Semangat Buat Abang

Assalamualaikum. Aku ada seorang abang. Umurnya sudah menginjak 40an. Seorang yang tegas, tapi aku tahu dia sangat penyanyang. Lebih-lebih lagi dengan anak-anak kecil.

Abang aku ni dah kawen. Ada seorang anak lelaki yang sebaya dengan anak aku. Berumur dua tahun. Rezeki dia dapat anak lambat. Lepas 10tahun kawen baru ada rezeki. Alhamdulillah. Berkat kesabaran abang & kakak ipar, mereka akhirnya di kurniakan zuriat.

Hari jumaat lepas, mak ayah aku baru jenguk abang aku kat johor. Aku tak dapat nak pergi, jadi aku kirimkan salam aku je pada abang & keluarga. Mak ayah aku nampak penat. Lebih lagi ayah. Sebab ayah baru seminggu lepas buat operation ketarak. Tapi, sebabkan abang tak sihat. Ayah tak senang duduk! Nak tengok keadaan abang juga.

Ya. Abang aku sakit. Sakit yang masih tak pasti apakah ia. Setahun lepas, ada benjolan sebesar bola ping pong di leher abang. Dah puas berulang dengan temu janji hospital. Tapi masih tak dapat jawapan. Abang dah mula bosan. Sakit dia masih tidak ada namanya.

Doktor sarankan supaya dia buat biopsi di hospital swasta. Tapi kos yang tinggi tak memungkinkan abang buat biopsi di hospital swasta. Abang juga mula tak nak pergi hospital kerajaan. Sebab dia tahu, perbelanjaan sudah tidak cukup. Erti kata lain, dia sudah tidak mampu bekerja.

Tetapi, bengkak di leher abang semakin membesar. Dan kali terakhir aku berjumpa abang adalah semasa raya tempohari, ketumbuhan di lehernya semakin besar juga tegang. Aku risau sebenarnya melihatkan keadaannya.

Katanya, apabila tiba masa sakit, memang dia tak boleh nak bangun. Urat 1 badan tegang. Kepalanya jadi berat kerana urat- uratnya bagai di tarik-tarik.badannya akan menjadi lemah. Malah selera makan mula merosot. Sehinggakan banyak urusan yang tak dapat abang lakukan sendiri.

Allah! Sakit nya bagaimanakah? Bagaimanakah dapat aku bantu abang aku ya Allah?

Semenjak abang sakit, abang sudah tidak mampu bekerja. Kakak ipar akulah yang menyara abang. Tabahnya kakak ipar aku melayan abang dalam masa yang sama juga perlu bekerja. Abang pesan pada kakak ipar aku, supaya rahsiakan dari kami ahli keluarganya jika dia sakit. Katanya, dia taknak menyusahkan adik beradik.

Tapi bagi aku, bukanlah dia yang menyusahkan kami pun. Malah, kalau kami tahu, kami akan cuba cari jalan untuk membantunya. Tapi abang tetap tak mahu bantuan kami. Sehinggalah baru-baru ni. Abang whatapp kakak aku untuk minta doa dari adik beradik tentang keadaan dia. Semasa mendapat berita, luluh hati aku.

Sudah seminggu abang tak boleh bangun. Sudah seminggu abang sakit, tapi dia rahsiakan dari kami. Juga sudah seminggu dia tanggung perasaan supaya tidak menyusahkan sesiapa. ALLAH! Kuatkan abangku!

Selepas mendapat berita, aku berbincang dengan adik beradik lain.apa yang perlu kami lakukan. Memandangkan abang duduk di selatan tanah air, jauh dari kami semua. Abang tak mahu kami ambil dia bawa balik ke rumah ibu bapa kami. Maka kami nekad untuk ke sana melihat sendiri keadaan abang.

Ibu khabarkan, keadaan abang sesampainya ibu ayah di sana, amat menyedihkan. Badannya yang berisi semasa raya sudah semakin kurus. Dia sudah tidak dapat makan dengan betul kerana mulutnya sudah sukar untuk di buka. Menyukarkan dia untuk makan.

Bibirnya sudah putih menandakan dia menanggung sakit yang teramat sangat. Mengalir air mata aku mendengarkan perkhabaran itu. Aku tahu abang cuba bertahan. Dengan hanya ubat tahan sakit yang membuatkan abang terus bertahan.

Macam inikah yang abang aku katakan jangan risau akan keadaannya? Macam inikah yang abang katakan dia baik-baik sahaja? Ya Allah! Kuatkan abang aku untuk menghadapi ujian MU ini. Aku tahu, kami semua bukanlah orang yang ada-ada. Tapi kami berusaha untuk pulihkan abang.

Jangan di tanya kewangan abang. Memang tiap bulan ibu ayah akan kirimkan sedikit wang keperluan belanja abang, di sebabkan abang sudah tidak mampu bekerja. Kakak ipar aku pula bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan. Bekerja hanya waktu pagi sahaja kerana komitmen pada abang perlukan masa yang lebih.

Aku tahu, kewangan abang tak mencukupi. Malah abang sanggup tak nak pergi hospital masa dia sakit ni sebab dia tahu kewangan dia tak mengizinkan. Abang taknak kakak ipar aku rasa terbeban dengan perbelanjaan perubatan dia.

Sekali lagi aku menangis. Apa yang aku boleh lakukan untuk abang? Sedangkan aku juga sedang di dalam krisis yang tak memungkinkan aku membantu abang dari segi kewangan. Aku cuba kuatkan hati. Aku banyakkan berdoa untuk kesembuhan abang. Itu sahaja yang aku mampu buat saat ini.

Lebih menyedihkan apabila sehari sebelum ibu ayah aku menziarahi abang, abang ada menghantar whatapp di dalam gruop family. Sampai kini aku akan menangis apabila membacanya.

“Assalamualaikum pd adik beradik dan ipar2 ku yang dikasihi..

Telah aku sampaikan khabar kesihatan ku bukan bermakna untuk kalian memulihkan penyakitku.

Dan telah kunyatakan kesempitan hidupku bukan bermakna untuk kalian meluaskan hidupku.

Dan apa yang aku sampaikan pada kalian semua itu bukanlah untuk tagih simpati dan rasa kasihan pada aku.

Dan dengan apa yang aku sampaikan hanya untuk meminta DOA agar aku diberi kesihatan yang baik,diluaskan kehidupan dari kesempitan serta mengeratkan lg silaturahim yang ada.

Dan sekiranya DOA yang aku pinta ada harganya, sila nyatakan nilainya.

Tidak pernah aku meminta untuk di uji begini dan tidak seorang pun dari kita yang suka di uji.

Tetapi aku redha dan terima dgn hati yang terbuka,ini kerana segalanya telah di atur olehnya…

Oleh itu, aku memohon ampun dan maaf pada kalian semua tentang perkhabaran yang telah kalian terima,jika ada yang tidak senang hati serta marah maafkan lah aku. Dan sekiranya terus ingin membenci diri ini,teruskanlah.

Akhir kata, tak perlu kalian terbeban dengan perkhabaran yang aku kirimkan,semua ini sudah tertulis darinya.

Terima kasih atas segalanya dari aku yang hina.”

Air mata ini tak segan untuk mengalir membaca luahan hatinya. Aku tahu, semua orang yang sakit itu mahu menyusahkan orang lain. Kalau mereka boleh buat, mereka akan buat sendiri. Kalau mereka mampu, mereka akan bahagiakan orang-orang di sekeliling mereka. Tak perlu tunggu untuk di uruskan.

Abang, tak ada harga yang boleh aku letakkan untuk memiliki seorang abang sehebat abang. Yang mampu bertegas dengan aku untuk kebahagian aku. Abang adalah salah seorang insan yang aku pandang tinggi. Walau pada luarannya, orang tak nampak di manakah hebatnya abang.

Abang dah jadi abang aku selama 35 tahun. Aku membesar dengan melihat jatuh bangunnya abang. Aku dah lihat banyak perubahan yang abang lakukan untuk menjadi manusia yang baik. Menjadi anak yang baik pada ibu dan juga ayah. Abang jadi diri abang walaupun banyak mulut dah bercakap yang tidak-tidak. Tapi abang dah buktikan abang menjadi yang sebaliknya.

Aku tahu abang kuat! Kalau tak masakan abang mampu bertahan sehingga sekarang. Abang lawanlah sakit tu. Pergilah ke hospital balik untuk buat rawatan. Aku merayu. Tolonglah sihat kembali. Aku tahu, kewangan abang tak berapa mengizinkan. Tapi kita usahakan sama-sama. Kalau perlu kami akan usahakan abang duduk dekat dengan kami, supaya senang kami uruskan abang.

Abang, aku tak pernah menganggap abang menyusahkan aku. Malah aku yang rasa, aku banyak menyusahkan abang. Aku nak bantu abang. Aku sayangkan abang, tak pernah tak sayang.

Tadi terkejut juga bila aku buka Facebook, ada page dah viral pasal abang. Tapi aku cuba hubungi admin page yang dah siarkan cerita abang. Aku minta mereka padamkan no telefon abang. Sebab aku tahu, telifon abang tak berhenti berbunyi semenjak berita itu di kongsi.

Aku nak abang rehat. Aku bukan menghalang orang yang nak bantu abang. Tapi keadaan abang sekarang, membuatkan aku rasa abang perlu berehat juga. Lebih-lebih lagi ada yang menyatakan abang sesak nafas semasa dia menelifon abang tadi.

Betul ramai yang simpati dengan keadaan abang. Aku amat berterima kasih di atas doa serta sumbangan yang mereka dah hulurkan. Cuma, aku mohon, abang kuatlah! Aku dah tengok gambar abang yang tersebar tadi. Aku sedih. Air mata ni aku tak dapat nak tahan. Sakitnya abang aku dapat nampak dari muka abang sendiri.

Aku tahu abang menahan sakit selama ini. Abang yang dulunya berisi semakin kurus. Mata yang bercahaya semakin suram menandakan abang dalam keadaan yang amat sakit. Aku tak pernah nampak muka abang sakit macam itu sekali.

Selama ini, abang sakit aku masih boleh nampak semangat abang. Tapi kali ini, sangat berbeza. Abang! Bangkitlah! Aku nak abang sihat!

Adik abang.

– SFMN (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *