seorang anak sepatutnya hormat kepada ibu dan ayahnya.

Kita tak tahu bagaimana perasaan anak-anak yatim yang tiada ibu ayah, mereka tiada tempat bermanja, tapi kita yang masih mempunyai ibu dan ayah, sanggup buang ibu ayah kita daripada kehidupan kita. Betapa kita mensia-siakan nikmat yang Allah berikan kepada kita. Kita mungkin lupa, kesenangan yang kita kecapi pada hari ini, mungkin atas doa ibu ayah kita.

Seandainya ditakdirkan ibu ayah kita sudah tiada, siapa yang akan doakan kita? Hilangnya satu keberkatan doa dalam kehidupan kita. Ingatlah, kita bahagiakan ibu ayah kita, Allah pasti akan bahagiakan kita. Kita belanja ibu ayah kita, pasti Allah akan limpahkan rezeki yang tidak kita sangka-sangka kepada kita.

Kenapa Intan begitu sensitif dengan isu yang melibatkan ibu ayah? Sebab Intan dah 5 tahun kehilangan ibu. Sekarang Intan tinggal dengan ayah Intan dan pada masa yang sama Intan merupakan pelajar kolej. Bila cuti, Intan akan cuba sedaya upaya pulang ke rumah. Intan akan tanya, ayah nak makan apa? Sebab Intan anak tunggal. Bila ayah puji cakap masakan Intan sama dengan masakan arwah mak, subhanallah, rasa terharu sangat.

Tahun depan Intan akan kawin, alhamdulillah, Intan dah berbincang dengan bakal suami Intan yang kami akan pulang jengguk ayah 2 kali sebulan. Walaupun Intan nanti bukan di bawah tanggungjawab ayah, ayah tetap akan menjadi tanggungjawab Intan selepas suami Intan. Doakan Intan dapat berbakti kepada ayah Intan.

Nasihat Intan, ibu ayah cuma satu, tidak boleh ditukar ganti. Selagi kita hidup, ambillah peluang untuk berbakti kepada ibu ayah kita. Besar ganjarannya bila kita berbakti kepada ibu ayah kita. Terima kasih admin sebab sudi siarkan luahan Intan dan terima kasih juga kepada semua kerana sudi membaca.

– Intan

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *