Terlantar

Aku hendak bercerita satu kisah yang berlaku di depan mata aku.

Aku akan ceritakan semula bagaimana kisah ini berlaku tapi aku minta maaf terlebih dulu sebab penceritaan aku dalam penulisan ala novel. Maaf juga pada yang tidak suka.

Aku hanya hendak berkongsi.

Di ruang legar sebuah hospital kerajaan, kelihatan begitu ramai orang yang lalu-lalang. Ada yang datang membawa anak, ada yang datang secara berkumpulan dan ada datang perseorangan. Ada yang membawa bekalan, ada yang tidak.

Kelihatan sesak dan meriah bagaikan Down Town Danau Kota. Kedatangan mereka dengan satu niat. Niat melawat orang sakit.

Diluar wad 5B.

Kelihatan seseorang berjalan penuh bergaya. Berpakaian kemas, kemeja berjenama, neck tie yang masih melekat di kolar dan berseluar slack hitam itu menawan.

Melangkah masuk ke dalam wad.

Apabila sampai di katil ayahnya, lalu diserahkan buah tangan iaitu buah-buahan pada mak yang menjaga ayah. Oh anaknya rupanya.

Buah-buahan yang ada di bawah katil ayah pun sudah penuh bagaikan kedai buah di pasar borong.

Si emak yang menjaga ayah sudah berumur 65 tahun dan si ayah pula berumur 70 tahun.

Si ayah menghidap kencing manis dan penyakit lain.

Si anak bertanya kepada mak.

“Macam mana dengan ayah?”

“Macam tu je, Along!” Perlahan suara dilontarkan oleh mak.

“Ayah kena banyak makan, baru ada tenaga,” kata si anak penuh yakin.

Mak diam, wajahnya terpaku pada suaminya.

“Doktor ada kata apa-apa ke mak?” Tanya si anak lagi. Mak diam saja.

Si anak memandang sekeliling seperti mencari sesuatu. Matanya tertumpu pada seseorang. Pantas mengatur langkah menuju ke arah orang itu. Oh, berjumpa doktor rupanya.

Dari jauh kelihatan si anak berbual dengan doktor. Ada kalanys serius perbualan mereka, ada kalanya terukir senyuman di bibir mereka. Setelah berjabat tangan dengan doktor, si anak dapatkan mak semula.

Si anak bersuara pada mak.

“Mak, doktor kata ayah stabil. Cuma kena jaga makan dan minum sahaja. Jangan lupa makan ubat.” Itu kata si anak.

Tidak lama kemudian si anak minta diri untuk pulang, sibuk katanya. Tangan mak disalam, baru hendak salam tangan mak. Masa sampai tadi tidak salam pun. Sebelum melangkah pergi, si anak bersuara.

“Sayang mak dan ayah,”

Tinggallah mak seorang kembali. Mak yang tidak seberapa kuat itu, hendak bangun pun kena berpaut pada sesuatu.

Walaupun masa melawat dua jam tapi si anak datang tidak sampai pun sejam. Ketika si anak datang si ayah sedang tidur.

SIAPA YANG HENDAK KOPEKKAN BUAH ITU?

SIAPA HENDAK POTONGKAN BUAH ITU?

SIAPA HENDAK SUAPKAN PADA AYAH?

SIAPA YANG HENDAK BANGUNKAN DAN DUDUKKAN AYAH?

SIAPA HENDAK MANDIKAN AYAH?

SIAPA YANG HENDAK ANGKAT AYAH LETAKKAN PADA KERUSI RODA UNTUK KE TANDAS?

Jawapannya MAK.

MAK YANG BERUMUR 65 TAHUN…

Waktu petang.

Kelihatan seorang perempuan yang penuh bergaya. Amboi, dengan dressing seperti “Mak Datin” dalam usia hujung 40’an. Datang seorang diri, menuju ke katil yang sama. Memberi salam pada mak seraya diletakkan mangkuk tingkat di sisi katil. Mak Datin bersalam dan mencium tangan emak.

“Mak sihat?” katanya.

“Sihat Ngah! ” kata mak.

“Maaflah mak, saya sibuk sekarang. Malam ni pun nak kena pergi Kuala Lumpur,” Mak Datin beri alasan.

“Takpe, pergi lah!”

“Oh mak, ni saya bawakan sup ayam dan bubur nasi. Ayah suka ni, ayah apa khabar?” sambil menyapa si ayah.

Si ayah sedang bersandar pada katil.

“Boleh la sikit,” pendek kata si ayah dalam nada perlahan.

Dengan nafas yang tercungap, si ayah gagahkan diri mengaju soalan.

“Dari mana, Ngah?”

“Saya dari ofis, banyak kerja sekarang ni. Malam ni pulak nak pergi Kuala Lumpur. Kalau ayah nak apa-apa, nanti saya bawakkan,”

Mak datin merapatkan diri di tepi katil ayah, matanya liar memerhatikan tubuh si ayah. Tiba-tiba pandangannya serba tidak kena. Amarahnya menjelma. Mak datin bersuara tegas.

“Ayah! Kenapa tangan ayah bengkak?”

“Takde apa-apa! Tadi, nurse salah cucuk jarum masa masukkan air, tu yang bengkak.”

Mak datin naik angin lalu bertempik bagaikan mengaum singa betina Afrika.

“Apa?!!”

Terus meluru ke kaunter.

“HOI! YOU ALL BOLEH TAK BUAT KERJA TU ELOK-ELOK! BADAN AYAH I BUKAN AYAM TAU! KALAU YOU ALL NAK KERJA LAMA, KERJA ELOK-ELOK! YOU ALL BELUM KENAL SIAPA I!”

Keadaan jadi tegang seketika, semua terdiam senyap. Seorang staff nurse datang kepadanya, memujuk. Keadaan kembali tenang. Mak Datin pergi mendapatkan mak dan ayah.

“Ayah! kalau dia orang buat apa yang tak betul, ayah bagitau saya. Biar saya ajar dia orang.”

Ayah dan mak cuma diam saja. Prihatin sungguh Mak Datin pada mak dan ayahnya.
Selang berapa minit Mak Datin bersuara…

“Mak! Ayah! Saya minta diri dulu ya. Saya nak buat persiapan untuk pergi ke Kuala Lumpur malam ni. Saya sayang mak dan ayah.”

Mak Datin bersalam kedua-dua orang tuanya. Setelah Mak Datin pergi, tinggallah mak dengan suaminya yang sakit…

SIAPA YANG HENDAK HIDANGKAN SUP DAN BUBUR ITU?

SIAPA HENDAK SUAPKAN AYAH?

SIAPA YANG HENDAK CUCI BEKAS KOTOR NANTI?

SIAPA YANG HENDAK BUAT SEMUA KERJA???

Jawapannya MAK.

MAK YANG BERUMUR 65 TAHUN…

Mak Datin cuma datang dalam satu jam sahaja. Sedangkan pelawat dibenarkan melawat selama 3 jam pada waktu petang.

Waktu malam.

Mak buat semua kerja. Persiapan ayah untuk tidur dan mengemas. Apabila ayah tidur, mak sambung kerja membasuh pinggan, basuh cawan, basuh sudu, basuh kain yang kotor.

Selesai semua kerja barulah mak pergi mandi. Selesai mandi mak pergi ke balkoni hospital untuk ambil “Kerusi Malas” yang setia menjadi katil mak sepanjang menjaga ayah. Baru hendak terlena.

“Hok! Hok!”

Mak terjaga apabila terdengar suaminya batuk. Mak cari minyak panas, disapu ke dada suaminya. Boleh dikatakan emak tidur dalam keadaan duduk sahaja. Mungkin kerana terlalu letih, apa yang dipegang oleh mak akan terlepas dari tangannya ketika tidur.

Pagi menjelma.

Selepas melipat kerusi malas, mak yang akan angkat sendiri kerusi itu dan letak kembali di balkoni. Walaupun jaraknya tidak jauh tapi kena ingat umur mak 65 tahun.

Selesai mengemas, mak dapatkan suaminya, suaminya yang masih tidur. Di tatap wajah suami yang tersayang.

Setelah yakin keadaan baik. Mak melangkah menuju ke tandas untuk mandi. Sebelum melangkah, mak sempat berpesan pada orang sebelah katil tolong beritahunya kalau ada apa-apa berlaku pada suaminya.

Semasa mandi mak sempat lagi basuh kain yang kotor. Selesai mandi, mak bersiap mengenakan baju kurung. Baju yang di pakai semasa tidur, mak letak di dalam baldi. Malam nanti mak akan basuh, itu pun kalau tenaganya masih berbaki.

Mak dekati ayah yang baru bangun dari tidur.

“Assalamualaikum bang.”

Diberi salam pada suaminya.

Diangkat tubuh suaminya yang termampu. Jelas terlihat urat-urat tuanya terdegil keluar. Baldi kecil kelihatan disisi mak, diselup tuala kecil ke dalam baldi. Ditarik keluar dan dipulas tuala itu lalu dilap ke badan suaminya. Tuala “good morning” jenamanya.

Sehari dua-tiga helai tuala digunakan. Selesai mengelap badan suami, mak pakaikan suaminya baju hospital.

Katil suaminya, jururawat yang kemaskan.

Perlahan tangan tuanya menyapai roti buku disisinya. Sekeping roti dicelup setengah ke dalam cawan lalu disuapkan suaminya dengan hati-hati, penuh kasih sayang, penuh tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Setelah selesai semuanya, ayah pun baring. Mak belum makan lagi, mak minta izin daripada suaminya untuk ke bawah membeli makanan.

“Hati-hati awak.”

Suaminya tenung ke wajah yang menjaganya. Menjaganya dengan bertanggung jawab.

Dengan kudrat masih bersisa, mak melangkah perlahan. Langkah mak tidak cantik, sumbang tapi dipaksa juga dengan berhati-hati.

Wad suaminya di tingkat lima, kantin di tingkat satu. Kelihatan jelas nafas mak tercungap-cungap bila melangkah laju mengejar pintu lif yang terbuka.

Sepanjang pergi dan balik ke kantin, mak akan berhenti beberapa kali untuk melepaskan rasa lelah.

Mak hanya bungkus makanan yang di beli. Di depan katil suaminya, meja makan bagi mak. Dengan beralaskan tangan kiri, mak menyuapkan mee goreng ke mulutnya. Berselera nampaknya mak tapi kunyahannya tidak teratur.

Selesai mak makan, mak lihat suaminya sambil membetulkan selimut. Bila mak rasa semuanya dalam keadaan baik. Baru mak meneruskan mana-mana kerja yang belum siap. Contohnya bersihkan baldi tempat ludah, muntah, melipat kain dan lain-lain lagi.

Siapa lagi yang hendak buat kalau bukan MAK??? MAK YANG BERUMUR 65 TAHUN…

Setelah selesai, mak dapatkan ayah lagi.

“Abang nak apa-apa ke?” Perlahan suara di lontar pada suaminya.

“Dada saya sakit,” balas ayah dengan mimik muka berkerut.

Pantas mak ambil minyak panas, disapu dan diurut ke dada ayah. Mak memang keletihan. Mak memang perlu berehat. Tapi kalau mak rehat, siapa yang hendak buat semua ini. Hendak upah orang, ayah tidak mahu.

Bila ayah tidur, mak akan tidur-tidur ayam.

Dari wajah mak yang berkedut itu nampak jelas keletihan teramat sangat. Bawah kelopak mata mak hitam dan lebam, tidak sempurna tidurnya. Tubuh mak semakin kurus. Dada mak berombak, tercungap. Sesekali terdengar mak menarik nafasnya yang tersekat, nafas tuanya itu.

“SEMANGAT!” Ya, semangat sahaja yang tinggal dalam diri mak. Semangat bertanggungjawab sebagai isteri. Sanggup berkorban apa saja.

Sepatutnya mak tidak perlu buat semua ini, sepatutnya mak cuma berehat saja di rumah dan datang sebagai pelawat. Biar anak-anak yang main peranan. Tapi anak-anak sebaliknya.

Waktu melawat datang lagi.

Kelihatan seorang wanita dalam usia hujung 30an. Wah! Dressing seperti Artis drama bersiri. Wah! Siap boleh nampak payudara lagi. Ada 34D kot, memang simbol seks. Mesti berkerja dengan company korporat. Berjalan terus ke katil yang sama.

Seperti biasa memberi salam pada mak. Setelah selesai semua adab antara anak dengan orang tua, si anak pun berkata.

“Mak! Saya mintak maaf tak dapat jaga ayah. Saya banyak hutang. Hutang loan, hutang kad kredit semua tu kena bayar. Jadi saya kena kerja. Saya cuma boleh melawat seperti ini saja.”

“Takpe! Mak boleh jaga ayah. Mak sihat lagi…”

“Betul ke mak! Terima kasih. Sayang mak dan ayah,” kata si artis.

Artis pun hulurkan satu beg plastik penuh dengan buah. Buah lagi! Penuh buah bawah katil ayah. Yang ada pun tidak termakan, mungkin ada yang busuk!

Setelah berbual, si artis pun minta diri untuk pulang. Dalam bersalaman, not RM50 diselit pada tangannya.

Maka tinggal mak keseorangan lagi.

SIAPA HENDAK KOPEK KAN BUAH ITU?

SIAPA HENDAK BELAHKAN BUAH ITU?

SIAPA YANG HENDAK SUAP PADA AYAH?

SIAPA HENDAK TOLONG CUCI KAIN YANG KOTOR?

SIAPA YANG HENDAK MENOLONG MAK?

Jawapannya MAK.

Mak yang berumur 65tahun…

Mak yang akan buat semua itu. Mak yang akan tolong dirinya sendiri.

Waktu petang.

Kelihatan ramai orang di luar wad, waktu melawat tiba. Dari jauh, kelihatan seorang pemuda berkulit putih, agak simple pakaiannya dalam pertengahan 30’an.

Memasuki ke dalam wad, berjalan menuju ke katil yang sama. Yang pelik tiada buah tangan di bawa. Apabila sampai di depan mak, si anak menghulurkan tangan bersalam, dicium tangan mak, begitu juga di lakukannya pada ayah.

Soalan yang sama…

“Ayah sihat ke?”

Kalau ayah kau sihat, duduk di rumah bukan di hospital! Pelik betul…

“Boleh lah!” Perlahan si ayah bersuara.

Si ayah pandang ke wajah anaknya seraya berkata…

“Macam mana kau sekarang?”

“Macam ni la ayah. Minggu depan naik mahkamah lagi. Maafkan saya ayah, saya tak dapat jaga ayah. Banyak masalah yang nak kena saya fikirkan. Tentang kerja, tentang anak, tentang hutang dan kes cerai,” Si anak tunjuk wajah sedih pada ayah.

“Takpe, tentang ayah kau tak perlu risau. Mak kau ada.”

Si anak pandang ke wajah mak.

“Mak, maafkan saya!”

Si mak menggenggam tangan si anak sambil berkata…

“Takpe, sabarlah ya!”

“Terima kasih. Saya sayang mak dan ayah,”

Maka terciptalah cerita sedih, cerita IBU MERTUA KU.

Selang seketika, si anak pun minta diri untuk pulang. Tinggal mak keseorangan lagi.

SIAPA YANG HENDAK FIKIRKAN TENTANG SAKIT AYAH?

SIAPA YANG HENDAK FIKIRKAN MASALAH MAK?

SIAPA PERNAH TERFIKIRKAN TENTANG MAK?

SIAPA PERNAH TERFIKIR MAK CUKUP TIDUR KE TIDAK?

SIAPA PERNAH TERFIKIR MASA BILA DAN APA YANG MAK MAKAN?

Jawapannya TIADA SIAPA YANG TERFIKIRKAN SEMUA ITU…

Tentang ayah pulak siapa yang terfikir?

Jawapannya MAK.

Mak yang berumur 65 tahun…

Selang beberapa minit, si anak lelaki pergi. Seorang lagi anak mak datang dalam pertengahan 20’an, dengan tudung Fareeda dan baju bersaiz S.

Di tangannya erat memegang telefon. Penampilannya seperti wanita yang baru dalam dunia pekerjaan. Sambil melangkah itu, sempat lagi menekan screen di telefon. Balas mesej wassap la tu.

Sampai di depan mak, si anak terus bersalam dengan mak kemudian dengan ayah. Setelah menanya khabar mak dan ayah. Berbual mereka, semasa sedang berbual, si anak sempat lagi balas wassap mungkin dengan pakwenya.

Selepas itu, si anak kupaskan dan potongkan buah untuk ayah. Sedang buat kerja pun, masih sempat balas mesej. Setelah selesai, si anak minta diri untuk pulang.

Sebelum melangkah pergi.

“Sayang mak dan ayah,”

Tinggal mak seorang lagi…

SIAPA YANG HENDAK TOLONG MAK?

SIAPA YANG HENDAK TOLONG LIPAT KAIN?

SIAPA YANG HENDAK TOLONG MAK BASUH CAWAN DAN PINGGAN?

SIAPA YANG HENDAK TOLONG LAPKAN BADAN AYAH?

SIAPA YANG HENDAK BUAT SEMUA TU?

Jawapannya MAK.

Mak yang berumur 65 tahun…

Begitulah keadaan anak-anak mak. Semuanya penuh sebab dan alasan. Tiada seorang pun anak yang rela mengambil alih tempat mak untuk menjaga ayah.

Mereka memberikan alasan dan merasa seolah mereka betul dengan apa yang mereka lakukan.

Katakan, jika ayah dan mak memberi alasan untuk membesarkan mereka, mungkin mereka tidak besar panjang seperti sekarang. Ada kereta besar, pangkat besar, gaji besar, payudara besar dan macam-macam lagi.

Anak-anak semuanya JADI ORANG tapi tidak MENJADI ANAK.

Kesian ayah dan mak. Ayah sedang sakit kronik. kalau boleh anak yang menjaga, duduk di sisi ayah. Walaupun tidak dapat jaga setiap hari, weekends kan ada. Tapi, semua tidak pernah berlaku.

Apa yang berlaku memberitahu kesusahan mereka pada orang tua, alasan dan alasan. Minta simpati.

Tentang mak pulak, kenapa anak-anak tidak terfikir ataupun kesian pada mak. Mak yang kena buat semua perkara. Makan dan tidur mak semua tidak menentu. Tidak kesian ke? Semua anak-anak hanya fikirkan diri sendiri.

Ingatlah… Mak sudah tua, MAK SUDAH BERUMUR 65 TAHUN…

Tamat…

Catitan :

*Kejadian ini berlaku di hospital kerajaan di selatan semenanjung.

*Sekadar berkongsi…

– Zambri Perasan

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *