Suami Kita Sama Saja

Salam. Sebenarnya, dari Bukan Sekadar Isteri I saya dah tergerak hati nak reply, tapi seperti ada yang menahan, sehinggalah adanya Bukan Sekadar Isteri II, (https://iiumc.com/reply-bukan-sekadar-isteri/).

Saya percaya, bukan kita sahaja yang bersuamikan seperti confessor, tetapi ramai lagi di luar sana.

Saya sudah berkahwin masuk tahun ke-9. Terlalu banyak yang telah saya lalui sepanjang perkahwinan ini. Seperi mana confession I dan II, saya turut melalui perkara yang sama.

Boleh dikatakan semua ciri2 suami confessor ada pada suami saya. Tapi adakah saya bahagia?

Alhamdulillah saya lebih bahagia dan makin bahagia sekarang berbanding awal2 kahwin dulu. Bagaimana saya hadapi konflik ni? Walaupun semua perkara tersebut masih lagi berlarutan.

1. Terima suami SEADANYA bagaimana suami terima kita SEADANYA.

Di awal perkahwinan dulu, walaupun kami kenal dan bercinta lama, tapi selepas kahwin, saya betul2 rasa suami bagai orang yang tak pernah saya kenal. Betul2 berlainan. Memang tahap ingin bercerai awal perkahwinan dulu sebab tak boleh terima perbezaan tersebut.

Saya pernah katakan kepada suami, ‘saya ingatkan awak ni seorang yang kaya, rajin, rupanya tak.’

Ini kerana keluarga suami memang berada, tapi kedua ibu bapa beliau tidak support apabila suami ingin memulakan bisnes sendiri, dan rupanya suami bekerja dengan ayah turut tidak diberi gaji.

Nasib hanya bekerja dengan ayah mertua cuma sementara. Betapa saya tidak cuba memahami dulu struggle suami saya, terus sahaja melabel suami begitu.

Rajin tu pula sebab selepas makan kadang suami suka tinggalkan pinggan dalam sinki, tidak rajin mengemas. Terus saya lupa saya juga berkahwin dengan manusia biasa yang ada masa rajin, ada masa malas.

Kemudian, suami turut cakap ‘samalah saya. Saya pun ingatkan awak rajin masak, rupanya tak’. Sebabnya waktu zaman bercinta saya memang pernah beberapa kali masakkan dan bagi kepada suami. Jadi, selepas itu saya tersedar.

Suami tak pernah nak mulakan complaint pasal saya, walaupun beliau sedar perbezaan saya waktu bercinta dan selepas kahwin. Sebabnya beliau masih cuba jaga hati saya. tapi saya sebelum bercakap tak berfikir pun.

Suami turut berkata waktu tu, kena terima segala kekurangan pasangan. Tak salah nak tegur, tapi untuk harapkan pasangan berubah seperti apa kita nak, kita sendiri pun mungkin tak mampu nak capai standard yang suami inginkan.

Jadi terima seadanya, selagimana suami tidak mengabaikan kita dan anak2, dan tidak bertindak melampaui batas2 agama. Suami sendiri pernah tanya apa kesalahan beliau, dan saya sendiri nak suami yang bagaimana?

Saya tersentak, kerana saya sedar, takkan saya hendak senaraikan semua yang saya inginkan, sepertinya saya kahwin dengan malaikat yang tiada cacat cela dan tunduk hanya dengan perintah Allah.

Sepertimana banyaknya kekurangan kita yang suami boleh terima, begitulah kita dalam menerima kekurangan suami. Tetapi sentiasa bersyukur dengan kebaikan2 suami, kerana masih ramai di luar sana yang inginkan suami yang bertanggungjawab seperti suami kita.

Seperti mana suami confessor, suami juga pada waktu makan, sering habis awal kerana lelaki pada dasarnya memang fokus satu benda pada waktu yang sama, sedangkan kita wanita waktu makan pun boleh bercerita. Jadi, saya pun terbiasa ikut suami untuk fokus waktu makan.

Semua perkara yang saya nak ceritakan saya simpan sehinggalah habis waktu makan. Suami saya juga seorang yang berdikari, uruskan semua sendiri, dan tidak minta pun dilayan untuk sendukkan nasi seperi suami2 yang lain.

Memang ada masa suami makan dulu, baru beritahu. Saya jadi terbiasa, dan kadang saya rasa lagi mudah bila suami dah makan dulu. Boleh saya pulak fokus makan, suami uruskan anak.

Saya lebih suka fokus kepada perkara positif di sebaliknya, daripada keep on fikir negatif kerana sering fikir negatif juga memenatkan minda saya rasa.

2. PERBEZAAN istilah ‘cinta’ dan ‘kasih sayang’ bagi wanita dan lelaki.

Cinta wanita penuh dengan sentuhan fizikal, kasih sayang, perhatian. Bagaimanapula, istilah ‘cinta’ bagi seorang lelaki ialah apabila dia menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami, seorang ayah.

Saya pernah kemukakan juga tentang isu ni dengan suami. Menurut beliau, sebagai seorang lelaki, suami, ayah, terlalu banyak tanggungjawab yang harus digalas, difikirkan.

Tanggungjawab mencari nafkah, kerja di pejabat/lapangan, risau untuk cukupkan semua keperluan, risaukan masa depan keluarga.

Jadi, perkara2 seperti inginkan belaian, perhatian, atau hadiah sekalipun, memang dia menyuruh untuk mintak terus tanpa perlu menunggu dia mulakan.

Sekiranya ada keinginan ingin ‘bersama’, terus sahaja goda suami pada waktu yang sesuai. Sekiranya ingin perhatian, komunikasi, terus sahaja mulakan perbualan. Hadiah? Tunjuk sahaja mana berkenan, selagi dalam kemampuan dia, dia akan tunaikan insyaAllah.

Semakin lama, saya sudah terbiasa begitu. Memang nampak seperti saya sahaja yang ‘nak’, saya sahaja yang mulakan semua perbualan.

Pernah dia tak melayan saya berborak, saya ambil hp suami elok2 (sekiranya suami sdg leka tengok fb) dan letak tepi, mengharapkan perhatian dari suami.

Dan dia terus melayan saya. Sama juga seperti solat. Sekiranya saya ingin berjemaah, saya yang kena ready menunggu suami untuk solat, atau saya yang mengajak suami solat bersama.

Nampak macam penat kan semua kita kena mula dulu. Jangan risau, bila kita dah biasakan macam tu, kadang suami lama2, dia sendiri yang akan ajak, tapi saya tak pernah berharap dah.

Saya dah terbiasa sendiri mulakan, sampai saya akan appreciate bila suami yang mulakan ataupun ajak.

Hendak seribu daya, apatah lagi lumrah wanita memang inginkan perhatian, belaian, jadi kita kena berusaha. Suami kita sendiri, jangan malu-malu. Apatah lagi kita yang suri rumah tangga, menunggu2 kepulangan suami.

Sekiranya kita tidak ingin mulakan, kena muhasabah adakah kita yang ego. Sekiranya kita telah mulakan, tapi suami masih tidak melayan, malah menolak, teruskan tanya kenapa, teruskan bincang. Bagi peluang untuk suami jelaskan dulu.

Sekiranya tidak dilayan juga, tidak ingin berbincang, maka boleh teruskan dengan ‘silent treatment’. Sekurang2nya suami tahu ‘specific reason’ kenapa kita merajuk. Jangan kita merajuk tanpa suami tahu asal usul dan sebab, dan mengharapkan suami datang tanya dan pujuk.

Konflik tidur berasingan pula, sememangnya selepas ada anak, suami lebih banyak tidur di luar berbanding dalam bilik.

Setelah confront suami, suami terus meluahkan kepenatan bekerja seharian, dan minta diberi ruang untuk betul2 berehat dan beliau betul2 perlukan tidur yang berkualiti.

Saya akur, sebab kepenatan suami tidak lain tidak bukan, kerana mencari nafkah buat kami sekeluarga.

Kaki, tangan, badan kepenatan akibat mencukupkan keperluan kami sekeluarga. Jadi, sebelum suami tidur di luar, saya memang borak semahunya, usik suami semahunya.

Masa suami juga terhad, kerana suami juga rajin join pelbagai kelas seperti kelas usahawan, kelas agama.

Awalnya saya turut merasakan seperti suami sengaja menyibukkan diri dengan pelbagai kelas, tetapi hakikatnya suami memberitahu, mencari ilmu itu juga adalah tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Selain cinta kepada manusia, cinta kepada Allah juga jangan kita lupakan. Selepas dari itu, saya rajin join juga kelas2 online yang suami join sekiranya berkelapangan. Memang seronok rupanya perasaan apabila belajar ilmu2 baru.

Sekiranya tidak berkesempatan kerana melayan anak, saya turut bersyukur kerana suami menyatakan saya turut mendapat pahala kerana menyenangkan suami memperoleh ilmu, insyaAllah.

3. LOWER YOUR EXPECTATIONS

Seperti mana saya bercerita di atas, sebelum kahwin, expectation saya terhadap suami terlalu tinggi. Hampir semua inginkan kesempurnaan. Tapi saya sedar, expectation yang terlalu tinggi memakan diri.

Saya senang bersedih, kecewa apabila suami kerap kali tidak mencapai expectation saya. Termasuklah seperti merajuk. Menunggu2 suami pujuk, sebenarnya suami sendiri tak tahu yang saya sedang merajuk.

Apabila saya kecewa, saya sering muhasabah diri balik. Dua minggu sebelum kahwin, saya diberhentikan kerja (atas faktor kesihatan).

Suami tetap terima saya, selepas kahwin pun suami tidak pernah menyuruh saya kembali bekerja sampai saat ini.

Suami tidak pernah letakkan expectation yang tinggi dekat isteri, tapi sering isteri meletakkan expectation yang tinggi terhadap suami.

Faktor drama pukul 7, atau romantic k-drama maybe? Atau juga, faktor masa terluang dihabiskan dengan melihat posting2 suami artis2, suami rakan2 yang lebih romantik, lebih kaya.

Sekiranya melihat sahaja tidak mengapa, jangan sesekali membanding2kan suami kita dengan suami orang lain. Mereka bahagia cara mereka, kita bahagia cara kita.

Seperti suami confessor, suami saya turut membeli untuk saya barangan yang kawan beliau jual untuk support bisnes kawan. Tapi entahlah, saya suka pulak sebab bagi saya, saya dapat something daripada nothing. Untuk barang2 keperluan Alhamdulillah suami cukupkan.

Kalau extra2 mcm nak juga beli benda2 lain, saya akan mintak, sebab suami memang tidak akan tanya.

Kalau tak dapat, saya bersabar dan berdoa Allah lipatkan rezeki kami berlipat kali ganda atas kesabaran. Saya rasa saya senang untuk bersyukur dengan apa yang ada, daripada mencari apa yang tiada.

Mungkin saya dah terbiasa untuk tidak berharap. Tidak membelikan untuk saya bukan bermakna tidak cinta, tapi ada keperluan yang mendahului.

Sama juga seperti kek mahal2, saya dah puas waktu muda sambut birthday, jadi saya rasa seronok bila suami lebihkan anak2 supaya anak2 tidak merasa kekurangan dan sekarang giliran mereka untuk merasa.

4. PILIHAN

Hidup ini adalah pilihan. Adakah kita inginkan suami yang beri bunga, beri hadiah selepas memukul kita? Adakah kita inginkan lelaki yang mewahkan kita dengan emas selepas mengasari kita?

Atau adakah kita inginkan suami yang hebat di ranjang, tanpa kita sedar kehebatannya selepas suami berlaku curang tanpa pengetahuan kita?

Sekiranya dari awal kita inginkan suami kaya, kenapa tidak kita kahwin dengan anak raja?Adakah kita sendiri pun layak nak kahwin dengan anak raja? Sekiranya dari awal inginkan suami yang banyak masa untuk kita, kenapa tidak kahwin dengan penganggur?

Sanggup ke kita menanggung suami dan anak2 selepas kahwin supaya suami tak perlu stress2 bekerja hanya kerana inginkan ‘masa’ yang banyak bersama suami?

Kita ada pilihan dari awal, tapi tetap kita memilih suami kita. Yakin dengan jodoh Allah, dia yang terbaik dan selayaknya untuk kita. Bagi pembaca yang belum membuat pilihan, senaraikan semua kriteria suami idaman yang kita inginkan dan berusaha mencarinya.

Tapi sekiranya telah berbuat pilihan sehinggalah bersama melayari rumah tangga, sudah ada anak bersama, jangan toleh ke belakang lagi.

Teruskan hidup, dan perbaiki sama2 suami supaya kita hidup bahagia bersama suami dan anak2. Jangan mengalah, hidup ini perjuangan.

Bahagia itu kita yang tentukan.

– Sabar itu Indah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *