Ujian Dunia

Ujian Dunia

Assalamualaikum dan hai admin. Terima kasih jika sudi siarkan confession aku ni (kalau tersiarlah). Aku bukan nak bagi tazkirah ke apa, aku cuma nak kongsikan pasal mulut lancang ni yang berlaku kat diri aku sendiri. Selama ni aku banyak je dengar nasihat jangan cakap lebih-lebih, nanti kena kat kau balik. Dan sebenarnya aku bukan lah kategori mulut lancang level bawangness malaysian ni (kau tengok jelah komen netizen sekarang semua tempat nak membawang, bacanya malas, haha).

Ok dipendekkan cerita, aku dulu masa zaman universiti pernah join satu group kerohanian ni. Aku ni bukanlah kategori keluarga yang alim, tapi dalam hati aku fitrah nak jadi lebih baik tu selalu ada. sebab tu aku minat join group macam ni. Masa aku dalam group tu, aku dapat rasakan iman aku paling tinggi. Aku bukan lah sampai level suka judge orang, tapi aku selalu menangis bila kenang dosa dosa lama aku. solat aku pun selalu lama la kat tikar sejadah, doa lama lama.

Jadi bila keadaan aku begitu, aku kadang kadang rasa seronok bila berkongsi dengan orang sekeliling tentang kisah kisah agama. Aku masih ingat sampai sekarang macam mana rupa aku dulu. Bertudung labuh, selalu hadir majlis majlis ilmu, dan selalu juga memberi nasihat nasihat pada golongan perempuan terutamanya. Antara nasihat yang aku masih ingat ialah jaga solat,jaga diri, maruah dan ikhtilat kita dengan lelaki. Segalanya indah dan tenang sehinggalah aku habis belajar.

Lepas aku habis belajar, aku mula didedahkan dengan dunia luar. Pada masa itu baru aku tahu dunia sebenar aku bermula. Benarlah Tuhan kata, “jangan kata kamu sudah beriman, melainkan setelah kamu diuji”. Masa aku di dunia luar ni, aku mula teruji keimanan aku. Dalam kampus mungkin aku berada dalam zon selesa. Tapi tidak di dunia luar ini. Setiap kata-kata aku dahulu satu-satu mula diuji. Bermula dengan menjaga solat aku. Ya, aku diuji dengan kerja-kerja yang melambak kat office sampai satu ketika memang aku terlupa waktu solat aku. Terlupa ya. Bukan sengaja tinggal.

Aku tak tahu kenapa sampai level aku boleh terlupa. Mungkin kepala aku terlalu banyak fikir sehingga aku lupa aku dah solat ke belum. Masa inilah aku terkenangkan nasihat aku dulu. Dalam aku menasihati orang orang tentang jaga solat, kadang kala pernah juga terdetik dalam hati aku yang hina ni, kenapa ada manusia boleh tinggal solat sedangkan solat itu wajib? Masa tu aku tak cakap dengan sesiapa. Cuma lintasan hati aku sahaja. Lebih lebih lagi solat subuh. Ya dulu aku tak pernah missed solat subuh. Ianya benar benar berbeza bila aku dah masuk alam kerja. Kadang kala aku tertinggal solat subuh huhu. Ketika ini lah aku diuji dengan lintasan hati aku dulu.

Kemudian aku diuji dengan lelaki. Dulu, aku antara insan yang paling malu hendak bercakap dengan lelaki. Tapi tidak lagi kini. Dunia sosial di luar kini tidak lagi sama di alam kampus. Aku sudah makin sedar makin lama aku sudah makin selesa dengan dunia ini. Banyak sebenarnya aku diuji. Dan aku rasa segalanya adalah dengan kata kata dan lintasan hati aku yang dahulu. Aku mula teringat antara kata kata hukama (wallahulam aku tak ingat ianya hadis atau hanya kata kata ulama) iaitu “kamu takkan diuji dengan kata kata kamu sehingga kamu belum mati”.

Masa ni memang jujur aku kadang kala tak berapa kuat. Alhamdulillah, walaupu tudung aku tak selabuh dulu, aku masih bertudung menutupi dada, dan berstokin (which kadang kadang tak pakai juga). Tapi yang paing aku dah berubah sekarang ialah aku bukan lagi insan yang malu dengan lelaki. Ya, sekarang aku sedang couple dengan seorang lelaki. Yang dulunya aku pesan pada kaum wanita jangan berdua-duaan, kini aku biasa dengan hal itu.

Kesemua hal hal ini membuatkan aku merasakan level aku bukan lagi seperti mereka yang muslimah. Aku hanyalah wanita biasa seperti yang selalu diperingati tentang kehormatan diri. Setiap hari aku merenung diri, benarlah dahulu aku selalu memperingatkan orang, hari ini aku pula benar benar teruji dengan peringatan aku dahulu. Ada masa aku kuat, ada masa aku tewas. Setiap kali aku tewas, aku hanya akan melihat insan insan baik itu jauh lebih baik dari aku yang hina ini. Tapi malangnya, kawan kawan kampus aku dulu pun langsung tiada bertanya khabar aku lagi. Aku sedikit kecewa, mereka beruntung sentiasa berada dalam keadaan selesa, tapi tidak lagi aku.

Kenapa aku cerita benda ni? aku nak kongsikan bersama dengan pembaca. Jangan sesekali bangga dengan iman yang kita ada. Kita sendiri tidak tahu bila kita akan diuji. Dalam keadaan aku begini, aku tidak salah sesiapa. Aku salahkan diri sendiri kerana dahulu aku terlalu bangga dengan imanku, tapi kini aku semakin lemah. Dulu aku selalu keji dalam hati artis artis. Sekarang aku lihat mereka jauh lebih baik hijrah mereka dari aku. Semua ini boleh berlaku kerana Tuhan akan menguji setiap orang. Berada dalam suasana yang tinggi imannya itu hanyalah satu keuntungan, boleh jadi juga satu ujian. Sejauh mana kita benar benar ikhlas dan istiqomah dengan keadaan sedemikian. Jaga lah lisan kita, di mulut atau tulisan, kerana kata-kata kita akan diuji satu persatu.

Aku lihat harini terlalu ramai yang suka post kat fb dan komen macam macam. Takut aku tengok. Aku lihat yang alim ulama terlalu bangga dengan iman mereka. Geng geng kaki masjid pula terlalu ego sehingga ada mengeluarkan kata kata yang menghinakan golongan yang belum dapat hidayah. Aku takut. Aku sekarang lebih banyak memerhati, instead menegur. Sebab aku takut, aku pula akan diuji sebegitu. Setiap hari aku selalu terbayang, bagaimana hujung hidup aku nanti? Bersama golongan ke syurga atau neraka. Gempa bumi dan pelbagai bencana yang berlaku sekarang membuatkan aku terfikir, bagaimana akhir hidup aku nanti. Adakah akan sama aku seperti zaman kampus dahulu, atau akan sama seperti insan biasa.

Last, doakan aku. Semoga aku tidak sampai menjadi insan maksiat di hujung nyawa aku.

– Juna

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit