Suburkan Perkahwinan Sebelum Terlambat

Assalamualaikum pembaca budiman. Kebelakangan ni, saya kerap melihat dan mendengar keluh-kesah orang-orang di sekeliling saya yang seolah-olah tidak happy dengan perkahwinan mereka yang dahulunya dibina atas dasar cinta.

Semakin bertambah usia perkahwinan, gelora cinta pun semakin merudum. Ditambah pula dengan beberapa posting mengenai perangai suami yang tak konsisten ketika sebelum kahwin, 5 tahun pertama dan seterusnya. Perkahwinan seolah menjadi makin lama makin bosan.

Selama ni saya cuma jadi silent reader je. Tapi harini rasa terpanggil nak share rutin kami suami isteri yang mungkin boleh diamalkan juga oleh pasangan lain. Kami telah berkahwin lebih 10 tahun dan Alhamdulillah apa yang saya rasa sejak mula kahwin serta layanan suami, masih sama. Malah lebih lagi.

1. Buat perjanjian dengan suami.

Buat perjanjian dari segi agihan tugas. Kalau semua tugas atas bahu isteri, lama-lama suami akan terbiasa. Isteri akan stres dan seterusnya meroyan di media sosial. Hubungan suami isteri pun akan terjejas. Dulu, masa anak baru sorang, memang penat. Saya uruskan semua sebab saya fikir, ini tanggungjawab saya.

Bila saya mengandungkan anak kedua dalam jarak yang agak dekat, saya terus buat perjanjian dengan suami. Saya katakan pada dia, saya tak larat nak uruskan dua anak serentak. Nak uruskan rumah lagi, kerjaya lagi.

Jadi, saya mohon kerjasama dia untuk dia uruskan anak sulung dari segala segi bila saya dah bersalinkan anak kedua nanti. Saya keraskan hati untuk biarkan dia handle anak sulung kami. Mandikan, buatkan susu, bawa ke tandas bila berada di luar, tukarkan pampers, dll. Dan Alhamdulillah suami bagi kerjasama.

Sampai ke hari ini, kalau kami berada di luar dan anak nak ke tandas, suami yang akan ambil alih tugas bawa ke tandas. Bila lahir pula anak ketiga, perjanjian tadi dipanjangkan pula kepada anak sulung dan anak kedua. Saya cuma uruskan anak yang ketiga. Ringan sikit beban di situ.

Buat perjanjian. Bukan minta tolong setiap kali kita perlukan bantuan. Sebab orang lelaki tak akan faham. Bila kita minta tolong setiap kali perlukan bantuan, diorang akan rasa macam kita susahkan dia. Tapi kalau buat perjanjian, dia akan tau tanggungjawab dia. Kalau dapat suami yang memang tak mintak tolong pun dia tau main peranan, bersyukurlah!

2. Solat berjemaah.

Suami saya tak pernah ajak saya berjemaah di rumah. Jadi, sayalah yang kena mulakan. Saya ambil wuduk sebelum dia, dan siapkan sejadah, saya cakap nak berjemaah. Tapi kalau dia dah siap berwuduk dan saya baru terhegeh-hegeh nak ambil wuduk, dia takkan layan. Besar rahmatnya dalam berumahtangga kalau suami isteri rajin solat berjemaah.

3. Mulakan dulu.

Lebih kurang sama dengan pendekatan solat jemaah. Tips ni saya dapat dari seorang kawan. Katanya, kalau kita suka bunga, bagitau pada suami. Kadang-kadang suami ni tak tau apa yang kita suka melainkan kita bagitau direct. Itu satu contoh. Contoh lain, saya suka kejutan. Tapi suami saya jenis yang straight forward. Jadi, bila dia selalu diberi kejutan pada hari istimewa, lama-kelamaan, dia pun dah mula pandai buat kejutan pada saya.

Memangla kejutan yang dia buat tu tak menepati kehendak saya. Tapi, jadilah! Hargai effort dia. Saya juga suka pelukan tiba-tiba. Benda ni saya mulakan agak lambat. Bukan di awal perkahwinan. Saya kerap berikan pelukan tiba-tiba kepada suami. Tak perlu hari-hari. Sekarang, suami pun dah mula berikan saya pelukan tiba-tiba. Bila lama tak buat, kami akan rasa macam kekurangan. Benda-benda kecik macam ni lah yang mengeratkan hubungan suami isteri.

4. Salam suami sebelum pergi kerja.

Nampak simple. Tapi percayalah, perbuatan ni boleh bagi impak yang besar dalam hubungan. Malamnya berselisih pendapat. Terasa taknak bercakap dengan suami. Tapi sebelum pergi kerja, nak tak nak, kena salam jugak. Rutin saya, salam, peluk dan cium. Cubalah. Pasti rasa marah akan reda. Bukan setakat nak ke tempat kerja, kalau suami nak keluar berfutsal atau sebagainya, pun saya akan salam dan buat rutin yang sama.

5. Peneman di meja makan.

Kalaupun saya dah kenyang, saya tetap akan teman suami di meja makan. Saya takkan biarkan dia makan sorang. Walaupun sekadar duduk saja, tapi temanlah. Tengah bermasam muka pun saya tetap akan duduk teman di meja. Suami pun jadi terikut-ikut. Kalau dia dah kenyang, dia pun akan buat benda yang sama. Teman saya di meja makan.

6. Jangan abaikan suami.

Walaupun anak dah tiga, saya takkan sesekali benarkan anak tidur di tengah-tengah antara kami berdua. Kalau tengah tengok TV pun, selalunya saya akan duduk di sebelah suami. Menonton wayang pun sama. Bagi saya, jika ada anak di antara saya dan suami, dan perkara ini berlarutan, lama kelamaan suami akan rasa terabai. Sentuhan-sentuhan kecil yang tak disangka-sangka, amat penting dalam perkahwinan.

7. Jangan bertengkar depan anak.

Kami pernah bergaduh mulut secara berdepan masa awal perkahwinan. Saya merasakan, perbuatan tu tak berkesan langsung. Malah, lebih sakit hati. Masing-masing nak menang. Jadi saya ambil pendekatan untuk tidak lagi bergaduh mulut kalau ada perselisihan. Kami akan ‘confront’ di Whatsapp. Luahkan segalanya. Emosi lebih stabil. Boleh tapis dulu mana ayat yang baik dan buruk sebelum hantar. Yang tak elok, kita padam. Lebih relaks. Anak pun tak nampak kita bergaduh.

8. Jangan tag atau perli pasangan di media sosial.

Yang ini paling kerap terjadi. Bukan pada saya dan suami, tapi orang di sekeliling kami. Bila ada posting pasal “Suami Perlu Faham Isteri..” , “Jaga emosi isteri..” “Suami kena tau tanggungjawab..” bla..bla.. Laju je si isteri share. Lebih teruk lagi, tag suami. Tujuannya apa? Untuk suami baca?? Tak membantu. Lelaki ada ego sendiri. Tak payah kita nak menambah ego diorang. Nak suami baca, share je di Messenger suami.

Kalau tengah tengok ceramah agama di TV dengan topik berkaitan, kuatkan volume TV. Kalau kita share posting-posting yang kadang-kadang kita rasa macam dekat sangat dengan situasi yang kita tengah alami, fikir balik. Orang sekeliling kita automatik akan dapat hidu masalah yang kita alami. Perlu ke nak bagitau semua kawan dalam media sosial tu yang suami aku teruk, suami aku tak bertanggungjawab, suami aku tak memahami.. bla.. bla…

Jawapannya, tak perlu. Rumahtangga kita, kita yang kena bijak handle segala situasi. Kita yang perlu bijak tackle suami. Melainkan suami tu memang suami tak guna sejak azali. Bagi dengar ceramah agama 40 bakul pun, hati dia keras macam tu jugak. Hati dah hitam barangkali. Yang macam ni memang tak layak jadi suami.

9. Kurangkan membebel.

Ya. Membebel dengan perempuan, memang tak boleh dipisahkan. Tapi percayalah. Lelaki tak suka. Maka, elakkan. Elok-elok dia balik rumah nak bertenang, nak relaks-relaks lepas balik kerja, tapi disebabkan kita suka membebel, dia lagi suka cari ketenangan kat luar berbanding kat rumah. Lagi suka pergi memancing, lagi suka pergi ride, lagi suka melepak kat mamak dsb. Bila rumah dah jadi satu tempat yang tak lagi menyenangkan, dia akan cari ketenangan kat tempat lain. Membebel bila perlu. Jangan melebih-lebih.

10. Manfaatkan masa berdua.

Manfaatkan masa berdua. Contoh, dalam sebulan, ambik cuti sehari. Keluar dengan pasangan tanpa anak. Atau pun, lunch dengan pasangan time kerja. Kalau surirumah, pilih satu hari, tidurkan anak lebih awal dari kebiasaan. Teman suami tengok TV. Kalau mengantuk jugak, Tidur je la sebelah suami waktu suami tengok TV.

11. Gurau senda.

Vitamin yang paling penting sekali dalam perhubungan. Lebih baik bergurau dengan pasangan sendiri berbanding dengan orang luar. Pasangan kena kreatif. Terlampau serius pun bosan jugak.

12. Ubah diri.

Selain daripada rutin kat atas, tengok balik diri kita. Jangan pernah rasa diri dah perfect. Jangan pernah rasa diri kita je betul. Baik di pihak suami, mahupun pihak isteri. Ubahlah dekat mana-mana sikap kita yang dirasakan perlu sebelum terlambat. Sebelum terbit rasa bosan. Kita nak orang lain berubah, kita yang kena berubah dulu.

Semoga perubahan positif yang kita lakukan, memberikan kebaikan dalam hubungan suami isteri. Bila rasa bosan, jangan sekali-kali terfikir untuk mencari yang lain. Menambah beban namanya. Fikirkan dulu macam mana nak timbulkan balik rasa bahagia.

Akhir sekali, saya doakan semoga perkahwinan kita semua dirahmati Allah dan berbahagia sampai ke syurga. Andai pengakhirannya tetap mendukacitakan, sekurang-kurangnya kita dah berusaha sehabis baik.

Suami atau isteri sama-sama perlu berubah dan saling melengkapi sebab perkahwinan ni melibatkan dua pihak. Bukan isteri je kena mengalah, kena berubah. Suami pun kena ambik langkah yang sama. Jangan sesekali bagi ruang untuk muncul rasa bosan ataupun ruang untuk pihak ketiga menyelit. Hidup mestilah rukun. Sabar paling perlu. Cinta setiap hari. Senyum mesti selalu!

– Pencinta Imamku (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *