Tidak Bersekolah, Tidak Menghalang Untuk Berjaya SPM

Memandangkan minggu ini mood meraikan keputusan SPM masih on, saya hendak bercerita tentang kejayaan sepupu mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2021.

Rezeki ALLAH ternyata sangat luas dan misteri. Perjalanan hidup tanpa bersekolah selama lima tahun bermula dari tingkatan 1 tidak menjadi halangan untuk Afiq mencapai kejayaan cemerlang dalam keputusan SPM 2021.

Berbekalkan semangat dan iltizam yang tinggi dalam diri serta sokongan keluarga telah membuka mata beliau untuk mendaftar sebagai calon persendirian SPM 2021. Kejayaan ini merupakan rezeki yang paling besar buat beliau sepanjang hidup selama 19 tahun.

Sejak dari tingkatan 1, Afiq telah menamatkan persekolahan disebabkan masalah peribadi yang dialami. Ibubapa dan keluarga beliau telah melakukan pelbagai cara bagi menghalang Afiq dari berhenti sekolah.

Hanya dalam tempoh setahun sahaja, Afiq telah bertukar ke tiga sekolah yang berbeza. Ibu dan ayah beliau beranggapan Afiq tidak mahu ke sekolah kerana suasana baru di sekolah menengah atau mengalami masalah buli.

Rentetan itu, ibu dan ayah beliau menukar ke sekolah berasrama yang jaraknya agak jauh dari kampung. Hal yang tidak disangka telah terjadi apabila Afiq melarikan diri dari asrama dan pulang ke kampung dengan menaiki kereta api.

Usaha ibu dan ayah beliau tidak berakhir di situ sahaja, beliau menghantar Afiq ke sekolah tahfiz di bangi. Pada awalnya, Afiq belajar dengan baik dalam tempoh sebulan yang pertama dan menghadiri semua kelas.

Namun demikian, keadaan tersebut tidak kekal kerana Afiq sering ponteng kelas dan lama kelamaan beliau tidak mahu menghadiri semua kelas dan merengek untuk pulang ke kampung.

Seterusnya, Ibu dan ayah Afiq juga telah membawa beliau untuk berjumpa dengan kaunselor dan ustaz bagi mendapatkan nasihat, pandangan dan motivasi agar beliau bersemangat untuk meneruskan persekolahan.

Walaubagaimanapun semua usaha yang dilakukan keluarga tidak membuahkan hasil kerana beliau telah bertekad dengan keputusan tersebut.

Sepanjang tempoh 2 tahun pertama Afiq mula menamatkan persekolah adalah merupakan antara fasa ujian berat yang dialami oleh ibu dan ayah beliau.

Ibu bapa mana yang tidak sedih melihat anak yang usia sebegitu muda sudah tidak bersekolah dan masanya hanya di habiskan di rumah.

Masa remajanya telah hilang dan berlalu begitu sahaja tanpa ada aktiviti dan kawan di sisi. Pada ketika itu, kebanyakan orang beranggapan masa depan beliau akan gelap. Tahap pergaulan sosial beliau ketika itu juga amat teruk.

Beliau suka menyendiri di bilik dan tidak mahu berjumpa dengan sesiapa pon selain ahli keluarganya. Sikap Afiq ketika itu juga telah berubah dengan ketara, beliau cepat marah dan mengalami masalah low self esteem yang sangat teruk.

Sepanjang tempoh itu, ibu beliau kerap bergelinangan air mata memikirkan keadaan dan nasib masa depan anaknya.

Ibu dan ayah Afiq tidak putus-putus berdoa agar suatu hari nanti anaknya akan terbuka hati untuk menyambung persekolahan dan sekaligus menduduki peperiksaan SPM.

Ibu dan ayah Afiq juga sentiasa mendoakan agar beliau menjadi anak yang soleh dan berakhlak mulia. Pada tahun 2021, doa ibu dan ayah Afiq telah dimakbulkan apabila beliau sendiri menyatakan hasrat untuk mendaftar sebagai Calon Persendirian SPM.

Beliau berjanji kepada ayah dan ibunya akan belajar dengan bersungguh-sungguh bagi mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

Hasrat beliau untuk mendaftar sebagai Calon Persendirian SPM ini turut disokong baik oleh semua keluarga dan saudara mara.

Sikap Afiq juga telah berubah menjadi semakin baik. Beliau mula bergaul dan keluar rumah untuk berjumpa dengan orang lain.

Afiq juga sentiasa memastikan kewajipan sebagai seorang muslim dilaksanakan sebaik mungkin terutamanya yang melibatkan rukun Islam. Dari hari ke hari, hidup beliau menjadi lebih normal dan semakin baik.

Bermula dari pertengahan tahun 2021, kehidupan Afiq sebagai calon peperiksaan SPM mula berubah. Bagi menghadapi persediaan peperiksaan SPM, beliau mula mengumpulkan buku-buku yang berkaitan dengan subjek SPM untuk dijadikan rujukan.

Beliau juga banyak mendapatkan nota-nota dari internet dan meminjam buku dari kawan-kawan yang telah menduduki peperiksaan SPM.

Ibu bapa beliau juga turut membelikan buku rujukan dan latihan SPM.

Beliau juga banyak berjaga di malam hari untuk mengulangkaji pelajaran dan pada masa yang sama melaksanakan solat sunat tahajjud.

Antara rahsia lain kejayaan beliau ialah sentiasa melaksanakan solat sunat dhuha. Beliau yakin solat sunat tahajjud dan dhuha amat membantu beliau untuk menjadi lebih tenang dan memahami semua pelajaran yang diulangkaji dengan mudah dan cepat.

Setelah beberapa bulan berjuang membuat persiapan untuk menghadapi SPM, tibalah masa untuk beliau berdepan dengan pertempuran yang sebenar. Afiq menjadi calon persendirian SPM di sebuah sekolah yang jaraknya 2 jam dari kampung.

Pada setiap kali hari peperiksaan ibu dan ayah beliau akan menghantar beliau dan menunggu sehingga peperiksaan selesai. Oleh kerana ayah beliau bekerja sebagai pegawai keselamatan, maka adalah agar sukar untuk memohon cuti.

Ayah beliau terpaksa mengambil cuti tanpa gaji semata-mata untuk menghantar beliau ke tempat peperiksaan.

Ibu dan ayah beliau tidak pernah mengeluh penat sepanjang tempoh peperiksaan SPM berjalan malah mereka sentiasa memberi kata-kata semangat kepada Afiq agar melakukan yang terbaik dalam setiap subjek.

Benarlah kata pepatah kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.

Setelah berakhir peperiksaan SPM, Afiq menyatakan hasrat kepada ibu dan ayah-nya untuk bekerja sementara menunggu keputusan SPM.

Beliau ingin bekerja untuk menyimpan duit bagi melanjutkan pelajaran ke Universiti memandangkan keluarga beliau bukanlah dari golongan yang senang.

Beberapa hari selepas peperiksaaan SPM, beliau merantau ke Selangor untuk bekerja.

Beliau bekerja dengan gigih tanpa merungut bahkan sebahagian gaji pertama terus diberi kepada ibu ayah dan adik-adik beliau walaupun gaji yang diperolehi tidaklah seberapa. Beliau ingin meraikan dan mengembirakan keluarga dengan gaji tersebut.

Pada tanggal 16 jun 2022 tibalah masa yang menjadi debaran buat calon Peperiksaan SPM 2021. Semua pelajar SPM menanti tarikh tersebut untuk mengetahui keputusan SPM yang akan diperolehi termasuk Afiq.

Alangkah terkejut dan gembiranya beliau setelah menyemak keputusan SPM secara atas talian apabila beliau mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM iaitu 6A 1B. Kegembiraan ini turut dirasai dan dikongsi oleh keluarga dan saudara mara beliau.

Semua orang yang mengenali Afiq berasa kagum dengan keputusan SPM tersebut memandangkan beliau tidak bersekolah dan belajar sendiri di rumah hanya dalam tempoh beberapa bulan.

Akhir kalam, penulisan ini bukanlah untuk menggalakkan pelajar berhenti sekolah atau mendorong sikap-sikap negatif dalam diri. Buang yang keruh, ambil yang jernih, baru teguh peribadi. Terdapat banyak perkara positif yang kita dapat belajar dari kisah Afiq ini.

Antaranya ialah agar kita sedar tiada perkara yang mustahil di dunia ini jika kita berusaha. Sama juga dengan kisah Afiq ini yang mana kebanyakan orang berpandangan masa depan beliau akan gelap kerana menamatkan persekolahan di usia yang begitu muda.

Persepsi ini ternyata salah apabila Afiq telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dan hasilnya beliau telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Pengajaran yang kedua, manusia sentiasa boleh berubah ke arah yang lebih baik jika mereka berkeinginan untuk berbuat demikian.

ALLAH s.w.t berfirman: Sesungguhnya aku tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang pada diri mereka (Ar-Ra’d: 1).

Dalam kisah Afiq ini, beliau sendiri telah bertekad bukan sahaja untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan bahkan untuk berubah menjadi mukmin yang lebih baik dan berakhlak mulia.

Seterusnya pengajaran yang terakhir, restu dan doa ibu bapa amat penting untuk mendapatkan redha Allah dan sesuatu kejayaan. Ibubapa afiq tidak pernah berputus asa mendoakan agar kebaikan dan kejayaan sentiasa mengiringi anak-anaknya.

Ibubapa beliau juga sentiasa memberi dorongan secara fizikal dan mental terhadap semua perkara positif yang hendak dilakukan oleh Afiq.

Semoga kejayaan dalam SPM ini menjadi satu batu loncatan buat afiq untuk terus berusaha dan mengecapi lebih banyak kejayaan di masa hadapan.

– Naira (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *