Terlalu Lemah Menerima Penolakan

Assalamualaikum admin dan rakan pembaca. Terlebih dahulu saya ucapkan ribuan terima kasih sekiranya admin sudi menyiarkan kisah ini.

Saya seorang wanita berusia lewat 20-an. Bujang. Bekerja dalam sektor kerajaan yang mana pekerjaan saya ni katanya menjadi idaman lelaki untuk dibuat isteri dan mentua untuk dibuat menantu. Kata kebanyakan orang begitulah huhuhu.

Kisahnya, saya sejak kebelakangan ini tersedar akan keperluan untuk mempunyai seorang teman sebagai suami. Tambah-tambah lagi kehidupan kerjaya saya yang berjauhan dengan keluarga di kampung. Ketika ini saya sedang menghadapi tekanan perasaan akibat konflik di tempat kerja. Tiada tempat mengadu. Kawan-kawan pula semakin jauh. Di sini saya sedar rupanya mempunyai suami itu perlu sebagai peneman setia di sisi saat ujian Tuhan menghampiri.

Tetapi oleh sebab saya tidak mempunyai kawan lelaki sama ada dari bangku sekolah mahupun ketika di universiti, malah di tempat kerja saya pun saya kurang berkomunikasi dengan rakan sekerja lelaki, maka tiadalah seorang calon pun yang saya fikirkan dapat dijadikan calon suami.

Makanya, bermula lah episod mencari calon suami di portal till jannah. Mendaftar dan memasukkan maklumat asas diri di laman tersebut. Maka bertalu-talu lah mesej yang masuk minta berkenalan (mungkin kerana maklumat pekerjaan saya yang tertera menarik minat mereka). Saya tapis habis-habisan dan cuma membalas mesej beberapa orang sahaja yang saya rasakan boleh untuk pergi jauh. Akhirnya, tinggal seorang yang betul-betul saya rasakan dia boleh menerima kekurangan saya. Kami menyambung sesi perkenalan di aplikasi whatsapp.

Dia kerap menghantar mesej kepada saya. Waktu kerja pun dia rajin bertanya khabar. Pagi petang siang malamlah senang kata. Banyak yang kami bualkan terutama tentang kerja saya dan dia serta serba sedikit tentang diri masing-masing. Dia kerap menggunakan kata-kata manis romantis walaupun berkali-kali saya ingatkan padanya bahawa perkenalan ini terlalu singkat untuk dia menzahirkan perasaanya sebegitu. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku sama ada suatu hari nanti, manalah tahu kalau dia tidak dapat menerima saya, atau saya yang tidak dapat menerima kekurangannya. Kami kan baru berkenalan melalui whatsapp, belum lagi berjumpa depan-depan.

Saya seperti biasa membalas mesej sehabis neutral, tidak menampakkan apa apa perasaan padanya. Walaupun dalam hati berbunga bunga hanya Tuhan yang tahu setiap kali dia gunakan kata-kata memikatnya itu.

Saya tidak pernah mengizinkan perbualan melalui telefon kerana bimbang timbul perasaan lain yang tidak sesuai apabila mendengar suara. Bimbang juga bertambah tambah dosa sedangkan melayani mesej whatsapp lelaki dan perempuan tanpa urusan penting pun dikira dosa. Tapi saya cuma niatkan dalam hati saya bahawa saya melayani mesej hanya sekadar untuk bertaaruf. Itu sahaja.

Akhirnya, setelah beberapa kali dia minta untuk berjumpa, saya setuju. Kerana saya fikir saya perlu tamatkan ini semua dan mendapatkan jawapan tentang hala tuju hubungan kami. Saya pun tidak mahu lama-lama bermain perasaan. Biar bertemu empat mata, dan lihat kelemahan serta kelebihan masing masing. Kalau terima, teruskan ke peringkat seterusnya, kalau tidak sama sama membawa diri.

Dia sangat yakin mahukan saya sebagai isteri (walaupun cuma mengenali melalui mesej di whatsapp) . Saya pula teragak agak adakah dia boleh menerima saya setelah bertemu saya nanti.

Saya lakukan istikharah beberapa kali dengan doa agar dipermudahkan urusan kami. Didekatkan andai dia jodoh yang tertulis, dijauhkan andai dia bukan.

Hari yang dijanjikan. Kami berjumpa di sebuah pusat membeli belah yang saya pilih. Mula bertentang mata tu saya bagaikan nampak dia tidak selesa cuma dia cuba bertenang. Kami pilih untuk makan di satu food court. Dia order makanan, saya turutkan saja. Berdebar juga hati kerana tidak pernah saya keluar dengan lelaki begini. Tidak dikenali pula tu. Saya tidak bawa sesiapa menemani kerana saya tiada sesiapa yang boleh diajak teman. Saya cuma beranikan diri dan berjumpa pun di tempat awam yang ramai orang.

Makanan siap, kami makan sambil berbual bual. Dia yang banyak bertanya saya jawab sahaja mana yang perlu. Kebanyakan soalan tentang kerjaya saya. Dia nampak agak serius orangnya bila berdepan. Tidak seperti semasa berbual di whatsapp, mesra manja dan sweet gitu. Mungkin lepas tengok saya kut dia rasa tak berminat huhuhu. Saya memilih untuk tidak bertanya banyak padanya dan memberi ruang untuk dia mengenali saya. Saya fikir selepas ini pun boleh bertanya lagi andai dia menerima saya dan melanjutkan perhubungan ini.

Selesai makan dan menjawab soalan soalan dia, saya meminta diri. Kerana saya merasakan tidaklah manis untuk berlama lama berduaan begitu.

Dia mengiyakan sahaja sambil menawarkan diri untuk menghantar saya pulang. Saya tolak dengan baik kerana beberapa alasan, sedangkan sebenarnya saya segan untuk menumpang keretanya. Kami berpisah di situ dan membawa haluan masing masing.

Saya lega sangat lepas pertemuan tu. Kerana saya dah tunjukkan diri yang sebenar. Selepas ini bagaimana pun penerimaan dia saya tahu itu adalah berasaskan diri saya yang sebenar. Bukan daripada mesej2 di whatsapp yang mungkin nampak bijak, matang atau dia membayangkan dia sedang bermesej dgn seorang perempuan yang cantik huhuhu.

Saya pula, perlahan lahan telah menerima apa sahaja keadaan dirinya. Dan sungguh, saya melihat dia seorang lelaki yang baik dan menghormati wanita. Lembut dan sopan caranya melayani saya ketika berjumpa. Mendengar cerita cerita saya.

Namun, tak sangka malam selepas pertemuan itu, dia block saya di whatsapp. Fahamlah saya, bahawa saya tidak memenuhi kriteria pilihannya.

Saya agak terkejut. Terharu. Dan bingung. Sepanjang mesej dulu berkali kali saya kata padanya saya tidaklah cantik dan minta dia jangan teruskan dengan saya sekiranya dia mendambakan pasangan yang cantik. Bersungguh dia nafikan bukan cantik yang dicari.

Setelah bertemu, ternyata dia tidak mampu menerima diri saya begini. Kurus tinggi berkulit sawo matang. Atau adakah dia tidak menerima kelemahan kelemahan lain yang dia jumpa sepanjang saya menjawab semua persoalannya ketika kami berjumpa. Saya bingung kerana dia tidak menyatakan sebabnya, terus block saya di whatsapp.

Tiada lagi mesej mesej darinya seperti sebelum ini. Dalam kesedihan dan bingung, saya sedar mungkin inilah jawapan kepada istikharah saya. Doa saya agar dijauhkan dari hubungan yg sia sia dengan orang yang salah dimakbulkan. Cuma bila membandingkan janji janji dia ketika berwhatsapp dengan tindakannya setelah berjumpa, saya rasa lawak. Bukan main lagi yakinnya dia sayalah bakal suri hidupnya dan ibu kepada anak anaknya. Alih alih tanpa sebarang kata dia senyapkan diri.

Tak apalah, saya redha. Mungkin kami bukan yang terbaik untuk satu sama lain. Cuma, saya rasa seperti putus asa. Rasa macam lepas ni tak ada lelaki akan terima kekurangan saya. Kurus dan tidak cantik. Remeh bukan? Tapi hakikatnya cantik jadi kriteria penting untuk jadi calon isteri seseorang lelaki. Agaknya kalau dah tak ada sangat baru mereka terima kami kami yang tidak cantik ni huhuhu. Maafkan saya kalau statement ini terlalu biadap. Mungkin sebab saya terlalu kecewa.

Seminggu saya cuba melupakan dia. 3 hari pertama tidur saya terganggu asyik terjaga kerana fikirkan malunya saya direject pada cubaan pertama saya mencari calon suami.

Kini, hampir dua bulan berlalu, saya sudah hampir lupakan dia. Sedang membina kehidupan yang ceria tanpa mahu berusaha lagi untuk berkenalan dengan mana-mana lelaki. Saya malu, dan saya sudah tidak yakin pada diri.

Doa saya, agar dipercepatkan jodoh yang terbaik untuk saya dan dijauhkan saya daripada melalui detik detik memalukan itu lagi. Niat saya baik untuk mencari jodoh bagi membina keluarga dan kehidupan yang lebih sempurna. Dan saya yakin, Allah sedang simpankan dia dan apabila saatnya tiba, saya pasti akan bertemu dengan orang yang tepat.

Saya yang terlalu lemah untuk menerima penolakan ini..maka biarlah saya hanya menanti saatnya tiba dengan sendiri tanpa berusaha mencari lagi.

Mohon agar saya tidak dimaki dan dikecam. Saya cuma meluahkan perasaan kerana saya tidak mampu untuk bercerita kepada sesiapa pun secara berdepan. Abaikan sahaja jika kalian menganggap cerita ini sebagai sampah.

Terima kasih. Minta didoakan yang baik baik buat saya ya.

– Cik Sha

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *