10 Ayat Awal Al-Kahfi

Tujuan saya menulis artikel ini ialah untuk sama-sama mengajak kepada pembaca IIUMC sekalian untuk mula beramal dengan 10 ayat awal dari Surah Al-Kahfi.

Saya secara peribadi sudah lama menghafal 10 ayat awal yang istimewa ini ketika timbul kesedaran berkenaan dengan Zaman Dajjal melalui ceramah yang disampaikan oleh para ustaz melalui YouTube.

Namun masalahnya saya tidak konsisten untuk mengamalkannya pada setiap hari seolah-olah yakin bahawa semuanya ‘ok’ dan tiada ‘ancaman keimanan’ di hadapan sehingga kekadang ada ayat yang terlupa dan tidak lancar bila dibaca kembali.

Tetapi sejak akhir-akhir ini, seolah-olah ada satu desakan dari dalam diri untuk mahu segera beramal kembali secara konsisten akan 10 ayat yang sudah pun sebenarnya disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam himpunan hadis shahih sebagai jaminan keselamatan dari fitnah Dajjal.

Alhamdulillah sudah beberapa hari saya mengamalkan 10 ayat ini dan saya lihat ianya mempunyai fadhilat tersendiri walaupun niat mengamalkannya sebagai persediaan untuk perlindungan diri dan keluarga dari fitnah Dajjal kelak.

Antara kesan yang saya lihat dengan beramal ayat demikian ialah akal kita akan berfungsi secara lebih kritis lagi didalam menilai dan melihat perkara yang berlaku pada saat ini.

Namun, sebelum itu saya meminta maaf seandainya ada pihak yang terguris hati kerana tulisan saya ini.

Berbalik kepada perkara tadi, kita akan melihat sebenarnya kita hidup dalam satu sistem yang ada ulama gelarkannya sebagai ‘Sistem Dajjal’.

Walaupun, si Dajjal @ pedajjal itu belum keluar, tetapi sistemnya sudah dibentuk dan terbentuk untuk memudahkannya ‘membuat kerja’ dengan membuat kekacauan di atas muka bumi ini.

Ada ulama mengatakan bahawa apa yang berlaku sekarang ini, sudah cukup syarat untuk dajjal keluar cuma tinggal tunggu masa yang sesuai untuk makhluk tersebut muncul.

Ialah takanlah bila Dajjal keluar, barulah sistemnya hendak dibentuk dan disempurnakankan.

Sebelum saya melanjutkan penulisan artikel ini. Apakah anda percaya dengan Nabi Muhammad SAW? Apakah anda yakin apa yang disabdakan oleh beliau?

Nampak seperti soalan bodohkan? Tapi itulah hakikatnya. Ramai yang ragu-ragu dengan sabdaan Baginda SAW. Setiap Rasul telah mengingatkan umat masing-masing berkenaan dengan Dajjal termasuklah Rasulullah SAW sendiri.

Mendustakan kemunculan Dajjal untuk membuat fitnah sama juga dengan mendustakan Rasulullah SAW.

Walaupun Dajjal bakal muncul dengan segala kemungkaran yang akan dilakukan oleh makhluk terlaknat tersebut, Rasulullah SAW telah membekalkan kita ‘perisai’ untuk berhadapan dengan makhluk tersebut.

Antaranya, dengan beramal 10 ayat awal al-Kahfi; membaca kalimah tasbih, tahmid, tahlil dan takbir; dan menambat kaum wanita dari keluarga kaum mukmin bila Dajjal telah keluar.

Oleh itu biasakanlah lidah kita dari awal membaca 10 ayat tersebut. Ketika Dajjal keluar takut-takut kita tak sempat pun membuka Al-Quran yang juga mungkin telah berhabuk di almari kita.

Kenapa dengan 10 ayat awal ni? Ada ulama mengatakan fitnah Dajjal tidak akan terkena dengan pembaca 10 ayat awal ini disebabkan oleh cahaya yang terang-benderang dari ayat-ayat tersebut.

Sementara itu, dengan membiasakan diri mengucapkan kalimah tasbih, tahmid, tahlil dan takbir — ianya merupakan makanan bagi orang-orang yang beriman yang mengenyangkan ketika Dajjal sudah muncul,

Kerana ketika kemunculannya tidak ada satu makanan dalam bentuk fizikal pun untuk orang-orang beriman pada ketika itu melainkan kepada orang-orang yang tunduk patuh kepada Dajjal.

Kenapa golongan wanita kita perlu ditambat sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW. Ada ulama mengatakan ini kerana golongan wanitalah yang paling mudah tunduk kepada ‘sihir’ Dajjal pada ketika itu.

Isteri kita, anak perempuan kita, ibu kita dan wanita lain dari ahli keluarga kita walau bagaimana solehah pun mereka, haruslah mereka diikat pada tiang-tiang rumah untuk menyelamatkan diri mereka selain diri kita sendiri.

Ada pula ulama yang menyarankan: Seandainya anda mampu, berhijrahlah bersama keluarga anda ke Makkah dan Madinah kerana dua tempat suci ini, Dajjal dan bala tenteranya tidak akan mampu untuk masuk membuat kekacauan.

Banyak lagi yang hendak dibicarakan tetapi biarlah setakat ini dulu kerana ini adalah topik yang berat bagi saya. InsyaAllah jika ada kesempatan, saya akan menulis lagi untuk dikongsikan kepada pembaca IIUMC sekalian.

– Hamba Allah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *