Stigma Terhadap Hukuman Hudud

Assalammualaikum w.b.t. kepada pembaca IIUM Confession sekalian. Terima kasih kepada admin kerana menyiarkan coretan ini.

Aku Uzma, usia lewat 20an, bekerja dan juga sedang menyambung pengajian separuh masa diperingkat sarjana.

Aku masih lagi bujang, introvert pulak tu jadi banyak habiskan masa sendiri kalau tak pun balik kampung jenguk family.

Aku sudah hampir 10 tahun tinggal di Selatan dan sekali sekala akan pulang ke kampung.

Jadi minggu lepas aku pulang ke kampung semperna raya Qurban. Kampung aku terletak dikawasan luar bandar dipantai barat tanah air.

Selepas makan, kami berborak-borak perihal satu drama berkenaan ajaran sesat yang kini sedang ditayangkan.

Aku juga turut berkongsi cerita berkenaan seorang “cendekiawan” yang terpesong dan pernah tular sebelum ini tidak bersetuju dengan ayat Al-Quran berkenaan dengan potong tangan untuk kesalahan mencuri.

Pada pendapat aku, siapalah kita mahu mempertikai hukum Allah.

Tetapi apa yang membuatkan aku terkejut apabila ibuku sendiri menyatakan bahawa hukum Allah itu bersifat kejam, tidak berperikemanusiaan dan sudah tidak relevan dengan peredaran masa kini yang sudah moden.

“Kan Allah bagi kita akal untuk berfikir sendiri yang logik atau tidak. Kalau dipotong tangan orang yang mencuri, habis macam mana dia nak menafkahi keluarga dia?

Hudud zaman nabi boleh lah. Kau pon satu, belajar tinggi pon takkanlah tak boleh fikir mana satu yang logik ke tidak? Habis tu kau pon sokong lah kalau mencuri tangan dipotong?”, hujah ibuku.

Sungguh aku terkedu mendengar hujahan pedas beliau.

Aku seolah-olah habis kata-kata untuk membidas apa yang dikatakan dek terkejut dengan penyataan beliau.

Aku mengajak beliau beristigfar bersama kerana bimbang apa yang diucap jadi satu dosa yang tidak disedari. Ayah hanya berdiam, sesekali beliau mengangguk.

Jujurnya, aku sendiri pun masih lagi mendalami dan menimba ilmu dalam perihal agama makanya, aku tidak berani untuk berhujah lebih dalam perkara yang kurang arif.

Apa yang aku pasti, setiap apa yang Allah tetapkan adalah tidak sia-sia.

Sudahnya, aku cuba mengingatkan beliau bahawa, sebagai seseorang yang melafazkan syahadah, kita wajib beriman dengan perintah Allah dan tiada daya kita sebagai hambaNya untuk menilai logik ke tidak hukum Allah.

Dalam pada itu, aku rasa bersalah sungguh sebab aku terlupa nak semak kembali ahli keluarga sendiri. Sibuk perbaiki diri sendiri sampai tak ingat nak ajak perbaiki bersama.

Maafkan Uzma, mak abah Uzma pentingkan diri.

Sekembalinya aku ke bandar, aku pon terus bertanyakan rakan sekampusku dahulu yang belajar berkenaan hal ini disamping meminta beliau untuk mencadangkan bahan bacaan yang berkaitan untuk aku lebih faham.

Stigma berkenaan hudud ini memang wujud dalam kalangan orang Islam itu sendiri.

Apabila disebut perkataan hudud sahaja, hukuman seperti potong tangan dan rejam sahaja yang menjadi kayu ukur.

Itu sahajalah yang asyik diulang-ulang sehinggakan perkara-perkara penting lain tidak diketengahkan.

Dek kritikan-kritikan yang keluar daripada mulut orang Islam sendiri secara tidak langsung telah menjatuhkan martabat agama Islam yang mulia.

Jadi tidak hairanlah jika ada orang yang bukan muslim turut menambah perisa ke atas kritikan hukuman hudud. Agama tidak seharusnya dipolitikkan dan digunakan untuk kepentingan peribadi.

Wahai saudara seislamku, jika kita rasa kurang faham, cari ilmu dan cuba fahami nilai sebenar jangan mentah-mentah berkata tidak.

Kalau nak dihujahkan logik ke tidak diakal manusia, banyak sahaja perkara yang boleh diambil contoh. Sebagai contoh, minggu lepas kita baru sahaja menyambut Hari Raya Qurban.

Peristiwa Nabi Ibrahim AS, diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail AS mengandungi 1 pengajaran besar yang boleh kita ambil.

Kalau diikutkan logik akal manusia yang dangkal ini, memang tidak logik nak sembelih anak sendiri yang paling disayangi malah boleh digelar barbaric dan sebagainya.

Tetapi, Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS sangat bertaqwa kepada Allah dan menuruti perintah Allah tanpa pertikai pon.

Disebabkan sifat taqwa tersebut, Allah gantikan Nabi Ismail AS dengan binatang ternakan sebagai simbolik melaksanakan ibadah qurban.

Di sini aku bukan nak menghukum mana-mana pihak, coretan ini hanyalah berdasarkan apa yang aku alami untuk dijadikan pencetus semangat kita semua dalam memperbaiki iman kita.

Maaf atas kekhilafan coretan ini, mohon bimbingan dan teguran daripada yang lebih arif.

Aku juga seorang Hamba Allah yang masih lagi terpalit dosa dalam masa yang sama sedang berusaha untuk memperbaiki diri sebagai seorang Muslimah yang Allah redhai.

Akhir kalam, kita semua milik Allah, Allah jua lah yang berhak sepenuhnya ke atas kita. Semoga bermanfaat.

Wallahualam…

– Uzma (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *