Jangan Jadi Orang Ketiga

Assalamualaikum semua. Saya pernah berkahwin ketika berusia 21 tahun dengan S, lelaki pilihan hati saya sendiri. Kami bercinta tiga tahun dan akhirnya dia kantoi ada perempuan lain, saya namakan K. Kami bergaduh besar. Bersungguh-sungguh dia pujuk saya jangan tinggalkan dia dan kemudian dia ajak saya bernikah.

Saya ingatkan dia ikhlas dan bersungguh-sungguh mahukan saya dalam hidup dia, bina masa hadapan dengan saya. Saya sangka dia ambil jalan untuk menikah dengan saya segera supaya K berhenti ganggu hubungan kami. Waktu tu, saya sangka pernikahan tu adalah ‘happy ending’ buat kami, namun sungguh, saya tak tahu masa depan. Saya mampu merancang itu ini, tapi hakikat yang terjadi, di luar kawalan saya.

Selepas bernikah, makin bersungguh-sungguh K ganggu kami. Dia memang nekad. Tanpa segan silu. Datang ke rumah menangis-menangis jumpa saya dan S. Dia bagitahu yang dia dah beberapa kali gugurkan kandungan anak S. Dia merayu saya supaya terima dia jadi isteri ke-dua. Saya tak marah dia, Cuma rasa kasihan. Tak larat nak marah sebab sebelum ni dah macam-macam hal depa buat. Sebelum tu pun dia pernah SMS saya minta saya jangan kacau S sebab S tengah serabut waktu tu kat klinik tengah temankan dia gugurkan anak (Kelakar kan?? Mesej bini jangan kacau laki sendiri. Hahaha)

Masa dia datang rumah, nangis-nangis peluk kaki saya bagitahu dia pernah gugurkan anak luar nikah depan saya dan S tu. Saya berharap S nafikan yang dia buntingkan K. Tapi S diamkan saja. S Nampak bingung tak tau nak buat apa. Saya bagitahu S, kalau mahukan K, ceraikan saya. Dia Cuma diam. K kecewa dan pergi dari rumah kami, tak lama kemudian telefon saya berbunyi (S off handphone dia), lurus saya bagi S jawab.

Dia bagi alasan nak keluar, kata kedai computer yang called bagitahu PC dah siap repair. Tengah malam buta baru balik. Akhirnya saya tahu – dia keluar jumpa K yang konon-kononnya pengsan kat bawah apartment rumah kami. Untuk rekod, sebelum ni K pernah pengsan, bila tak ada orang peduli – dia bangun jalan sendiri.

Tak larat nak cerita satu-satu apa yang derang dah buat, cerita lama kalau boleh taknak ingat balik. Cuma yang saya rasa ‘enough is enough’ bila ayah S meninggal dunia. Si K dengan jiwa yang penuh rasa cinta dan penuh keberanian (aka tak tahu malu) sanggup pergi ke kampung S, depan-depan saudara mara (kenduri arwah) dia mengaku pernah mengandungkan anak S. Awak rasa? Mana maruah dia?

Sejak tu, saya rasa enough is enough. Saya cari peluang dan jalan untuk berpisah dengan S. Tak guna saya nak ‘berlawan’ dengan perempuan yang tak tahu malu dan sanggup buat apa saja untuk dapatkan lelaki tu. Buang masa dan tenaga saya kalau saya terus bertahan.

Selama kehadiran dia dalam hidup saya, saya dah banyak menderita. Dah banyak menangis. Cukup dan cukuplah sampai situ saja. S memang keberatan nak lepaskan saya (mungkin sebab kesian) atau sebab saya first love dia, wallahualam. Bila saya dah nekad. Saya SMS semua kenalan dia dan family dia (yang saya ada nombor) minta bagitahu S supaya lepaskan saya, dan Alhamdulillah. Kami bercerai setelah 3 tahun saya cuba pertahankan pernikahan saya.

Saya redha saja. Bawa diri sendiri. Mulakan hidup baru. S mungkin tak cukup baik untuk saya atau saya tak cukup jahat untuk S. Saya pujuk hati. Perceraian tak semuanya buruk. Kan?

Yang saya nak bagitahu. Dalam dunia ni, memang ada lelaki macam S dan memang wujud perempuan yang macam K. Murahan. Tak tahu malu. Tak kenal dosa pahala. Yang sanggup buat apa sahaja untuk dapatkan apa yang dia nak. Yang tak pedulikan hati perempuan lain yang terluka sebab dia. Yang tak ada maruah diri. Yang tak peduli apa kata orang. Suami orang atau bukan, dia tak kisah pun. Janji dia dapat apa yang dia nak.

Jadi, wajarlah di Malaysia ni, bila sebut isteri kedua, atau ketiga, atau keempat. Orang akan pandang serong, orang akan cop ‘menyondol’ rumahtangga orang. Orang dah tak minat nak tahu bagaimana atau kenapa dia boleh jadi isteri kedua, orang akan immediately cop mereka ni perempuan murahan, gatal, perampas laki orang – sebab realitinya banyak kes seperti Si K nih..

Walau hakikatnya, si isteri kedua ni bukanlah semuanya teruk. Atau jahat. Ada yang bernikah, jadi isteri kedua sebab ‘terperangkap’. Ada juga yang tak pernah bertemu dengan bakal suami. Mustahil lah nak menggatal. Dengan bantuan orang tengah, setuju jadi isteri kedua kerana kononnya isteri pertama izinkan, tapi bila dah bernikah baru tahu, dia diperdaya. Ada macam-macam juga kes isteri kedua yang teraniaya yang saya tahu.. Tapi jarang ada orang simpati pada isteri kedua, orang akan kata – padan muka kau! Siapa suruh kau cari penyakit, kan?

Saya juga pernah terbaca confession, cerita si anak tentang ayahnya yang berpoligami. Walau dah 15 tahun bernikah pun si anak tetap panggil isteri kedua ayahnya perempuan sundal/jalang. Begitulah bencinya masyarakat kita pada isteri-isteri ni. Mungkin sebab pengaruh drama Melayu selalu tonjolkan keburukan isteri kedua. Mungkin juga sebab pengalaman mereka sendiri selalu yang buruk-buruk saja bila melibatkan poligami. Wallahualam.

Walaupun Islam menghalalkan poligami. Meraka tak peduli. Mustahil akan nampak sisi positif poligami bila hati dah benci. Masyarakat kita tak terima poligami. Itu hakikatnya. Noktah.

Di alam reality juga, saya kenal ramai isteri kedua yang banyak berkorban dan terkorban. Makan hati berulam jantung bila bergelar isteri kedua. Bila waktu hari raya, beraya sendirian dengan anak-anak sebab suami utamakan isteri pertama. Kebanyakan waktu mereka habiskan masa sendirian tanpa suami, apatah lagi keluarga yang sempurna.

Walaupun mereka yang saya kenal, berpelajaran tinggi, berkerjaya elok dan saya percaya mereka bukanlah perempuan murahan seperti K, tapi tetap, persepsi masyarakat terhadap isteri ke-dua ni sentiasa negative. Forever and ever. Belum tambah caci maki dari keluarga isteri pertama lagi.. Setiap masa dibenci. Diganggu. Dihalang berjumpa dengan suami sendiri. Dituduh bukan-bukan. Mana kebahagiaan berumahtangga kalau berterusan macam ni?

Bukan mudah hidup berpoligami. Betul-betul tak mudah. Jadi, pesan saya. Seboleh yang mungkin, jauhilah suami orang. Jangan jadi ‘orang ketiga’. Sebab pengalaman saya sendiri dan saya juga nampak dengan mata saya sendiri, walau sebaik mana pun isteri kedua atau ketiga atau keempat ni, awak tetap takkan mungkin akan bahagia. Awak akan sentiasa diuji. Walau sehebat mana pun awak, sebaik mana pun awak, orang tetap akan pandang serong pada awak. Selamanya awak akan dipanggil perempuan perampas suami orang.

Orang akan benci awak. Akan kutuk. Dan tolonglah jauhkan diri awak dari suami orang. Ada wanita lain yang akan terseksa. Dan juga. Kasihan kat anak-anak awak nanti. Awak mungkin kuat dan tabah, sanggup terima sebarang ujian tapi belum tentu anak-anak awak akan sekuat awak.

Saya bukanlah nak mengharamkan yang halal, tapi hakikatnya, tak ramai para lelaki di Malaysia ni yang benar-benar menunaikan hak isteri mereka dengan adil. Isteri seorang pun tak terjaga, apatah lagi nak tambah lagi. Melainkan suami-suami ni benar-benar mengikut Sunnah Rasulullah yang lain-lain, (ikut semua lagi bagus), teruskanlah kalau nak berpoligami. Memang sangat digalakkan untuk bela dan lindungi wanita yang lemah.

Saya kasihan pada isteri pertama dan juga isteri kedua yang saya pernah kenal, kedua-duanya merana dan menderita. Lelaki tak mungkin akan faham perasaan kita. Tapi kita sesama wanita, insyaAllah akan lebih faham. Benar, jodoh ajal maut rezeki tu semuanya kententuan Ilahi, tapi, berusahalah. Selagi boleh, janganlah jadi ‘orang ketiga’. Semoga Allah berikan kita semua kebaikan di dunia dan di akhirat. Saya juga ingin bahagia, doakan saya ya. Jzkkk.

Wassalam.

– RedHunny

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *