Senyum Dalam Ujian

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera semua.

Aku sebenarnya terpanggil untuk menulis di sini setelah membaca beberapa confession yang berbaur sedih, patah hati, kecewa, dan lain-lain apabila menongkah ujian hidup. Seperti orang lain, aku juga diuji sepanjang perjalanan hidup aku.

Aku adalah seorang wanita bekerjaya, dan berkelulusan ijazah sarjana muda di salah sebuah ipta. Perjalanan hidup aku untuk menghabiskan pengajian juga sukar kerana berdepan dengan penyakit kemurungan, tidak campur lagi perjalanan hidup aku untuk mendapatkan kerjaya dan seterusnya kesukaran untuk berjumpa jodoh.

Aku pernah melalui fasa kemurungan, dan kemudian aku namakan fasa kedua aku adalah fasa kemarahan. Fasa sekarang ni, aku boleh panggil sebagai fasa mencari hikmah.

Masa dalam fasa kemurungan, aku selalu menyalahkan diri sendiri apabila tidak dapat apa yang aku inginkan. Aku mengutuk dan menghina diri aku sendiri. Aku merasakan diri aku tak berguna, bodoh, dan lain2 yang tak baik pada diri aku kerana aku mengiyakan kata-kata orang lain tentang diri aku yang aku ini pemalas, lembab dan semua yang negatif tu.

Selepas itu, aku rasa, aku dah tak boleh hidup macam tu. Aku kena bangkit untuk perjuangan hidup aku. Di sinilah zaman aku memberontak. Aku mula melawan kata-kata ibu bapa aku, atau sesiapa sahaja yang bagi komen negatif. Aku juga berani bercakap tidak, meskipun terpaksa agresif dengan ibu bapa aku. Aku tidak lagi mahu menurut permintaan ibu bapa aku, atau sesiapa sahaja.

Aku akan buat hal sendiri, dan aku tak pernah kisah pun kalau aku tidak mempunyai kawan. (pernah dalam hidup aku dikhianati 2x berturut2 oleh kawan baik aku sendiri yang menyebabkan aku dipulaukan oleh semua orang. Aku difitnah teruk oleh orang yang aku paling percaya).

Aku juga rasa iri hati tengok orang lain berjaya, hidup macam tiada apa-apa masalah. Aku terpaksa merangkak dan bertatih, jatuh berkali2 dalam hidup. Aku lurus dan mudah percaya, dan seringkali juga dikhianati. Sama ada dikhianati oleh kawan baik sendiri mahupun kekasih. Sampai ke satu ketika… semua orang aku ‘persetankan’. Ego aku berada setinggi langit pada ketika ini. Walhal, pada hakikatnya, aku hanyalah hambanya yang terlalu takut untuk jatuh murung dan ‘gagal’ lagi dalam hidup.

Sehinggalah.. Satu hari.. Aku rasa..

Aku penat.

Aku penat ‘melawan’ takdir.

Aku penat menyalahkan ibu bapa aku atas segala nasib malang yang aku hadapi.

Aku penat bertekak dengan ibu bapa yang masih tidak faham, dan juga ego untuk meminta maaf atas segala kesilapan mereka dalam proses mendidik aku.

Aku penat membenci manusia yang mengkhianati aku.

Aku penat membenci lelaki yang aku kira semuanya hanya nak ambik kesempatan terhadap kebaikan aku.

Dalam keadaan hati yang seringkali sakit dengan ujian dunia… aku cuba bermunajat kepadanya. Setiap kali lepas solat, aku ‘bermonolog’ dengan Allah.

“Allah, ampunkan aku atas segala dosaku. Kerana aku membesarkan dunia melebihimu. Kerana aku seringkali menyalahkan takdir dan mempersoalkannya sedangkan kau maha besar, kau maha mengerti. Ilmumu seluas lautan.. Dan aku sekadar setitik air ini kerap mempersoalkan rencanamu. Kau pukullah hatiku dengan cintamu. Berikanlah ketenangan padaku menghadapi kehidupanku.”

Aku belajar kawal kemarahanku, ataupun kesedihanku dengan banyak membaca artikel psikologi. Aku juga membaca buku “la tahzan – jangan bersedih, dr aidh al-qarni” sebagai pencetus untuk mencari cinta Allah. Aku juga membaca buku tulisan andrew matthews “happiness in hard time” untuk mencari bahagia di dalam ujian Allah. Bagaimana untuk melihat hikmah di sebalik yang berlaku, mengawal pemikiran supaya tidak hanyut dalam kesedihan.

Aku baca juga konsep law of attraction, bagaimana positif boleh menarik perkara2 positif yang lain.

Aku cuba memperbaiki hubungan aku dengan ibu bapaku. Mereka adalah ibu bapa yang terbaik. Yang salahnya adalah aku.. Kerana kerapkali mempersoalkan cara didikan mereka. Sedangkan, itu adalah cara terbaik mereka berikan untuk aku. Mereka sentiasa membantuku di kala susah, sentiasa memaafkan aku meskipun aku seringkali membuat mereka terluka dengan kata-kataku.

Dan sekarang.. Aku sudah pun berumahtangga dengan seorang lelaki yang menerima aku seadanya. Ujian hidup? Masih ada… bahkan sebenarnya jauh lebih sukar berbanding sebelum ini. Bezanya… aku dan suami… belajar untuk mencari hikmah semua ini. Belajar mencari cinta Allah. Belajar meyakini, yang dia takkan menzalimi hamba-hambanya. Dia akan menguji sekadar kemampuan kita sahaja. Takkan pernah lebih, kerana dia tak pernah zalim.

Meskipun ada masanya juga jatuh dan tumpas… marah dan tidak puas hati… segera aku bermonolog kembali dengan Allah. Meluahkan segala-galanya. Kadangkala kucoret setiap kelukaan hati, marah dan tidak puas hati di atas sehelai kertas sebelum aku koyakkan dan aku buang…. Sambil memohon kekuatan untuk memaafkan dan mencari hikmah yang berlaku.

Ya…

Hidup ini tidak mudah. Maka.… senyumlah dalam ujian kerana dunia ini sementara, akhirat yang abadi.

(dedikasi khas untuk semua confessor dan pembaca iiumc untuk terus mencari kekuatan dalam menempuh dugaan hidup)

– Bunga Kekwa

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *