Sihir Pemisah atau Faktor Rumahtangga Itu Sendiri

Assalamualaikum wbt kepada admin dan semua. Dah lama saya pendam benda ni dan risau kalau jadi apa-apa pada hubungan saya dan suami.

Saya kenalkan diri saya dahulu. Saya seorang isteri kepada suami yang jarak umurnya jauh lebih tua daripada saya. Saya berumur awal 20-an dan baru berkahwin lebih kurang 6 bulan macamtu.

Pada awal perkahwinan, walaupun indah-indah pada awalnya, tetapi dalam pada masa yang sama kami selalu bertengkar pada hal yang remeh.

Pada saya perkara itu biasa sebab dahulu saya selalu dimomokkan dengan ayat-ayat tipikal umum seperti;

– Woman always right,

– Perempuan beremosi marah mencarut itu tanda sayang,

– Merajuk perkara yang kecil itu tidak mengapa sebab semuanya salah suami.

Pergaduhan itu meleret sehingga saya sentiasa meminta cerai daripada suami saya. Padahal apa yang suami saya lakukan adalah perkara yang wajar dimaafkan dan dia tidak mengulangi perkara yang sama selepas itu.

Tetapi saya tetap beremosi dengan alasan tidak mendapat cukup perhatian yang juga boleh menyebabkan pergaduhan.

Suami pula jenis pendiam dan tak reti respons apa yang saya ceritakan. Berlawanan dengan saya, saya ini jenis banyak cakap dan bercerita sesuatu perkara itu dengan penuh minat.

Lagi teruk, saya jenis suka mengungkit kesalahan lama suami sampaikan suami terikut-ikut dengan cara saya yang mengungkit-ungkit kesalahan lama. Memang akan tercetus pergaduhanlah bila jadi perkara begini.

Saya perasan yang saya cepat panas baran dan suami yang dulu tak macamni, tapi tiba-tiba makin perlahan-lahan jadi baran. Sedangkan dia jenis yang cool sahaja mula-mula dahulu.

Sebelum-sebelum ini banyaklah kes sampai bergaduh besar suami mahu lari rumah akibat mulut kasar saya, perbuatan saya yang menyakiti hati suami, dan sebagainya.

Pada saya, suami saya baik dan saya beruntung berkahwin dengannya. Tetapi entahlah. Ada sahaja perkara tidak kena yang saya nampak pada suami saya. Pada mulanya saya rasa ini hanya mainan hati dan perasaan saya sahaja.

Sehinggalah pada beberapa hari kebelakangan ini, saya perasan yang saya sudah tidak kenal diri saya sendiri.

Pernah minggu lepas, saya rasa benci sangat pada suami saya. Lihat muka suami pun rasa macam semak. Rasa tak nak duduk sekali dengan dia. Padahal suami saya tidak melakukan apa-apa langsung.

Saya sendiri pun tak tahu apa yang membuatkan perasaan sebegitu hadir dalam diri saya sedangkan saya sayang sangat pada dia.

Bila hadir saja perasaan begitu, saya cuba melawannya. Saya bisik dalam hati yang, “ini semua mainan syaitan saja”.

Dan dalam minggu yang sama (selepas beberapa minggu tidak bersama) kami hanya melakukan satu hubungan intim sahaja. Itupun saya lakukannya atas dasar kasihan pada suami tanpa ada rasa ‘nak’ dalam diri saya.

Saya tak pastilah perkara dan perasaan begini normal atau pun tidak sebab saya mengambil kira juga faktor hormon dan tempoh kitaran haid saya yang sudah hampir.

Saya juga perasan yang saya ada tanda lebam berwarna ungu pada bahagian betis bawah pada pelipat lutut.

Sampai sekarang waktu saya menulis confession ini, masih ada lebam tersebut. Berwarna ungu kehitaman yang menyakitkan bila ditekan-tekan perlahan dengan jari. Padahal saya tiada langgar apa-apa langsung.

Lagipun, agak mustahillah bagi saya untuk terhantuk atau tersepak menggunakan anggota badan bahagian itu.

Kemudian, dalam 3 hari berturut-turut, saya dan suami bermimpi perkara yang berlainan tetapi membuatkan kami rasa ingin muntah.

Mimpi pertama, suami cerita pada saya yang mimpi dia itu membuatkan dia seperti mahu muntah sampai terjaga dari tidur pada tepat jam 3 pagi. Keesokan harinya, saya pula rasa seperti mahu muntah semasa tengah tidur.

Pada hari seterusnya, suami pula menceritakan yang dia mimpi seperti mahu termuntah (lagi sekali) dan tersedar dari tidur pada waktu yang sama (3 pagi).

Bukan itu sahaja, saya juga ada bermimpi perkara yang pelik-pelik seperti berada ditempat berlakunya perhubungan sulit dan intim antara lelaki dan wanita, wanita dan wanita, lelaki dan lelaki.

Dan saya juga ada melihat wanita yang memiliki alat kelamin lelaki baring tersenyum memandang saya.

Oh ya, baru-baru ini juga saya dapati suami juga cepat marah-marah. Entahlah. Saya sudah buntu dan ingin mencari penyelesaian.

Saya fikir mahu berubat, tetapi tidak tahu di mana dan siapa. Nak-nak pula sekarang ini PKP masih berlangsung dan hampir masuknya Syawal.

Jadi, melalui confession ini, saya berharap sangat respons dan maklum balas para pembaca untuk memberikan cadangan kepada saya.

Apa yang perlu saya lakukan?

Adakah perkara begini biasa untuk suami dan isteri?

Atau ada perkara lain yang mengganggu?

Apakah cara untuk saya rawat perkara begini?

Saya tidak mahu rumahtangga saya ranap disebabkan hal sebegini. Segala pertolongan kalian semua saya dahulukan dengan terima kasih.

– FFF (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *