Ujian Bertingkat-tingkat

Assalamualaikum semua. Aku sekarang seorang guru. Aku nak ceritakan kisah ujian demi ujian yang Tuhan hadiahkan kepadaku sejak 2 tahun lepas.

Aku posting ke sarawak di kawasan luar bandar. Dulu mula-mula sampai aku fikir positif lagi sebab mungkin ini cara Tuhan nak jauhkan aku dari abang ipar setan yang selalu ambil kesempatan mengintai aku dalam tandas dan curi-curi masuk bilik tidur.

Kes ni aku tak cakap sepatahpun kat family aku sebab takut nanti gaduh besar. Aku ucap alhamdulillah bila dapat posting jauh. Tak sangka ada lagi ujian lain. Rumah aku sewa tu kene rompak, lepatu kes kami diintai oleh jantan mana aku tak tahu.. Aku sabar lagi. Sampailah dipendekkan cerita, aku kahwin pada hujung 2016.

Tiba-tiba aku jatuh sakit. Sebelum aku jatuh sakit, aku ada selisih faham dengan rakan sekerja, iban. Dan aku dah pun minta maaf. Even aku tolong lagi program dia walaupun tiada ucapan terima kasih atau permintaan beradab. Selang sebulan aku sakit, aku masih diam. Aku cuma mengadu kat ayah dan mak je.

Aku jumpa kertas hangus depan rumah aku, ular tedung hitam depan bilik, mimpi makhluk hitam besar depan rumah. Dalam masa tu aku sakit badan sangat. Pengetua sekolah orang yang pertama perasan perubahan fizikal aku. Aku jadi suka menyendiri, dah tak ceria, pengetua aku cakap aku jeling dia dan aku pandang dia dengan pandangan marah katanya. Aku nafikan. Housemate aku pun mengadu kat rakan lain yang sejak aku kahwin aku selalu abaikan dia.

Perubahan yang makin teruk bila aku suka berkurung dalam bilik, duduk dalam gelap, menangis tiap-tiap malam dan tak dapat tidur. Ayah nasihatkan aku pergi berubat. Aku berPJJ dengan suami. Tiap kali balik ke semenanjung, suami bawak aku jumpa doktor, doktor pakar macam-macam ubat aku makan, tapi sakit badan aku masih tak sembuh. Sampailah satu waktu aku mengamuk taknak balik ke sarawak. Aku tak boleh control perasaan aku sendiri, tiap malam menangis sedangkan aku suka kerja sekarang. Aku pun confuse tak tahu kenapa aku boleh mengamuk.

Hari raya 2018

Pagi raya yang syahdu, sayup je aku dengar takbir raya. Tahun ni raya kampung aku. Suami sedang bersiap-siap solat raya. Raya kali ni dalam sejarah, aku tiba2 menangis dan meraung. Aku cakap kat suami yang aku tak boleh bangun. Separuh badan aku rasa lumpuh. Dan aku rasa radio quran yang abang aku pasang sejak puasa terlalu bising dan menyakitkan. Aku jerit suruh diamkan quran tu.

Satu rumah panik dan yang lain hanya mampu melihat aku meraung-raung. Suami tak tahu nak buat apa. Satu rumah tak solat raya termasuk ayah n mak. Adik beradik tak sangka sakit aku sampai macam ni sekali. Nasib abang aku pandai jugak berubat-berubat ni. Aku muntah lendir banyak. Katanya aku meracau sebut perkataan bodoh, meludah, buat gaya belai rambut dan macam-macam

Tapi sakit aku tak berhenti disitu. Badan aku kembali sakit setiap kali selepas berubat. Sampai aku pernah lumpuh tak dapat bergerak langsung. Badan aku terlalu bisa dan menggigil. Dah beribu habis berubat, dan banyak tempat pergi.. Ada yang ambil kesempatan, ada yang menyakitkan sampai trauma aku nak berubat. Seminggu selepas raya aku kembali bekerja. Tapi tak dapat bertahan, sekolah menyuruh suamiku mengambil aku kerana keadaan aku yang selalu sakit dan tak mampu mengajar, aku jatuh tiba-tiba, aku menangis tiba-tiba.

Aku cuti dari bulan 7. Kemana sahaja kami ikhtiar berubat. Sampai aku jumpa psikiatris. Macam-macam ubat diberi. Ditakdirkan semasa aku sakit rupanya aku sedang mengandung. Aku tak tahu ini ujian atau anugerah. Aku perlu kuatkan diri demi aku dan anak. Sakit aku buatkan aku tak dapat tidur setiap malam, menangis, pejam mata aku selalu terbayang yang aku bunuh diri, aku nampak bayang-bayang setiap kali buka mata.

Aku akan nampak bende berterbangan dan bende-bende jahat dalam rumah bila aku separa nak tidur (aku fikir tu lucid dream). Setiap kali badan sakit, suami akan bacakan ayat ruqyah n azan sampailah aku muntah lendir dan aku dah penat meraung menangis.

Hampir disahkan PSYCHO

Dan 3 bulan aku dapatkan MC di GH. Keadaan aku masih on/off tapi doktor katakan kalau keadaan aku masih tak baik mereka akan bincangkan kes aku untuk klasifikasi sebagai PSYCHO. Masa tu aku salahkan suami, aku salahkan takdir, aku salahkan diri, aku salahkan semua. Kalau aku disahkan PSYCHO, habislah masa depan aku. Dekat hospital jugak aku menangis semahunya. Jadi aku berhenti ke hospital. Aku dah tawar hati. Semahunya doktor nak claim aku ada masalah jiwa.

Aku tipu doktor kata aku makan ubat dia bagi, beberapa bijik je ubat aku telan, lepastu aku dah tak telan sampailah sekarang. Aku jumpa doktor 15-30 minit, tapi bercakap hanya 5 minit, lagi 25 minit aku cuma memerhati doktor menaip. Kdg2 aku kesian dengan doktor. Maafkan aku, aku tahu aku tak sakit jiwa pun…..

Bila keadaan aku beransur baik, tapi masih on/off meracau, aku berniat nak naik kerja, tapi semua tak izinkan memandangkan PUNCA sakit aku di sana. Semua tempat aku berubat mengatakan perkara sama SIHIR SEBERANG. Tambahan aku sedang mengandung. Aku merisikokan 2 nyawa. Jadi aku cuba apply cuti tanpa gaji.

MOHON TUKAR

Aku dan suami dan seluruh ahli keluarga ikhtiar untuk diluluskan pertukaran aku. Naik ke putrajaya, jumpa PPD, mintak tolong sesiapa sahaja. asalkan aku dapat tukar untuk mudahkan aku berubat dan bekerja. Aku sayang kerja aku. Kerja ni yang aku perjuangkan dari dulu.

Alhamdulillah permohonan tukar aku lulus sebab aku ada surat hospital. Aku ke sarawak selepas semua orang pulang bercuti. Aku hanya stay 2 hari dan cepat2 siapkan packing barang. Hari pertama aku masih kuat, hari kedua di sarawak, aku kembali sakit. Suami suruh bertahan sampailah touchdown semenanjung, aku kembali berubat. Kadang-kadang aku rasa benci dengan apa sahaja kaitan sakitku.. Aku minta maaf, bukan niat tapi luka dan traumanya terlalu mendalam…

Aku bahagia di sekolah baru dan aku lipat kemas-kemas kenangan pahit yang baru berlalu, tapi tak berhenti setakat di sini, aku dapat lagi surat JPN Sarawak menyatakan aku dikenakan tindakan tatatertib kerana gagal melaporkan diri (bekerja) sebab permohonan cuti tanpa gaji aku tak diluluskan. Aku menangis semahunya, tapi aku lipat kemas-kemas surat tu, dan aku diamkan daripada suami. Aku dapat surat tersebut beberapa hari sebelum aku bersalin, dan sekarang aku dah dapat cahaya mata, aku selalu termenung fikirkan masa depan aku.

Kadang-kadang aku cuba kuat, kadang-kadang aku menangis diam-diam belakang suami aku. “mudah” tu tak pernah berpihak pada aku kan…. Suami selalu tanya kenapa aku termenung, tapi….. Biarlah aku rahsiakan saja, cukuplah aku susahkan dia selama perkahwinan hinggakan pernah aku berbincang airmata dengannya untuk lepaskan aku andaikata aku susahkan dia… tapi dia cukup setia… biarlah bagi dia segalanya dah berakhir… biarlah dia tarik nafas lega… dan aku, terus berjuang walaupun aku sudah jatuh tersungkur….

– CikguSabar

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *