Tsunami Cemburu

Saya kini sedang diuji oleh Allah. Suami saya kini berada di negara gajah putih sedang menghitung waktu untuk bernikah dengan isteri kedua esok pagi.

Saya baru 28 tahun masih muda dan cantik. Tapi perlu memilih samada diceraikan atau dimadukan.

Walau berkali suami mahu menceraikan… Tetap saya pertahankan, saya halang mulutnya dari terlafaz..
Saya tidak mahu anak saya mempunyai ‘broken family’.

Kurang 24 jam iaitu esok pagi akan rasmi lah saya berkongsi kasih suami. Namun, saya masih bersyukur dan gembira masih bergelar isterinya, masih diberikan peluang berkhidmat sebagai isteri.

Saya sendiri yang izinkan suami berkahwin lagi. Entah dari mana kekuatan Allah hadirkan dalam diri. Suami meminta saya menolongnya pack luggage.

Ya, isterinya ini yang seterika baju nikah kami dulu untuk suami pakai menikah sekali lagi esok! Saya siapkan samping songket, lengkap dengan butang baju melayu.

Begitu juga baju-baju kemeja dan seluar kerja sebanyak 6 pasang untuk seminggu suami saya akan bermalam di rumah isterinya yang kedua nanti.

Pagi tadi, saya sebagai isteri yang menghitung detik suami menerima akad perempuan lain..menolong suami sangkutkan baju nikah kami tu didalam kereta. Ohhh kuatnya hati ini. Tanpa setitis air mata pun jatuh.

Saya menghantar suami saya ke kereta dengan senyuman, gurauan, mood dan muka yang ceria.

Suami yang awalnya saya rasakan tiada perasaan, tidak peduli pun saya ada atau tidak tetiba menangis memeluk saya selepas saya salam, cium dan kucup tangannya dengan begitu lama.

Lebih lama kucupan ini dari kucupan semasa pernikahan kami 4 tahun yang lepas. Suami meminta maaf. Saya maafkan, saya minta dia ampunkan segala dosa saya selama saya ini.

Saya mohon suami doakan saya kuat, kerana saya tahu saya tidak kuat sebenarnya. Tiga hari lepas saya sudah puas menangis hingga kering tiada air mata lagi mahu dititiskan.

Saya sedang kuatkan hati dan memikirkan kenapa saya yang terpilih menerima ujian ni. Mungkin Allah nak saya rehat, manjakan diri, ada ‘me time’,

Mungkin Allah rindu pada saya.. Rindu saya sujud padanya merintih dan meluahkan segalanya di atas sejadah.

Allah… Al-Quran dirumah pun sudah berhabuk. Manusia yang selepas diuji selalunya menjadi lebih baik dan sentiasa sedar diri.

Saya mohon doakan saya kuat. Kuat berperang dengan emosi sendiri.

Saat ini, saya seorang isteri yang sedang diuji dengan tsunami cemburu yang maha hebat.

Doakan ikatan suami isteri kami berdua kuat. Doakan saya dikurnia kesabaran yang tinggi untuk menempuh hari mendatang.

– Mira (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *