Simpanan

Simpanan

Hai, nama aku Ann. Aku nak berkongsi tentang cara aku menyimpan duit. Lain orang lain caranya. Mana tau ada yang boleh ambil manfaat dari perkongsian aku ini.

Aku ini memang jenis berjimat sebab tak nak menyusahkan keluarga dan aku tak pandai cari duit sampingan (acah-acah berniaga kecil-kecilan, at last tersungkur di tengah jalan). Jadi aku akan berjimat dengan apa yang aku ada.

Oh, sejak kecil keluarga aku memang ajar menyimpan duit. Duit yang terima masa hari raya, duit orang bagi-bagi, aku akan simpan dalam akaun Tabung Haji.

Mak kata duit itulah nak guna masa sambung belajar. Nanti banyak nak pakai duit. Jadi boleh kata aku tak ada duit lebih pun untuk merasa beli benda yang jadi kemahuan ini.

Bila nak berbelanja, aku akan tengok barang itu sama ada keperluan atau kemahuan. Kalau kemahuan, biasanya aku akan abaikan saja sebab aku tahu kedudukan kewangan aku macam mana. Kiranya dari kecil aku dah terbiasa dengan cara ini.

Bila aku masuk IPT, aku semak yuran pengajian aku lebih kurang RM1300++ per semester, termasuk penginapan. Rezeki aku belajar di IPTA.

Waktu ini aku nekad tak nak ambil pinjaman pendidikan, PTPTN. Aku plan untuk kerja masa cuti sem untuk bayar yuran pengajian dan untuk belanja sara hidup aku akan guna duit simpanan aku. Antara faktor aku tak ambil PTPTN sebab aku tak suka berhutang.

Masa aku tahun pertama pengajian, alhamdulillah aku dapat tawaran biasiswa JPA. Sekali lagi rezeki untuk aku.

Orang kata, kalau dapat biasiswa JPA ini, mewahlah hidup. Tapi sebab aku dah terbiasa berbelanja ikut keperluan, banyak juga benda yang aku boleh manfaatkan dengan duit biasiswa itu antaranya aku dapat hulur duit pada ayah setiap kali duit biasiswa masuk.

Satu hal yang aku pegang, dalam setiap rezeki yang aku terima, mesti ada bahagian orang lain. Walaupun aku sendiri makan bercatu (biasanya aku beli nasi dan lauk tengahari lebih, aku akan simpan separuh untuk makan malam) aku tetap akan belanja kawan-kawan dengan apa termampu.

Kadang aku buat senyap-senyap, waktu masing-masing tengah stress dengan tugasan atau exam, aku beli kek atau makanan yang special sikit, dan aku minta orang lain hantarkan pada kawan-kawan aku.

Kan seronok bila kita dapat buat orang lain tersenyum masa tengah serabut dengan kerja. Ada juga kawan aku yang aku tahu dia memang susah, aku pinjamkan dia duit dan aku beri dia tempoh untuk bayar bila dia dah ada duit.

Sepanjang tempoh 4 tahun pengajian, duit biasiswa itu aku guna ambil lesen kereta dan motor, dan aku guna juga beli kereta dan motor terpakai. Aku tahu bab pengangkutan ini sangat penting, lagi pula kampus aku itu besar.

Alhamdulillah, dapat beli motor itu mudah la sikit kehidupan aku di tahun akhir pengajian. Nak ke kelasnya, dengan discussion tak tentu masanya, project assingment sampai 3-4 pagi, jauh dari hostel. Motor itu la banyak berjasa. Dan sekarang aku dah bekerja pun aku masih pakai motor dan kereta itu.

Oh, nak dapat macam ini ada perkara yang perlu dikorbankan. Empat tahun dekat kampus itu, kurang lima kali saja aku berbelanja di KFC yang letaknya beberapa langkah dari pintu pagar kampus.

Bagi aku gaya hidup dalam bab makan ini yang banyak menghanguskan duit. Bila aku dah ajar diri aku macam itu, aku tak kisah walaupun tak pernah makan Seoul Garden, minum Starbuck, Tealive dan kawan-kawannya.

Bila nak mula bekerja pun banyak juga nak pakai duit. Dalam fasa menganggur sementara itu, dapatlah aku guna duit hasil berjimat masa belajar dulu.

Bila dah dapat kerja, nak bayar deposit rumah sewa, nak belanja makan sementara tunggu gaji pertama hujung bulan, memang buat aku hargai sangat duit simpanan yang aku ada.

Dan bila aku dah bekerja, gaji tiap bulan aku akan buat simpanan walaupun sikit. Biasanya hujung bulan aku transfer duit yang masih ada ke Tabung Haji.

Sampai la satu hari ini, aku sembang-sembang dengan kawan, keluar la topik pasal pengurusan wang. Dia pun share pasal simpanan ini, kalau betul nak buat simpanan, buat masa terima gaji. Terus peruntukkan berapa yang nak disimpan.

Baki itu baru guna untuk belanja sepanjang bulan. Aku pun rasa betul juga apa yang dia kata itu. Jadi aku mula la praktis cara itu.

Aku buat kira-kira dari gaji aku, aku peruntukkan duit bulanan untuk ayah, duit untuk simpanan, komitmen bulanan (sewa rumah, bil, etc) dan belanja bulanan.

Disebabkan aku tak perlu nak fikir tentang hutang pengajian, motor kereta pun aku dah ada, jadi sebahagian besar duit gaji itu dapatlah aku beri lebih pada ayah dan untuk simpanan aku.

Cumanya bila dah lama menyimpan, aku mula terfikir ke mana hala tuju duit simpanan aku itu. Aku menyimpan, menyimpan, menyimpan, tiba masa aku guna. Duit pun akan habis.

Jadi terdetik dalam hati aku, sebenar-benar simpanan yang patut aku buat, yang tak perlu aku risau akan berkurang atau habis, adalah simpanan untuk hari Akhirat, dengan bersedekah.

Aku peruntukkan dari gaji aku untuk menyumbang tetap pada tempat yang sepatutnya. Moga dengan sedikit sumbangan aku itu dapat beri manfaat kepada yang terima, dan menjadi saham akhirat aku. Mungkin kita boleh pilih individu atau pun institusi untuk diberi sumbangan.

Dalam hal aku, sebab aku attach dengan institusi tersebut, dan aku tahu mereka amat perlukan bantuan kewangan, jadi aku potong peruntukan belanja bulanan aku untuk aku salurkan pada institusi tersebut secara konsisten setiap bulan, inshaaAllah.

Mungkin la analogi yang aku boleh buat, macam duit KWSP. Tiap bulan kena potong dari gaji dan aku jarang ambil tahu pun pasal duit itu. Tiba waktu bila semak akaun, subhanAllah, banyaknya duit.

Moga-moga dekat akhirat nanti, waktu aku rasa ibadah aku banyak lompongnya, timbangan amal kebaikan aku ringan pula, moga-moga akaun sedekah ini dapat membantu aku di sana.

Sampai sini saja perkongsian aku. Yang penting kita kena ingat dalam rezeki kita turut ada bahagian orang lain. Assalamualaikum.

– Ann (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit