Tolong Ajar Aku Redha II

Untuk part I, (https://iiumc.com/tolong-ajar-aku-redha/).

Assalamualaikum WBT. Terima kasih atas segala nasihat yang diberikan dan juga kepada admin juga kerana sudi menyiarkan kisah hidup aku. Maaf atas penulisan tergesa-gesa kerana waktu itu aku masih dalam keadaan menangis dan depresi.

Buat pengetahuan semua, aku adalah anak yatim piatu sejak dari bangku sekolah lagi. Aku dibesarkan oleh arwah Toknek aku dan sudah berdikari sejak kecil. Ramai yang mempersoal mengapa aku agak berat untuk melepaskan isteri aku?

Aku takut untuk hidup berseorangan. Aku tiada sesiapa, dan keluarga sepupu sepapat tinggal berjauhan dari aku. Hidup aku memang hanya ada isteri. Harap ramai yang memahami mengapa aku cukup terluka kerana ditipu sejak dari awal perkahwinan lagi. Aku tak kata aku lelaki yang baik. Kekurangan aku adalah aku memang seorang pemalu dan agak pendiam.

Aku kenal isteri aku dari zaman matrikulasi. Hanya sebagai kenalan biasa. Tidak ada istilah hubungan walaupun waktu itu isteri sudah menunjukkan perasaan positif terhadap aku. Tapi aku memang amat mengelak dari ada hubungan cinta apatahlagi aku masih belajar. Setelah aku berada di Mesir, aku terus terputus hubungan dengan semua kawan-kawan aku di Malaysia.

Ya, aku memang lelaki yang lurus, mudah percaya cakap orang. Itu pun adalah kekurangan aku. Banyak kali lecturer aku bagi nasihat, sekiranya ingin menjadi seorang professional, harus bersikap tegas dan berhati-hati. Tapi aku memang jenis mudah kasihan dengan orang.

Buat pengetahuan semua, aku adalah doktor bahagian Pediatrics. Hidup aku memang bahagia dengan kanak-kanak. Aku memang suka bermain dengan budak dan impian aku memang cukup besar untuk menjadi seorang bapa.

Apabila aku kembali ke Malaysia, aku teserempak dengan isteri aku waktu beli nasi lemak di stesen LRT 5 tahun lepas. Waktu tu nampak dia amat excited jumpa aku. Aku pulak tak ramai kawan, aku pun bagi nombor phone aku dan bermula lah sesi mesej.

Dia selalu mendesak aku untuk berjumpa, tapi kerana waktu tu aku sibuk sebagai HO, aku banyak kali menolak ajakannya. Dari mula lagi aku cakap, aku ni seorang yang busy, bukan jenis jumpa dating2. Dia cakap dia tak kisah, dia faham, tapi selalu mendesak untuk jumpa.

Kerana aku tak ramai kenalan, Arwah Toknek aku suggest untuk aku ada isteri secepat mungkin. Mungkin Arwah sudah tahu yang beliau sudah tidak lama lagi bersama dengan aku. Aku beritahunya aku tiada calon. Waktu tu memang aku tak nak buat isteri aku sebagai calon. Kerana banyak benda yang dia cakap tapi pada perbuatan adalah sebaliknya.

Aku solat istikarah selama sebulan tanpa henti dibulan Ramadhan. Arwah Toknek juga semakin lemah, hanya isteri aku sahaja yang menunjukkan minat untuk bersama aku, aku menerimanya dengan hati terbuka. Aku tidak tahu sepanjang kami menjadi tunangan itulah dia menyerahkan tubuhnya kepada orang lain.

Menjadi seorang doktor di hospital kerajaan bukanlah suatu yang mudah. Hidup aku terlalu sibuk sehingga kadang tertidur di OT room. Dari berat aku 65 kg dahulu sekarang hanya tinggal 54 kg. Aku sudah katakan kepadanya, hidup aku memang di hospital dan juga dirumah. Aku pula tak betah makan diluar. Perut aku cukup sensitif. Semuanya dia tahu syarat-syarat aku sebelum berkahwin.

Kenapa aku menjadi terlalu tawar hati? Kerana bukan sekadar ditipu mengenai kecurangannya. Tetapi juga ditipu kesanggupannya untuk menjaga rumahtangga kami dengan jadual aku yang sibuk.

Aku bukan lelaki romantik, tapi aku adalah pendengar yang baik. Aku pernah katakan padanya, marilah buat kerja rumah sama-sama. Dari situ akan ada momen yang indah gurau senda. Tapi dia menolak dan mengatakan aku ini lelaki mundur yang tidak faham kehendak wanita.

Aku menjadi trauma, cukup trauma dengan wanita. Aku rasa apa yang dijanjikan itu hanya omongan kosong yang tiada nilai, sedangkan bagi aku, aku sudah meletakkan dia sebagai permaisuri di dalam hati aku.

Ada satu nasihat yang aku baca dari para netizen, untuk aku ke sesi kaunseling. Terima kasih, aku akan pergi kesana untuk mendapat sedikit nasihat. Sekiranya hubungan kami sudah tidak dapat diselamatkan lagi, mungkin ini sebab aku bukan lelaki romantik dan sesuai untuknya. Dan dia boleh mencari lelaki lain selepas ini.

Buat wanita sekalian, sekiranya anda tidak sanggup untuk menerima lelaki yang sibuk dalam urusan kerja, janganlah berjanji kosong. Apatahlagi hidup aku sudah tiada sesiapa kat dunia ni. Kesakitan yang aku hadapi sekarang cukup pedih. Nasib baik ada anak-anak yang menjadi pesakit aku sebagai penghibur.

Buat semua yang memberi nasihat, terima kasih atas segala kesanggupan anda membaca kisah hidup aku yang tak seberapa ni. Anggaplah apa yang aku hadapi sekarang sebagai pengajaran terutama kepada kaum wanita, jagalah kesucian anda hanya kepada yang layak untuk memiliki. Kerana itulah ia dipanggil MAHKOTA wanita.

Saya doakan semua dilindungi Allah SWT. Sekian dari saya.

Ikhlas,

– Ilham (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *