Selepas Kahwin

Assalamualaikum buat semua. Terima kasih kepada admin kerana membenarkan penulisan saya ini. Saya telah berumah tangga selama hampir empat tahun, dikurniakan seorang anak.

Sepanjang perkahwinan ini, kami tinggal di rumah ibu mertua bersama lagi dua adik perempuan suami. Seorang telah bernikah dan seorang lagi masih belajar.

Sebelum berkahwin saya telah maklum dan bersiap sedia untuk tinggal bersama mertua kerana suami anak lelaki tunggal dan ibu mertua seorang diri.

Walaupun hancur berkecai angan-angan mat jenin saya untuk punya rumah sendiri, menghias rumah mengikut cita rasa sendiri, saya sedapkan hati dengan kebaikan ibu mertua saya.

Beliau seorang yang baik, mesra dan sangat sporting. Saya yakinkan diri, saya nak cuba ubah persepsi negatif hidup sebumbung bersama mertua kepada positif.

Seawal sebulan kahwin, sportingnya mertua saya sehingga dia boleh masuk ke dalam bilik kami siap baring dan berselimut diatas katil kami. Bilik kami dijadikan seolah ruang tamu, tempat melepak dimalam hari bagi ibu dan adik adik. Suami pun seolah membiarkan.

Saya pernah menegur suami, tapi suami kata tak pelah, keluarga kita bukan orang lain. Jadi bila mereka berkumpul didalam bilik, saya akan keluar. Saya tak sertai mereka. Saya buat hal saya sendiri, basuh pinggan, mengemas dapur dan sebagainya.

Sedih saya, tiada tempat untuk mengadu, meluahkan kesedihan. Waktu itu, anak pun tiada lagi untuk hiburkan hati. Saya pendam sesungguhnya sehingga hampir tiap malam saya menangis. Saya tahu suami pantang bila saya mengadu perihal keluarganya.

Sehinggalah suatu hari, bilik saya diberi guna oleh tetamu untuk bermalam ketika ketiadaan kami. Begitu banyak bilik, bilik kelamin kami yang diberi. Masih ada tiga bilik kosong.

Cuma bilik saya sedikit besar berbanding bilik lain. Bila saya tahu, mengamuk saya, tiga hari tak menegur suami dan ibu mertua.

Saya merayu pada suami tolonglah jangan biarkan sesiapa masuk bilik kita. Saya sedar ini bukan rumah saya. Saya tak pernah suka-suka masuk dan guna bilik atau ruang lain, hanya bilik ini saja saya minta untuk jadikan hak saya bebas buat apa-apa, privasi saya.

Marah saya, sedihnya, tidur saya dengan air mata bayangkan katil yang saya tidur ini, orang luar guna sesuka hati. Akhirnya suami nasihatkan ibunya. Sehingga hari ini, jarang ibu dan adik-adik masuk dan orang luar tak dibenarkan sama sekali.

Selain itu, suami saya juga menanggung semua perbelanjaan termasuk perbelanjaan adiknya yang telah bernikah itu. Loan rumah, loan kereta, perbelanjaan makan dan minum, cuma pakaian je ditanggung sendiri adik. Saya tiada masalah dengan adik bongsu kerana dia masih lagi belajar.

Menjadi masalah apabila janji yang suami taburkan sebelum bernikah sehingga ke hari ini masih belum dapat beliau lunaskan. Suami saya berpendapatan hampir RM6k sebulan, nafkah saya dicampur anak, RM500 sebulan. Baki RM300 sebulan untuk dirinya dengan zero simpanan.

Siap pinjam pula dengan saya bila hujung bulan. Kemana pergi selebihnya gaji beliau? Bayar loan-loan adik & ibu, bil-bil, belanja kawan, senang cerita mostly untuk keluarganya dan kawan-kawan.

Sedangkan saya, sedari mengandung hingga anak sudah hampir tiga tahun, tiada sehelai pakaian dibeli untuk kami.

Malah saya pernah minta izin untuk beli kereta dan ingin pinjam RM2K untuk cukupkan bayaran pendahuluan, ansuran saya sendiri akan bayar kerana saya juga bekerja,

Tapi katanya tiada duit dan bermacam macam dia “basuh” pemikiran saya untuk tidak beli kereta, hingga saya anti dengan iklan kereta baru. Akhirnya diberi kereta lamanya.

Kondisi luar agak buruk, cat tertanggal dan kerap rosak, mati dekat traffc light tu biasa. Tidak malu saya sekadar untuk berulang kerja, masalah besar bagi saya jika bersama dengan anak. Kesian dia, kereta mati, aircond pun mati, kepanasan dalam kereta. Aduh.. sabar lah wahai hati..

Mertua selalu pesan pada suami, tanggungjawab suami untuk jaga adik-adik. Dah tu, saya bagaimana? Saya siapa? Anak saya pula anak saya dengan siapa?

Mertua saya baik, kasih pada anak-anak. Mahu yang terbaik untuk anaknya. Bila menantu lelaki berikan hadiah pada anaknya, bukan main happy dia.

Tapi anak lelakinya tak pernah meraikan saya, tak pula terasa. Walhal ibu ayah saya juga mahukan yang terbaik untuk saya. Saya menanggung kesemua kos anak termasuk insurans anak & simpanan untuk belajar.

Suami hanya berikan nafkah RM500 yang terkadang beliau ambil semula dan juga bayar upah pengasuh. Saya tak akan mengungkit hal ini jika suami tidak mampu, tiada pendapatan, tapi suami saya bergaji agak besar tapi diberikan pada orang lain. Itu yang saya sangat terkilan.

Jika saya tegur, beliau akan ‘basuh’ saya, minta saya fikir secara positive. Padahal hanya nak katakan apa yang dibuatnya itu betul.

Suami saya tak pernah pukul dan jarang tinggikan suara tapi beliau cuba pengaruhi saya secara mental, brainwash saya seolah saya yang terlebih fikir dan bersalah.

Kami pernah bercuti berdua pun hanya sekali, selepas kahwin. Selebihnya dibawa semua ibu dan adik-adik. Kalau nak berdating dekat-dekat pun, kena bagitahu yang kami nak pergi berdua. Jika tak, semua pasti nak ikut sekali. Walaupun hanya pergi ke kedai dobi.

Saya sangat stress dan saya bukanlah jenis yang suka menceritakan masalah rumah tangga pada sesiapa. Saya seorang yang ceria awalnya, tapi kini masih cuba untuk ceria walaupun penuh memendam rasa. Kepada keluarga juga tidak saya ceritakan.

Tidak mahu saya keluarga turut bersedih. Antara cara saya menghilangkan stress ialah dengan bershopping dan balik berjumpa keluarga saya.

Saya tak pedulikan ibu mertua dan adik yang memerli saya boros,kerana I use my own money, you all lagi boros dengan duit orang lain tak sedar pula ya.

Hidup saya kini hanya untuk anak saya sahaja. Dunia akhirat, buah hati saya. Sentiasa ceria, bujak hiburkan hati saya.

Berterima kasih saya pada Allah atas anugerah anak, benar-benar penghibur hati and I am strong because of my baby. Hanya pada Allah tempat saya mengadu dan bergantung harap.

Maafkan luahan hati saya yang begitu panjang. Doakan saya. Saya sayang keluarga saya. Sayang pada suami dan keluarga mertua, tapi saya mohon pada mertua tolonglah izinkan saya merasai nikmat pernikahan seperti orang lain.

Sudahlah mengawal segala gerak geri kami suami isteri. Janganlah bebani suami saya dengan begitu banyak tanggungjawab sehingga beliau mengabaikan tanggungjawab beliau pada isteri dan anak. Izinkan kami berbahagia di dunia juga diakhirat. Itu saja. Terima kasih.

– Nani (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *