10 Sebab Utama Mengapa ‘Sambung Bayar’ Ini Berisiko & Ditegah Oleh Pengamal Undang- Undang

Meskipun kita telah memasuki tahun 2021, amalan ‘Sambung Bayar’ ini masih lagi berlelulasa di kalangan masyarakat kita.

Justeru saya rasa adalah satu keperluan untuk terus ingat mengingatkan agar mesej ini tersebar luas.

10 sebab utama mengapa ‘sambung bayar’ adalah berisiko dan ditegah oleh Pengamal Undang-Undang:-

1) Akta Sewa Beli 1967 secara amnya mengatakan bahawa Penyewa atau Pemilik hendaklah meletakhakkan (assign) kenderaan tersebut kepada Pihak Ketiga dengan kebenaran pihak Bank,

Dan tertakluk kepada prosedur-prosedur termasuklah menandatangani borang perletakhakkan (assignment) di mana pihak Bank mempunyai hak untuk menghalang dan/atau menolak permohonan ini .

2) Sekiranya Penyewa gagal menepati peruntukan di dalam Akta Sewa Beli 1967 ini, Penyewa boleh dikenakan hukuman denda jika sabit kesalahan tidak melebihi RM25,000.00 atau Penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya.

3) Jika Penyewa (Pemilik) membuat Perjanjian dengan Pembeli baru tanpa memaklumkan kepada Pihak Bank mengikut prosedur yang betul berdasarkan Akta Sewa Beli 1967 ini,

Berdasarkan Akta Kontrak 1950, mana-mana Perjanjian yang dibuat bercanggah dengan mana-mana Undang-undang contohnya Akta Sewa Beli 1967 maka Perjanjian ini adalah Void Ab Initio atau terbatal dari permulaannya.

4) Sekiranya Penyewa membuat Surat Akuan dan diikrarkan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, Surat Akuan ini juga adalah tidak sah dan terbatal,

Berdasarkan Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah, hanya dokumen-dokumen tertentu sahaja yang boleh diikrarkan. Dokumen berbetuk Perjanjian Jual Beli Kenderaan adalah tidak termasuk dalam senarai yang dinyatakan dan tidak sah jika diikrarkan.

5) Sekiranya, Pembeli baru tertunggak dan/atau gagal membuat bayaran pada tempoh yang ditetapkan, Pihak Bank akan mengambil tindakan sibil terhadap Pemilik asal kerana Kontrak Sewa Beli Kenderaan tersebut adalah ditandatangani oleh Pemilik asal.

Samada kenderaan tersebut telah dijual kepada Pihak Ketiga atau tidak terletak diluar kepentingan mereka.

6) Sekiranya terdapat kesalahan trafik atau JPJ ke atas kenderaan tersebut, surat saman atau tuntutan akan diserahkan ke alamat Pemilik kenderaan dan Pemilik hendaklah bertanggungjawab melainkan jika telah diselesaikan oleh Pembeli baru atau pihak Ketiga sepenuhnya.

7) Sekiranya kenderaan tersebut disalahgunakan untuk tujuan Jenayah sebagai contoh :

Pemandu membawa Pendatang tanpa permit dan/atau dijumpai dadah di dalah kenderaan tersebut dan/atau dijumpai mempunyai senjata berbahaya dan pelbagai jenis kesalahan jenayah,

Salah seorang saksi yang akan ditahan reman dan/atau dituduh (jika positif) adalah Pemilik kenderaan selain Pemandu kerana bersubahat dan/atau memberikan ekses untuk membenarkan Prime suspect melakukan jenayah.

8) Sekiranya berlaku kemalangan jalan raya terhadap kenderaan tersebut di dalam tempoh sambung bayar, Pemilik asal hendaklah tampil memberi kerjasama dengan mendatangani apa-apa dokumen berkaitan berhubung tuntutan Insurance.

9) Setiap masalah tentu ada jalan penyelesaiannya. Benar, namun Tuan/Puan akan kehabisan wang, tenaga, masa untuk mempertahankan kes Tuan/Puan di Mahkamah kelak jika berlaku apa-apa perkara.

Peguam yang bijaksana juga terpaksa bekerja keras menyelesaikan masalah Tuan/ Puan yang Tuan/BPuan cipta sendiri. Kos yang dikenakan adalah bersesuaian dengan kesukaran dan masa, tenaga yang telah diperuntukkan. Justeru Tuan/Puan tidak boleh mengeluh.

10) Pembeli baru atau Pihak ketiga barangkali berkemungkinan menjual kenderaan ini kepada orang lain pula tanpa pengetahuan Tuan/ Puan yang mana akhirnya Tuan/ Puan tidak tahu status terkini kenderaan Tuan/ Puan tersebut dan dalam milikan siapa ia berada.

Apa yang saya kongsikan ini adalah antara sebab-sebab utama mengapa kami selaku Pengamal Undang-Undang menegah dan/atau tidak menggalakkan Tuan/ Puan menjual kenderaan kepada pihak Ketiga,

Secara sambung bayar tanpa melalui prosedur yang sah berdasarkan pengalaman dan/atau kajian saya sendiri mengendalikan kes seperti ini.

Meskipun amalan ini dipraktikkan secara meluas dikalangan masyakat, namun ia sama sekali tidak digalakkan dan anda dikatakan mengambil risiko sendiri jika timbul masalah dikemudian hari.

Adalah menjadi tugas saya untuk membela dan/atau menasihati anak guam saya sekiranya berlaku sebarang masalah di kemudian hari dengan sebaik-baiknya,

Namun saya percaya mencegah adalah lebih baik dari mengubat melainkan anda tidak kisah menghabiskan masa, tenaga dan kos perbelanjaan yang tinggi untuk menegakkan kes anda.

Justeru, saya ingin menasihati saudara saudari agar dapatkan nasihat atau pandangan Peguam atau mereka yang arif terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan yang terletak diluar kepakaran dan/atau bidang kuasa saudara saudari.

Yang Benar,

– Shada Mazan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *