Assalamualaikum. Pertama sekali saya amat berterima kasih kepada admin sekiranya confession saya terpilih untuk disiarkan. Tujuan saya luahkan kat sini sebab saya nak bagitahu semua perempuan di luar sana betapa cantiknya mereka. Supaya mereka yakin dengan diri mereka sendiri. Di sini saya ingin kongsikan satu kisah yang berlaku dalam hidup saya. Disebabkan sekarang ni, media telah melabelkan perempuan cantik itu dengan berkulit putih mulus, muka flawless daan kurus.
Mesti korang faham apa maksud saya kan?Tengok la iklan kat tv sekarang. Semua mempamerkan kecantikan seorang perempuan tu terletak pada fizikalnya saja. Disebabkan label-label inilah, ramai perempuan yang merasa kurang yakin dengan diri mereka sendiri sebab terlalu fikir pandangan orang lain pada dia. Definisi cantik tu sepatutnya subjektif. Tetapi zaman sekarang ni, cantik tu dah jadi objektif.
Oleh sebab itu, saya ingin kongsikan sebuah kisah tentang saya. Mungkin apa yang saya lalui ini tidak setrukorng lain. Tetapi inilah yang terjadi pada saya. Saya seorang perempuan biasa. Saya tidak memiliki paras rupa yang cantik dan saya berkulit gelap. Kerana keadaan fizikal saya inilah saya sering dijadikan bahan hinaan.Dari sekolah rendah, menengah dan sehingga saya berada di universiti dan habis university pun saya tetap dihina.
Disebabkan itulah, saya langsung tidak mempunyai keberanian untuk berhadapan dengan orang lain. Saya malu dengan diri saya sendiri. Kalau orang mahu bergambar, saya pasti menolak. Untuk bercakap dengan orang lain pun saya malu. Kalau saya berjalan pun, saya pasti akan memandang ke bawah. Saya takut untuk menunjukkan wajah saya. Bukan setakat pelajar-pelajar saja yang menghina saya malahan guru-guru juga.
Sewaktu saya berada di sekolah rendah, pelajar-pelajar selalu menghina saya dengan memberikan gelaran “Anak Tamil sesat”. Ada satu hari tu, saya dan umi dimasukkan ke hospital kerana menghidap penyakit taun. Saya ditempatkan bersebelahan katil umi di wad orang-orang dewasa kerana saya tidak mahu berada di wad kanak-kanak. Sewaktu saya dan umi berada di hospital, ramai antara kawan-kawan umi dan abah yang datang menziarahi.
Ada di antara mereka yang mengatakan sesuatu yang mengguris hati saya. Dia mengatakan bahawa saya bukanlah anak kandung umi dan abah saya. Tetapi saya adalah anak pungut yng dijumpai di stesen keretapi. Saya berasa terlalu sedih pada ketika itu. Tetapi umi memandang saya dengan senyuman. Namun setelah beberapa hari saya dan umi dibenarkan keluar dari hospital, saya beranikan diri untuk bertanyakan hal ini kepada umi.
“Umi. Betul ke kakak bukan anak umi? Betul ke kakak ni anak pungut”. Setelah mendengar soalan-soalan saya, umi terus memeluk saya dan berkata “ Kakak anak umi. Umi yang mengandungkan, melahirkan dan membesarkan kakak”. Saya berasa lega setelah mendengar kata-kata umi. Namun apabila saya memasuki alam sekolah menengah, peristiwa itu berulang lagi.
Sewaktu minggu pertama lagi sudah ada mereka yang menghina dan memalukan saya. Bermacam-macam pertanyaan yang berbaur ejekan yang mereka ajukan kepada saya. “Kenapa awak hodoh? Kenapa awak gelap? Arang dah habis. Ganti dengan awaklah”. Saya tabahkan hati saya untuk tidak menangis di hadapan mereka. Tetapi ada satu peristiwa yang tidak mampu saya lupakan.
Pada waktu itu, saya sedang menemani kawan saya untuk ke tandas. Saya menunggunya di luar bersama seorang lagi rakan saya. Secara tiba-tiba, kedengaran satu suara dari surau tingkat atas. “Yang duduk dekat tong tu. Balik rumah pakai bedak banyak-banyak sikit ye. Gelap sangat. Tak Nampak nak tengok”. Itulah kata-kata yang dilontarkan kepada saya. Saya berasa amat terkejut. Tidak semena-mena airmata saya jatuh. Mungkin saya berasa malu kerana dihina seperti itu.
Umi saya mengajar di sekolah yang sama tempat saya belajar. Jadi saya pulang dengan menaiki kereta yang dipandu oleh abang saya yang juga bersekolah ditempat yang sama. Sewaktu berada di dalam kereta, tanyakan kepada umi dan abang saya. “Umi. Ja. Kakak ni hodoh sangat ke”? Kenapa sorang-orang hina kakak”? Setelah mendengar apa yang saya katakana, abang saya bersa terlalu marah. Dia bertanya kepada saya tentang siapa yang telah menghina saya. Akan tetapi, saya tidak mengenalinya.
Setelah saya menceritakan perkara itu kepada abang saya, tidak ada lagi kata-kata hinaan yang diajukan kepada saya. Saya berasa terlalu lega. Saya berasa bersyukur sangat kerana abnag saya bersekolah ditempat yang sama. Dia dan kawan-kawannya lah yang sentiasa menegur dan memberikan senyuman kepada saya disaat pelajar-pelajar lain tertawa menghina saya. Jikalau mereka terserempak dengan saya, mereka pasti akan menegur dan tersenyum pada saya.
Saya tidak lagi berasa bimbang. Akan tetapi, kegembiraan saya itu tidak berpanjangan. Setelah abang saya dan kawannya mendapat keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR), mereka berpindah ke sekolah yang lain. Dan peristiwa itu kembali terulang. Yang paling saya ingat ketika kami perlu membawa kerusi ke dewan sekolah untuk sebuah majlis. Pada waktu itu, saya menarik kerusi bersama rakan-rakan yang lain.
Tiba-tiba ada seorang lelaki berkata. “Satu, dua, tiga, empat dan lima semua datang sini. Yang belakang sekali tak perlu. Hodoh sangat”. Yang dimaksudkannya itu adalah saya. Namun ketika itu, Allah SWT menghadirkan seseorang untuk mengubat luka di hati saya. Dialah yang sentiasa menegur saya tanpa jemu walaupun saya tidak pernah membalasnya. Itu hinaan yang saya terima di sekolah. Tidak termasuk hinaan yang saya terima daripada keluarga saya sendiri.
Pada waktu itu, saudara saya baru sahaja mendapatkan seorang bayi. Tetapi kerana sedikit masalah, kulit bayinya itu berubah menjadi kebiru-biruan. Tetapi Alhamdulillah, selepas bebarapa waktu, keadaan bayinya kembali normal. Warna kulitnya juga telah menjadi cerah. Tetapi apa yang dikatakan oleh saudara saya itulah yang benar-benar mengguris dan menyentuh hati saya. Dia telah berkata “ Nasib baik tak jadi macam Yati”.
Tersentap saya mendengar kata-kata itu. Tetapi saya tahan airmata saya dari mengalir. Pada malam itu, saya sedang mengemas pakaian didalam bilik. Tetapi dalam hati saya menangis terluka. Umi datang menghampiri saya. Umi berdiri di depan pintu bilik saya dan berkata “ Kak. Kakak okay ke”? Saya tersenyum memandang umi dan berkata “ Kakak okay je umi”. Umi menghampiri saya dengan lebih dekat dan duduk disamping saya.
“Kakak. Umi tahu kakak sedih. Menagislah kalau kakak ingin menangis”. Saya terus memeluk umi. “Umi. Hina sangatkah menjadi diri kakak? Kenapa mereka perlu hina kakak? Kakak tidak pernah minta untuk dilahirkan seperti ini. Tetapi Allah SWT yang telah menentukannya dan kakak terima. Kenapa mereka tidak boleh menerimanya umi”?Saya menangis semahu-mahunya sambil memeluk umi. Umi membalas pelukan saya. Umi katakan pada saya
“ Kakak adalah anak umi yang terlalu berharga. Kakak seorang anak yang terlalu cantik dan sempurna untuk umi. Walaupapaun yang mereka katakan tentang kakak, kakak tetap anak umi yang berharga dan paling cantik. Umi bersyukur dikurniakan seorang anak seperti kakak. Bersabarlah sayangku. Allah SWT sedang mengujimu. Selepas peristiwa itu, saya tidak lagi menangis apabila ada yang menghina keadaan paras rupa saya. Saya membalas semua kata-kata hinaan itu dengan senyuman. Tetapi satu perkara yang memang saya takutkan adalah untuk jatuh cinta. Saya selalu berfikir bahawa tidak akan ada insan yang mencintai saya. Itulah yang selalu saya fikirkan. Tetapi takdir Allah SWT tiada siapa yang dapat menduga kan?
Sewaktu saya berada di Matrikulasi, Allah SWT menemukan kembali saya dengan dia yang selalu menegur saya sewaktu bersekolah dahulu. Saya berkenalan dengan dia dan hubungan antara kami menjadi begitu akrab. Secara perlahan-lahan, saya mula mencintainya. Dialah yang banyak mengubah diri saya. Kerana dia saya mulai belajar untuk yakin pada diri saya sendiri. “You are beautiful just the way you are”. You’re too beautiful too me”.
Itulah yang sering dia katakan kepada saya. Saya mula mengubah diri saya untuk menjadi cantik kerana dia. Saya mencuba berbagai-bagai produk kecantikan. Saya terlalu ingin berubah kerana dia. Setelah Allah membawa dia pergi dari hidup saya, separuh daripada keyakinan saya hilang. Tetapi lama kelamaan saya mulai sedar. Saya perlu berubah untuk diri saya. Bukan untuk orang lain. Saya mula mencari keyakinan saya kembali. Saya gagahkan diri saya untuk bangkit.
Alhamdulillah. Dengan sokongan dan dorongan daripada keluarga dan sahabat-sahabat saya, saya mampu menghadapainya. Saya sungguh berterima kasih kepadanya kerana menjadikan saya siapa saya pada hari ini. Saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk mengenali seseorang seperti dia. Dia akan tetap saya kenang sebagai seseorang yang telah mengubah saya untuk yakin dengan diri saya. Dia buatkan saya menjadi siapa saya pada hari ini.
Kesimpulannya, perkara paling utama yang perlu kita lakukan adalah yakin dengan diri kita sendiri sebab keyakinan itu boleh mengubah banyak perkara. Yang mustahil pun boleh jadi tidak mustahil dengan sebuah keyakinan. Jangan sesekali berubah untuk orang lain. Tetapi berubah kerana diri kita sendiri kerana kita tidak mengetahui selama mana seseorang itu akan ada dalam kehidupan kita. Jadi berubahlah untuk diri kita sendiri.
Satu lagi yang paling penting, jangan terlalu merasa rendah diri kerana kekurangan yang ada pada diri kita. Kecantikan itu suatu yang subjektif. Apa yang cantik bagi kita, belum tentu cantik bagi orang lain kan? Dan apa yang buruk bagi kita belum tentu buruk pada orang lain. Apa yang kita rasa sebagai kekurangan pada diri kita, ada orang lain yang menganggap ianya sebagai satu keunikan. Kita rasa diri kita tak cantik. Tetapi ada yang melihat kita sebagai seseorang yang cantik. Jadi jangan terlalu merendah diri dengan kekurangan yang kita ada.
Cantik itu bukan pada fizikal semata-mata, tetapi pada dalaman kita. Zaman sekarang ni, ramai yang boleh jadi cantik dengan wajah dan penampilan. Tetapi tidak ramai yang mampu cantik dengan akhlak. Sentiasa bersyukur dengan apa yang Allah anugerahkan kepada kita. Dalam setiap kekurangan, pasti ada kelebihan. Allah itu kan Maha Adil. Utamakan pandangan Allah. Bukan pandangan manusia. “You are beautiful dear. You just don’t find someone who has find your beauty yet”. Percayalah. So get up and smile. Let the world see how beautiful you are..
– Hayati
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit