Syurga Yang Dirindukan

Salam pembaca dan admin, terima kasih andai cerita ini disiarkan. Cerita ini berkisarkan ibuku dan keluargaku. Betapa besarnya nilai ketabahan yg aku lihat pada ibuku kepada papaku.

Untuk memendekkan cerita, ringkasnya aku ceritakan sepanjang ibu dan papaku berkahwin, memang aku dan adik beradik selalu menyaksikan pertengkaran mereka. Kerana papaku seorang yang panas baran, ego dan selalu memandang rendah ibuku yg hanya lepasan spm manakala papa pula graduan luar negara. Arwah nenekku juga tidak menyukai pilihan papaku sehingga mereka sudah berkahwin 20+ tahun pun nenek masih mengungkit.

Awal-awal perkahwinan memang papa culas bab nafkah kadang-kadang tidak ditinggalkan duit kepada ibu. Pernah semasa ibu mengandungkan abangku, ibu pengsan di pasar kerana ingin mencari makanan yg diidamkan. Papaku tidak berminat untuk mencari makanan itu ketika ibuku meminta. Ketika itu juga ibu hanya ada satu pakaian mengandung yg dijahitnya sendiri. Papa selalu berkira apabila ibu meminta duit untuk membeli barangnya. Sehinggakan ditegur arwah nenek kerana memakai baju yg buruk, ibu hanya tangisi nasibnya. Mak kepada ibuku juga sering menangis kerana melihat keadaan ibuku. Mereka berasa rendah diri kerana hanya berasal dari kampung.

Papa adalah seorang workaholic, keluar pagi balik tgh malam jadi masa bersama anak tidaklah banyak.Anak-anak rapat dengan ibu kami. Kami empat beradik dibesarkan dalam keadaan yg sederhana. Aku akui papa kadangnya berkira dengan kami, makanan seperti kfc hanya dapat kami santap jika kawan-kawan berkongsi bersama kami. Sehinggalah aku menjengah usia remaja, pertengkaran mereka menjadi lali bagiku. Tengking itu perkara biasa bagi papa. Kami juga selalu disebat dan dirotan atas kesalahan kecil. Tapi ada masanya papa akan berbaik dengan kami.mungkin kesal dengan perbuatannya. Papa juga pernah kantoi beberapa kali mempunyai scandal di luar. Tapi semua tak menjadi selepas ibu dapat tahu. Kadang-kadang setiausaha papa mengadu kepada ibu. Aku sejujurnya pernah merasa benci kepada papaku dan trauma kepada perkahwinan kerana terasa maruah seperti dipijak-pijak. Bila aku dewasa aku mengerti yg perbuatan papa adalah satu bentuk penderaan mental kepada ibu. Ibu hanya bertahan demi anak-anak. Maklumlah hanya suri rumah yg bergantung pada suami. Tapi papa tidak pernah naik tangan kepada ibu, hanya hinaan dan carutan sahaja namun sudah cukup memeritkan.ibu juga pernah menghadiri sesi kaunseling kerana depression.

Keadaan menjadi lebih baik apabila kami semakin membesar. Aku pun dah masuk kolej, ibu juga diberi kebebasan berbelanja menggunakan kad kredit. Aku merasa keluarga aku di saat bahagia. Gaji papa bolej dikatakan besar jadi ada masa kami bercuti di pulau dan hotel.

Tak tercapai jangkaan aku, aku yg sedang menyambung pelajaran di peringkat degree, tiba-tiba mendapat mesej dari ibu. Ibu mengasingkan diri di kampungnya sudah dua minggu dan adik beradikku runsing akan keadaanya. Aku cuba hubungi ibu dan bertanya. Bagai terjatuh jantungku, ibu memberitahu bahawa papa sudah berkahwin baru di Siam. Aku menangis bagai orang gila. Aku tidak sangka papa sanggup lakukan begitu selepas pengorbanan ibu berpuluh tahun. Tiga hari aku menangis, di dewan lecture aku menangis sehingga perlu keluar kelas. Ketika mandi aku menangis,makan juga menangis. Terasa bagai di dalam drama tv.Setiap kali solat aku menangis. Aku ingin sekali berada di sisi ibu untuk memeluk dan menyabarkannya tetapi aku terlalu jauh. Jarak tempat pengajian aku jauh dan aku perlu menempah tiket penerbangan untuk pulang. Semasa mencari tiket semua sedang mahal dan aku menangis mengenangkan elaun aku yg makin berkurang. Aku mendiamkan hal ini sehinggalah housemateku memujukku. Ketika itu musim exam mereka juga risau melihatku seperti mayat bergerak. Kecewa kerana tidak mampu membantu. Aku luahkan kepada mereka, aku menangis sepuas puasnya dan cuba untuk lelapkan mata menghadapi hari esok.

Besar kasih sayang Allah kerana memberikan sahabat berhati mulia. Malam itu mereka mengambil passport aku secara senyap-senyap. Mereka belikan aku tiket penerbangan pulang. Aku kelu tidak bersuara, mereka juga haramkan aku membayar tiket itu. Janji aku pulang dan support ibuku. Sahabat yg aku akan ingat hingga ke syurga. Moga korang diberi ganjaran di syurga Allah. Cuti itu aku pulang, exam aku cuba buat sehabis baik walaupun mindaku terganggu. Hampir aku fail satu subjek.

Setelah aku pulang. Papaku seperti tahu aku sudah ketahui hal ini aku hanya menjauhkan diri dan mendiamkan diri. Papa memanggil semua adik beradik dan mengumumkan papa sudah berkahwin lain. Semua menangis, adik perempuanku masuk bilik dan hempas semua barang dia juga keluar dari rumah kerana terlalu kecewa. Papa tertekan tetapi dia tahu kami perlukan masa. ibu juga memilih untuk mengurungkan diri.

Selama 2 tahun ibu masih dingin dengan papa.papa aku cuba untuk berlaku adil tetapi dia tidak faham konsep adil itu sepenuhnya. Papa belikan ibu kereta mungkin rasa bersalah. Isteri lain juga diberikan kereta. Isteri papa adalah janda anak tiga yg sudah berkahwin beberapa kali. Ibu diberikan kedai, isteri lain( bekas kawan ibu) juga diberikan kedai. Kami sekeluarga berasa tidak puas hati kerana sebelum ini papa selalu berkira. Tak disangka byk pula duit papa. Baru masuk hidup papa terus dapat kemewahan dalam hidupnya. Masa papa bersama kami juga semakin kurang. Ibu cuba menerima keadaan baru secara perlahan dan ibu berjinak-jinak dalam hobi barunya. Hati sudah tawar. Ibu memilih untuk menyibukkan diri.

Keadaan bertambah pulih selepas aku kahwin dan mendapat cahaya mata. Cucu inilah yg menggembirakan rumah kusam itu. Ibu juga gembira dengan hobi barunya. Adik-adik yg lain sedang menyambung pelajaran,sibuk dengan hal masing-masing. Walaupun begitu ibu masih diganggu dengan kata-kata nista seorang manusia yg kejam yang menggelakkan takdir yg menimpa ibu. Sehingga ibu membawa hal ini ke balai polis. Namun tiada penyudahan, ibu pilih untuk tidak melayan.

5 tahun berlalu, tak sangka air yang tenang tiba-tiba berombak semula. Papa ingin membawa ibu mengerjakan umrah bersama dan ibu mendapat perkhabaran yang madunya akan turut serta. Aku mengurut dada, Ya Allah kuatnya ibu diuji. Bagaimanalah untuk ibu mengerjakan umrah dengan tenang apabila madunya yang telah menikam belakangnya ada di tenpat yg sama. Aku menangis lagi. Mengapa papaku berbuat begini , ‘agak-agaklah kalau nak adil pun’ , ibu akur dan meminta doa supaya dipermudahkan ibadahnya. Namun aku juga tidak tahu adakah papa menghalang isteri keduanya ikut sekali. Mungkin dia serba salah, mungkin bini keduanya insist nak mengikut juga.

Selepas pulang, alhamdulillah ada kisah yg indah dibawa pulang. Ibuku rupanya berbuat keputusan untuk bersemuka dengan madunya kerana kasihankan papaku yg kelihatan selalu tertekan. Ibu kata di akhir usia begini, biarlah papa hidup dengan tenang. Semuanya diluahkan kepada madunya, perasaan sakit hati, trauma anak beranak semua ibu ceritakan. Madunya hanya banyak mendiamkan diri dan meminta maaf. Ibu nyatakan supaya selepas ini mereka akan jaga hal masing-masing. Jaga hati masing-masing dan jaga papa.

Aku sebak mendengar cerita ibu, betapa tabah dan kuat hatinya. Memaafkan insan yg telah merobek kebahagiaan keluarga kami. Pengorbanan dan kesetiaan berpuluh tahun dibalas dengan pengkhianatan dan kesakitan. Terasa hak sebagai anak dirobek-robek oleh orang luar.Doa aku supaya kami semua diberikan kekuatan dan kelapangan hati. Supaya keluarga kami akan terus berfungsi dan gembira.

Pesan aku kepada lelaki di luar yg berniat untuk poligami. Lihatlah kemampuan diri mengawal nakhoda dan ahli nakhoda. Kalau dari awal lagi dah menipu untuk berkahwin, adilkah itu? Lihatlah kesannya terhadap institusi keluarga. Jika keluarga porak peranda, apa sunnah yang kamu junjungkan itu. hukum poligami berbeza mengikut keadaan ye. Jangan main petik sahaja ikut kesenangan diri. Dalam keadaan kewangan papaku, ye dia mampu tapi dari segi didikan isteri dan anak-anak. Aku dan adik-adik hampir tersasar jalan dari segi moral,tidak perlulah aku cerita. Bab agama aku tidak akan komen kerana tiada manusia yg sempurna. Jadi kenapa terlalu yakin ingin menangung lagi orang lain dan dosanya. Adakah kaki sebelah kita sudah berada di dalam syurga? Semoga ibu peroleh syurga yg dirindukannya. Amin

– Anak ibu

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit